Rabu, 28 November 2012

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS

PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS


UCAPAN DASAR KETUA PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA DI PERHIMPUNAN AGUNG PUTERI UMNO 2012

Posted: 27 Nov 2012 10:52 PM PST


Saya suka untuk memulakan ucapan ini, dengan memetik kembali bait-bait terakhir ucapan dasar saya pada Perhimpunan Agung yang lalu. Semalam adalah perjuangan nenek moyang kita, hari ini perjuangan kita dan esok ialah perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah perjuangan yang kita ada, suburkanlah wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah kebijaksanaan.

Kita sudah memahami wadah, wasilah dan hikmah yang kita miliki. Hari ini sudah tiba detik dan masanya, untuk kita sama-sama meneroka tentang apa itu JUANG dan setiap jalur makna yang terangkum di dalam rohnya.

Angka 28. Tahukah anda Surah ke 28, adalah Surah Al-Qasas menceritakan peristiwa lahirnya Nabi Musa a.s sehingga baginda menentang kekejaman Firaun. Ini kisah juang. Pada tanggal 28 Februari, Tun Mahathir dengan semangatnya menggagaskan Wawasan 2020 ke arah memacu negara maju. Ini kisah juang. Dan pada tanggal 28 Julai juga saksi apabila berkibarnya panji UMNO buat pertama kali di angkasaraya. Ini juga kisah juang. Dan hari ini, 28 November 2012 sebuah lagi kisah juang akan kita lakar bersama.

JUANG, WANITA DAN POLITIK

Sidang perwakilan sekalian,

Juang. Roh kalimah ini hidup dalam setiap makhluk Tuhan sebagai sebuah fitrah. Juang adalah pengembaraan meneruskan survival hidup sehabis daya. Juang adalah semangat keramat manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa. Juang adalah kelana di bumi Tuhan mencari makna kehidupan.

Di zaman Nabi Sulaiman a.s, seekor semut di atas sebuah batu di padang pasir menyedarkan baginda, betapa juang untuk hidup berlaku di mana-mana, kerana rezeki Tuhan sukar dijangka. Di zaman Nabi Ibrahim a.s, seekor burung kecil yang cuba memadamkan api membakar baginda, mengajar satu makna, juang bukan tentang berapa besar kita, tetapi berapa besar usaha kita. Di belantara, pepohonan yang merebut air dan cahaya mengajar kita, juang adalah persaingan untuk kekal mandiri, biarpun kekuatan dan kelemahan kita berbeza.

Manusia dilahirkan untuk berjuang. Dilantik menjadi khalifah di muka bumi Allah, diberikan semangat untuk bangkit mempertahankan prinsip, mempertegak hak dan menjunjung maruah. Maka, setiap daripada kita, baik tua atau muda, lelaki atau wanita semuanya tertakluk kepada fitrah semulajadi manusia, berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia adalah perjuangan.Dengan juang kita menggerakkan idea, dengan juang kita melahirkan kehebatan, dan dengan juang kita menyusun bata ketamadunan. Kerana itulah Mahatma Gandhi pernah berkata.

Politik dan perjuangan tidak boleh dipisah-pisahkan. Politik itu perjuangan dan perjuangan itu politik. Di situ akan lahir makna kesucian dalam berjuang.

Surah Al-Baqarah ayat 30, surah Al-Mulk ayat 14 dan surah Ali-Imran ayat 59, semuanya bercerita tentang manusia pertama bernama Adam. Betapa agungnya kaum ini, dimuliakan Tuhan, tidak dicipta kemudian dan pemberi tulang rusuk keperluan. Namun, menikmati syurga tanpa teman tidak lama, sedih, sepi, sunyi, diubati dengan kehadiran hawa yang mendampingi dan menemani. Bersaksikan Tuhan bermaharkan cinta dan janji setia, mereka dinikahkan. Lengkap sebuah kehidupan dan bahagia berpanjangan. Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan ini sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia hanya satu, perjuangan.

Wanita, bukan sekadar peneman, bukan sekadar penghilang duka, dan bukan sekadar pelengkap kehidupan. Tetapi wanita merupakan tunjang kepada perjuangan lelaki.

Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

Oleh sebab itu, di sebalik kejayaan Mahatma Gandhi, ramai yang tidak mengetahui keunggulan wanita bernama Kasturbai Makhanji. Seorang isteri yang memberi sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi walau suami dikurung dalam jeriji besi.

Bagi Gandhi jika tidak kerana isterinya maka usaha memerdekakan bangsa tidak akan pernah berjaya.

Sebab itu di sebalik kegigihan keenam-enam Perdana Menteri mencorakkan kejayaan negara, jangan dilupa pada wanita-wanita ini.

Bermula dari Toh Puan Sharifah Rodziah, Tun Rahah, Tun Suhaila, Tun Dr Siti Hasmah, Tun Endon, Tun Jeanne hinggalah Datin Paduka Seri Rosmah.

Kesemua wanita-wanita ini adalah pembakar semangat pemimpin-pemimpin nombor satu negara untuk mencipta jaya. Itu kisah wanita.

Politik pula jika diimani maknanya, bukan soal kuasa dan kedudukan, bukan soal harta dan kekayaan, tetapi politik ialah perlumbaan prinsip dan pendirian. Pendirian menegakkan hak dan meroboh kebatilan. Kerana itu bila bicara soal perjuangan, tiada siapa yang terkecuali darinya.

Ada orang yang takut dan gentar berjuang kerana menganggap juang ini milik orang politik. Itu tidak benar. Ada orang yang enggan masuk campur dalam perjuangan kerana menganggap pandangan mereka tidak akan diterima. Itu tidak benar. Ada orang yang menganggap perjuangan hanyalah semata kerana keuntungan duniawi. Itu tidak benar.

Kerana perjuangan jika diimani roh dan semangatnya yang sejati, setiap dari kita akan mengerti dan memahami, ini soal tanggungjawab, survival dan fitrah manusiawi. Dari jutaan manusia di dunia, tiada seorang pun terkecuali darinya.

Perjuangan ialah tanggungjawab setiap manusia. Sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Sidang perwakilan sekalian,

Jika kita selak lembaran sejarah bagaimana keterlibatan wanita dalam peperangan dunia memberi erti yang besar dalam perubahan tamadun manusia. Disebalik kelembutan Maharani Fu Hao memimpin bala tentera Dinasti Shang dalam satu siri peperangan setelah berperang beratus tahun telah berjaya menewaskan dan menawan kawasan Yi, Qiang dan Ba, mencipta sejarah menyatukan rakyat Cina buat pertama kali. Kehebatan wanita Aceh, Cut Nyak Dhien dan Cut Nyak Meutia menentang Belanda pada hujung kurun ke-20 berjaya menyatukan hati-hati anak bangsa. Bagi mereka had dan berbeza gender bukanlah satu halangan untuk kehadapan memimpin bala tentera berjuang bukan untuk mereka tetapi buat rakyat jelata

Tetapi percayalah, juang bukan milik saya seorang.

Juang bukan milik anda seorang.

Ia juga bukan hanya milik pemimpin yang mempunyai kuasa.

Tetapi juang ialah milik kita semua, ia milik semua rakyat ia adalah tanggungjawab setiap daripada kita yang masih bernyawa. Inilah tanggungjawab yang akan ditanya Tuhan selepas kematian.

SEBUAH KEBANGKITAN

Warna sejarah bangsa sudah banyak mengajar dan mencorakkan kita. Hitam, kita pernah melalui zaman kegelapan dalam cengkaman penjajahan. Putih, warna kesucian. Zaman gemilang Melayu menakhoda nama di pentas dunia. Merah, warna keberanian. Dari jerih payah kita menentang penjajahan. Dan biru perpaduan. Di asas ini kita bersatu dan membina kemakmuran dan kebahagian.

Dari kepelbagaian warna inilah, akar bangsa mengakar pucuk negara menjalar. Dari warna-warni inilah kita mendekati makna juang yang sebenar. Dan jika diimbau dalam sejarah, sebahagian besar dari warna-warni dicatan oleh tangan-tangan wanita yang cekal dan kental.

Setelah sekian lama, sejak zaman berzaman WANITA adalah lambang kesucian, sejak kecil anak-anak Melayu jiwanya ditenun budi semangatnya disulam maruah. Benar, wanita itu kelembutan. Benar, wanita itu kesucian. Benar, wanita itu kesopanan. Tetapi yang lebih benar dalam suci, lembut dan sopan, wanita menggegar menongkah zaman.

Namun siapa sangka, dalam sejarah manusia yang panjang, ada detik wanita bangkit berjuang. Kita mengenang bijaksana Tun Fatimah sehingga menjadikan penjajah lebih hina daripada binatang. Kita angkat kesucian Sumaiyah kerana iman sampai nyawa tergadai. Kita agungkan kehebatan Khadijah sehingga Islam tersebar serata alam.

Wanita, di ceruk bumi manapun kita dilahirkan, sucinya kita sehingga menggegar langit dan tanah ciptaan Tuhan.

Ini semua kisah ketokohan sejarah pemimpin wanita di pentas dunia. UMNO, juga menyimpan sejarah yang hampir sama. 1947, lahirnya sayap Wanita dalam UMNO. Yang dikenali sebagai Kaum Ibu dan akhirnya menjadi Wanita UMNO. Kerana kelantangan, keberanian dan terampilnya Wanita UMNO akhirnya parti ini percaya perlu ada sayap wanita muda. Maka 2001, lahirlah Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Kedua-dua sayap wanita ini adalah manifestasi terbaik perjalanan politik yang cekal.

Hari ini jumlah keahlian Puteri mencecah 395,482. Dengan jumlah ini, kita punya kekuatan untuk menggerakkan jentera parti. Jumlah ini juga menjadi petanda betapa Puteri kekal relevan sebagai medium perjuangan wanita-wanita muda. Malah 365 882 ahli Puteri telah berdaftar sebagai pengundi dan saya percaya ini mampu memberi sumbangan besar dalam pilihan raya nanti. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua di atas kejayaan menganjurkan Himpunan Wanita Muda Negara 2012. Kita berjaya menghimpunkan lebih 14 000 wanita muda dari pelbagai latar belakang. Ini membawa petanda betapa wanita muda sudah mula mendekati kita.

Sidang perwakilan sekalian,

Perjuangan mempertahankan kesucian ialah asas sebuah ketamadunan. Zaman akan terus berubah, manusia akan terus berkembang tetapi kesucian perjuangan ialah idealisme yang dipegang sampai bila-bila. Kerana itu yang membezakan UMNO dan parti-parti lain di Malaysia ialah kita tertubuh kerana prinsip dan asas juang yang jelas pada bangsa.

UMNO bukan tertubuh kerana memenuhi perjuangan peribadi, bukan tertubuh kerana rasa hasad dan dengki.

Bukan tertubuh sebagai parti yang memendam dendam meliar. Akhirnya yang rosak dan binasa adalah rakyat dan seluruh rasa percaya mereka.

Soalan-soalan berkenaan ketidakyakinan manusia sekeliling masih tetap berkumandang. Tetapi, dengan yakin dan percaya, bangun dan suarakan kepada mereka, walau jiwa mentah tapi akal dan semangat kita tak mudah menyerah. Kita katakan kembali warna merah jambu yang dipakai ialah campuran merah warna pejuang dan putih kesucian diri. Kita asak kepada yang bertanya bahawa perjuangan ialah milik semua. Kita buktikan dengan usaha yang tidak pernah putus membantu perjuangan parti. Kita tinggalkan mesej kepada masyarakat bahawa yang diperjuangkan Puteri ialah sebuah kesucian juang dan kita ialah bala tenteranya. Dengan baju kurung di badan, kita pelihara kesucian bangsa dan agama. Telekung dan selendang di kepala, kita angkat maruah dan jati diri seorang perwirawati. Manis suara dan santun tindak ialah senjata taruhan Puteri. Kehormatan akal dan jiwa jadi matlamat.

Perjuangan, buat kita semua Puteri-puteri bangsa ialah kesucian yang nyawa jadi taruhan.

Dalam kebangkitan sebuah juang, tindakan ialah teras yang menjadi tunjang. Kita boleh punya cita-cita, kita boleh punya angan-angan, tetapi yang lebih penting kuasa yang ada pada tindakan. Kerana itu dalam wadah politik baru, suara bukan lagi satu kuasa selagi mana tindakan tidak membuktikan apa-apa. Tamsilan dari maksud inilah, maka asas perjuangan Puteri seharusnya bergerak atas tindakan lebih dari sekadar cita-cita dan angan-angan.

Saya suka mengajak anda untuk menghayati satu kisah perjuang wanita yang tulen yang percaya pada kuasa bertindak. Helen Keller, adalah seorang pemimpin wanita di Amerika yang buta dan pekak. Dan dalam survivalnya untuk bercakap beliau akhirnya menjadi pemidato terkemuka di dunia yang menggerakkan perjuangan hak-hak wanita.

Kalau anda pernah menonton video ucapannya, anda pasti akan terfikir bagaimana dengan segala kekurangan wanita ini berjuang untuk mencapai sesuatu di dalam hidupnya.

Dan hari ini kata-katanya telah merangsang dan mengubah dunia. Satu kata-katanya yang sehingga hari ini telah merangsang semangat juang dan setia kawan jutaan manusia "working with a friend in the dark, is better then working alone in the light".

Sejarah perjuangan wanita muda telah lama bermula. Mereka telah secara langsung menentang Malayan Union pada 1946 yang mengancam bangsa dan negara. Walhal, wanita sebelum zaman itu, tidak pernah terlibat dalam politik, bagi mereka dunia seorang wanita adalah isi rumah, suami dan anak-anak. Namun, segalanya berubah.

Apabila semangat juang menentang Malayan Union membuka mata semua.

Aishah Ghani, Ibu Zain dan Khadijah Sidek antara figura yang menjadi perintis penglibatan wanita muda di jalan politik.

50 tahun yang lalu, nama-nama seperti ini telah menyerahkan seluruh jiwa dan raga mereka untuk menegakkan perjuangan hak bangsa dan negara. Ini memberikan kepada kita satu petanda dalam sejarah perjuangan politik, wanita muda pernah merakam nama.

Hinggalah tanggal 9 April 2001, tertubuhlah Puteri UMNO sebagai pentas perjuangan terbaik untuk wanita muda menyumbang kudrat dan idea, memperkasa politik negara.

Pundak kita mungkin lemah kudratnya. Pundak kita mungkin dianggap remeh. Tetapi di pundak inilah, perjuangan menemukan rentaknya. Pergerakan Puteri UMNO perlu belajar menjadi pundak yang lebih kuat.

Selama sebelas tahun kita sudah buktikan kemampuan kita menyokong perjuangan parti. Kita perlu bekerja lebih keras untuk masa depan parti kerana agama, bangsa dan negara.

Siap siaga hadapi segalanya.

MENEKUNI REALITI

Sidang perwakilan sekalian,

Politik adalah perkataan yang menjadi halwa telinga di mana-mana sahaja kaki manusia berdiri. Politik yang berasal daripada kalimah Greek iaitu 'politikos', membawa maksud daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat. Politik membabitkan persoalan menguruskan kelompok manusia yang terdedah dengan pengaruh tempat dan masa. Dalam politik, untuk mengikat manusia yang cenderung berubah ini bagi terus menyokong sebuah aspirasi, hanya kepercayaan yang menjadi kuncinya.

Hakikatnya, kepercayaan rakyat boleh dibeli, tapi bagaimana? Kita boleh memilih untuk membeli kepercayaan rakyat dengan wang, janji atau dengan pengorbanan.

