Puteri Bahagian Segambut |
- Hak Pemerintah Untuk Ditaati @NajibRazak @umbkl @mediaumno #bn4wp
- Dr. Rosli Kata Tahap Radiasi Lynas Tak Bahaya. Amacam @fuziah99?
- Lynas: 1 Pembohongan @fuziah99 & Sekutu2nya @umbkl @mediaumno
Hak Pemerintah Untuk Ditaati @NajibRazak @umbkl @mediaumno #bn4wp Posted: 20 Jun 2012 07:00 PM PDT Tahniah kepada MyKmu serta Generasi Bestari, iaitu Penganjur Program Fiqh Mentaati Pemimpin selama 3 hari di PWTC pada 15-17 June baru-baru ini. Program tersebut mendapat sambutan hangat serta pujian dari para peserta kerana berjaya mengupas isu-isu taat kepada pemimpin menurut Islam yang begitu membelenggu sebahagian rakyat Malaysia.
Ketika satu demi satu negara Islam di dunia semakin lemah atau hancur dek kerana rakyatnya telah tersilap pertimbangan akibat terlalu mengikut emosi sehingga termakan hasutan musuh, Malaysia masih berdiri teguh dan bertahan dari mengikut jejak langkah mereka.
Memetik kisah yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought & Civilization (ISTAC), UIAM, pembentang kertaskerja ke 7; ketika beliau berbual dengan seorang Ulama dari Turki, Dr. Ramadhan, kalau tak silap penulis, telah berkata bahawa "Malaysia adalah negara yang dijadikan seperti neraka – iaitu dengan terlalu berbilang kaum dan agama seolah-olah ditakdirkan untuk sentiasa berada dalam kacau-bilau, tetapi pemimpin Malaysia berjaya menjadikannya sebuah syurga," - iaitu makmur dan aman.
Hakikat ini, telah terlebih dahulu ditegaskan oleh hampir semua pembentang kertaskerja sebelumnya yang mengiktiraf Malaysia sebagai Negara Islam yang dilimpahi nikmat Allah S.W.T. Malah pembentang ke 3, iaitu Dr. Hamed Mohamed Abdel Rahman, Mantan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar Mesir juga menyatakan nama beberapa tokoh ilmuan Islam, antaranya, Dr. Hamza Hassan dan beberapa nama lagi yang penulis tidak sempat catitkan, yang semuanya mengangkat Malaysia sebagai negara yang mampu menjadi peneraju semua negara Islam di dunia.
Keamanan dan kemakmuran adalah nikmat nyata yang tidak harus dinafikan. Sikap umat yang kufur nikmat mampu mengundang bala kepada negara. Tidak ada sesiapa yang lebih layak menilai nikmat yang dikecapi oleh umat Islam di Malaysia melainkan para Ulama tersohor dari Negara-negara Arab yang telah menyaksikan kemusnahan di negara mereka.
Sesungguhnya, pekerjaan, makanan, kemudahan, keselesaan, keamanan, kesejahteraan, kegembiraan yang kita lalui dalam kehidupan adalah nikmat dan menafikan hakikat ini, adalah sifat orang-orang yang kufur.
Tidak mungkin rakyat akan mampu merasai segala nikmat ini sekiranya pemimpin kita bukan seorang yang layak iaitu adil, cekap, bijak dan prihatin. Yakinlah bahawa sekiranya pemimpin yang ada bukanlah seorang yang layak berada di tempatnya, maka negara ini sudah pasti hancur melihat dari keadaan lanskapnya yang begitu rapuh iaitu berbilang bangsa, agama dan budaya.
Jika kita meletakkan sesuatu di tempat yang tidak layak untuknya, maka tunggulah saat kehancurannya.
Berdasarkan fakta ini, semua Ulama yang membentangkan kertaskerja sepakat bahawa pemimpin yang sedemikian wajib ditaati.
Pembentang pertama, iaitu Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour, Mantan Timbalan Syeikhul Azhar, Mesir juga menyatakan bahawa bukan hanya rakyat yang mempunyai hak, tetapi pemimpin juga mempunyai haknya. Antara hak pemimpin ialah untuk ditaati dan dihormati. Jika tidak, negara mampu menjadi huru-hara dan tidak akan maju ke hadapan. Lalu, rakyat juga yang akan susah dan menderita.
Justeru, mentaati pemimpin adalah wajib menurut Islam. Selagi pemimpin tersebut menunaikan solat dan tidak menyuruh kepada kemungkaran.
"Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujjah (alasan)". (Hadis Riwayat Muslim. Kitabul Imarah, syarah Nawawi 12/240)
Syeikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah berkata:
"Taat kepada Allah dan Rasul-Nya wajib bagi setiap Muslim, taat kepada penguasa merupakan penguat ketaatan kepada Allah. Barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasulnya dengan menjalankan ketaatan kepada penguasanya, pahalanya dijamin oleh Allah. Tetapi kalau taat kepada penguasa dalam hal-hal yang menguntungkan sahaja, bila diberi hal yang memenuhi kepentingannya ia taat dan sebaliknnya jika tidak diberi dia tidak akan taat, orang yang seperti itu pada hari akhirat tidak punya bahagian (pahala)". (Majmu' al-Fatawa. 35/16-17. Ibnu Taimiyah)
Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam mengajar umatnya agar sentiasa memuliakan penguasa, pemerintah atau pemimpin. Baginda bersabda:
"Barangsiapa yang memuliakan penguasa (kerana) Allah (di atas bumi), maka Allah akan memuliakannya pada Hari Kiamat". (Hadis Riwayat Ibnu Abi Asim dalam as-Sunnah. Hlm. 275).
Umat yang tidak mentaati pemimpin pastinya akan berpecah belah. Umat yang berpecah belah pastinya lemah di mana musuh akan mudah menghancurkan mereka. Lebih buruk lagi, mereka juga akan menghancurkan sesama sendiri dengan kebencian yang meluap-luap, hasad dengki, iri hati dan dendam kesumat yang tidak berasas sama sekali. Untuk menghancurkan sesama sendiri pula mereka akan menyebarkan fitnah, mencaci dan menipu orang ramai bagi mencapai matlamat mereka.
Kehancuran sesebuah negara hampir semuanya berpunca dari tindakan sebahagian rakyat yang menentang pemimpin atau keluar dari jemaah.
Dalam bahasa mudahnya, apa yang boleh disimpulkan dari isu 'taat kepada pemimpin' yang dibentangkan oleh para Ulama di dalam program tersebut ialah: Pemimpin Malaysia hari ini adalah orang Islam, yang syahadahnya masih kukuh, solatnya juga terjaga. Beliau juga tidak pernah menyuruh sesiapa berbuat maksiat atau melakukan kemungkaran. Jika beliau punya kelemahan dan jika beliau ada melakukan dosa itu adalah soal dirinya dengan Allah S.W.T. Selagi beliau mampu mentadbir negara dengan baik sehingga penduduknya aman damai, makmur dan mampu menyediakan kemudahan asas terutamanya pendidikan, maka menentang beliau adalah satu tindakan yang bertentangan dengan tuntutan Islam.
Dengan berkat doa para Ulama tersohor dunia, harapan kita agar Umat Islam di Malaysia kembali bersatu dan menolak seruan golongan Ulama jahat akhir zaman yang ingin kita semua terus berpecah belah demi kepentingan diri dan politik kepartian. |
Dr. Rosli Kata Tahap Radiasi Lynas Tak Bahaya. Amacam @fuziah99? Posted: 20 Jun 2012 05:00 PM PDT Anggota Parlimen Hulu Langat daripada Pas, Dr Che Rosli Che Mat yang juga seorang pakar nuklear sekali lagi menjelaskan bahawa tahap radiasi projek kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang adalah di tahap yang rendah. Che Rosli berkata beliau berpuas hati dengan pembentangan Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Dewan Rakyat, Selasa. "Saya berpuas hati dengan pembentangan ini sebab jawatankuasa ini mengutip pandangan dan masalah masyarakat. Sebagai contoh kalau kita baca laporan di muka surat 17 dan 18 di dalam laporan itu memang betul. "Itu bagus dan saya setuju. Tahap daripada segi radiasi memang rendah, itu saya tahu sebab saya sendiri yang mengukur (tahap radiasi). Perkara lain saya tidak berani komen... saya tidak berani sebut sama ada Lynas selamat atau tidak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, Selasa. Pada Ogos tahun lepas, Dr Che Rosli mengakui bahawa projek Lynas adalah selamat dan tidak seperti dakwaan Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat. Sebelum ini, dalam satu sesi temu bual dengan sebuah televisyen swasta (TV3) Dr Che Rosli berkata tindakan segelintir pemimpin pakatan pembangkang yang mendakwa projek berkenaan sebagai satu ancaman kepada rakyat adalah tidak lebih daripada sekadar meraih kepentingan politik. Beliau turut ditanya mengenai pemberian lesen sementara kepada Lynas untuk beroperasi dan menyifatkan tindakan sedemikian adalah betul. Sumber : TINGGALKAN SATU PELURU |
Lynas: 1 Pembohongan @fuziah99 & Sekutu2nya @umbkl @mediaumno Posted: 20 Jun 2012 04:42 AM PDT Di Malaysia hari ini, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa jika sesuatu perkara itu berkaitan dengan pembangkang, maka ia tidak boleh lari dari pembohongan.
