Ahad, 18 Julai 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Isu pasir ; Anwar jadikan Khalid kambing hitam - Syed Ali

Posted: 18 Jul 2010 02:40 AM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshe tidak menolak kemungkinan isu pasir yang semakin panas di Selangor sengaja dicetuskan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurutnya, isu pasir dibangkitkan Anwar kerana beliau mempunyai strategi serampang dua mata, iaitu untuk mendapatkan sebanyak mungkin dana hasil jualan pasir dan menjadikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai kambing hitam.


Beliau berkata, Anwar menggunakan isu pasir itu sebagai alasan untuk menjatuhkan reputasi Khalid sebagai Menteri Besar yang akhirnya memaksa beliau meletakkan jawatan.


Katanya, strategi licik itu dilakukan oleh Anwar bagi membolehkan Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali dilantik menjadi Menteri Besar.


"Khalid ditekan secara halus dan dijadikan kambing hitam oleh Anwar manakala Azmin pula sudah bersedia untuk menduduki kerusi Menteri Besar," tegasnya.
Beliau berkata, sebelum isu pasir meletup, Anwar sudah memalukan Khalid apabila kedudukan beliau sebagai Pengerusi PKR Selangor dilucut serta-merta untuk digantikan oleh Azmin.


"Anwar sengaja membiarkan isu pasir menjadi fokus rakyat Selangor bagi membangkitkan kemarahan pengusaha pasir terhadap Khalid," tegasnya.


Menurutnya, Anwar juga secara licik menggunakan isu tersebut untuk mengalih perhatian rakyat terhadap kes liwat yang sedang beliau hadapi.


Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali kesal kerana peguam utama dalam kes liwat Anwar, Karpal Singh telah memohon cuti sakit sewaktu pengendalian perbicraan kes tersebut.


Katanya, mahkamah membenarkan cuti sakit Karpal dan ini menyebabkan perbicaraan kes Anwar yang dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari terpaksa ditangguhkan lagi.


"Selepas ini, saya menjangkakan mahkamah juga akan membenarkan permohonan Anwar untuk bercuti dengan alasan ada urusan penting di luar negeri," tegasnya.


Katanya, sekali lagi kes yang menjadi perhatian rakyat akan ditangguhkan oleh mahkamah.


Sehubungan itu katanya, mahkamah sepatutnya mencadangkan supaya Karpal yang selalu 'sakit' digantikan dengan peguambela yang lebih berwibawa bagi mengendalikan kes tersebut.


Beliau memberitahu, sehingga kini sudah 20 kali kes liwat Anwar ditangguhkan oleh mahkamah dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh tertuduh dan peguambelanya.

Katanya, rakyat kecewa dan mula mempersoalkan sejauhmana ketegasan mahkamah mengadili kes liwat Anwar.

Katanya, penangguhan kes tersebut dilihat sebagai taktik Anwar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.


"Jika asyik tangguh dan mahkamah pula akur dengan alasan Anwar, kemungkinan kes liwat ini akan dibicarakan selepas PRU akan datang," tegasnya.
Beliau menjangkakan Anwar akan mencipta lebih banyak lagi isu dan alasan bertujuan memesongkan pemikiran rakyat terhadap kes liwat yang beliau hadapi.


Mengenai kenaikan harga petrol, Syed Ali berkata langkah itu akan membolehkan kerajaan menjimatkan subsidi minyak berjumlah RM720 juta.


"Penjimatan tersebut diharapkan akan diagihkan oleh kerajaan untuk pembangunan rakyat terutama di kawasan luar bandar," katanya.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan tidak menyalurkan bantuan tersebut untuk faedah satu kaum tertentu sahaja seperti tambahan perbelanjaan sekolah-sekolah Cina dan Tamil.


"Kita tidak mahu ianya menjadi isu besar menjelang PRU akan datang yang memaksa timbul kekecewaan orang-orang Melayu terhadap kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Tiada ulasan:

Pengikut