Dengan wang, kepercayaan akan hilang apabila wang habis dibelanjakan. Dengan janji, kepercayaan akan lunyai apabila janji tidak tertunai. Namun dengan bakti dan pengorbanan, kepercayaan dalam jiwa rakyat akan kekal tersemat walau digoncang kuat. Meyakini hakikat ini, Puteri tidak berpeluk tubuh, berdiam diri dan goyang kaki.

Program berkala tetap telah dilaksanakan meliputi sekecil-kecil aspek hinggalah yang paling besar. Program Puteri merangkumi aspek sosial seperti, B2R; Program Banteras Ragut Dan Rogol, Life is Precious; kempen kesedaran pembuangan bayi hinggalah Program Sinar Kasih; Program yang memberikan rawatan percuma untuk golongan emas.

Program-program lain termasuklah Projek Puteri Prihatin, Ziarah Kasih, Program Back To School dan yang terbaru Program Barber on Wheel.

Berdekad lamanya, UMNO secara umumnya dan Puteri secara khususnya cekal meredah desa, menjelajah kota, turun ke lapangan rakyat bagi menabur jasa. Selama 66 tahun, rakyat menganugerahkan kepercayaan untuk parti keramat ini terus memerintah sebagai balasan setiap nikmat kebajikan, keamanan dan kemajuan yang mereka nikmati.

Namun malang menimpa bumi bertuah, saat petualang menggerakkan strategi paling kotor dan busuk, mereka meniupkan roh fitnah dan memberikannya nyawa untuk menghancurkan bangsa.

Secara diam dan perlahan, fitnah menjadi santapan harian, membunuh rasa percaya rakyat pada kerajaan.

Adakah mereka lupa firman Allah dalam surah Al-Anfaal, ayat ke-25. Maksudnya,

"Dan jagalah diri kamu daripada berlaku dosa yang membawa kepada bencana fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus (bahkan akan menimpa kamu secara umumnya) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaan-Nya."

Makna fitnah melangkaui kesaksian palsu seperti yang lazimnya dihadam oleh masyarakat. Fitnah juga hadir sebagai ujian kemewahan dan kesenangan. Dalam kalangan kita, apabila diuji dengan harta dan kekayaan, lihatlah betapa ramai yang tewas hingga tersungkur di medan juang, tidak kurang juga yang menanti masa dikuburkan sia-sia? Di mana letaknya kita? Tepuk dada, tanyalah nawaitu perjuangan, tanyalah iltizam tindakan. Kisah Firaun, Haman, Qorun dan Bal'am seharusnya menyedarkan kita, betapa pangkat dan harta adalah satu fitnah dalam bentuk ujian kemewahan, yang bisa membunuh pejuang dan membinasakan perjuangan.

Nabi sendiri pernah memberikan amaran dalam sabdanya, yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi.

"Tidaklah 2 ekor serigala yang kelaparan dilepaskan kepada seekor kambing, lebih merosakkan daripada kerakusan seseorang dalam mengejar harta dan pangkat merosakkan agamanya,"

Apa yang turut mengerikan, sebenarnya kacau-bilau, huru-hara, dan ketidaktenteraman yang melanda sarwajagat juga adalah fitnah. Allah berfirman dalam kitab Al-Quran, Surah An-Nisa' ayat 83.

"Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas
kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu)."

Sidang perwakilan sekalian,

Tanggal 3 November 2012, ketenangan yang selama ini berdamping erat dengan jiwa rakyat direntap tiba-tiba.

Seluruh negara tergamam mendengar kenyataan Nurul Izzah, Naib Presiden PKR yang menyatakan orang Melayu Islam berhak memilih agama di bawah prinsip kebebasan beragama, di sebuah forum bertajuk, "Islamic state? Which vision? Whose responsibility". Beliau menjawab satu soalan dalam forum itu dengan menyebut,

"there should be no compulsion in any religion including Islam. How can anyone say (freedom of religion) only apply to the non-Muslim, it has to be applied equally."

Pemimpin wanita beragama Islam ini dengan sewenang-wenangnya memetik ayat Al-Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 256 yang berbunyi; Maksudnya;

"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. "

Pemimpin PKR ini jelas terkeliru, 'asbabunnuzul' atau sebab turun ayat ini adalah kerana seorang Ansar, Abu Al-Husain dari keluarga Bani Salim Ibnu Auf yang bertanya kepada Rasulullah tentang keinginannya memaksa dua orang anaknya penganut ajaran Nasrani untuk memeluk Islam. Ayat ini memberi mesej jelas, kita tidak boleh memaksa bukan Islam untuk memeluk agama suci ini. Tetapi ayat ini tidak sesekali membenarkan dan mengizinkan orang Islam untuk murtad, keluar dari Islam, menyamaratakan agama ini dengan yang lain dan sekaligus memperlekehkan kebenaran agamanya

Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

Telitilah dengan daya fikir yang paling tajam, sebaran ideologi pluralisme ini bukan sahaja mengancam aqidah umat Islam, bahkan dengan sengaja menyanggah dan mencabar Perlembagaan Persekutuan perkara 160(2), yang meletakkan antara definisi Melayu mestilah seseorang yang beragama Islam. Lebih menghairankan kita, kenyataan ini juga jelas bertentangan dengan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Adakah mereka lupa? Antara bahagian yang terkandung di bawah hukum hudud adalah hukuman bunuh bagi orang Islam yang murtad? Inilah akibatnya, apabila seekor kerbau punya tiga gembala. Dua orang bertelagah, seorang lagi bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah. Ketahuilah, ini satu alamat dan petanda sebuah malapetaka.

Kerana sudah terlukis di lantai sirah, akibat fitnah, tamadun dan pemerintahan ternama di dunia menderita taqdir yang hina. Angkara fitnah Mendeliar dan Kitul, Sultan Mahmud membunuh Bendahara Tun Mutahir dan laksamana Melaka di zamannya. Angkara fitnah, empayar Moghul yang didirikan Babur pada tahun 1526 jatuh tersungkur. Angkara fitnah, khalifah Uthman Ibnu Affan digulingkan, tamadun Islam rebah, punah dan musnah. Angkara fitnah, manusia berbunuhan tanpa rasa bersalah. Angkara fitnah, sejarah dunia dipalit warna permusuhan dan darah. Soalnya, inikah yang kita mahu biarkan membarah dalam kalangan marhaen kita?

Angguklah dan katakan ya pada sebuah hakikat, politik bersadur fitnah di akhir zaman bukan lagi asing dan ganjil, kerana fitnah sudahpun lahir seawal zaman Qabil dan Habil.

Mendepani situasi mencabar ini, marilah kita laung dan zahirkan teori hikmah bersandarkan tiga senjata seperti yang dididik agama. Pertama ilmu, kedua kebijaksanaan dan ketiga adalah sabar. Ketiga-tiga pendekatan ini harus beradaptasi mengikut situasi. Tanpa ilmu, kebijaksanaan tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan, membakar seluruh isi perjuangan.

Sidang perwakilan sekalian,

Puteri ingin berada di saf paling hadapan, menangkis tohmah dan fitnah pembangkang. Fitnah yang membentuk persepsi dalam minda masyarakat akan ditentang habis-habisan. Tetapi, Puteri dengan berani akan katakan kepada semua. Persepsi lawannya bukan persepsi, persepsi lawannya bukan emosi. Sebaliknya persepsi akan dipatahkan dengan hujah, persepsi akan dipatahkan dengan ilmu, persepsi akan dipatahkan dengan fakta.

Ini jalan kita.

Pembangkang secara terang-terangan cuba membentuk persepsi buruk dengan membuat pelbagai tuduhan palsu.

Mereka gigih berusaha untuk menggambarkan kepada rakyat bahawa UMNO dan BN yang memerintah negara, adalah parti yang tidak bertanggungjawab dan tidak menjaga kebajikan rakyat.

Mereka bermati-matian menolak tema Sambutan Kemerdekaan Negara ke-55, 'Janji Ditepati' yang telah BN laksanakan.

