Isnin, 30 Ogos 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Waspada pertubuhan luar negara serap budaya lucah di kalangan remaja Islam

Posted: 29 Aug 2010 10:08 PM PDT

WASPADA dengan gerakan pertubuhan antarabangsa yang sedang berusaha menyerapkan 'budaya lucah' di kalangan remaja Islam, tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Katanya, gerakan tersebut dipercayai berpengakalan di luar negara menggunakan saluran internet untuk merosakkan rakyat negara ini terutama golongan remaja Islam.

"Matlamat mereka adalah untuk menghancurkan umat Islam dan sasarannya ditujukan kepada golongan remaja Islam termasuk di Malaysia," ujarnya.

Beliau mendedahkan, strategi mereka ialah mempermudahkan muat turun penyebaran gambar-gambar pornografi yang kemudian boleh ditonton golongan remaja secara bebas tanpa kawalan.

Menurutnya, penggunaan meluas kemudahan internet telah disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi menjayakan agenda besar mereka untuk meleyapkan budaya dan tamadun serta agama Islam.

Sebelum kemudahan penggunaan internet katanya, masalah keruntuhan moral remaja Islam khususnya dalam isu pembuangan bayi tidak ketara seperti yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Katanya, partubuhan anti-Islam juga sedang berusaha untuk mencipta 'budaya lucah ' di kalangan negara-negara Islam dengan berselindung disebalik ledakan kemajuan teknologi maklumat.

"Di Malaysia, gerakan jahat itu dilihat telah berjaya merosakan akidah dan moral remaja Islam apabila kes perlakuan zina dan pembuangan bayi semakin berleluasa berlaku sekarang ini," tegasnya.

Katanya, kes tersebut merupakan permulaan kepada kehancuran keagungan syiar Islam akibat budaya lucah yang disebar menerusi saluran internet dan laman web.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan terutama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi segera bertindak menangani gejala tersebut.

"Dua kementerian berkenaan dilihat mempunyai bidang kuasa yang mampu menyekat penyebaran klip video atau gambar lucah menerusi perkhidmatan internet," katanya.

Syed Ali juga turut mempersoalkan tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang tidak mengharamkan penyebaran video dan vcd lucah atau mempunyai unsur-unsur bertentangan dengan budaya rakyat negara ini.

"Finas hanya melebelkan sesuatu filem itu dengan kategori tertentu, contohnya 18SX, SG, Umum dan sebagainya selepas melalui penapisan yang diwajibkan," jelasnya.

Sepatutnya kata beliau, bahagian penapisan filem mengharamkan terus mana-mana filem atau video yang menyelitkan unsur-unsur lucah atau jalan cerita yang bercanggah dengan nilai-nilai moral dan budaya tempatan.

Tiada ulasan:

Pengikut