Selasa, 28 Ogos 2012

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


STRATEGI BERDAKWAH KEPADA BUKAN ISLAM.

Posted: 27 Aug 2012 05:37 PM PDT

Sepertimana yang telah kita sedia maklum, hampir separuh penduduk negara kita adalah kalangan bukan Islam. Majoriti penduduk bukan Islam adalah terdiri daripada kaum Cina iaitu 25 peratus daripada pertumbuhan penduduk Malaysia, wakili hampir 6.5. juta. Statistik Jabatan Agama seluruh negara juga menunjukkan bilangan yang paling ramai memeluk Islam adalah terdiri daripada kaum Cina. Rata-rata kaum Cina pada hari ini boleh dikatakan tidak mempunyai agama. Kalau adapun pegangan agamanya agak longgar. Agama pada mereka hanyalah menjadi warisan nenek moyang mereka. Mereka tidak tahu sebenarnya apa yang disembah. Maka, tidak hairanlah ramai yang telah memilih dan memeluk agama lain terutama agama Kristian.

Justeru, dakwah perlu diberikan tumpuan kepada kumpulan sasaran ini kerana berdasarkan kepada pengalaman, golongan ini amat mudah menerima agama Islam. Persoalannya, kenapa mereka tidak memilih agama Islam? Sedangkan agama kita mempunyai kekuatan yang lebih hebat berbanding agama lain. Semua ini berpunca gambaran yang cetek tentang Islam yang dianggap sebagai agama orang Melayu atau orang Arab. Lebih menyedihkan, agak kurang contoh-contoh positif yang pada golongan ini yang boleh mencerminkan sifat positif Islam yang sebenar. 

Justeru, dalam usaha untuk menarik mereka untuk memilih/memeluk Islam atau sekurang-kurang menghormati agama Islam, maka usaha-usaha hendak dilakukan bagi mencapai hasrat murni ini. Pendekatan dakwah terbahagi kepada 2 iaitu, dakwah secara langsung (direct) dan dakwah secara tidak langsung (indirect). Dakwah yang paling berkesan dan berbisa ialah dakwah secara tidak langsung atau indirect. Ini kerana ia tidak menampakkan sifat untuk mengIslamkan mereka, tetapi ia lebih menonjolkan kecantikan dan keindahan Islam atau dakwah bil hal. Dakwah ini yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang telah berjaya memikat hati bukan Islam pada pada ketika itu.

Dakwah hari ini perlu mengfokuskan kepada perkara yang dapat mengurangkan prejudis masyarakat Cina terhadap agama Islam yang suci, mempamerkan keindahan dan kecantikan Islam dan menarik perhatian bukan Islam untuk memeluk Islam 

Antara program-Program dan modus operandi adalah dakwah melalui penampilan imej. Imej dakwah yang dimaksudkan adalah imej bangunan pertubuhan dakwah. 

Imej bangunan dakwah di seluruh negara mesti mempunyai orientasi dakwah, apatah lagi badan Dakwah, institusi pengajian tinggi dan jabatan agama. Dinding Bangunan tersebut hendaklah ditulis dalam bentuk tulisan pelbagai bahasa agar dapat menarik perhatian pandang pertama. Bahasa Melayu hendaklah pertamanya didaulatkan.

Kata-kata yang perlu dituliskan ialah 
Welcome to Islam (Melayu, Mandarin, English, Tamil)
There is no Compulsion in Religion (Mandarin, Tamil, Melayu, Inggeris)
Tulisan ini hendaklah diletakkan didinding bangunan badan dakwah di mana ia boleh dilihat dengan jelas oleh pejalan kaki dan kenderaan yang lalu lalang di situ bagi memboleh mereka singgah berehat untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Bahagian dalam pejabat itu juga hendaklah turut menggantung poster-poster, seni khat dan tulisan-tulisan bangsa-bangsa lain yang lebih awal memeluk Islam (Cina dan India). 

Kedua, dakwah melalui penyelidikan. Dakwah melalui hasil-hasil penyelidikan adalah antara alat yang paling berkesan untuk meyakin masyarakat Cina terhadap Islam. Melalui penyelidikan atau seminar-seminar, ia dapat dapat menunjukkan keadaan sebenar sesuatu perkara itu. Apatah lagi sekiranya penyelidikan itu menyentuh soal pengaruh Islam di Nusantara termasuk Malaysia 600 tahun lalu. Misalnya menganjurkan Seminar/ Bengkel/ Dialog berkaitan Sumbangan Orang Cina terhadap Perkembangan Islam di Nusantara Antara tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah Islam di China: Sejarah dan perkembangan, sejarah kedatangan Islam ke Nusantara oleh Orang Cina, kupasan hadis/kata-kata sahabat "Tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina" dan sebagainya.

Ketiga. seminar Kefahaman Agama dan Budaya. Oleh kerana banyak kekeliruan yang timbul apabila seseorang itu memeluk Islam seperti istilah 'masuk Melayu', maka seminar ini hendaklah juga dianjurkan terutama sasarannya kepada ahli-ahli badan dakwah. Seminar ini bertujuan untuk mendedahkan bahawa saudara baru masih kekal dengan identitinya bangsa walaupun telah memeluk Islam selagi mana adapt budayanya tidak bercanggah dengan Islam. Identiti Saudara Baru dan Pengamalan Adat Budaya: 

Keempat, dialog antara agama (Interfaith Dialogue). Tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah Semua agama adalah sama? Persamaan dan Perbezaan, Perpaduan dari sudut agama-agama dan toleransi dari perspektif agama-agama

Kelima, dialog peradaban. Tajuk-tajuk yang boleh dibincangkan ialah konfucianisme/ Toisme/ Buddhisme/ Tsun Tzu/ Lao Tzu.