Kerana apa hadirin sekalian? Kerana mereka tahu apa yang kita kata, kita kota. Apa yang kita janji, kita tepati.

Sedangkan mereka mengabaikan tanggungjawab, mungkir janji yang dibuat dan khianati kepercayaan rakyat.

Kita ambil contoh negeri yang paling mereka bangga-banggakan kononnya paling berjaya melipatgandakan pendapatan, iaitu negeri Selangor. Dalam manifesto 2008, mereka tabur seribu satu janji untuk rakyat negeri ini.

Janjikan elaun bulanan untuk ibu tunggal, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan anak muda mendirikan rumahtangga, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan anak kecil ke pusat asuhan, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan pendidikan prasekolah, tapi tidak ditunaikan. Kalau di negeri Selangorpun mereka gagal mengotakan apa yang mereka janji, adakah kita yakin mereka akan tunaikan janji untuk negara jika diberi kuasa? Jawapannya pasti tidak.

Jangan kita gadaikan negara untuk mereka mengecap kuasa, akhirnya rakyat yang jadi mangsa. Katakan pada mereka, cukuplah sekali, rakyat tak akan ditipu lagi! Tidak seperti mereka, UMNO akan terus membela rakyat. Asas perjuangan kita pada huruf Alif, Ba dan Ta akan kita pertahankan. Alif untuk agama. Ba untuk bangsa, dan Ta untuk tanah air. Ini sumpah setia dan janji kita. Islam akan dimartabat, Melayu akan diangkat dan negara akan didaulat.

Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

UMNO bukan seperti PAS yang berpakaian agama untuk menghalalkan segala-galanya demi memuaskan nafsu politik. Sirah telah mengajar kita, Nabi junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah S.A.W. tidak pernah menghina sesiapa. Nabi tidak pernah mendoakan keburukan dan kemusnahan walaupun pernah dizalimi Yahudi, sebaliknya mendoakan kesejahteraan dan hidayah buat yang memusuhinya. Inilah sunnah sebenar yang wajar diikuti.

Sayang sekali sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam, dengan menjerit mendoakan kemusnahan sesama umat Islam. Demi politik, segala keterlanjuran mereka, difatwakan sebagai benar dan kononnya itulah ajaran agama. Itu kaedah perjuangan mereka, itu bukan cara kita.

RESAM CABARAN

Ketahuilah, sejarah bukan sekadar susunan aksara yang hanya perlu untuk dilafaz, ia juga bukan sekadar susunan kata yang hanya perlu untuk dihafaz. Sebaliknya, setiap kisah sejarah yang dibaca, perlu untuk kita hadam nilainya, perlu untuk kita faham maksudnya. Ia perlu ditafsir dengan hati dan minda yang terbuka bagi membina masa depan yang lebih baik dari sebelumnya.

Kefahaman berhubung kisah dan sejarah silam ini merupakan sesuatu yang fundamental untuk kita jadikan tauladan dan sempadan. Sabda Rasulullah S.A.W :

"Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali"

Seharusnya intipati hadis ini perlu untuk kita terapkan dalam diri, perlu kita sematkan dalam hati dan sanubari setiap ahli gerakan. Tsunami politik pada PRU ke-12 memberi mesej yang jelas untuk kita sama-sama merealisasikan sebuah transformasi perjuangan secara besar-besaran. Jangan biarkan ular lidah bercabang, hidung belang terus mengapur rakyat dengan janji temberang.

Sahabat Pakatan Rakyat dia boleh kelentong tetapi dengan rakyat jangan nak bohong.

Rakyat adalah aspirasi Puteri. Janji perlu ditepati, bukan hanya tahu bertelingkah merebut jawatan Perdana Menteri.

Selaras dengan slogan transformasi tampuk pemerintahan Dato' Sri Presiden, formula baru perlu wujud dalam setiap gerakan yang diatur. Sebelum siap-siaga berperang tempur. Asas utama dalam perjuangan yang murni ini perlu ditunjangi dengan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi. Kesetiaan ini bukan bersifat sembrono.

Kesetiaan yang kita mahukan dari setiap ahli adalah kesetiaan yang bertunjangkan ilmu dan agama. Bukan kesetiaan Pak Turut yang hanya tahu mengikut perintah yang dituntut. Kesetiaan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk perbuatan demi kepentingan parti yang kita sayangi.

Mari kita ambil iktibar dari beberapa kisah pada zaman Rasulullah S.A.W. di mana wanita sebagai benteng kepada perjuangan sepertimana yang disebut dalam kitab dan sirah. Contohnya wanita bernama Nusaibah binti Kaab yang begitu setia mempertahan dan melindungi Rasulullah. S.A.W. dalam peperangan Uhud. Peristiwa lebih 14 kurun ini, sudah pasti menjadi pengajaran penting kepada kita, bahawasanya Puteri mampu dan sanggup berkorban hatta menggadai nyawa sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada panji yang telah kita bawa. 'Semangat Nusaibah' mesti membara dalam diri setiap ahli puteri hari ini.

Kesetiaan kita mesti disatukan, kekuatan kita mesti dipadukan, kepimpinan kita mesti didisiplinkan, agar ia menjadi tenaga yang mampu menerjah dan mempertahankan kedudukan kita. Kerana itu kita Puteri tidak pernah dan perlu rasa gentar walau halilintar membelah bumi, walau badai melanda lautan, walau ribut meruntuhkan belantara, walau taufan melanda desa, namun perjuangan parti tetap kita teruskan. Puteri sedia berkorban apa saja demi agama, bangsa dan negara.

Sidang perwakilan sekalian,

Kombinasi yang perlu hadir bersama kesetiaan ini adalah kebijaksanaan dalam melaksanakan perjuangan. Metod perjuangan perlu selari dengan peredaran zaman. Kita semua sedar dan tahu, PAS dan PKR, dua parti yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan dan dendam. Sebab itu perjuangan mereka didasari fitnah dan hasad dengki.

Mengajak rakyat berhimpun mendoakan kebinasaan manusia seagama, menuduh slogan 1Malaysia yang jelas murni idea dari Yahudi, mengajak rakyat sertai demonstrasi dan lakukan kerosakan, itu semua cara perjuangan mereka yang jelas terpesong dari adab susila manusia! Perjuangan yang sama sekali ditolak rakyat kita! UMNO tidak lahir atas dasar kecewa, dengki, dendam, benci dan berjuang untuk tujuan peribadi.

Tetapi UMNO tertubuh atas rasa tanggungjawab kita membela bangsa. UMNO adalah parti tulen dan parti sejati orang Melayu. Jangan kita hancurkan empayar yang telah kita bina ini dengan fitnah. Perjuangan kita perlu selari dengan keperluan rakyat. Yang rakyat inginkan adalah kebajikan mereka dijaga bukan fitnah sebagai halwa telinga.

Sebagai penggerak, Puteri harus bijak dalam mendekati rakyat. Rakyat perlukan suara mereka didengari, bukan mendengar caci-maki. Contoh terbaik yang boleh dipraktikkan adalah sepertimana kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sikap kepimpinan yang fleksibel membuatkan para sahabat sentiasa berasa senang untuk mendampingi baginda baik untuk mengadu masalah mahupun mendapat penjelasan berhubung sesuatu hukum.

Contoh kepimpinan beginilah yang seharusnya kita teladani.

Mobiliti dan akauntabiliti sentiasa ada bagi memastikan setiap aduan didengari, bukan hanya sekadar pandai menabur janji.

Tugas Puteri hari ini bukan lagi sebagai sisipan, tetapi pemain utama di dalam arus perdana. Masyarakat perlu mempunyai persepsi yang matang dalam politik untuk memastikan survival perjuangan masa depan terus terbela.

Inilah tugas penting yang harus dipikul Puteri. Mendidik rakyat supaya matang dalam mentafsir senario politik negara. 'Action Plan' yang jitu telah diperkenalkan Dato' Sri Presiden.

Pelbagai platform telah disediakan melalui program transformasi kerajaan untuk membolehkan aspirasi ini dicapai.

Kita semua menjadi saksi keberjayaan program yang telah dijalankan. Daripada GTP hingga ETP, daripada NKRA hingga NKEA, daripada RTP hingga PPP semua dilaksanakan bagi menjaga kebajikan, kesejahteraan dan kelangsungan wadah perjuangan.

Sebagai jentera, Puteri seharusnya bertindak sebagai pemberi maklumat berhubung segala usaha dan kejayaan program yang telah dilaksanakan kerajaan kepada rakyat.

Saya percaya, dengan adanya usaha ini, ia secara automatik akan memberikan satu persepsi baru kepada masyarakat berhubung keseriusan kerajaan dalam membantu rakyat. Inilah kematangan yang kita perlukan. Menilai kejayaan perlaksanaan, bukan banyak mana janji yang telah ditaburkan.

PILIHAN RAYA UMUM KE 13

Sidang perwakilan sekalian,

Peperangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, pastinya akan menjadi peperangan pilihan raya yang paling sengit dan mencabar dalam sejarah demokrasi di malaysia.

Kemenangan tipis pada PRU yang lalu, serangan-serangan provokatif para petualang, ditambah pula dengan strategi-strategi populis menjadi senjata yang menopang, pastinya menzahirkan pilihan raya kali ini sebagai medan tempur sejarah yang tidak boleh dipandang mudah.

Pengalaman PRU12 ini adalah contoh yang paling ketara dan paling dekat di jiwa. Bukti jika kita terlalu leka dan selesa dengan kedudukan yang kita ada, semuanya bias hancur dan hilang sekelip mata sesingkat awan menjadi hujan, api menjadi abu dan pasir menjadi debu. Itulah nilai sebuah kejatuhan.

Azimat dari kisah ini, jawapannya satu, kita harus kembali pada asas perjuangan. Asas yang dipasak dengan semangat dibenam dengan hakikat betapa yang menghimpunkan kita dalam garis perjuangan ini adalah asas yang membuatkan kita dipercayai dan dihormati. Asas yang melahirkan kita Pergerakan Puteri dalam parti yang kita sayangi.

Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

Ombak pilihan raya sudah benar-benar menghampiri. Bisa sahaja menjadi badai atau bayu yang membelai. Saat ini, jika kita masih berpeluk tubuh kita berdosa pada parti.

Jika segarkan rasa iri hati, dengki dan menuding jari, kita berdosa pada parti. Jika kita tidak berpangkat, tidak berjawatan, tidak berkedudukan, kita biarkan hanya mereka yang mendapat mandat sahaja yang menyusun aturan, kita berdosa pada parti. Jika kita pura-pura di depan bikin kerja tapi di belakang bikin cerita, kita berdosa pada parti.

Di saat saudara kita berjuang, kita canang kononnya mereka petualang, kita berdosa pada parti. Jika kita dendam tak bertepi cemburu membita tuli, kita berdosa kepada parti. Dari sekian dosa yang yang kita lakar tanpa sedar, kitalah pengkhianat dan petualang sebenar.

Jadilah seperti Sumayyah, tanpa pangkat pun masih tegar mempertahankan agama. Jadilah seperti Mashitah, kezaliman Firaun tidak pernah melunturkan iman di dada.

Jadilah Khalid al-Walid, dari apa jua pangkat dan kedudukan, hidup matinya untuk pasukan.

Hari ini kita berdiri kerana sayangnya kita pada agama.

Sayangnya kita pada negara.

Dan sayangnya kita pada M E L A Y U.

Bangsa.

Perjuangan yang bukan bermaharkan harta dan berdulangkan kuasa. Perjuangan seikat lidi yang perlu bertahan sesama sendiri agar tidak mudah dipatahkan oleh sesiapa.

Hari ini Puteri bukan lagi hulubalang biasa. Puteri harus bangun sebagai pahlawan, Puteri harus bangun sebagai perwira Puteri harus bangun sebagai laksamana yang ternama. Sesungguhnya, Puteri yakin dan percaya bahawa peperangan kali ini bukan soal siapa yang kuat dan siapa yang hebat. Ingat. Kekalahan pilihan raya ini bukan sekadar membawa maksud kalahnya parti kita. Tetapi kekalahan ini, akan menjadikan asbab matinya seluruh perjuangan dan kita pasti akan dikuburkan pada pusara yang tidak akan lagi dikenang. Jika kita gagal, maka segala perit jerih kita membela rakyat dan membina negara selama ini akan bernoktah di sini.

Sesungguhnya Melayu itu kaya falsafahnya, kias kata bidal pusaka, akar budi bersulamkan daya, gedung akal laut bicara, pemimpin itu perlu dihormati, andai ada salah secara hemah teguran diberi. Kayakan jiwa kita dengan keikhlasan dalam berjuang.

Sesungguhnya detik dan ketika ucapan ini ditutur, Puteri telah bersiap-siaga untuk turun bertempur. Sepatutnya juga, ketika ucapan ini ditutur, sikap sudah kemas dilentur. Nilai-nilai positif ini sepatutnya sudah sebati dalam jiwa, sudah tersemat di minda, sudah menjadi budaya yang tidak akan terpisah selamanya. Kerana kini, kita sudah berada di fasa untuk bertindak, yang sekarang masih perlahan bergerak.

Andai kita rebah di medan perang, itu satu malapetaka yang cukup malang. Rebahnya kita bukan dek kuatnya lawan, tapi kerana lalai dan leka dalam meniti arus perjuangan. Jika ditakdirkan ini berlaku, jawapan apa untuk kita berikan kepada anak cucu kita semua? Tatkala kita sedang berkuasa, apa yang kita lakukan? Tatkala amanah diberi kepada kita, apa kita laksanakan? Tatkala kita diberi kepercayaan, kita bacul dan khianat.

Jangan kita izinkan dalam ukiran sejarah pada zaman hadapan, Puteri tumbang kerana kita leka, Puteri tumbang kerana kita alpa, Puteri tumbang kerana kita terlalu selesa, Puteri tumbang kerana kita kejar kuasa.

Biarlah dalam nukilan yang dibaca anak cucu kita, Puteri bangkit demi bangsa, Puteri berjuang pertahankan agama, Puteri berkorban kerana cintakan Negara. Puteri benar-benar jelmaan Nusaibah, berjiwa besar dan tidak sesekali gentar. Andai dibunuh sekalipun, Puteri mati dengan bangga.

Kepada para Puteri, ayuh kita sama-sama berdiri teguh di atas satu azam perjuangan yang kukuh. Ingatlah, betapa lahirnya Puteri bukan untuk dimanja, bukan juga untuk dipuji dan dipuja namun percayalah betapa lahirnya Puteri adalah untuk berjuang sama merasai perit jerih membela nasib rakyat dan bangsa. Degup jantung Puteri adalah degup jantung rakyat, jiwa Puteri adalah jiwa rakyat dan hidup mati Puteri adalah untuk menabur bakti kepada seluruh rakyat.

Marilah bersama-sama kita berdiri. Kita berikrar dan bersetia. Parti ini adalah nyawa kita. Parti ini adalah nyawa orang Melayu. Parti ini lahir dari darah, keringat dan kudrat pejuang terdahulu.

Puteri berikrar, biarpun perit kita akan bangun mempertahankan maruah parti, Puteri berikrar, biarpun jerih Puteri akan bangun mempertahankan jalan juang parti, Puteri berikrar biarpun sakit Puteri akan tetap mempertahankan parti pusaka ini sampai mati.

Puteri berjanji kita akan lawan mereka yang membakar parti dengan fitnah. Kita akan tentang mereka dalam parti yang suka mencucuk dan mencanang. Kita akan pertahankan parti dari dibunuh pengkhianat dan petualang.

Kita akan ketepi soal peribadi, kita akan ketepikan sikap yang merosakkan parti. Kita akan tanam dan kapankan rasa dengki dan iri hati.

Puteri berikrar, akan menumpahkan segala kesetiaan, mengerah segala kudrat dan kekuatan serta berpadu merapatkan barisan demi memastikan kita menang dalam pilihan raya yang akan datang. Puteri akan lakukan apa jua demi bangsa, agama dan negara.

Maka akhirnya dalam politik bukan semuanya tentang untung sabut timbul untung batu tenggelam, juga bukan rezeki secupak takkan jadi segantang. Tapi politik semuanya tentang berpantang maut sebelum ajal, membujur lalu melintang patah. Dengan seluruh tekad dan keringat.

Seluruh jiwa dan raga kita. Hanya untuk parti. Kita akan terus percaya di saat sakit, jerih dan perih, Puteri berdiri bukan kerana takdir, tetapi kerana seruan juang pada agama bangsa dan negara. Hingga sekiranya ditanya. Sebagai pejuang, sanggupkah kita membayar perjuangan dengan nyawa kita sendiri? Katakan bahawa kita sanggup. Katakan kita mahu, kita mampu, kitalah pejuang-pejuang itu! Selamat berjuang untuk semua yang bersidang.

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD. YASSIN TIMBALAN PRESIDEN UMNO DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2012

Posted: 27 Nov 2012 08:44 PM PST

 

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita

YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda

YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin
Ketua Pergerakan Puteri

YB Naib-Naib Presiden UMNO

YB Setiausaha Agung UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian.


Alhamdulillah, UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya. Negara kita telah merdeka 55 tahun adanya. Ia datang bersama sebuah pemerintahan dari acuan negara sendiri, dari pimpinan anak watan sendiri. Selama lebih enam dekad inilah, parti kita telah mengabdikan diri kepada anak watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran dan kemiskinan, kepada cahaya kemajuan dan kemakmuran.

Kita bersyukur, kerana hasil gabungan kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin dan kebestarian pemimpin mengemudi negara, Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera. Rakyat dari segala rentasan kaum dan agama hidup dalam suasana yang harmoni, tanpa persengketaan, tanpa kemusnahan. Pada masa yang sama, kita melonjak ke ambang negara maju dan melakar masa depan yang meyakinkan. Impian kita, harapan kita, hanyalah membina negara Malaysia yang berjaya dari Perlis hingga ke Sabah, dan sentiasa berada di bawah naungan Ilahi seperti yang dipohon oleh Nabi Allah Ibrahim:   
 
 

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ

Yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. (Surah Al-Baqarah, Ayat 126)


Saudara dan saudari yang saya hormati,
Menghimbau 55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi yang hampir sama seperti di Sri Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara ini berada di ambang kemerdekaan. Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Apabila British terdesak untuk melepaskan penguasaan ke atas tanah-tanah jajahan mereka, perkara utama yang menjadi persoalan ialah siapakah selain bangsa pribumi yang berhak mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang akan menerajui pemerintahan negara baru itu, dan apakah bentuk negara yang mahu dibina.

Kecuali di Myanmar, negara-negara ini memilih model politik perkongsian kuasa antara kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan Tamil bersetuju untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk berkongsi kuasa sahaja tidak menjamin keamanan dan kestabilan politik yang berkekalan. Perbalahan kaum tercetus di Sri Lanka selama beberapa dekad selepas merdeka, sehingga membawa kepada rusuhan, perang saudara, kemusnahan dan kemunduran.

Di Fiji, etnik imigran yang ibu bapa mereka berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British telah diberikan hak kerakyatan apabila Fiji mencapai kemerdekaan pada tahun 1970. Dengan hak kerakyatan, mereka juga mempunyai hak yang sama dengan Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan ekonomi. Malangnya, kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan, Bumiputera Fiji yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan dan rampasan kuasa.

Lebih malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya yang berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British tidak diberikan hak kerakyatan langsung. Tanpa hak kerakyatan, mereka tidak mempunyai hak untuk terlibat dalam politik, apatah lagi untuk berkongsi kuasa dengan kaum majoriti. Walaupun Myanmar telah merdeka selama 64 tahun, etnik Rohingya yang beragama Islam dilayan dengan begitu teruk sekali. Mereka tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan dan anak-anak mereka dihalang daripada bersekolah di sekolah kerajaan. Hatta untuk mendapatkan rawatan di hospital pun mereka menghadapi kesukaran. Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah mereka dibakar, tanah-tanah mereka dirampas dan keluarga mereka dihalau keluar dari bumi Myanmar. Bagi orang Rohingya, bumi yang mereka pijak ibarat neraka dunia.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

KEBIJAKSANAAN POLITIK UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA

Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun kita mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita dipagari daripada malapetaka besar yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dengan izin Allah s.w.t kita dapat hidup dalam suasana yang aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.

Kesemua ini pastinya tidak terjadi dengan sendiri. Sudah tentulah ada sebab musabab yang menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan sejahtera. Sebab yang utama ialah kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur antara parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Apabila Barisan Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita semakin kukuh dengan lebih banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan suku kaum bergabung, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Sepanjang lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional.

Alhamdulillah, meskipun ada kalanya kita diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.

Meskipun begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik. PAS sebagai contoh pernah menuduh UMNO sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti fir'aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.

Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional. Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama UMNO. Malah, DAP menuduh UMNO sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu, semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
Sebenarnya saudara-saudari, PAS dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka. PAS menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka. DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong mereka. Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.

Hakikatnya, sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA, bukannya MIC, bukan juga parti-parti komponen BN yang lain. Sebaliknya ia didalangi oleh PAS dan DAP. Merekalah yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga, sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah. Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang merupakan saudara seagama mereka. Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih kebencian.

Sutera dilipat habis dicuci
Tersimpul kemas di dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpacul di mulut nista dan caci

PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional. Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang
jelas berbeza.

Mari kita lihat tiga senario di tiga buah negeri yang diperintah oleh mereka. Di Pulau Pinang misalnya, DAP tidak mahu berkongsi kuasa pun dengan PAS. Walaupun PAS mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat PAS sehingga kini tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. DAP sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR. Walhal, sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal Islam di Pulau Pinang. Nampaknya, DAP tidak percaya kepada PAS.

Di Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS. Hari ini, apabila kerajaan PAS Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP. Ini membuktikan bahawa DAP bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam PAS.

Di Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri itu. Bagi parti DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak patut dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub dalam enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan. Akibat pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat dari Exco Kerajaan Negeri dan parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang oleh beliau, diambil alih oleh Menteri Besar dari PKR.

Ternyata, PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP dan PKR. Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si lebai malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas. PAS berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.

Saudara dan saudari,

Cuba kita bayangkan, jika sekarang pun PAS tidak mempunyai tempat dalam pakatan pembangkang, apakah ada jaminan bahawa PAS boleh menegakkan Islam menerusi pakatan pembangkang? Saya pasti saudara dan saudari yang berada di dalam dewan ini, dan juga tuan-puan yang mengikuti ucapan saya di luar sana, tahu apa jawapannya. Tidak mungkin PAS boleh menegakkan negara Islam. Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah mendendangkan lagu negara berkebajikan, bukan negara Islam.
Selama ini pun PAS sedar, sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang mereka tandingi kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen. Misalnya, dalam pilihanraya tahun 1969, PAS bertanding di hanya 62 daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990 bertanding di 29 daripada 180 kerusi parlimen, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen.

