Khamis, 19 Ogos 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Pertembungan kepentingan Cina-Melayu mungkin didalangi pihak tertentu – Syed Ali

Posted: 18 Aug 2010 11:55 PM PDT

PERTEMBUNGAN tuntutan kepentingan kaum terutama Cina dan orang Melayu yang berlaku sejak akhir-akhir ini dikhuatiri didalangi pihak tertentu yang ingin menguasai negara ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketika melahirkan kebimbangan tersebut, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menegaskan, pertelingkahan tuntutan antara dua kaum terbezar – Cina dan Melayu sudah lama tidak berlaku selepas tragedi 13 Mei 1969.

Katanya, perkembangan sekarang ini dilihat seperti sengaja dirancang dengan berselindung di sebalik parti politik untuk menjuarai kepentingan kaum masing-masing.

"Pada hemat saya, ada pihak tertentu menggunakan kepentingan politik untuk mencetuskan ketegangan antara kaum sepertimana tragedi 13 Mei dengan harapan mereka akan berjaya menguasai negara ini," tegasnya.

Dalam hal ini jelas beliau, semua pihak harus bertanggungjawab memastikan supaya bibit-bibit perpecahan kaum dapat dibendung dan tidak akan berulang sepertimana pengalaman pahit 13 Mei 1969.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kecelaruan dalam MCA di bawah pimpinan Datuk Seri Chua Soi Lek untuk menyerang UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Anwar mungkin mendalangi isu pertelingkahan tuntutan orang Cina dan Melayu atas kepentingan politik peribadi," ujarnya.

Katanya, Anwar dengan kelicikannya mungkin memperalatkan MCA supaya membuat tuntutan 13 perkara pada Kongres Ekonomi Cina baru-baru ini bagi membangkitkan kemarahan orang Melayu dan UMNO khususnya.

Katanya, MCA yang mewakili sebahagian masyarakat Cina telah mengemukakan tuntutan yang dilihat menggugat hak dan kepentingan orang Melayu.

Menurutnya, sikap orpotunis sesetengah pemimpin MCA juga sudah bercanggah dengan semangat setiakawan di dalam BN yang dipupuk selama ini.

"Oleh sebab itu, sekarang sudah terbukti orang Melayu semakin marah manakala pemimpin UMNO pula kecewa dengan sikap MCA sebagai sekutu BN yang bersifat ala-DAP," tambahnya.

Perkembangan inilah jelas beliau, amat dinanti-nantikan oleh Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) supaya rakyat berpecah-belah manakala BN pula mula dilanda krisis sesama sendiri.

Katanya, asas kepada kemungkinan tersebut boleh diambilkira kerana Anwar di dalam keadaan terdesak dan bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya.

"Anwar sebagai pengkhianat kepada orang Melayu dan sanggup bersubahat dengan Yahudi akan melakukan pelbagai taktik politik asalkan impiannya untuk menawan Putrajaya tercapai," tegasnya.

Sehubungan itu jelasnya, rakyat pelbagai kaum di negara ini harus bersifat rasional dan tidak terbawa-bawa dengan api sentimen yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu.

Syed Ali juga tidak menolak kemungkinan isu pertelingkahan tuntutan antara orang Cina dan Melayu sengaja diperbesarkan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kes liwat yang sedang dihadapi oleh Anwar.

Beliau berpendapat, Anwar sebenarnya amat risau dengan keputusan perbicaraan kes meliwatnya di Mahkamah Tinggi kerana bakal mempengaruhi kerjaya politik beliau.

"Oleh sebab itu, sudah beberapa kali dia mohon perbicaraan kes tersebut ditangguhkan malah dilihat mahu dilanjutkan selepas PRU akan datang. Inilah taktik beliau untuk menagih simpati rakyat," katanya.

Dedah maklumat palsu pertahanan negara; Nurul perlu dikenakan tindakan tegas

Posted: 18 Aug 2010 10:14 PM PDT

TINDAKAN Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendedahkan maklumat palsu mengenai ketenteraan negara kepada negara luar disifatkan sebagai pengkhianat besar.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, perbuatan tersebut amat serius dan kerajaan perlu bertindak tegas ke atas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana jelas berbohong.

"Amat menyedihkan seorang Ahli Parlimen boleh berbohong dengan mendedahkan maklumat palsu mengenai pertahanan negara kepada pihak asing," katanya.

Menurut beliau, biasanya hanya pembelot atau pengkhianat yang menjadi agen sulit pihak tertentu sahaja yang tergamak mendedahkan rahsia negaranya sendiri kepada pihak luar.

Katanya, membocor atau menjual maklumat keselamatan negara kepada sesebuah negara asing merupakan perbuatan khianat yang boleh menjejaskan stretegi pertahanan negara.

Dalam kes ini katanya, tindakan Nurul membuat tuduhan palsu bahawa kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam merupakan tindakan yang memalukan negara.

"Saya berpendapat siasatan perlu dilakukan segera dengan mengambilkira aspek pertahanan dan strategi keselamatan negara dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik," tegasnya.

Sehubungan itu tegas beliau, tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis keatas Nurul kerana berbohong, di Balai Polis Hulu Kelang semalam sebagai tindakan wajar.

"Kita minta pihak berkuasa segera lakukan siasatan mengenai peranan Nurul dalam kes tersebut, apa motifnya berbohong dengan mendedahkan maklumat palsu kepada negara asing," katanya.

Beliau mengulas kenyataan keras Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang menafikan tuduhan Nurul sewaktu ditemubual oleh akhbar Indonesia, Kompas, pada 4 Ogos lalu kononnya kapal selam KD Tunku Abdul Rahman masih tidak boleh menyelam selain mendakwa pembelian aset canggih itu sebagai usang dan terpakai.

Abdul Aziz juga menegaskan, betul atau tidak maklumat berkaitan dengan ketenteraan negara, ia tidak boleh sesekali didedahkan kepada negara asing. Ini soal keselamatan negara dan seharusnya dirahsiakan tetapi Nurul bukan saha berbohong, malah dia juga memalukan TLDM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan negara di mata dunia.

Menurut Syed Ali lagi, jika Nurul mempunyai semangat patriotik dan sayangkan negara, dia tidak akan membuat tuduhan palsu dan membocorklan aspek pertahanan kepada pihak asing.

Beliau menambah, setiap pemimpin politik sama ada pro-kerajaan atau pembangkang seharusnya mengutamakan kepentingan pertahanan dan keselamatan negara daripada agenda politik.

Tiada ulasan:

Pengikut