Datuk Seri Noh Omar
Datuk Seri Noh Omar
KUALA LUMPUR - Keengganan Selangor mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pilihan raya persekutuan menunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) takut  menyerahkan mandat kepada rakyat bagi memilih pimpinan yang dikehendaki.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan itu juga menunjukkan PKR Selangor tidak bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana banyak janji pada pilihan raya lepas masih belum dilaksanakan. 


"PKR Selangor tidak bersedia menghadapi pilihan raya kerana melihat rakyat khususnya di Selangor, telahpun kembali sedar tentang penipuan mereka, sebab itu mereka takut dengan rakyat kerana banyak janji yang tidak ditepati.   


"Kesimpulannya, PKR Selangor takut serah mandat kepada rakyat dan mereka sudah mula rasa gila kuasa dan kalau boleh mereka tidak mahu pilihan raya diadakan langsung," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Merdekaraya anjuran Pergerakan Wanita BN Selangor di Finas, Hulu Klang di sini malam ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas laporan bahawa kerajaan Selangor memutuskan untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan dengan pilihan raya umum.

Tindakan itu dilaporkan direstui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diambil ekoran dakwaan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal bertindak terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan berhubung pilihan raya terutamanya membersihkan daftar nama pemilih yang diragui di Selangor. 

Noh turut menyifatkan alasan yang diberikan kerajaan negeri itu hanya helah semata-mata untuk 'membeli masa' bagi membolehkan mereka menyelesaikan pelbagai isu dan kontroversi berkaitan kerajaan Selangor termasuk isu  kerugian Universiti Selangor (Unisel), Talam Corporation dan Loji Langat 2. - Bernama



Pilihan Raya Berasingan Meningkatkan Kos Perbelanjaan


KUALA LUMPUR, 14 Sept - Cadangan kerajaan negeri di bawah pimpinan parti pembangkang mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada pilihan raya umum bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi malah akan menjejaskan perjalanan kelas dan mengganggu tugas guru.


Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata ini berikutan lebih 80 peratus tenaga kerja yang digunakan untuk memastikan kelancaran pengundian adalah terdiri daripada guru sekolah.

Selain itu, SPR juga terpaksa menggunakan semula sekolah untuk dijadikan pusat mengundi yang akan menganggu perjalanan kelas di sekolah tersebut.


"Ini tidak patut berlaku. Kita kena fikir kepentingan semua pihak bukan semata-mata kepentingan politik sahaja," katanya dalam rancangan wawancara 'Hello Malaysia' oleh Bernama TV yang disiarkan secara langsung Khamis malam.

Wawancara selama sejam, yang bertajuk 'Isu Bubar DUN: Implikasi SPR', dikendalikan oleh Sherkawi Jirim.


Wan Ahmad berkata selain itu, anggaran jumlah kos untuk mengadakan pilihan raya umum adalah kira-kira RM400 juta manakala pilihan raya negeri secara berasingan di negeri Selangor sahaja akan menelan belanja sebanyak RM50 juta.

Kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang perlu ingat bahawa mereka tidak sepatutnya berfikir untuk menang sahaja, tanpa memikirkan masalah kos, tenaga kerja serta kanak-kanak sekolah yang akan terganggu akibat proses pilihan raya yang terpaksa diadakan dua kali, katanya.


Beliau berkata selain itu, kempen pilihan raya yang diadakan dua kali juga akan mengganggu ketenteraman awam, yang mana kesesakan jalan berlaku dan polis terpaksa terpaksa dikerah ke lokasi berkempen bagi menjaga ketenteraman awam serta mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Sebelum ini empat kerajaan negeri yang di bawah pimpinan parti pembangkang mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)masing-masing.


Baru-baru ini, kerajaan Selangor, di bawah pimpinan gabungan pakatan Parti Keadilan Rakyat-DAP-PAS dilaporkan enggan mengadakan pilihan raya DUN serentak dengan pilihan raya umum.

Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan berkata berkata kerajaan negeri itu belum membuat keputusan sama ada mahu membubar DUN serentak dengan pembubaran Parlimen.


Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata parti PAS berpendirian tidak akan membubarkan DUN secara berasingan dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak masih bermain teka-teki dengan berkata pembubaran DUN akan dibuat berdasarkan keadaan politik semasa di negeri jelapang padi itu.

-- BERNAMA