Rabu, 18 Ogos 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


‘Soi Lek tak perlu ajar Muhyiddin’ – Syed Ali

Posted: 17 Aug 2010 11:42 PM PDT

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang pernah dikaitkan dengan skandal seks tidak perlu 'mengajar' Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tuntutan sesuatu kaum dan kaitan tragedi 13 Mei, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.


"Jangan nak ajar Timbalan Presiden UMNO, orang Melayu lebih faham tragedi 13 Mei, malah kita lebih faham situasi politik dan MCA sekarang ini," tegasnya.

Sebaliknya jelas beliau, Timbalan Perdana Menteri lebih melihat kepada perpaduan antara kaum dan kestabilan negara berikutan tuntutan 'melampau' MCA pada Kongres Ekonomi Cina, 14 Ogos lalu.

Menurutnya, Muhyiddin dan pemimpin UMNO lebih memahami dan merasai implikasi daripada tragedi 13 Mei dan mahu supaya insiden seperti itu tidak berulang di masa akan datang.

Katanya, masyarakat pelbagai kaum dan agama termasuk kaum Cina tidak mahu peristiwa pahit itu berulang lagi demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

"Timbalan Perdana Menteri hanya mengingatkan MCA supaya jangan terlalu ghairah menjuarai kepentingan kaum tertentu, malangnya nasihat itu diperlekehkan oleh Soi Lek," tegasnya.

Beliau berkata, Soi Lek selaku pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan dilihat biadab dan memperlekehkan kewibawaan Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Katanya, pemimpin dan ahli-ahli UMNO berasa terhiris dengan 'serangan balas' Soi Lek terhadap Muhyiddin sepertimana disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan hari ini.

Syed Ali mengingatkan Soi Lek supaya jangan 'cari pasal' dengan UMNO hanya kerana beliau ingin dilihat sebagai juara kepada masyarakat Cina.

"Walau macam mana situasi pun, selagi MCA berada dalam BN, mereka harus menghormati prinsip setiakawan, bukannya bersekongkol dengan DAP yang sememang berniat jahat terhadap BN," ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Soi Lek yang mengingatkan Muhyiddin bahawa keadaan sosio-ekonomi negara jauh berbeza dari 1969 dan rakyat Malaysia kini berupaya untuk bersikap rasional dalam membincangkan isu tuntutan sesuatu kaum tanpa mencetuskan konflik perkauman.

Menurut Syed Ali, Timbalan Perdana Menteri lebih memahami situasi sekarang dan apa jua tindakan kerajaan tetap menjurus kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat berbagai kaum di negara ini.

Oleh itu katanya, Soi Lek yang pernah dikaitkan dalam isu skandal seks tidak sepatutnya menggunakan 13 tuntutan itu sebagai langkah untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina terhadap MCA.

"Umum mengetahui sokongan masyarakat Cina sudah terhakis dan Soi Lek yang baru menang jawatan Presiden MCA terpaksa mencari alternatif baru untuk mengubahnya," jelas beliau.

Syed Ali sekali lagi mengulangi bahawa kenyataan Soi Lek sebelum ini dilihat sebagai provokosi untuk mencetuskan sentimen kaum menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tiada ulasan:

Pengikut