Ahad, 6 Mei 2012

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


Hari Ulang Tahun UMNO 11 Mei Ini Janjikan Kelainan, 66 Tahun Pembela Rakyat

Posted: 05 May 2012 07:07 PM PDT



KUALA LUMPUR 24 April – Bertemakan UMNO Pembela Rakyat, sambutan hari ulangtahun UMNO ke-66 kali ini berlainan dengan sambutan sebelumnya yang mana akan dimeriahkan dengan pelbagai acara dan program yang menarik untuk seluruh rakyat.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata rakyat pelbagai kaum dialu-alukan untuk turut sama memeriahkan pelbagai program dan aturcara yang bakal disediakan kelak.

Menurut beliau sambutan ulangtahun UMNO akan bermula dengan larian bendera UMNO, konvoi bermotosikal, majlis tahlil serta kemuncaknya karnival selama tiga hari dua malam di Stadium Bukit Jalil.

"Untuk larian bendera, ianya akan berjalan serentak di empat zon pada 1 Mei ini dan akan berakhir di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei nanti. Untuk Zon utara, larian bendera ini akan melalui empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Selangor, manakala Zon Pantai Timur akan bermula di Kelantan dan akan melalui Terengganu dan Pahang.

"Untuk Zon Selatan pula ianya akan bermula di Johor dan akan menjelajah  Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dan untuk Zon Sabah akan bermula di Negeri Bawah Bayu seterusnya diterbangkan ke KLIA dan seterusnya melalui Selangor dan Wilayah Persekutuan. Larian ini akan berakhir di Stadium Bukit Jalil apda 11 Mei nanti," katanya pada satu sidang media khas sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke 66 di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi konvoi bermotosikal pula akan bermula pada 4 hingga 11 Mei yag akan diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Tengku Adnan seterusnya menambah majlis tahlil akan diadakan pada 10 Mei bertempat  di Surau Ar-Rahman, PWTC  selepas solat Maghrib yang akan dipimpin oleh Senator Mej Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom.

Tambah beliau untuk sambutan di Bukit Jalil, terdapat 'outdoor dan indoor activity' yang bakal menemui pengunjung.

"Pelbagai acara menarik akan diadakan…tetapi apa yang penting pada 11 Mei, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan menyampaikan ucapan selain penganugerahan tokoh Melayu terbilang," katanya.
Katanya lagi sepanjang tiga hari dua malam karnival berkenaan, pelbagai acara menarik disediakan untuk pelbagai kumpulan sasaran seperti paintball, rock climbing, street soccer, silat, pertunjukan Robotic, pancaragam dan sebagainya lagi.

"Macam-macam acara kita sediakan baik untuk golongan dewasa dan pelbagai kumpulan umur yang lain. Untuk melihat acara lebih jelas dan program yang diatur, layari www.umno-online.com," katanya. -MediaUMNO

Baiki ruang kelemahan sebelum PRU-13 - PM

Posted: 05 May 2012 07:01 PM PDT

KUALA LUMPUR 5 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat peringkat akar umbi UMNO terutama daripada ketua bahagian dan cawangan mencari ruang yang boleh dibaiki walaupun secara keseluruhannya parti itu sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. 

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sangat penting kumpulan akar umbi ini bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga, sekali gus mengetepikan sebarang persaingan dan persengketaan sesama ahli buat sementara waktu.

"Kita ini merupakan satu pasukan, satu keluarga yang bukan saja mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti pembangkang dan bukanlah sesama kita," katanya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO-Online di sini, hari ini.

Katanya, ahli UMNO perlu menjurus kepada perhatian yang sepenuhnya kepada sebarang dan segala usaha yang boleh dibuat untuk memastikan jentera parti ini padu dan boleh bergerak, lancar serta penuh bersemangat untuk parti dan Barisan Nasional (BN).

Pada masa sekarang, semua jentera UMNO di negeri sudah dipersiapkan, kursus sudah diberikan, panduan sudah disediakan dan perjumpaan dengan mereka telah pun dibuat, katanya.
Najib juga mahukan setiap ahli UMNO tanpa mengira jawatan yang mereka pegang supaya membantu memenangkan parti dengan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana setiap undi itu mempunyai nilai tersendiri.

"Kita ini merupakan parti yang besar, 3.3 juta ahli kita semua sekali. Oleh itu, kita mesti meletakkan dalam fikiran dan juga 'mind set' ahli-ahli parti kita ini supaya menumpu kepada sebarang usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita.

"Tidak semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa sekurang-kurangnya nilai undi kita, sebab ada kalanya ada juga ahli UMNO yang tidak mengundi waktu pilihan raya," katanya lagi.

Najib bagaimanapun mengaku bahawa dirinya adalah seorang yang realistik dan bukan mudah untuk mengubah sikap ahli UMNO dalam jangka masa pendek.

"Saya rasa bahawa pencapaian atau pun perjalanan ini sudahpun bermula dan ada sedikit sebanyak perubahan tapi kita perlu meneruskan lagi sebab untuk mentransformasikan UMNO adalah satu cabaran yang tentu sekali akan memakan masa," katanya. 

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Pengikut