PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN |
PRU 13 : TARIKH TERBARU...SILA BACA.... Posted: 01 Jun 2012 01:21 AM PDT
Ekonomi global, risiko PRU13 lambat 29 Mei 2012 Menurut sembang politik di kedai kopi terdapat tiga jendela waktu yang dikira sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) iaitu sebelum Ramadan (akhir Jun/awal Julai), selepas raya- September dan sesudah Tahun Baru Cina 2013. Justeru, Perdana Menteri ada fleksibiliti tinggi dalam memilih antara jendela waktu ini. Namun, situasi ekonomi global yang tidak menentu menyulitkan pilihan ini. Kemenangan pemimpin sosialis Perancis, Francois Hollande dalam Pilihan Raya Presiden, kemelesetan di Greece dan kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat serta perkembangan ekonomi China yang semakin perlahan bermakna kita juga pasti akan merasa tempiasnya. Pada masa sama, kemenangan calon Parti Pekerja dalam Pilihan Raya Kecil Hougang di Singapura hujung minggu lalu memperlihatkan pola pengundian yang menentang jentera parti pemerintah yang kuat. Menentukan tarikh pilihan raya itu sendiri merupakan suatu seni. Banyak faktor harus dipertimbangkan dari kesiap sediaan parti, mesej di media dan penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan. Pilihan raya tidak pernah berlaku dalam ruang vakum. Kita tidak boleh mengetepikan arena antarabangsa, terutama perkembangan yang memberi kesan langsung kepada ekonomi kita. Malangnya, hari ini kita masih terlalu fokus kepada pertempuran politik domestik dari persoalan kebebasan sivil, mengenai kaum dan agama. Berlatarbelakangkan iklim ekonomi dunia yang malap, Perdana Menteri tidak lagi mempunyai lebihan masa untuk membubarkan Parlimen awal tahun hadapan. Pemacu pertumbuhan ekonomi semuanya sedang mengalami penurunan. Lihat pada statistik yang ada, pertumbuhan ekonomi China menurun kepada 8.1 peratus berbanding 8.3 peratus yang diramalkan. Sememangnya ini melebihi unjuran awal kerajaan dan jauh mengatasi Barat. Namun, ketepatan angka ini diragui. Seperti dilaporkan akhbar Financial Times baru-baru ini, petunjuk lain seperti pertumbuhan pengeluaran industri mengalami penurunan ke 9.3 peratus pada April berbanding 11.9 peratus sebulan sebelumnya serta pertumbuhan import yang lemah (0.3 peratus sahaja pada April berbanding tahun sebelumnya) sememangnya mengesahkan penurunan kadar pertumbuhan ekonomi China yang cukup membimbangkan. Dalam satu lagi indeks dikeluarkan bank HSBC yang mengukur aktiviti perindustrian di China setiap bulan, indeks Mei masih mengekalkan tren menurun ke 48.7 peratus dari 49.3 peratus (April). Ini bulan ketujuh indeks ini berada di bawah paras 50, mengesahkan perlahannya pertumbuhan ekonomi China. Angka-angka yang agak memeranjatkan ini muncul kala ketidakstabilan politik di China ekoran pemecatan dan penahanan salah seorang pemimpinnya yang popular, Bo Xilai dan pertelingkahan Laut China Selatan dengan Filipina. Amerika Syarikat pula masih gagal baik pulih ekonominya dengan pantas setelah kegawatan 2008/2009. Jumlah pekerjaan baru bukan ladang yang berjaya dihasilkan pada April 2012 hanya 170,000, dan ini menyulitkan penurunan kadar pengangguran yang masih di tahap tinggi iaitu 8.2 peratus. Pertumbuhan satu lagi gergasi Asia, India pula dijangka tidak sebesar sasaran iaitu 9 peratus dan hanya akan mencapai sekitar 6.9 peratus ekoran kelemahan kerajaan lakukan reformasi yang secukupnya. Eropah pula sedang alami masa gelap dan kemungkinan terpaksa melakukan devaluasi mata wang untuk selamatkan ekonomi mereka, situasi yang hampir serupa dengan Asia Tenggara di penghujung 1990an. Dengan dasar yang bercanggah dari satu negara ke negara lain, dari penjimatan ke populisme, ternyata mereka tidak mampu untuk berfikir secara rasional dan sekata dalam mengambil langkah berkesan untuk menangani krisis ekonomi sedang melanda. Sememangnya, perkembangan ini tidak untungkan Malaysia sama sekali. Semua negara di atas adalah pelanggan barangan eksport kita. Sebarang kegawatan ekonomi global pasti akan beri kesan yang besar kepada negara kita. Situasi politik domestik di Malaysia sudah berada dalam kedudukan terbaik. Masalah lebih besar menanti kerajaan ialah bagaimana untuk berdepan ekonomi global yang buruk. Kita memerlukan pilihan raya secepat mungkin supaya kerajaan dengan mandat yang kuat dan baru dapat dibentuk untuk menyediakan negara berdepan dengan krisis ekonomi dunia. Akhiri teka-teki pilihan raya dan fokus kepada mentadbir negara. Perdana Menteri kita sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin tidak gemar mengambil risiko. Justeru, memandangkan kita sudah melangkah ke bulan Jun dan ditambah dengan senario ekonomi global yang malap, melambatkan pilihan raya bukanlah langkah bernas kerana ia hanya akan meningkatkan risiko untuk parti dan kerajaan! |
You are subscribed to email updates from PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan