Khamis, 31 Mac 2011

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Novel Interlok ; Syed Ali puji ketegasan Muhyiddin

Posted: 31 Mar 2011 05:34 AM PDT

DATUK Wira Syed Ali Alhabshee menyifatkan mereka yang memperalatkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk terus memainkan isu novel Interlok berniat mencetuskan pertelingkahan kaum di negara ini.

Katanya, golongan berkenaan mahu berlaku pergeseran antara masyarakat pelbagai kaum dalam usaha mereka untuk menggugat kestabilan politik negara.

"Oleh sebab itu mereka terus mempersoalkan novel Interlok walaupun kerajaan sudah memutuskan beberapa pindaan telah dibuat atas desakan masyarakat India," katanya.

Serentak itu, beliau mahu kerajaan berpegang kepada keputusan kabinet berhubung pindaan novel berkenaan.

Beliau menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh semalam, yang menyifatkan ada pihak berniat jahat menggunakan NGO untuk terus mempertikaikan kewajaran novel berkenaan dijadikan teks sastera di sekolah menengah.

Menurut Syed Ali, kerajaan sebelum ini telah berlembut dengan tuntutan masyarakat India kerana mendakwa ada sebahagian daripada bab novel itu menyingung perasaan mereka.

NGO jadi keldai politik pembangkang

"Kerajaan berpandangan jauh dan memenuhi kehendak mereka atas semangat kepentingan rakyat pelbagai kaum, tetapi malangnya sejak kebelakangan ini ada pihak yang memperalatkan NGO untuk terus mempertikaikannya," tegasnya.

Syed Ali memuji Muhyiddin yang tetap bertegas bahawa kerajaan berpegang kepada keputusan yang telah dibuat dan tidak akan tunduk atas desakan pihak tertentu.

Dalam hal ini katanya, Timbalan Perdana Menteri telah membuktikan bahawa kerajaan akan menunaikan janji yang dibuat untuk meminda sebahagian daripada bab novel berkenaan.

"Kerajaan begitu prihatin terhadap kehendak setengah kaum walaupun ia turut menimbulkan rasa terkilan kepada pihak lain," ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Ali mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan pemantauan terhadap NGO yang sengaja memainkan isu perkauman dan agama untuk kepentingan agenda mereka.

Katanya, KDN perlu mengambil tindakan segera termasuk mengenakan akta ISA terhadap mana-mana NGO atau pemimpin mereka yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat.

"Kita sedar ada NGO yang menjadi alat kepada parti pembangkang, mereka inilah yang selalunya mencetuskan pelbagai isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat," tegasnya.

Syed Ali bidas Dr. Mohd. Asri cuba heret mufti dalam isu video seks

Posted: 30 Mar 2011 08:21 PM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menjelaskan, tidak wajar mufti diheret sama dalam isu video seks kerana masih lagi dalam siasatan polis.

"Mengapa tiba-tiba mufti didesak nyatakan pendirian mereka dalam isu berkenaan sedangkan lelaki dikatakan melakukan aksi seks dengan pelacur asing masih belum dikenali identitinya," tegasnya.

Beliau khuatir desakan itu sebagai salah satu strategi politik pihak tertentu yang semakin tertekan berikutan pendedahan video seks berkenaan.

Lagipun kata beliau, semua pihak termasuk mufti tidak menonton aksi lucah yang dipaparkan dalam video tersebut.

"Bagaimana mufti nak komen dan jelaskan pendirian, lelaki itu masih tak dikenali walaupun sudah ada yang jadi kelam kabut, takut dan mula lemparkan pelbagai fitnah kononnya mangsa konspirasi politik," tambahnya.

Katanya, bukan setakat golongan agama yang bencikan politik kotor tetapi semua pemimpin yang bermoral tidak akan tergamak untuk sengaja 'menyelak kain orang lain'.

Beliau tidak menolak usaha ini sebagai tindakan untuk 'memerangkap' mufti di negara ini supaya terbabit secara langsung dalam isu politik yang semakin panas membabitkan pembangkang.

Syed Ali melahirkan rasa hairan, ketika pemimpin pembangkang mengkafirkan sesama Islam, tidak ada pun yang mendesak para mufti supaya menasihatinya.

"Orang UMNO dikafirkan oleh tok guru PAS hanya di tepi jalan dan di tempat ceramah kerana tidak menyokong parti mereka, malangnya tidak ada seorang pun cerdik pandai menegur perbuatan tersebut," katanya.

Bila pemimpin UMNO kena fitnah pembangkang, cerdik pandai dan tokoh agama membisu

Tetapi dalam isu video seks katanya, tiba-tiba pula mereka yang kononnya bijak dan arif dalam agama mahukan para mufti menyatakan pendirian mereka.

"Kita hargai pandangan tersebut jika iklhlas tetapi kemungkinan juga ini kerja mengarut yang mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Syed Ali mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dalam portal berita Malaysiakini yang mahukan para mufti wajar menyatakan pendirian mereka berhubung isu 'politik selak kain' susulan tayangan video seks seorang lelaki yang didakwa mirip Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Syed Ali menjelaskan, tidak ada seorang pun pemain politik yang suka selak kain orang lain, tetapi kenapa apabila pembangkang memfitnah pemimpin UMNO, semuanya diam membisu.

Beliau turut menyelar sesetengah pihak yang mengaku tok guru dan alim ulama tetapi turut bersubahat dengan kerja mungkar seperti memfitnah dan memecahbelahkan perpaduan umat.

"Dalam isu video seks, mufti sendiri pun tak tengok dan tak kenal lelaki beraksi lucah dalam video berkenaan, bagaimana mereka nak nyatakan pendirian ?," soal beliau.

Beliau menegaskan, memfitnah adalah dosa besar, seperti juga dalam isu video seks, oleh sebab itu polis kena siasat untuk mendapatkan kesahihan lelaki yang didakwa oleh Dr Mohd.Asri itu mirip Anwar," jelasnya.

Dalam hubungan ini tegas Syed Ali lagi, para mufti tidak seharusnya sengaja diheret untuk memberikan pandangan yang dilihat untuk memberi 'kemenangan' kepada satu pihak.

Katanya, adalah lebih elok jika bekas Mufti Perlis itu menasihati pemimpin pembangkang yang mendakwa diri mereka sebagai ulama dan tok guru menghentikan perbuatan kafir-mengkafir.

"Soal kafir-mengkafir melibatkan akidah umat Islam sedangkan video lucah tersebut hanya isu moral individu tertentu, ini dua persoalan yang berbeza," tegasnya.




Tiada ulasan:

Pengikut