Lynas, adalah salah satu pembohongan pembangkang tahap paling memalukan. Ini kerana angka matematik dan fakta saintifik tidak boleh ditipu. Fakta dan angka telah membuktikan bahawa Kilang Lynas adalah selamat. Fakta dan angka ini bukannya direka-reka cipta sepertimana Raja Petra Kamaruddin mereka-cipta kisah pembabitan Perdana Menteri dalam pembunuhan Altantuya dari imaginasinya. Ia juga bukan seperti Anwar Ibrahim berimaginasi menjadi Perdana Menteri pada 16 September.
Fakta dan angka dari kajian saintifik lengkap yang dikemukakan oleh pihak International Atomic Energy Agency (IAEA) dan AELB mengenai Lynas bukannya imaginasi.
Justeru, eloklah sekiranya Fuziah Salleh, Tian Chua, Tan Bun Teet (Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas) berhenti menyalak dan menerima hakikat bahawa Lynas adalah selamat. Belajarlah merasa malu dan bersalah apabila berbohong. Apatah lagi apabila sekutu sendiri iaitu Che' Rosli Che Mat, Ahli Parlimen PAS Hulu Langat yang juga seorang saintis, sendiri mengakui bahawa Lynas adalah selamat.
Fuziah, Tian Chua, Bun Tee sebelum ini begitu galak menyebarkan pembohongan bahawa kerajaan cuba 'mengecat-putihkan' apa yang gelap mengenai Lynas. Mereka mengenepikan segala dapatan dari kajian yang dilakukan oleh pihak-pihak yang pakar mengenai radioaktif dan nuklear sebaliknya menampilkan pakar-pakar politik serta 'pencinta alam' yang sesetengahnya diimport dari Singapura untuk menguatkan hujah kononnya Lynas adalah merbahaya.
Kerajaan bagaimanapun, tetap memberi ruang kepada mereka untuk membangkitkan isu ini sebagai usaha memastikan keputusan yang paling tepat untuk negara. Untuk itu, kerajaan telah menubuhkan panel parlimen untuk mengkaji apa yang dituduh oleh para penentang Lynas ini.
Bagaimanapun, pihak yang menentang langsung tidak mampu bercakap dalam bentuk fakta dan angka tetapi semua hujah mereka adalah bersandarkan emosi yang berbekalkan air liur semata-mata.
Justeru, panel akhirnya memutuskan bahawa "Jawatankuasa mengambil maklum bahawa melalui kajian, kadar purata dos sinaran di projek LAMP adalah 2 mSv setahun untuk pekerja (had dos tahunan dibenarkan adalah 20 mSv setahun) dan 0.002 mSv setahun untuk orang awam (had dos tahunan dibenarkan adalah 1 mSv setahun) dan ini menunjukkan bahawa kadar di projek LAMP adalah rendah dan selamat."
Dan, "Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia...Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa. Jawatankuasa mengesyorkan agar lesen Kelas A (Mengilang – Peringkat Pengendalian Sementara) atau (Temporary Operating Licence – TOL) dikeluarkan... (dan) satu jawatankuasa pemantauan (monitoring committee) dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP."
Jika Fuziah dan kuncu-kuncunya mampu berhujah dengan fakta yang meyakinkan tentulah keputusan panel akan berbeza sama sekali.
Sifat pembangkang yang suka berbohong ini telah merugikan bukan sahaja Lynas, tetapi juga negara dan rakyat yang berpeluang bekerja di sana.
Menurut Lynas, penangguhan dalam mendapatkan lesen untuk kilangnya, yang pada mulanya diluluskan pada bulan Januari, mungkin akan ada "akibat yang sangat serius" untuk tempahan bumi nadir bernilai RM80 bilion yang sudah diterima, kerana sudah ditempah untuk "10 tahun yang akan datang". Ini bermakna kerugian juga dialami oleh negara ini selama 10 tahun akan datang kerana pendapatan kilang Lynas juga bermakna pendapatan kepada negara. Apatah lagi dengan nadir bumi menjadi antara sumber penting untuk menampung keperluan dunia yang semakin canggih ini.
Oleh itu, kita melihat tindakan menghalang operasi Lynas, adalah umpama menolak rezeki.
Nampaknya, dalam isu ini, yang merbahayakan rakyat, negara dan alam sekitar bukanlah Lynas, tetapi Fuziah Salleh dan kuncu-kuncunya. Terbukti radioaktif dari air liur dan hati mereka yang busuk mampu menjejaskan rakyat dan negara.
Kita percaya, majoriti rakyat Malaysia mampu membezakan antara fakta dan angka dengan emosi dan air liur. Kedegilan pembangkang untuk terus memainkan isu Lynas dilihat sebagai bukti bahawa mereka amat terdesak kerana ketandusan isu di kala pilihanraya semakin hampir.
Pembangkang nampaknya masih tidak sedar bahawa semakin degil sikap mereka untuk menolak Lynas, semakin kuat gelombang penolakan rakyat terhadap mereka.
|
You are subscribed to email updates from FROM THE EYES OF SEGAMBUT PRINCESS To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan