Khamis, 5 Ogos 2010

Hamidah Osman

Hamidah Osman


Berita Harian

Posted: 05 Aug 2010 04:34 PM PDT

Pakatan pembangkang perlu terima kenyataan sudah hilang kuasa di Perak


2010/08/06
TINDAKAN pembangkang mencetuskan kekecohan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Selasa lalu, memang sudah diduga. Alasannya mudah, pakatan pembangkang Perak sememangnya tidak mahu keadaan politik di negeri itu tenang, sebaliknya mahu melihat momentum itu berterusan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Speaker R Ganesan terpaksa menggantung sehari Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada menghadiri persidangan itu kerana enggan berhenti daripada membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010.

Ia bukan kali pertama pemimpin pakatan pembangkang membuat kecoh dan melakukan provokasi. Semuanya disebabkan kegagalan pakatan pembangkang yang terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi kerajaan negeri selepas kehilangan majoriti.

Merekalah yang mendesak dan membawa perkara ini ke mahkamah bagi membuktikan siapa yang berhak menjadi Menteri Besar (MB) dan menentukan kerajaan Perak yang sah. Bagaimanapun, selepas mahkamah memutuskan Zambry adalah MB Perak yang sah – mereka tetap mempertikaikannya.

Mereka sewajarnya menghormati keputusan mahkamah kerana ia dibuat mengikut proses dan keluhuran undang-undang. Pakatan pembangkang Perak sebenarnya sudah ketandusan idea untuk mencari kelemahan pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang diterajui Zambry.

Apatah lagi, kemampuan Zambry dan barisan Exconya yang mentadbir Perak dengan cekap dan berkesan selepas mengambil alih teraju pentadbiran kerajaan negeri Februari tahun lalu. Kemampuan BN mentadbir Perak dan sokongan rakyat yang semakin meningkat jelas mengecewakan pakatan pembangkang.

Tidak hairanlah mereka mengambil kesempatan menimbulkan kekecohan setiap kali sidang DUN berlangsung.

Setakat ini, sudah empat kali Sidang DUN Perak diadakan selepas BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pembangkang.

Persidangan pertama pada 7 Mei (2009), diikuti pada 28 Oktober (2009), 30 Mac (2010) dan terbaru pada 3 Ogos lalu yang semuanya berlangsung dalam suasana tegang. Kejadian paling buruk ialah pada 7 Mei 2009 apabila menyaksikan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, terpaksa menunggu sehingga enam jam sebelum dapat menyampaikan titah perasmian berikutan kekecohan kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pemimpin pakatan pembangkang tidak wajar mempertikaikan kesahihan sidang kerana semua sidang DUN itu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah. Pakatan pembangkang yang selama ini kononnya memperjuangkan prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang, tetapi mereka sendiri tidak menghormatinya.

Jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka, pelbagai tohmahan dan tuduhan dibuat kononnya ia dipengaruhi pihak tertentu. Kita turut mempersoalkan apa sebenarnya agenda mereka. Pemimpin pembangkang sepatutnya menghormati keputusan mahkamah bukannya mempertikaikannya sepanjang masa.

Keadaan ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan untuk kesejahteraan rakyat serta pembangunan di Perak. Pakatan pembangkang harus menerima kenyataan bahawa mereka sudah kehilangan kuasa di Perak dan bukan lagi mentadbir kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Pengikut