Rabu, 14 Julai 2010

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


NILAI SEBUAH KEBEBASAN

Posted: 13 Jul 2010 09:52 PM PDT


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia,

Telah beberapa kali saya catatkan di blog ini mengenai isu kebebasan. Sejak akhir-akhir ini, isu mengenai kebebasan media sekali lagi berkumandang. Ia ekoran beberapa akhbar pro pembangkang yang diberikan surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas, sama ada permit mereka tamat tempoh atau melanggar peraturan yang ditetapkan.

Saya tidak mahu menulis panjang dalam hal ini. Cukup untuk saya mengajak anda semua berfikir, merenung sejenak mengenai apakah yang dikatakan dengan kebebasan. Dan, pada yang sama, apakah pengertiannya undang-undang dalam hidup anda. Itu yang penting.

Saya tidak nampak kita mempunyai kebebasan yang mutlak. Tiada manusia pun begitu. Kebebasan harus diterjemahkan dalam konteks ia mendedahkan kita semua kepada kebaikan, bukan sebaliknya. Dalam kehidupan seharian manusia, kita pasti terikat. Jika tidak terikat dengan undang-undang dunia, kita terikat kepada hukum agama. Lebih detail lagi, hidup manusia juga terikat dengan batas-batas kemahuan yang dikaitkan dengan keupayaan.

Ertinya, walau semahu mana pun kita, namun jika kita tidak mempunyai keupayaan, kita gagal dalam kebebasan.

Nah, sekarang lihat mengenai undang-undang. Percayalah bahawa tiada undang-undang yang digubal atau diwujudkan untuk menghancurkan manusia. Ternyata, undang-undang digubal untuk melindungi dan memelihara kita semua agar tidak terjebak dengan perkara-perkara yang boleh mendatang kemudaratan.

Jelas sekali, setiap pelanggaran terhadap undang-undang boleh mendedahkan kita kepada apa yang saya maksudkan. Maka, begitulah apabila permit akhbar berkenaan mempunyai masalah. Mengapa tindakan diambil?. Jujurlah, tiada sesiapa pun berhak mengambil tindakan jika pihak berkenaan mematuhi undang-undang.

Undang-undang adalah pelindung. Dan, walau dalam keadaan apa pun, ia mesti dipertahankan. Tiada kompromi lagi dalam hal ini.

Jadi, dalam isu kebebasan media yang dikaitkan dengan akhbar pembangkang itu tadi, sudah pasti ada sebabnya. Menyalahkan kerajaan bukan cara bijak. Sebaliknya, semua pihak perlu menilai, menyemak dan bermuhasabah diri dalam mencari titik penyelesaian. Kalaulah, undang-undang dipatuhi, saya tidak nampak adanya sebarang masalah dalam semua hal.

Masalah yang berlaku disebabkan adanya pihak yang bukan sahaja sengaja membelakangkan undang-undang, malah tergamak melanggar undang-undang. Kita mahu menyelesaikan masalah ini, kita harus kembali kepada undang-undang. Patuhinya, peliharakannya ….

Fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Pengikut