Ironinya, jika PAS menang di semua kerusi yang ditandingi sekalipun, PAS tidak boleh membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam seperti yang dicanangkan. Apatah lagi, pencapaian terbaik PAS ialah memenangi 26 kerusi dalam pilihanraya umum 1999. Saudara-saudari, PAS hanya menang semua kerusi yang ditandingi sewaktu berada dalam Barisan Nasional dalam pilihanraya 1974. Manakala, dalam semua pilihanraya yang lain, jumlah kerusi yang PAS kalah lebih besar daripada jumlah kerusi yang dimenangi.
Berbeza dengan UMNO, sepanjang sejarah pilihanraya di negara kita, jumlah kerusi yang kita tandingi dan menang dalam pilihanraya membolehkan kita menjadi parti teras dalam kerajaan. Dengan kedudukan ini, UMNO mampu melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan perjuangan parti berlandaskan musyawarah dengan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api. Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha PAS untuk menegakkan Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihanraya, 12 kali PAS berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13.
Dengan kedudukan PAS yang lemah, agak pelik bagi kita apabila dalam Muktamar PAS baru-baru ini, ada perwakilan parti itu yang mencadangkan Presiden mereka sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang. Seperti yang kita jangka, DAP awal-awal lagi tidak bersetuju Presiden PAS menjadi calon Perdana Menteri. Persoalannya, bolehkah Presiden PAS menjadi Perdana Menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh parti itu adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka? Tentu sekali jawapannya tidak boleh.

Jika tidak boleh, dan saya pasti mereka pun tahu ianya tidak boleh, mengapa dikemukakan juga cadangan itu? Bagi kita ini menunjukkan bahawa ahli-ahli akar umbi PAS tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR.

Sebenarnya saudara-saudari, konsep berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang. Mandat rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihanraya yang lalu untuk mememerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa. Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada PAS.

Cuba bayangkan saudara-saudari, jika masing-masing tidak percaya antara satu sama lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama mereka? Bolehkah pembangkang memerintah negara dengan aman? Bolehkah pembangkang membawa kesejahteraan kepada rakyat? Boleh atau tidak saudara-saudari? Jika tidak jawapannya, pastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam pilihanraya nanti.|Jangan kita serahkan negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh pembangkang.
CABARAN IDEOLOGI: ISLAM, KEBEBASAN DAN DEMOKRASI
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Kita sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru. Kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral. Di kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta berkongsi ideologi songsang sekalipun.

Di peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok minoriti yang tertindas. Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka.

Hari ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang Kemuncak Asean di Phnom Penh baru-baru ini.
Alhamdulillah, Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak menolak keras cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang bertentangan dengan prinsip agama dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan berleluasa. Bayangkan, apa yang akan terjadi kepada anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita dan agama kita jika amalan songang ini dibiarkan menular. Kita bersyukur, negara-negara Asean lain bersetuju dengan pendirian Malaysia, dan cubaan untuk mengiktiraf amalan yang bertentangan dengan prinsip agama, moral dan fitrah manusia sebagai satu hak gagal.

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

Di negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi benteng politik pembangkang. Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita yang menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot. Sedangkan kita semua tahu bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh Islam, dan juga oleh agama-agama lain. Jika undang-undang itu kolot, maka apakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot? Janganlah kerana perlakuan songsang ini dibenarkan di Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya.
Selain itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh kenyataan seorang Naib Presiden PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau mengatakan orang Melayu yang beragama Islam juga wajar diberikan hak kebebasan beragama, sepertimana yang diamalkan oleh penganut-penganut agama lain. Sedangkan kita tahu bagi umat Islam, seluruh kehidupan kita dipandu oleh syari'at Allah. Tidak mungkin hak untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Inilah sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba dibawa oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba merungkaikan asas-asas agama Islam yang telah terpahat kukuh di dalam al-Qur'an dan al-Sunnah. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada pemimpin Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad. Tetapi hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh sahaja.

Inilah sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang. Kita di dalam UMNO tidak boleh alpa. Ingatlah, UMNO adalah parti yang berjuang untuk menegak dan mendaulatkan Islam. Bangkitlah menjadi benteng mempertahankan masyarakat kita daripada diasak oleh ideologi songsang pembangkang. Jangan biarkan mereka menembusi jiwa anak-anak kita. Jangan biarkan mereka meracuni pemikiran masyarakat kita. Jangan biarkan mereka merungkai asas-asas agama kita. Kita yakin rakyat akan terus bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan nilai-nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Walaupun pembangkang menjanjikan bulan, bintang, matahari dan cakerawala apabila bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan, mereka tidak mengotakan apa yang janjikan. Seperti yang disimpulkan dengan begitu tepat sekali oleh YAB Presiden, antara sisi hodoh budaya pembangkang ialah bila berhutang tak perlu dibayar, bila menerima tak perlu berterima kasih, bila berjanji tak perlu ditepati. Jika saudara-saudari ingat, dalam manifesto pembangkang dahulu, tercatat janji untuk memberikan bermacam-macam kebebasan kepada rakyat kalau mereka berkuasa, termasuk janji kebebasan media.

Namun, belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang telah awal-awal lagi memungkiri janji mereka. Hari ini, apabila ada akhbar yang mendedahkan kepincangan mereka, mereka bergegas ke mahkamah menyaman akhbar berkenaan. Jumlah saman bukannya sedikit. Misalnya, nilai saman mereka ke atas sebuah akhbar arus perdana sejak tahun 2008 mencecah 1 bilion ringgit. Dengan jumlah sebesar ini, pembangkang di negara kita mencipta rekod dunia mengemukakan jumlah saman yang paling besar kepada sebuah akhbar.

Mereka berharap akhbar-akhbar di negara kita tidak lagi berani mendedahkan hakikat kepincangan dan keburukan mereka. Selain itu, pembangkang juga menghalang akhbar-akhbar tertentu daripada membuat liputan di majlis-majlis yang dianjurkan oleh mereka, termasuk di sidang-sidang Dewan Undangan Negeri. Inilah sebenarnya taktik kotor pembangkang untuk menutup kepincangan dan membisukan pengkritik mereka.

Inilah wajah sebenar pembangkang. Apabila terkena batang hidung sendiri, mereka lupa janji, lupa diri, lupa segalanya. Lebih memalukan, mereka lupa bahawa merekalah yang menabur fitnah ke serata dunia bahawa mahkamah kita tidak adil, mahkamah kita berat sebelah, mahkamah kita zalim. Tetapi apabila terdesak, merekalah orang yang paling awal berkejar ke mahkamah untuk mendapatkan perlindungan. Sebenarnya mereka tahu bahawa mahkamah kita boleh memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka. Tetapi kerana niat jahat mereka untuk memberikan gambaran buruk tentang negara kita kepada masyarakat antarabangsa, mereka sanggup menabur fitnah.

Samalah juga dengan tindakan Ketua Pembangkang meminta campurtangan kerajaan asing untuk memastikan pilihanraya kita bersih, bebas dan adil. Dia hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihanraya kita kotor. Inilah satu lagi pengkhianatan kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan niat jahat terhadap kerajaan Barisan Nasional, dia tergamak meminta campurtangan asing dalam hal ehwal politik negara kita.

Bagi kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi untuk menawan Putrajaya, awal-awal lagi mengatakan pilihanraya di negara kita tidak adil. Barangkali dia pun sudah tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam pilihanraya nanti. Jadi, lebih baik dibuat propaganda awal bahawa pilihanraya negara kita tidak adil, supaya apabila mereka kalah dalam pilihanraya, senanglah untuk mereka menuduh bahawa kita tidak berlaku adil kepada mereka. Senang jugalah untuk mereka berhimpun di jalan-jalan raya bagi menolak keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Kita fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil negara asing untuk memerhati pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen pemerhati asing mengenai PKR. Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR? Adilkah pemilihan PKR? Demokratikkah PKR apabila Ketua Pembangkang mengangkat dirinya sendiri menjadi Ketua Umum parti tanpa melalui proses pemilihan? Malah jawatan itu pun tidak ada dalam Perlembagaan parti. Apakah sah kedudukan Ketua Pembangkang dalam partinya sendiri? Perkara seumpama itu hanya boleh berlaku dalam sebuah parti yang dikuasai oleh seorang diktator, bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Daripada Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, parti itu ibarat Parti Keluarga dan Rakan-Rakan (PKR).
Kesemua ini tidak membayangkan mereka komited untuk melaksanakan janji demokrasi. Sudahlah komitmen kepada Islam semakin luntur, komitmen kepada demokrasi pun tidak ada. Bagi kita, parti-parti pembangkang tidak ada keabsahan moral untuk bercakap mengenai Islam atau demokrasi.

Demokrasi yang sebenar terlaksana apabila kerajaan mendengar rintihan, denyut nadi dan suara hati rakyat, apabila kerajaan melaksanakan dasar yang memenuhi aspirasi rakyat, apabila kerajaan membela nasib rakyat, apabila kerajaan menghapuskan ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan rakyat. Tiada maknanya demokrasi jika masih ada rakyat hidup melarat. Matlamat demokrasi tercapai apabila setiap rakyat dapat mengecap kehidupan yang sejahtera dalam negara yang makmur. Inilah yang diperjuangkan oleh UMNO untuk bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.

JAMINAN UMNO UNTUK BANGSA MELAYU
Saudara-saudari,

UMNO terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui insiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera akan terus diberikan peluang untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi yang sedang pesat berkembang. Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda Bumiputera, pegangan ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7 bilion ringgit. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti kita dan bangsa kita. InsyaAllah, dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan pada waktu ini, kita akan berjaya mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2020.

Begitu juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan meningkatkan syiar Islam. Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan. Hari ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik. Dengan kedudukan negara kita yang agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula membantu saudara Islam kita di seluruh dunia. Kita telah membantu saudara kita di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka memerlukan bantuan kita. Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan negara kita, Malaysia baru sahaja membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah hasil perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam.

Sepanjang 66 tahun UMNO memperjuangkan Melayu dan Islam, UMNO tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah keadilan UMNO. Inilah kesaksamaan UMNO. Pejuang UMNO tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya. Justeru, UMNO akan terus mengangkat suara Melayu di samping tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut oleh agama. Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur'an:


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Ma'idah, Ayat 8)
Saudara dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini, dan juga yang sedang mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di corong-corong radio di luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari masjid, ibu-ibu yang sedang melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu teksi yang sedang mencari rezeki di kota, para pekerja yang sedang berbakti kepada negara, para anggota keselamatan yang sedang menjaga keamanan kita, mahasiswa yang sedang mentelaah pelajaran di universiti, pemuda-pemuda yang sedang merenung masa hadapan, inilah komitmen UMNO dan Barisan Nasional, inilah janji UMNO dan Barisan Nasional. Kita sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan mensejahterakan rakyat tanpa perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni. Inilah bezanya antara kita dan pembangkang. Tatkala pembangkang semakin terdesak untuk meraih undi dan merebut kuasa, mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menggadai prinsip moral, maruah bangsa dan kesucian agama.

Renungkanlah saudara dan saudari. Tilik betul-betul apa yang dijaja oleh pembangkang dan apa yang dikota oleh UMNO dan Barisan Nasional. Walaupun pembangkang mempamerkan kepada kita bahawa merekalah yang akan membawa sinar kesejahteraan kepada rakyat, janganlah kita terpedaya. Sinar yang mereka janjikan itu ibarat kilauan sekeping kaca yang hanya menanti saat retak dan pecah berderai. Kita pasti rakyat yang matang lagi bijaksana dapat membezakan antara kepalsuan kaca dan ketulenan permata.

BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Kita sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara. Saudara-saudari yang berhimpun ini adalah lambang kekuatan perjuangan di tengah-tengah pertarungan ini. Dalam pusingan terakhir persiapan menghadapi pilihanraya, saudara-saudari di negeri, bahagian dan cawangan telah bekerja kuat untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya nanti. Sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihanraya, saya amat menghargai kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan saudara-saudari mencurahkan bakti kepada parti tanpa mengenal penat lelah. Percayalah, segala usaha yang dicurahkan oleh saudara-saudari, segala keringat yang menitis ke bumi, akan menyumbang kepada kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.

Pertingkatkan gerakerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai barisan hadapan jentera parti, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pasukan tahan lasak parti. Bergeraklah ke serata pelusuk desa dan kota, harungilah lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah panji perjuangan, insyaAllah kita akan mengarak obor kemenangan.

Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin Allah s.w.t., pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan UMNO, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr), kesatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci.

Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini. Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan.

UMNO di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara kita. UMNO telah merasai denyut nadi rakyat. Menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan UMNO sedang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Baik petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya sedang merasai sentuhan UMNO.

Kita akur bahawa transformasi adalah satu proses yang berterusan. Kita tahu bahawa masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti. Walau apapun, demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera, marilah kita redah segala rintangan, kita harungi segala dugaan, kita atasi segala cabaran. Marilah kita berikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memimpin parti dan negara. Marilah kita berikan sepenuh ketaatan kepada khalifah yang akan memimpin bala tentera kita. Firman Allah s.w.t dalam al-Qur'an al-karim:

أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ

Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
(Surah Al-Nisa', Ayat 56)

Kepada Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah perjuangan menjalin rantaian sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang. Maralah dengan merah yang menyala, tiuplah ia hingga menjadi obor yang menerangi jalan-jalan kemenangan. Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah pembimbing, engkaulah srikandi.

Kepada Pemuda, saudara-saudara lah hulubalang benteng hadapan yang akan mempertahankan Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak muda menyerah. Jangan biarkan walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke setiap kota, desa dan lurah. Dekatilah generasi muda dengan hikmah.Berjuanglah dengan tabah. Adat bertarung menjunjung maruah. Membujur lalu melintang patah.
Kepada Puteri, permata yang bergemerlapan, sinarilah generasi muda dengan harapan dan keyakinan. Andalah yang memahami suara hati mereka. Rasailah denyut nadi mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita dalam perjuangan murni melakari masa depan nusa dan bangsa.

Kita tidak gentar menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah pendirian kita. Perkukuhkanlah tekad kita. Pertingkatkanlah kebijakasanaan kita. Kita mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita mempertahankan benteng negara daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah politik jahat dan budaya sesat yang dibawa oleh pembangkang. Marilah bersama-sama kita mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita diberikan kekuatan untuk menghadapi mihnah dan fitnah zaman. Marilah kita memohon pedoman dari Allah s.w.t. agar ditetapkan hati-hati kita untuk terus berada di landasan perjuangan yang suci ini. Marilah kita memohon hidayah dari Allah s.w.t. agar dilembutkan hati-hati kita untuk menerima seruan persaudaraan dan perpaduan. InsyaAllah pertolongan Allah sentiasa bersama orang-orang yang berjuang di jalanNya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Muhammad, Ayat 7:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

Yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Pemuda adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah srikandi UMNO, Puteri adalah permata UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkanlah saf perjuangan kita. Berjuanglah dengan penuh ikhlas dan yakin membela agama, bangsa dan negara. Bangkitlah menjulang panji perjuangan. Maralah ke medan perang. InsyaAllah, berkat kesungguhan kita berjuang, berkat kebijaksanaan rakyat membuat pilihan, UMNO dan Barisan Nasional akan melakar kemenangan! Marilah kita sama-sama menadah tangan merafakkan doa:

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah!

Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang dirahmati Janganlah engkau leraikan hati kami dari mentaatiMu Satukanlah hati-hati kami di jalanMu


Ya Allah Ya Tuhan Kami! Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama sendiri Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalanMu yang diredhai
Ya Allah Bimbinglah kami di jalan yang lurus Redhakanlah jalan perjuangan kami Tetapkanlah kami di jalanMu Ya Allah

Ya Allah Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil Engkau kurniakanlah ketabahan di setiap hati kami Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami Engkau perteguhkanlah daya juang kami

Dengan rahmatmu Ya Allah Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami fai'za 'azamta fatawakkal 'alallah

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.


Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Tiada ulasan:

Pengikut