PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS |
PERTABALAN YANG DI PERTUAN AGONG YANG KE 14 Posted: 11 Apr 2012 07:19 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 April — Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini. Memetik Bernama Online, sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu "Perang" bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini. Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Leftenan Sabri Abdullah. Tuanku Abdul Halim mencatat sejarah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua setelah pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84 tahun. Belum pernah dalam sejarah negara, Sultan atau Raja yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. Malah yang menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya Datuk Seri Najib Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain, yang merupakan perdana menteri kedua negara. Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing. Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua Diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya. |
You are subscribed to email updates from PUTERI UMNO BAHAGIAN CHERAS To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan