Sabtu, 31 Mac 2012

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak

Pentas UMNO Kg.Serdang, Sitiawan. Perak


Nizar Lambai Tersentak 'Rahsia Tersembunyi' Dibongkar?

Posted: 31 Mar 2012 11:20 AM PDT


Sejak mengambil alih teraju pentadbiran Perak pada 2009, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir tidak pernah sunyi daripada serangan bertali arus pihak pembangkang.

Tidak cukup dasar pentadbirannya diserang membabi buta, Zambry turut dicerca malah warna kulitnya dijadikan modal politik, taktik dangkal yang mencetuskan kemarahan rakyat marhaen.

Serangan ke atas Zambry kebelakangan ini dikhabarkan semakin hebat. Ibarat serangan berangkai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu diasak kiri dan kanan – dengan pelbagai cara – terbuka atau secara halus.

Di Perak sahaja, tidak kurang lima blog diwujudkan untuk melancarkan serangan bertubi-tubi secara khusus terhadap Zambry dengan menyebar fakta-fakta songsang mengenai program pembangunan yang diilhamkan di bawah pentadbirannya.

Dikhabarkan juga, wujud kumpulan penyair yang digerakkan di lokasi tumpuan umum sekitar Perak. Berselindung di sebalik imej aktivis alam sekitar, kumpulan ini mengalunkan syair-syair puitis yang sarat dengan mesej menghentam kerajaan pimpinan Zambry.

Sebuah laman web diwujudkan dengan tajuknya seolah-olah mempromosi Pangkor sebagai destinasi pelancongan, tetapi dipenuhi pendedahan berat sebelah mengenai pembangunan di pulau terkemuka itu termasuk di Pulau Matanggor dan Pulau Segadas.

''Semua serangan ini terarah di kawasan Zambry sendiri. Ini tidak berlaku secara kebetulan, pembangkang mahu mencalar imej Menteri Besar ke tahap paling maksimum. Mereka tahu Parlimen Lumut menjadi kawasan tumpuan dalam pilihan raya nanti," kata seorang veteran UMNO ketika dihubungi.

Tidak hairanlah, projek kilang bijih besi syarikat Brazil, Vale S.A di Teluk Rubiah, Lumut yang dijangka menjana pelaburan mencecah AS$5 bilion (RM14.9 bilion) dijadikan sasaran. Skrip menghentam isu kilang Lynas di Pahang 'dikitar semula' untuk menyerang projek ini.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang paling lantang mengkritik projek tersebut mendakwa kerajaan pimpinannya sebelum ini tidak pernah membenarkan syarikat bijih besi itu meneruskan projek berkenaan.

Bagaimanapun, Zambry yang sebelum ini dilihat mengambil pendirian enggan melayan sikap hipokrasi pembangkang dalam isu tersebut, semalam tampil dengan kenyataan yang tentunya membuat Mohammad Nizar tersentak.

Zambry menegaskan, pihaknya bersedia mendeklasifikasikan dokumen-dokumen sulit kerajaan bagi membuktikan Pesuruhjaya Pas itu bersetuju meneruskan projek tersebut ketika menjadi Menteri Besar.

''Bukan amalan kita mendedahkan dokumen sulit tetapi disebabkan ada ahli politik seperti ini yang mahu mengelirukan rakyat, menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkannya. Ini fitnah besar terhadap pentadbiran saya, orang ramai perlu tahu perkara sebenar," tegas Zambry.

Sebelum ini, blog-blog pembangkang cuba membakar sentimen orang Melayu dengan menuduh Zambry menjual tanah Melayu kepada Vale.Bagaimanapun, usaha itu tampak sia-sia kerana terdapat bukti yang mengesahkan tanah-tanah projek itu merupakan milik individu sejak 1980-an.

Ironinya, ketika para pemimpin pembangkang di Dewan Rakyat bertegang urat leher mengkritik kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) negara, kenapa projek pelaburan bernilai berbilion ringgit yang bakal memberi limpahan manfaat kepada rakyat Perak ini cuba digagalkan?

Juga, kenapa sehingga kini, pembangkang tidak mahu berhujah secara konkrit untuk menafikan keselamatan projek itu yang melalui proses kelulusan amat ketat Jabatan Alam Sekitar bagi laporan Impak Alam Sekitar (EIA)?

Untuk rekod, Vale – syarikat pengeluar bijih besi terbesar dunia sudah bertapak di 38 buah negara termasuk Perancis dan Switzerland – antara negara paling kehadapan sebagai jurucakap global dalam isu-isu penjagaan alam sekitar.

Jika benar projek itu satu ancaman yang cukup dahsyat kepada kesihatan rakyat dan alam sekitar seperti digembar-gemburkan, kenapa pembangkang membenarkan projek ini diteruskan ketika mereka pernah memerintah Perak dahulu? Kenapa fakta ini mahu disembunyikan?

Wajar juga ditanya, kenapa baru sekarang Mohammad Nizar begitu bersungguh-sungguh mempersoalkan projek Vale sedangkan ia diluluskan sudah begitu lama. Malah lebih awal dari projek kilang hasil nadir bumi di Gebeng, Pahang.

Realitinya, semua serangan berangkai ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia seperti plot yang disusun rapi bukan sahaja untuk mencalar populariti Zambry yang kian memuncak, tetapi juga untuk menggugat kedudukan BN secara keseluruhanan di Perak.

Bagai pemerhati politik, gerakan-gerakan ini adalah satu komplot politik untuk menawan Parlimen Lumut – kawasan yang diketahui sangat diidam-idamkan pembangkang setelah hampir merampasnya daripada BN pada pilihan raya umum lalu.

Untuk rekod, BN menang dengan majoriti 298 undi di Parlimen itu dalam pilihan raya umum lalu manakala pembangkang berjaya merampas kerusi DUN Pasir Panjang selain mempertahankan kerusi tradisi mereka di Sitiawan.

Di tengah-tengah tsunami politik yang turut membadai Perak, Zambry mempertahankan kerusi DUN Pangkor dengan majoriti selesa sehingga kemenangannya dikatakan menjadi antara faktor penyelamat BN di Parlimen Lumut.

DUN Pasir Panjang dan Sitiawan kini masing-masing disandang Mohammad Nizar dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham – dua pemimpin yang diketahui paling lantang mengkritik kepimpinan Zambry.

''Pembangkang tiada pilihan, Pangkor perlu diserang habis-habisan, jika tidak menang sekalipun, mereka mahu pastikan setidak-tidaknya majoriti Zambry jatuh merudum dan berharap Lumut jatuh ke tangan pembangkang," kata seorang pemerhati politik ketika dihubungi.

Namun kata pemerhati tersebut, pembangkang tentunya memerlukan senjata lebih ampuh untuk meruntuhkan kubu kuat BN di Pangkor. Rekod cemerlang Zambry sebagai wakil rakyat sejak 2004 tidak boleh dipandang sebelah mata. Majoriti 5,785 undi yang diperolehinya pada PRU-12 menceritakan hakikat itu.

Pembangkang tentunya juga sedar bahawa tidak mudah untuk memadam rasa bangga rakyat Pangkor yang pertama kali memiliki seorang wakil rakyat bergelar Menteri Besar.

Lihat sahaja kemajuan pesat yang sedang dinikmati rakyat Pangkor ketika ini. Kebanyakannya adalah hasil inisiatif Zambry sendiri yang turut digelar penduduk setempat sebagai 'arkitek' pembangunan Pangkor.

Apa pun, Lumut kini umpama di ambang medan perang PRU-13 . BN tentunya menyedari bahawa serangan-serangan ini tidak boleh diambil mudah. Rakyat tidak sepatutnya terus disuap dengan kecelaruan fakta yang dicipta untuk meraih keuntungan politik. Dalam hal ini, rakyat terutamanya penduduk Lumut berhak mengetahui kebenaran.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:

Pengikut