Keenam, dakwah melalui pameran Antara pameran-pameran yang boleh menarik perhatian orang Cina adalah, pameran Islam di China/ Sejarah Kedatangan Islam Melalui Tanah Arab dan India 

Dakwah melalui pameran bahan-bahan sejarah tentang perkembangan Islam amat berkesan untuk menarik perhatian orang ramai. Apatah lagi tentang perkembangan Islam di China yang telah menjangkau 1200 tahun yang lalu. Di Malaysia, kedatangan Islam lebih lewat berbanding negara lain yakni lebih kurang 600 tahun. Jika pameran Islam di China ini dapat diadakan di ruang legar sesuatu bangunan, pastinya ia akan dapat menarik minat dan perhatian para pengunjung Cina bukan Islam dan lain-lain kaum juga, terutama pejalan kaki dan sebagainya. Ia hendaklah dibuat secara professional dengan ada unsur-unsur kesenian dan budaya kaum. Pameran ini boleh juga dipelbagaikan dengan turut sama mengadakan Rawatan Akupuntur, pameran Herba-herba dari negeri China dan sebagainya. Selain itu juga, pameran ini juga turut melibat perkembangan atau kedatangan Islam melalui India, Arab dan sebagainya. Muzium Negara telah menganjurkan pameran sebegini dan sambutan amat menggalakkan.

Ketujuh, dakwah melalui makanan. Strategi dakwah melalui makanan amat berkesan dalam usaha untuk menarik minat orang bukan Islam mendekati Islam dan dapat mengurangkan prejudis mereka. Program 'halal food for all' atau makanan halal untuk semua hendaklah diberikan perhatian sewajarnya. Tujuan program halal ini ketengahkan ialah untuk menerangkan bahawa makanan halal ini adalah bersih dan suci, serta memberikan kefahaman bahawa makanan halal bukan sahaja untuk orang Islam tetapi untuk semua lapisan masyarakat. 

Kelapan, dakwah melalui bahasa. Satu jabatan khas bahasa asing hendaklah diwujudkan dalam sesebuah badan dakwah. Badan ini akan bertindak untuk menterjemah dan menganalisis isu-isu berkaitan Islam. Akhbar-akhbar Cina/tamil hendaklah dilanggan setiap hari. Isu-isu berkaitan Islam yang dimuatkan dalam akhbar tersebut hendaklah dikaji. Sekiranya ada kekeliruan, maka ia boleh dihantar kepada akhbar terbabit untuk tujuan penerangan Islam dari kaca mata yang benar.

Contoh-Contoh isu-isu yang boleh dibincangkan ialah isu-isu yang timbulkan kekeliruan seperti perceraian melalui SMS, 11 September, poligami dan sebagainya. Jabatan ini juga boleh bertindak menterjemahkan segala artikel berkaitan Islam dalam pelbagai bahasa dan menganalisis tulisan-tulisan yang mengelirukan. Badan ini juga akan bertemu dengan pelanggan-pelanggan yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk menerangkan Islam kepada mereka. 

Kesembilan, dakwah melalui media cetak, media elektronik, internet. Media Cetak – Akhbar/ Majalah. Sasarannya adalah akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Tamil. Berdasarkan pengalaman, akhbar ini bersedia untuk menerima artikel-artikel yang ringan berkaitan Islam untuk disiarkan dalam akhbar mereka seperti Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh, China Press dan lain-lain. Pertubuhan Dakwah boleh menggunakan tenaga pelajar-pelajar Islam dari negeri Cina yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa bagi memenuhi tuntutan ini. 

Kesepuluh, mencetak al-Quran versi Mandarin, Tamil dan lain-lain bahasa. Seperti yang kita maklum, al-Quran versi Inggeris dan Melayu telah banyak di pasaran. Kita masih kekurangan versi mandarin dan tamil. Sudah sampai masanya, al-Quran terjemahan dalam bahasa bangsa-bangsa di negara kita diperbanyakkan. Ini termasuk juga mencetak risalah-risalah Islam yang pendek (ringan) untuk diedarkan dikaunter-kaunter awam seperti supermarket, majlis perbandaran, PBT dan sebagainya. Antara tajuk-tajuk artikel yang sesuai diterbitkan dalam bahasa-bahasa lain adalah What is Islam, Islam di China, Islam our Choice, dan lain-lain. Di samping itu, kita boleh juga mencetak Sticker kenderaan versi pelbagai bahasa. Dakwah melalui sticker kereta juga boleh dilakukan untuk menyampaikan sesuatu mesej atau maklumat. Ayat-ayat al-Quran yang pendek dan bersesuaian boleh dicetakkan seperti tidak ada paksaan dalam agama, surah al-Baqarah. 

Kesebelas, dakwah melalui media elektronik. Satu perbincangan khas hendaklah dibuat dengan stesen-stesen TV dan radio di negara kita untuk mendapatkan beberapa slot khas misalnya, TV1,TV2, TV3, NTV7, TV8 dan TV9. Isu-isu yang boleh dibincangkan berkaitan isu-isu agama Islam yang disalahfahamkan dan isu-isu semasa kontroversi yang memerlukan penerangan dari perspektif Islam. Stesen-stesen tv ini janganlah terlalu bersifat komersial, terutama stesen tv swasta. Sudah sampai masanya kita berfikir untuk memanfaat alat ini demi kepentingan masa depan agama dan dakwah.

Keduabelas, kita sedia maklum bahawa setiap pertubuhan Dakwah telah mempunyai laman Web sendiri. Laman Web ini perlu diperkemas dan dipelbagai terutama dari sudut bahasa. Pelbagai bahasa-bahasa hendaklah turut dimasukkan ke dalam laman web. 

