Isnin, 14 Februari 2011

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


Melayu dalam dilema besar – Dr. M

Posted: 13 Feb 2011 04:47 AM PST


KUALA LUMPUR 12 Feb. – Orang Melayu hari ini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana akan dikatakan rasis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.

Malah katanya, sehingga pada satu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi sasaran kritikan termasuk oleh akhbar-akhbar bahasa ibunda walaupun apa yang dinyatakannya mengenai orang Melayu adalah benar.

"Kita selalunya malu alah kepada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

"Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah.

Dr. Mahathir berkata, dilema yang dihadapi itu berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang tidak menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kemajuan.

Beliau memberi contoh, sekiranya orang Melayu benar-benar menggunakan peluang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi mereka sebenarnya boleh melebihi 30 peratus seperti yang diperuntukkan.

Tambahnya, orang Melayu juga terlalu mengikut nafsu sehingga ada yang sanggup memecahbelahkan kaum sendiri dan menggadai maruah bangsa semata-mata sikap tamak dan gila untuk berkuasa.

Keadaan itu kata beliau, menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum minoriti walaupun pada hakikatnya Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.

"Apabila orang Melayu mula bergantung kepada kaum minoriti, maka kita terpaksa menyerahkan apa yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu. Inilah sebenarnya dilema kita," katanya.

Dr. Mahathir menambah, sekiranya orang Melayu tidak sanggup menukar nilai hidup yang dipegang ketika ini, mereka tidak mungkin mencapai apa jua matlamat dan menjadi bangsa termundur di negara ini.

Kerana itu kata beliau, untuk menjadi 'tuan' dalam erti kata sebenar, orang Melayu perlu menukar nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan, menguasai ilmu dan kemahiran serta berkuasa dari sudut ekonomi.

AL-FATIHAH

Posted: 13 Feb 2011 04:44 AM PST

TEMERLOH 12 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ini setelah terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Kerdau, dekat sini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu dan jenazah Allahyarham telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) di sini.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon yang memaklumkan Allahyarham terjatuh di bilik air selepas mengadu sakit perut kepada pembantunya.

"Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Karam, Kerdau dekat sini," katanya.

Mingguan Malaysia difahamkan, sebelum kejadian itu, Zaharuddin sedang bersiap menghadiri satu majlis yang akan diadakan malam ini di kawasannya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Allahyarham kemudian mengadu sakit perut kepada pembantunya lalu dibawa ke bilik air dan sejurus kemudian menjerit kerana terjatuh di situ.

Zaharuddin meninggalkan seorang balu iaitu guru Kelas Asas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Rozlifah Ahmad, 33, yang dikahwininya pada Oktober tahun lalu.

Pada Mei tahun lalu, ADUN Kerdau itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani rawatan akibat komplikasi jantung. Kesihatannya kembali pulih selepas menjalani pembedahan jantung di IJN.

Allahyarham kemudian sekali lagi dimasukkan ke Hosas bagi menjalani rawatan akibat tekanan darah tidak stabil pada November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hasanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Tiada ulasan:

Pengikut