Khamis, 16 September 2010

Pemuda Johor Bahru

Pemuda Johor Bahru


Pemuda UMNO Johor Bahru sumbang kerusi roda & barang keperluan kepada warga emas lumpuh

Posted: 16 Sep 2010 02:43 PM PDT

JOHOR BAHRU 16 Sept. – Keperitan hidup seorang warga emas, Sharifah Sulong Mohammad, 81, yang lumpuh dari pinggang ke bawah mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Johor Bahru semalam. Rombongan seramai 10 ahli Pemuda UMNO Johor Bahru diketuai oleh Ketuanya, Khalid Mohamed memberi sumbangan sebuah kerusi roda serta makanan seperti beras dan tepung kepada insan malang ini.

Sepanjang pertemuan kira-kira 30 minit itu, Sharifah Sulong yang lebih mesra dipanggil ‘ummi’ oleh masyarakat setempat bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas pemberian dan keprihatinan Pemuda UMNO Johor Bahru terhadap nasib yang menimpanya. Dia turut menyifatkan kunjungan dan sumbangan itu merupakan nikmat terbesar Allah kepadanya sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Ummi tak pernah terima kunjungan orang seramai ini. Alhamdulillah, ummi bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan dan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu. Ummi tidak mampu untuk membalas jasa mereka dengan wang ringgit tetapi hanya mampu berdoa agar Allah merahmati mereka,” katanya.

Warga emas ini tidak mampu lagi bergerak setelah bahagian pahanya patah akibat terjatuh di rumahnya itu di Blok N, Flat Sri Stulang di sini Jun lalu. Akibat kejadian itu, Sharifah Sulong terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama 14 hari dan menjalani pembedahan untuk memasukkan besi ke dalam kakinya itu. Dia yang tinggal sebatang kara terpaksa mengharapkan ihsan daripada jiran-jiran untuk membantunya mandi, makan, membuka pintu rumah dan sebagainya.

Sementara itu, Khalid berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Parlimen Johor Bahru untuk menyelesaikan tunggakan sewa rumah dan bil air Sharifah Sulong yang mencecah RM800.

“Maklumat awal kes ini telah diberikan kepada pihak yang terbabit. Selepas ini kita akan memperincikan lagi,” katanya.

Katanya, kunjungan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru itu adalah sebahagian daripada ziarah Aidilfitri yang bertujuan membantu golongan yang memerlukan sempena hari lebaran ini.

Sumber – Utusan Malaysia

Share/Save/Bookmark

Tiada ulasan:

Pengikut