Jumaat, 8 November 2013

HAMIM Ledang

HAMIM Ledang


Rundingan FTA Malaysia-EU disambung

Posted: 02 Nov 2013 12:48 AM PDT

Langkah tingkat dagangan dengan negara Eropah

Kerajaan dijangka menyambung semula rundingan bagi cadangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) (FTA Malaysia-EU) dalam tempoh terdekat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir Hamim Samuri, berkata rundingan itu perlu diteruskan semula memandangkan Malaysia akan kehilangan keistimewaan pengecualian cukai menjelang akhir tahun ini.

Ia susulan terhapusnya status negara sebagai penerima Skim Keutamaan Am (GSP) EU.


Justeru, katanya pemeteraian FTA dilihat sebagai langkah penting untuk meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara dengan lebih ketara di samping memberikan manfaat lebih besar khususnya kepada masyarakat perniagaan. 


"Pada ketika ini segala rundingan berkaitan FTA Malaysia-EU ditangguhkan buat sementara waktu, kerana pihak kementerian sedang memberikan tumpuan kepada rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). Berkemungkinan selepas TPPA dirumuskan atau dimuktamadkan tidak kira sama ada dilaksanakan atau tidak, kita akan menyambung semula rundingan FTA dengan EU. 


"Bagaimanapun, bermula 1 Januari 2014 Malaysia akan kehilangan keistimewaan pengecualian cukai daripada EU kerana Malaysia tidak lagi sebagai negara membangun yang layak untuk mendapatkan keistimewaan GSP. Ini mendorong dan meletakkan peluang kepada Malaysia untuk mengadakan rundingan semula," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Eksport Kebangsaan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) yang bertemakan 'Memacu Jualan Eksport' di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama, Naib Presiden FMM, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Musa. 


Rundingan FTA Malaysia-EU telah dimulakan pada Oktober 2010, dan sepatutnya diselesaikan pada akhir tahun lalu namun ia tidak berjaya mencapai kesepakatan. 


Menerusi laman web rasmi Jurnal EU, peraturan GSP yang baru akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2014. 


Mengikut Suruhanjaya Eropah, Malaysia yang diklasifikasikan sebagai negara berpendapatan menengah atas selama tiga tahun berturut-turut dan selepas tempoh peralihan selama setahun, adalah tidak layak untuk mendapat keistimewaan GSP. 


Bagaimanapun, adanya pindaan dibuat bagi memastikan Malaysia masih boleh mendapat GSP sehingga 31 Disember 2015, jika rundingan FTA Malaysia-EU dimuktamadkan sebelum 1 Januari tahun depan. 


Hamim menjelaskan, pelbagai sektor perniagaan dijangka berdepan peningkatan kos berikutan cukai yang akan dikenakan ke atas produk yang didagangkan ke negara EU, bagaimanapun kerajaan akan sentiasa mencari langkah dengan mengadakan rundingan bagi mengatasi masalah berkenaan. 


Mengenai pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), beliau berkata ia dijangka meningkatkan minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia kerana GST adalah sistem cukai yang lebih telus dan lebih dilindungi. 


"Mengenai inflasi, pakar ekonomi telah menjangkakan akan berlakunya sedikit kenaikan harga barang semasa tempoh peralihan disebabkan oleh spekulasi. 


Disebabkan itu, kerajaan meletakkan tempoh persediaan (pelaksanaan GST) selama 17 bulan dan apabila dilaksanakan kadar cukai pendapatan akan diturunkan sama seperti 160 negara yang mengamalkan sistem cukai ini," katanya.


sumber :
online berita harian
2013/11/01 - 05:56:10 AM Oleh Zuraidah Mohamed

Tiada ulasan:

Pengikut