Isnin, 28 Jun 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Penyingkiran Khalid Ibrahim ; PKR Selangor semakin berkecamuk

Posted: 27 Jun 2010 08:53 PM PDT

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) semakin berkecamuk berikutan penyingkiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Situasi ini jelas beliau, turut menguatkan lagi spekulasi bahawa terdapat sekumpulan Ahli Parlimen PKR sedang merancang untuk menggulingkan Khalid sebagai Menteri Besar.

"Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan spekulasi tersebut, tetapi perkembangan terkini membuktikan kedudukan Khalid seperti telur dihujung tanduk," tegasnya.

Katanya, perubahan mengejut dengan perlantikan Naib Presiden PKR, Azmin Ali menggantikan tempat Khalid berkuatkusaa serta-merta telah menimbulkan kekecewaan sebilangan besar penyokong PKR di Selangor.

Menurut beliau, penyingkiran Khalid dilihat sebagai strategi halus Anwar yang juga Penasihat Umum PKR untuk memberi laluan kepada Azmin dilantik sebagai Menteri Besar.

"Banyak pihak sebelum ini mendakwa Khalid dengan Azmin sudah tidak sebulu dan penyingkiran tersebut Ahad lalu dilhat seperti Anwar sudah memberi isyarat bahawa beliau (Khalid) tidak lagi diperlukan lagi di Selangor," tegasnya.

Hubungan Khalid dengan Anwar juga dikatakan semakin renggang berikutan pemilihan bekas Senator, Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon PKR pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, Khalid sebagai Menteri Besar sepatutnya berasa malu apabila fungsinya sebagai Majlis Pimpinan Negeri Selangor dilucutkan serta merta.
"Dari segi moral, Khalid sepatutnya perlu berundur sebagai Menteri Besar kerana kepimpinannya seperti sudah tidak lagi diperlukan oleh PKR," tambahnya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail membuat pengumuan pertukaran jawatan tersebut selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Shah Alam, semalam.

Anwar juga turut mengumumkan Zaid dilantik sebagai Ketua Majlis Pimpinan PKR Negeri Wilayah Persekutuan.
Pergolakan terbaru itu kata Syed Ali, jelas membuktikan kepimpinan PKR lebih memementingkan agenda politik daripada mengutamakan kepentingan rakyat terutama di Selangor.

"Mereka bercakaran sesama sendiri kerana berebut jawatan, ini membuktikan PKR hanya ingin mengekalkan kuasa politik tanpa memperdulikan kehendak rakyat," tegasnya.

Sambil tidak menafikan terdapat penyokong PKR Selangor yang akan berpaling tadah berikutan penyingkiran Khalid, beliau menjelaskan mereka perlu melihat kepada kepentingan negara daripada agenda peribadi.

"UMNO sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak termasuk bekas penyokong parti pembangkang, apa yang penting bekerja dalam satu pasukan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negara," tegasnya.

Mengulas keputusan Anwar tidak akan bertanding jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti itu akhir tahun ini, Syed Ali berkata sama ada dia bertanding atau tidak, PKR tetap berada dalam cengkaman beliau.

"Sama sahaja, Presiden PKR adalah isteri beliau selaku boneka dan selama ini pun yang berkuasa dalam parti adalah Anwar bersama segelintir konco-konconya yang berkepentingan," tegasnya.

Oleh sebab itu katanya, ramai pemimpin termasuk wakil rakyat PKR telah bertindak keluar parti kerana kecewa dengan cara kepimpinan diktator Anwar.

Tiada ulasan:

Pengikut