Ketiga belas, dakwah melalui sambutan perayaan yang tidak bertentangan dengan Islam. Dakwah ini juga dikira amat strategik dan berkesan. Antara perayaan besar negara yang perlu disambut oleh jabatan agama dan pertubuhan dakwah dengan melibatkan jemputan pelbagai kaum ialah sambutan bulan puasa, hari raya puasa, hari raya Quran, tahun baru Cina, pesta tanglung (Moon Cake Festival), dan sebagainya. Acara-acara yang boleh diselitkan adalah jamuan makan melibat jemputan parti politik dan NGO-NGO bukan Islam. Aturcara jamuan tersebut boleh diselitkan program kefahaman Islam, forum antara budaya dan persembahan lagu-lagu memuji tuhan dalam pelbagai bahasa dan sebagainya.

Keempatbelas, dakwah melalui kerja-kerja sukarela sepeti gotong royong, rukun tetangga. Badan dakwah hendaklah bergerak aktif dalam menyertai kerja-kerja amal dan gotong royong. Secara tidak langsung kita dapat mempamerkan Islam amat menggalakkan kerja-kerja amal dan sukarela. Begitu kempen-kempen (kempen anti-denggi, kempen anti dadah dll) yang dianjurkan oleh badan amal/politik bukan Islam. Melalui pengalaman, penyertaan dalam aktiviti kempen ini amat berkesan untuk mempamerkan keindahan Islam secara indirect.

Kelimabelas, dakwah melalui lawatan. Misalnya, menerima lawatan orang bukan Islam ke tempat-tempat penting dan bersejarah Islam. Misalnya, masjid negara, masjid Wilayah dan masjid Negeri Selangor sentiasa menjadi tumpuan pelawat-pelawat dari dalam dan luar Negara. Peluang ini hendaklah digunakan untuk menyampaikan Islam secara tidak langsung kepada mereka. Selain daripada lawatan, badan dakwah dan pejabat agama boleh ambil kesempatan ini untuk menerangkan kepada mereka berkaitan isu salah tanggap terhadap agama Islam dan fungsi masjid dalam Islam. Elok juga ditubuhkan unit khas di tempat-tempat bagi tujuan menerangkan Islam secara lebih berkesan melalui pelbagai bahasa yang mudah difahami 

Keenambelas, dakwah lawatan keluar. Program lawatan keluar tidak kurang pentingnya dalam dakwah. Inilah juga yang telah dilakukan oleh missionari Kristian. Justeru, lawatan-lawatan keluar perlu diperhebatkan terutama menjelang musim perayaan. Contohnya, lawatan ke rumah orang tua, hospital, Pusat Serenti, penjara dan tidak ketinggalan ziarah keluarga tidak Islam saudara-saudara baru. Lawatan juga perlu dibuat terhadap individu-individu tertentu seperti anak Tun HS Lee yang telah memeluk Islam dan dipenjarakan selama 8 tahun atas kesalahan tertentu. Begitu juga lawatan sambil belajar ke pejabat pertubuhan bukan Islam seperti Persatuan Cina atau India Malaysia, dan NGO-NGO mereka yang lain.

Ketujuh belas, dakwah Melalui Misi Bantuan Kemanusiaan (mangsa perang, mangsa banjir, kebakaran, kemiskinan dan lain-lain). Badan dakwah sepatutnya mendahului NGO-NGO yang lain dalam soal misi bantuan kemanusiaan. Inilah dakwah-bil-hal yang paling berkesan dan mudah untuk dilakukan untuk ditunjukkan kepada masyarakat bukan Islam dan antarabangsa. Misalnya, misi bantuan kemanusiaan mangsa perang Iraq, Afghanistan, mangsa kebakaran, mangsa banjir, tsunami dan sebagainya. Bantuan ini hendaklah menjangkaui agama dan bangsa, tidak kira dunia Islam atau tidak. Bantuan-bantuan yang boleh diberikan adalah berupa khidmat sukarela, wang tunai, pakaian terpakai, dan sebagainya.

Saya mencadangkan setiap pertubuhan dakwah dan jabatan agama menubuhkan sebuah pasukan khas hendaklah ditubuhkan dalam menangani dan bertindak terhadap isu-isu ini. Badan dakwah dan pertubuhan agama mungkin juga boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada. Paling baik, badan dakwah mempunyai identiti sendiri untuk memudahkan proses dakwah. Bila ada sesuatu bencana berlaku, maka badan dakwah yang paling terkehadapan. Sudah tentu kerja-kerja ini akan mendapat publisiti dalam akhbar-akhbar tempatan termasuk akhbar pelbagai bahasa. Perbincangan boleh dibuat dengan badan-badan yang berpengalaman seperti MERCY MALAYSIA iaitu bagaimana menonjolkan badan-badan dakwah ini dalam misi bantuan kemanusiaan.

Kelapan belas, dakwah melalui penubuhan pusat kebudayaan seperti Masjid Cina Muslim (Chinese Muslim Cultural Centre). Idea penubuhan masjid Cina Muslim Malaysia telah disuarakan sekian lama, malangnya masih lagi tidak menjadi realiti. Pusat ini bertujuan bagi menarik masyarakat bukan Islam mendekati Islam secara indirect. Ia juga dapat menangkis tanggapan yang menyatakan Islam agama orang Melayu atau orang Arab. Tidak ada nas atau hujah kuat yang mengatakan bahawa membina masjid mesti berkubah. Adakah salah membina masjid menggunakan reka bentuk bangsa lain? Ini perlu difikirkan dengan serius.

Kesembilan belas, dakwah melalui seni atau hiburan. Lagu-lagu nasyid atau yang Islamik elok juga dinyanyikan dalam versi pelbagai bahasa. Misalnya, langkah kumpulan Raihan menghasil satu lagu berbahasa mandarin bertajuk 'Ching Ai' yang sering berkumandang di corong radio dan televisyen. Lagu ini adalah ciptaan seseorang yang masih belum Islam. Lagu ini sesuai untuk dimain dimajlis-majlis makan malam, aktiviti aktiviti badan dakwah yang melibatkan bukan Islam.

Dakwah melalui lagu ini boleh diperhebatkan dengan cara badan dakwah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan nasyid tertentu atau penyanyi bukan Islam untuk mereka merakamkan beberapa lagu versi mandarin yang membawa makna dan imej yang baik. Lagu-lagu ini boleh disiarkan sebagai video klip di stesen-stesen TV seluruh Negara dan juga stesen-stesen radio mandarin. Peluang-peluang ini juga boleh digunakan untuk menerangkan konsep hiburan dari perspektif Islam. Contoh, pentingnya lelaki dan perempuan dipisahkan ketika mengikuti sesuatu konsert atau program hiburan 

Akhirnya, dakwah melalui jemputan ceramah. Badan dakwah seharusnya mempunyai 'think tank group' yang boleh diketengahkan bila diperlukan terutama apabila menerima jemputan daripada organisasi luar berkaitan isu-isu yang memerlukan penjelasan mengenai Islam. Think tank ini akan bertanggungjawab untuk melakukan penyelidikan dan berbincang mengenai isu-isu dakwah dan isu semasa yang menguntungkan Islam. 

Ahli-ahli badan dakwah mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, hendaklah digembelingkan kekuatan mereka demi kepentingan dakwah di negara kita. Melalui pengalaman, saya telah beberapa kali dijemput oleh pertubuhan-pertubuhan bukan Islam , untuk memberikan ceramah kefahaman Islam kepada mereka. Hasilnya amat membanggakan. Secara tidak langsung, dakwah dapat disampaikan kepada mereka secara berhikmah dan mereka dapat menerimanya. 

Saya percaya jika cadangan ini dapat diberikan perhatian yang serius, saya yakin dakwah Islamiyah akan berkembang tanpa mengorbankan prinsip dan jati diri kita sebagai orang Islam. Walaupun, program yang dikemukakan ini kelihatan banyak, tetapi ia boleh dilakukan sedikit demi sedikit mengikut keutamaan.

Perlu diingatkan bahawa apabila strategi ini dilaksanakan bukan bermakna kita akan dapat lihat hasilnya secara mendadak. Apa yang lebih utama bukanlah bilangan pengIslaman yang kita harapkan, tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk mengikis salah tanggap terhadap Islam. Kita yakin jika salah tanggap dan prejudis ini dapat dikurangkan maka akan bertambah ramailah kuantiti dan kualiti yang akan memeluk Islam

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

AGENDA TERSIRAT DAP ?

Posted: 27 Aug 2012 05:31 PM PDT


Bahaya ultra kiasu kepada Islam


Selamat Hari Raya Eidul Fitri Maaf Zahir Batin. Artikel khas untuk blog. Sinar Harian tidak terbit hari ini.

Lanjutan artikel saya bertajuk "bersatu tegakkan hukum Allah", saya begitu teruja dengan kenyataan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang menyertai PAS Mei lalu,bahawa persefahaman PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat mencetuskan suasana politik lebih sihat, berbanding sebelum mereka bersama dalam gabungan itu, diibaratkan oleh beliau seperti anjing dengan kucing. Saya tidak pasti siapakah anjing, siapakah kucing? Sudah tentukan anjing (haram) itu ultra kiasu dan kucing (halal) itu PAS. Jika begitulah pengibaratan, maka biasanya yang akan menang dalam pertarungan adalah anjing (ultra kiasu). Selama inipun ultra kiasu sahaja yang menang ekoran perpecahan Melayu yang tidak berkesudahan.

Apakah benar dakwaan beliau bahawa tidak ada syak wasangka dalam Pakatan Rakyat? Buatlah kajian secara akademik, sekadar berasaskan pengalaman menyiasat sahaja tidak mencukupi rasanya. Jika ultra kiasu sudah lembut dengan Islam, sudah tentu pendirian mereka terhadap Islam berubah. Ini tidak, semakin lama semakin kuat mereka menentang Islam. Bukan itu sahaja, mereka semakin berani mencabar kedaulatan agama Islam. Jika dahulu angkat kepala pun tidak berani. Hari ini disebabkan oleh perpecahan Melayu, usahkan angkat kepala, dengan kepala-kepala kita dipijaknya.

Persoalan yang ditimbulkan kenapa ultra kiasu boleh menerima Kanun Keseksanan tetapi tidak hudud? Jawapannya, disebabkan oleh sikap anti Islam. Ultra kiasu tidak langsung mahu menerima apa jua agenda Islam. Ultra kiasu bukan tidak tahu bahawa hudud ini tidak ada kaitan langsung dengan mereka. Hudud ini adalah untuk orang Islam SAHAJA, sama seperti kewujudan mahkamah syariah. Kenapa mereka begitu kuat menentang? Mereka tidak mahu ada apa-apa konotasi yang boleh dikaitkan dengan Islam, kerana akan menjadi precedence dan kekal selamanya. Beginilah jahatnya ultra kiasu dalam perancangan mereka.

Cubalah belajar daripada sejarah, jangankan hudud, sejak dahulu lagi ultra kiasu tidak pernah mengiktiraf kewujudan mahkamah syariah. Sebab itu apa jua perkara berkaitan dengan umat Islam, mereka sedaya upaya untuk elakkan perbicaraan dilakukan di mahkamah syariah. Kenapa? Fikirkanlah sendiri.

Soal aliran lama dan aliran baharu dalam ultra kiasu ini tidak banyak beza. Cubalah tanya ketua pemuda dan pimpinan muda ultra kiasu yang menjadi exco kerajaan negeri Selangor, adakah mereka bersetuju dengan hudud? Sekadar makluman, kepada bekas polis tersebut, kebanyakan pimpinan baharu ultra kiasu dikuasai oleh mereka yang beragama Kristian. Sikap mereka terhadap Islam begitu jelas. Sebab itulah mereka berjaya mendirikan begitu besar gereja-gereja untuk menggelamkan mercu tanda Islam.  

PAS akan selama-lamanya tidak akan dapat melaksanakan hudud selagi berkawan dengan ultra kiasu yang anti Islam ini. Mereka terpaksa berkawan dengan PAS kerana tidak ada pilihan untuk mendapat kuasa. Sama juga perkawanan PAS dengan ultra kiasu. Real politik membuktikan, untuk menang dalam pilihan raya, parti-parti Melayu (Islam) mesti berkawan dengan bukan Islam. Persoalannya, adakah bukan Islam ini boleh dipercayai atau tidak, lebih-lebih ultra kiasu?

Saya mungkin tidak dapat bersetuju jika hanya melabelkan ultra kiasu itu DAP sahaja. Ultra kiasu ini berada di mana-mana, termasuk dalam komponen Barisan Nasional. Selagi sistem pendidikan kita, beginilah coraknya, bersifat perkauman. Selagi itulah kita akan terus melahirkan lebih ramai lagi ultra kiasu, sama dalam DAP atau parti di luar DAP.

Seterusnya, kenapa hudud begitu ditentang, berbanding dengan amalan hubungan seks songsang LGBT? Ultra kiasu langsung tidak menentang LGBT, tetapi menjadi jaguh dan menggalakkan LGBT. Kenapa? Mereka mahukan umat Islam rosak. Apabila umat Islam ramai yang rosak, umat Islam secara otomatik akan menentang hudud suatu masa nanti. Strateginya sekarang, 'cairkan' kehidupan cara hidup Islam daripada umat Islam. Jangan biarkan ada sedikitpun umat Islam mendapatkan cara hidup mereka sendiri.

Untuk makluman bekas polis ini juga, ultra kiasu (dan sekutunya) yang menentang hudud ini adalah keturunan berserban, agama Sikh. Jika kita mengkaji perbandingan antara agama, agama Sikh yang berusia 600 tahun mempunyai beberapa persamaan dengan agama Islam, sebab pengasasnya Guru Nanak, bermajikankan orang Islam. Cara hidup Sikh amat ketat, misalnya orang lelaki mesti berserban, tidak boleh bercukur dan sebagainya.  

Sepatutnya beliau menggalakkan jika ada manusia yang mahu kembali dan beramal dengan agamanya. Logiknya, tidak ada nilai agama yang benar, yang mahu merosakkan pengikutnya. Ini tidak, agama lain boleh diamalkan dengan sebebas-bebas dan hak mereka mesti diberikan. Jika tidak diberikan, maka bertempiklah mereka kepada dunia bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan beragama dan tidak menjaga hak asasi manusia.

Tetapi bila tiba kepada agama Islam, jawapannya, ini tidak boleh, itu tidak boleh. Mereka bersepakatan menentang Islam. Mereka mahu kita kembali kepada zaman British, menjadi Islam hanya relevan di masjid surau, pondok-pondok dan sebagainya. Dalam konteks cara hidup, mereka akan tentang. Lebih-lebih lagi undang-undang Islam.  

Kenapa sistem demokrasi mutlak mudah diterima tanpa banyak soal, walaupun kehancuran hasil sistem demokrasi itu berlaku di depan mata. Menurut sahabat saya Faiz Na'man (2012), sistem demokrasi mutlak (bebas) yang tercipta oleh bangsa Yunani, yang merupakan tamadun penyembah berhala adalah satu sistem yang mengetengahkan apa yang dikehendaki oleh manusia itu sendiri, bukannya apa yang telah digariskan oleh Pencipta manusia itu. Bacalah sama buku Arno Froese (2008), bertajuk How Democracy Will Elect The Antichrist.

Tambah Faiz (2012) lagi, sepanjang sejarah peradaban manusia, dunia telah melalui pelbagai sistem atau ideologi pemerintahan untuk memenuhi kehendak nafsu manusia mentadbir bumi ini. Dari ideologi autokrasi, monarki, dinasti, teokrasi, komunisme, fasisme, hinggalah kepada demokrasi. Mana yang wujud dahulu tidak terlalu penting untuk dibicarakan, tetapi kesan serta hala tuju sesuatu sistem pemerintahan itu yang patut diberi perhatian. Seiringan dengan era penjajahan, Nusantara juga telah mengalami beberapa "revolusi" dalam ideologi yang diguna-pakai untuk menjalankan pemerintahan manusia. Rumpun Melayu pada asalnya adalah serasi dengan sistem monarki (yakni beraja) yang telah menjadi fitrah zaman berzaman nenek moyang kita, sejak wujudnya Empayar Srivijaya hingga ke Empayar Melayu Melaka. Begitu lamanya Rumpun Melayu hidup bersistem dan beradat yang dinaungi oleh sistem monarki ini tadi sambil diperkuatkan lagi dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara.

Kedatangan Islam ternyata telah merubah kehidupan orang Melayu. Ketika itu orang Melayu masih belum diganggu-gugat dengan kehadiran para pendatang asing yang menetap di situ. Orang Melayu bebas untuk menentukan cara hidup mereka. Orang Melayu mendapat hak mereka dan cara hidup mereka. Maka tertegakkan kerajaan Islam Melaka, termasuk perlaksanaan hukumnya. Malangnya, keadaan mula berubah apabila Melayu lupa diri. Persengketaan sesama mereka telah menyebabkan mereka dijajah.

Hari ini umat Islam mahu kembali semula kepada cara hidup mereka ketika zaman mereka sebelum dijajah? Kenapa tidak boleh? Bukankah ini tanah mereka sendiri? Tidakkah penduduk asal berhak untuk menentukan cara hidup mereka berbanding dengan orang lain? Tidakkah juga semua bangsa yang bertuankan tanah tumpah mereka berjaya melaksanakan cara hidup dan sistem mereka sendiri?

Saya petik lagi kata-kata Faiz (2012), adakah kafir Barat redha dengan sistem kenegaraan yang Malaysia guna hari ini? Jawapannya tidak sepenuhnya. Sejak dari merdeka lagi, kafir Barat terutama dari Britain dan Amerika cuba memperkotak-katikkan kepimpinan Melayu-Islam kita dengan pelbagai alasan, mereka suka jika Malaysia menjadi kucar-kacir akibat diperintah oleh pemimpin yang lemah dan korup, agar akhirnya umat Melayu-Islam melutut kembali kepada cara hidup sekular. Jika mereka tidak dapat melemahkan kerajaan Malaysia hari ini secara luaran, mereka akan cuba melemahkannya dari dalam, iaitu melalui minda dan corak pemikiran para pemimpin politik kita sendiri. Mereka susupkan agenda halus mereka atas nama Hak Asasi Manusia. Mereka mahu Malaysia menjadi sebuah Republik Demokrasi Liberal (Bebas) seperti Indonesia. Tujuan akhir mereka ialah tidak lain dan tidak bukan, untuk melahirkan masyarakat "rojak" yang hilang identiti serta jati diri kerana menganut kebebasan mutlak. Rumpun Melayu akhirnya akan tinggal sebagai bahan sejarah, akidah Islam akhirnya lupus dari ingatan dan panduan warganya. Realitinya, tanpa kuasa politik, Melayu-Islam itu adalah paria di negara sendiri.

Inilah hakikat yang dinukilkan oleh Faiz yang sedang dirancang oleh ultra kiasu dengan bantuan barat. Justeru, berhati-hatilah, mudah-mudahan kita tidak merana di bumi sendiri.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Jabatan
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

NAK TAHU APAKAH RAHSIA PAS DAN DAP?

Posted: 27 Aug 2012 05:19 PM PDT


PAS masih degil untuk bertahan dengan DAP walaupun DAP khususnya Karpal Singh menghina Pas mengenai negara Islam dan hukuman hudud. Kalau isunya adalah prinsip dan kebenaran sudah lama sepatutnya Pas keluar dari pakatan pembangkang.

Tetapi Pas lebih mementingkan kerusi dan kuasa menyebabkan penghinaan itu boleh diserap dalam strategi tahhaluf siasinya.

DAP tidak ada pilihan lain. Dari segi strategi politik ia perlukan sokongan pengundi Cina. Menyokong negara Islam dan hudud Pas adalah bencana bagi DAP.

Dengan ghairahnya Pas bersama DAP walaupun dihina dan ditempelak kerana tanpa undi Cina, Pas tidak boleh memenangi banyak kerusi.

Bagi DAP dengan Pas bersama pakatan, undi orang Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh pecah. Dengan bantuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mereka harap mengambil alih kuasa.

Kalaulah mereka menang, hatta dengan majoriti mudah (minta dijauhkan Tuhan) akan timbul isu-isu dasar dalam pemerintahan. Pemimpin Pas terutamanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kata perjuangan negara Islam dan hudud akan diteruskan.

Bagaimana ia hendak diteruskan sekiranya meneruskan hasrat itu terpaksa melangkah mayat Karpal Singh dulu.

Dalam bahasa mudah selagi Karpal Singh hidup tidak mungkin usaha Pas boleh berjaya. Pas hanya berangan-angan.

Buku Jingga sebagai manifesto pakatan pembangkang tidak langsung menyatakan negara Islam atau pun hudud. Kalau begitu manifesto apa yang ingin dicanangkan oleh Pas untuk memenangi kerusi majoriti?

Negara Berkebajikan belum tentu mendukung negara Islam. Lagi pun Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah memaklumkan dalam Muktamar Pas, negara Islam tidak ada dalam al-Quran. Kalau begitu setelah sekian lama Pas memperjuangkan negara Islam dari sumber mana?

Pas dan PKR menginginkan Putrajaya. DAP nampaknya tidak seghairah itu. DAP punya strategi sendiri. Kekalkan Pulau Pinang, dapatkan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan memadai untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti kuasai Sabah dan Sarawak. Lengkaplah strategi untuk menguasai Malaysia. DAP dengan sokongan pihak-pihak lain tentu mampu untuk mentadbir.

Negeri-negeri yang disebutkan tadi adalah negeri yang mempunyai sumber ekonomi yang tinggi. Dengan upaya penglibatan pendukung-pendukung DAP dalam bisnes, binaan rumah kediaman, peluasan industri, memajukan pelancongan ekuiti atau pegangan mereka akan terus meningkat. Ia bakal meninggalkan Pas dan PKR terkulat-kulat memerhati.

Hendak keluar dari Pakatan, Pas malu. Dengan krisis imej dalam PKR antara kem Wan Azizah dengan kem Azmin Ali dan kes Anwar Ibrahim mengenai liwat belum selesai lagi, ia meletakkan DAP lebih dominan.

Pemimpin Pas sekian lama tahu integriti Anwar. Tak mungkin lujnah penyelidikan Pas tidak melakukan apa-apa kajian. Tetapi mengapa harapkan dia jadi Perdana Menteri Malaysia. Karpal Singh juga dalam Parlimen pernah menyebut Anwar ialah 'peliwat' tetapi mengapa DAP juga mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Inilah kong-kalikung politik yang penuh muslihat, mementingkan kerusi dan kuasa lebih daripada kebenaran dan integriti.

Bagi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bergantung kepada kes Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Untuk Pas mencadangkan Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri kalau terjadi apa-apa pada Anwar tentu DAP tidak akan membiarkan.

Apakah ini petanda impian Karpal Singh untuk menjadikan pemimpin DAP sebagai Perdana Menteri akan terkabul.

Maka, pilihan yang ada bagi Pas adalah bekerjasama dengan UMNO untuk menguatkan kembali barisan umat Melayu. Pas semacam berkerat rotan berpatah arang dengan UMNO. Mahukah ludah dijilat kembali.
Kalau begitu bagaimana mencari kecerdikan bagi umat Melayu lantaran kemungkinannya nanti adalah menang sorak kampung tergadai.

Penulis yakin dengan analisis yang diberi BN boleh memenangi pilihan raya umum nanti. Malah, kalau strategi memenangi kerusi dibuat dengan bijak dan bersungguh-sungguh dengan menampilkan calon boleh menang yang berwibawa dan calon yang telah menang dan berjasa, penulis amat yakin bahawa pembangkang bakal tersungkur.

Kecuali Pas mengubah pendirian untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan umat Melayu. Ia tidak mustahil sekiranya orang Pas berjiwa besar kembali dan mampu membaca senario politik yang ada.

Jangan jadikan rasa dendam kesumat dan kebencian sebagai penghalang terhadap kerjasama ini. Isu-isu UMNO memperjuangkan Melayu dikatakan asabiah kaumiyyah, isu faham kebangsaan sebagai rasis, isu UMNO tolak Islam adalah retorik politik emosional tanpa asas ilmiah dan kontang pemahaman tentang sejarah dan budaya bangsa Melayu.

Sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan. Masanya masih belum terlewat.

MELAKA DAN JOHOR TARIKH BUBAR DUN LEBIH AWAL?

Posted: 27 Aug 2012 05:16 PM PDT


Mungkin tiada lagi 'kerajaan sementara'?

DARIPADA semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini, cuma Melaka dan Johor yang tarikh bubar DUNnya lebih awal dari jangka hayat mandat kerajaan sedia ada memerintah berakhir berkuat kuasa 28 April 2013. Tarikh pembubaran DUN kedua-duanya ialah pada 21 April tahun depan.

Yang lain pula melibatkan Selangor ialah pada 22 April 2013, Perak (25 April), Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan (28 April), Pulau Pinang (2 Mei), Kedah dan Sabah (5 Mei), Terengganu (7 Mei) dan Pahang pada 20 Mei. Sarawak pula sidang DUNnya bermula 22 Jun tahun lepas.

Ketika sebahagian besar rakyat negara ini, yang majoritinya pastinya mahu kerajaan melengkapkan tempoh mandat penuh memerintah lima tahun dalam menjayakan agenda transformasinya, ia tentunya akan mencatat satu sejarah kali pertama ia dilakukan bukan dalam 'tempoh edah'. Dan tentunya juga kita tertanya-tanya bagaimana dengan kedudukan Melaka dan Johor dalam keadaan 'mandat memerintah kerajaan negeri berkenaan sudah berakhir'.

Atau yang kita panggil elemen kerajaan sementara (caretaker government).

Isu 'sah atau tidak' kerajaan sementara ini pernah dibangkitkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum PRU Ke-12 yang kemudian memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan agar kerajaan sementara mengambil alih kerajaan dalam tempoh antara tarikh pembubaran Parlimen sehingga penubuhan Kabinet baru selepas pilihan raya.

Kit Siang turut menuntut perisytiharan bahawa dalam tempoh tersebut, kerajaan sementara itu hanya melaksanakan pentadbiran harian kerajaan tanpa apa-apa kuasa berhubung dasar kebangsaan, peruntukan kewangan awam atau penggunaan kemudahan-kemudahan awam semasa kempen pilihan raya umum nanti.

Dan menjelang PRU-13 ini, isu kerajaan sementara ini dibangkitkan lagi antara dalam 22 syor untuk dikaji oleh Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihan Raya. Jawapan SPR kepada isu ini ialah badan ini akan membuat kajian berhubung langkah untuk menyediakan garis panduan dan kod etika (code of conduct) yang perlu dikenakan terhadap kerajaan sementara semasa tempoh selepas pembubaran Parlimen sehingga kepada selesainya urusan pengundian.

Perkara ini, tegas SPR, perlu bagi menjamin wujudnya keadaan pertandingan yang adil atas landasan yang sama rata dalam kalangan semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, isu kerajaan sementara ini bukan baru. Pada 1970-an, sifat dan elemen kerajaan sementara ini dipersoalkan oleh satu pihak di mahkamah. Ketika itu, tindakan menteri berkenaan, Tengku Razaleigh Hamzah dipersoalkan kerana mengumumkan satu bantuan untuk rakyat semasa Parlimen telah dibubarkan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Keputusan mahkamah bagaimanapun akhirnya memutuskan bahawa kerajaan sementara masih berhak memberikan bantuan kepada rakyat semasa tempoh Parlimen bubar asalkan ia tidak melibatkan kepentingan peribadi calon pilihan raya.

Dengan ini juga bermakna semua menteri dan timbalan menteri semasa tempoh kerajaan sementara masih boleh menggunakan peruntukan untuk rakyat.

Antaranya seperti memberi bantuan kewangan untuk membaiki jambatan usang, baik pulih sekolah daif dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir. Cuma asalkan jangan dikaitkan dengan 'undilah saya'.
Fungsi kerajaan sementara berlaku selepas Parlimen dibubarkan yang urusan itu ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong serta diuruskan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Maka, apa yang wujud dalam struktur kerajaan ialah kerajaan sementara yang semata-mata mentadbir negara mengikut lunas-lunas Perlembagaan. Namun ia bukan bermakna kerajaan sebelumnya tidak berkuasa. Cuma, yang lupus hanyalah amalan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Juga hak lupus yang kerajaan sebelumnya tidak boleh laksanakan ialah meluluskan peruntukan undang-undang dan dasar baru menerusi kuasa Parlimen. Peruntukan undang-undang menerusi Parlimen baru tidak boleh dibuat. Namun begitu, kuasa-kuasa di bawah semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen sebelum bubar boleh dilaksanakan terus oleh kerajaan sementara.

Satu lagi aspek kerajaan sementara ialah ia membawa pengertian mengambil alih kerja-kerja pentadbiran. Ia selaras dengan amalan berkerajaan dunia dan Komanwel semasa Parlimen dibubarkan sehingga Dewan Parlimen baru diwujudkan semula, maka kerajaan sementara itu hendaklah secara berhati-hati menjalankan tugasnya. Ini bermakna secara minimum kerajaan sementara menyudahkan sahaja kerja-kerja pentadbiran yang dilaksanakan.

Namun, sekiranya muncul sebarang peristiwa yang memerlukan tindakan tegas misalnya yang menghendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang, maka perkara itu masih boleh diteruskan oleh kerajaan sementara. Ia bukan bermakna kuasa itu dihentikan.

Hakikatnya dalam semua amalan Komanwel yang berasaskan undang-undang Common Law dan amalan berkerajaan berparlimen dunia, Malaysia sebenarnya telah lama menghormati amalan itu sejak merdeka.
Dalam aspek ini jika Perdana Menteri berdepan dengan sesuatu darurat, beliau sebenarnya masih boleh menggunakan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong sewajarnya serta melaksanakan apa juga tugas sedia ada di bawah undang-undang.

Antaranya, Perdana Menteri masih boleh memberi arahan sedia ada, cuma untuk memperkenalkan undang-undang yang memerlukan kelulusan Parlimen sahaja tidak boleh.

Apa pun, Perlembagaan Malaysia tidak memperuntukkan kewujudan sifat kerajaan sementara. Ini kerana ia merupakan satu Konvensyen Berparlimen yang telah menjadi amalan dan adat negara-negara di dunia.
Masih boleh pihak tertentu mempertikaikan kewujudan kerajaan sementara ini, namun konvensyen berkerajaan dunia ini menjadi terasnya (untuk dikekalkan).

Dalam hal ini, umum tentunya masih mengingati pertikaian mengenai sifat kerajaan sementara ini yang pernah menarik perhatian ramai pada persidangan Dewan Rakyat 1999 selepas Barisan Nasional (BN) meraih semula majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum 29 November tahun tersebut.

Ini berlaku setelah Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan notis memanggil mesyuarat pada 13 Disember tahun itu iaitu dua hari sebelum Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) membentuk Kabinet.

Semasa itu, kesemua 43 ahli Parlimen pembangkang yang hadir bertindak keluar dari Dewan Rakyat sebagai membantah notis mesyuarat tersebut kerana mendakwa ia dikeluarkan secara tidak sah kerana ketika itu Kabinet baru belum dibentuk.

Namun, beberapa pengamal undang-undang berpendapat keputusan kerajaan memanggil persidangan Dewan Rakyat sebelum pembentukan Kabinet itu tidak melanggar aturan urusan mesyuarat atau mencabuli Perlembagaan negara.

Tindakan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan notis memanggil mesyuarat Parlimen, menurut mereka adalah perkara biasa, yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri mewujudkan sebuah kerajaan sementara.

Penulis undang-undang, Salleh Buang semasa memberikan komennya ketika itu berkata, lazimnya bagi sebuah negara demokrasi, Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat nasihat daripada pengerusi Kabinet atau menteri Kabinet sebelum mengeluarkan notis memanggil sidang Parlimen.

Beliau menekankan, fakta kewujudan kerajaan sementara tidak boleh diabaikan begitu sahaja seolah-olah tidak ada kerajaan langsung dari tempoh pembubaran Parlimen sehingga Kabinet baru ditubuhkan.

Sebagai perbandingan, Salleh menarik perhatian kes yang berlaku di India apabila kerajaan sementara di New Delhi berjalan selama enam bulan.

Jadi dalam kes Malaysia, keadaannya adalah lebih bagus kerana tempoh kerajaan sementara adalah singkat sahaja. Konsep kerajaan sementara ini secara umumnya dipraktikkan di semua negara Komanwel dan Amerika Syarikat.

Jika kerajaan yang memerintah sekarang merancang mahu melengkapkan tempoh mandat lima tahun memerintah, dengan PRU-13 dilangsungkan pada April tahun depan, bermakna tiada isu lagi 'kerajaan sementara'.

Tiada ulasan:

Pengikut