Sabtu, 9 November 2013

PEMUDA AYER HITAM

PEMUDA AYER HITAM


Posted: 09 Nov 2013 09:33 AM PST

25 keluarga terima bantuan Maal Hijrah Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam

Seramai 25 keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang di sini terharu dengan kunjungan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam yang turut menyampaikan bantuan sempena program Ziarah Kasih Maal Hijrah semalam.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ayer Hitam, Fauzani Salubin berkata, program Ziarah Kasih Maal Hijrah itu adalah yang pertama kali diadakan selepas beliau menang tanpa bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan parti baru-baru ini.
Menurutnya, program itu diadakan bagi memastikan masyarakat yang berada dalam kesusahan terbela selain bertanya khabar kepada penduduk sekitar tentang situasi terkini mereka.
"Dalam program ziarah ini, seramai 25 keluarga diziarahi oleh dua kumpulan iaitu di kawasan Parit Sagil dan Kota Dalam bagi menyampaikan sumbangan daripada UMNO Bahagian Ayer Hitam.
"Terdapat keluarga yang menerima bungkusan barangan keperluan asas dan bagi yang mengalami kesulitan kehidupan mereka turut diberikan bantuan kewangan sebagai usaha meringankan beban mereka," katanya.
Fauzani memberitahu, program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti UMNO Bahagian Ayer Hitam sempena Maal Hijrah selain ceramah agama yang diadakan pada malamnya.
Sementara itu, pasangan penerima bantuan, Suhaimi Sulaiman, 76, dan isterinya, Fatahol Jannah Sidek, 68, mengucapkan terima kasih kepada UMNO Bahagian Ayer Hitam yang memberikan sumbangan tersebut.
"Terima kepada semua pihak yang terlibat dan datang menziarahi saya dan isteri. Saya doakan semoga Allah membalas jasa baik kamu semua atas kebaikan yang telah dilakukan.
"Saya bersyukur dengan pemberian ini kerana walaupun terdapat banyak rumah yang dikunjungi oleh Pemuda UMNO, namun mereka sempat singgah ke rumah saya untuk memberikan sumbangan dan menikmati minuman yang disediakan," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut