Rabu, 20 April 2011

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Politik rasis boleh lenyapkan status-quo Melayu pada PRU ke-13 – Syed Ali

Posted: 19 Apr 2011 08:27 PM PDT

DATUK Syed Ali Alhabshee melahirkan rasa bimbang politik rasis yang disemarakkan oleh pihak pembangkang jika tidak ditangani sebaik mungkin dikhuatiri akan menjejaskan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Beliau berkata, politik perkauman dan sikap hipokrit bukan Melayu yang bersandarkan kepada kepentingan politik sejak akhir-akhir ini dilihat semakin aggresif menghasut rakyat supaya membenci kerajaan BN.

"Inilah trend politik yang sudah berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini dengan DAP menjuarai kepentingan kaum Cina walaupun pada hakikatnya BN menang cemerlang," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Dewan Tertinggi BN dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO memberi perhatian serius mengenai peningkatan sokongan pengundi Cina dan bukan Melayu terhadap parti pembangkang terutama DAP yang bersekongkol dengan PKR.

"Secara ikhlas, saya nyatakan bahawa komponen BN yang mewakili masyarakat Cina khususnya harus bertanggungjawab, jujur dan mencari sebab-musabab mengapa fenomena seperti itu boleh berlaku," ujarnya.

Beliau sekali lagi mempersoalkan apakah selama ini perhatian dan sokongan kerajaan BN terhadap kepentingan masyarakat Cina di negara ini masih lagi belum mencukupi sehingga mereka tergamak menjadi 'duri dalam daging' kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu melahirkan rasa bimbang kemungkinan staus-quo orang Melayu akan terhakis pada PRU akan datang dengan berkemungkinan besar calon-calon UMNO tewas walaupun bertanding di kawasan yang asalnya milik BN.

Katanya, hakikat tersebut bukan rekaan untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak tetapi berdasarkan kepada aliran politik masa kini yang turut membabitkan generasi muda, ianya boleh berlaku.

"Kita selalu bercakap soal kekuatan dan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO, tetapi apakah kepimpinan UMNO jujur melihat sejauhmana pula sikap setiakawan dan keikhlasan pengundi Cina yang kononnya 80 peratus daripada mereka menyokong MCA mahupun Gerakan ?," soal beliau lagi.

Justeru itu tegas Syed Ali, sudah tiba masanya BN terutama UMNO tidak lagi bergantung keyakinan berasaskan kepada angka mahupun perangkaan dalam mengukur tahap sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.
Mengenai pengakuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau berasa amat dukacita kerana DAP berjaya memenangi 12 daripada 15 kerusi di Sarawak menerusi politik rasis, Syed Ali menjelaskan itulah hakikat yang sebenarnya berlaku pada masa kini.

"Mantan Presiden UMNO telah melahirkan rasa bimbang beliau kerana khuatir penyakit itu akan menular pula di Semenanjung pada PRU akan datang," tegasnya.

Katanya, sudah sampai masanya pemimpin UMNO mengambil pendekatan yang lebih tegas walaupun tindakan itu mungkin pahit demi menyelamatkan masa depan UMNO dan orang Melayu keseluruhannya.

Tiada ulasan:

Pengikut