Selasa, 21 Februari 2012

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


ISU HANGAT : DARI SEBUAH BUKU....

Posted: 21 Feb 2012 12:12 AM PST

Di petik dari buku Anwar Ibrahim Pengkhianat atau Patriot ?


1. Anwar pejuang Islam?


Mengapakah Anwar yang tersohor dengan ucapannya berapi-api, mata liar, tangan menggenggam azam dan keberaniannya luar biasa masih belum sampai ke Putrajaya tempat bersemayamnya Perdana Menteri ?

Dia terus bersilat dan berkuntau untuk membebaskan diri dan jiwanya dari tuduhan meliwat sejak tahun 1998 hingga sekarang ? 

Apakah Allah menderanya di atas muka bumi untuk memberi iktibar kepada para pemimpin yang kononnya berjiwa Islam agar jangan berlagak munafik ?

Apakah segala mantra dan slogan politik yang terpancut dari mulutnya menjadi kaku dan lesu dan hilang tenaga magisnya bilamana sebahagian besar rakyat sudah bijak menialai siapa Anwar sebenarnya? 

Kini ramai orang bertanya siapa Anwar sebenarnya? Apakah dia seorang Islam nombor wahid atau seorang munafik? Apakah dia seorang patriot yang cintakasihnya bernafaskan budaya bangsanya dan sanggup hidup dan mati memperjuangkan hak bangsanya?

Atau apakah dia seorang pengkhianat yang sanggup memperjudikan masa depan negara dan bangsa serta agama untuk menjadi talibarut kuasa asing?

Sesungguhnya Anwar memakai banyak topeng, yang beranika warna untuk menyesuaikan dengan golongan masyarakat dan para pemimpin yang ingin mengenalinya dari dekat.

Oleh kerana terlalu banyak topeng yang digemarinya maka akhirnya dengan kuasa Allah, kini dia sudah melondehkan peribadinya sendiri. Inilah Anwar dengan segala ketelanjangannya.


SIRI 1.


REPUBLIK MALAYSIA ATAU REPUBLIK RAKYAT MALAYSIA?

Posted: 20 Feb 2012 11:50 PM PST


Mengapa mahu ditukar sistem raja berperlembagaan Malaysia kepada republik?



PERNAHKAH sesiapa terfikir akhirnya Malaysia akan menjadi sebuah negara republik? Nama Malaysia kelak ialah Republik Malaysia, atau mungkin Republik Rakyat Malaysia?

Siapa kata ia tidak boleh berlaku? Ia mungkin boleh berlaku. Dengan situasi politik Malaysia sekarang ia kemungkinan boleh berlaku. Bukan tujuan saya mahu menakut-takutkan rakyat Malaysia, tapi ia boleh berlaku.

Adakah ia tidak pernah terfikir di fikiran sesetengah pihak? Atau adakah ia memang berada dalam fikiran sesetengah pihak? Atau adakah ia memang pernah dicadangkan oleh sesetengah pihak? Dan, atau adakah ia memang pernah diperkatakan oleh sesetengah pihak?

Orang yang memikir mengenainya, mencadangkan mengenainya dan memperkatakan mengenainya sememangnya cukup berfikiran jauh. Jika dia tidak berfikiran jauh maka dia tidak akan memikir, mencadang atau memperkatakan mengenainya.

Tapi adakah salah berfikiran sebegitu, jika ia boleh dilakukan? Tiada salahnya berfikiran sebegitu jika sokongannya atau mandatnya mencukupi. Dan tiada salahnya berfikiran sebegitu juga semua orang menyetujuinya.

Republik Malaysia atau Republik Rakyat Malaysia boleh berlaku. Sama seperti di yang berlaku negara-negara jiran. Kalau sesiapa pun selepas pilihan raya 13 ini menang, walaupun tidak secara 2/3 ia masih boleh berlaku. Yang menang itu akan mencadangkan dimansuh (bukan dipinda) Perlembagaan Malaysia bagi diganti dengan yang baru melalui satu referendum (pungutan suara). Pungutan suara itu boleh dicapai, kerana jika sesiapa pun berkuasa maka ia boleh memanipulasi keputusan itu untuk memihak kepadanya. Siapa kata ia tidak boleh berlaku.

Apa yang tidak boleh berlaku ialah meminda perlembagaan yang memerlukan perkenan kesemua raja-raja Melayu.
Maka itu, Malaysia boleh menjadi republik.

Sistem pemerintahan Malaysia sekarang ialah sistem raja berperlembagaan. Sebagai negara republik, Malaysia akan memisahkan sistem beraja. Maka dengan itu fungsi institusi raja-raja Melayu akan dipisahkan daripada sistem kerajaan.

Pada masa itu raja-raja Melayu masih wujud, tapi ia tidaklah lagi berfungsi. Buat sementara waktu raja-raja Melayu itu akan terus menikmati kemudahan, sehinggalah ia mungkin kemudiannya akan ditarik sedikit demi sedikit(?).

Itu tidak mustahil berlaku. Ia boleh berlaku. Ada yang sudah mula mengatakan fungsi raja-raja sekarang pun bukanlah besar sangat selain daripada hanya berkisar mengenai hal-hal berkaitan adat istiadat Melayu dan agama Islam.

Rata-rata orang Melayu di Malaysia masih tidak mempercayai adanya usaha untuk mengubah sistem pemerintahan negara ini kepada sebuah negara republik. Mereka berkata mustahil orang-orang itu berfikiran sedemikian. Namun ada juga orang Melayu yang tidak peduli jika ia berlaku.

Tetapi ada yang berkata mengapa perlu dimansuhkan sistem raja berperlembagaan di negara ini sedangkan ia adalah antara yang berunik di dunia. Raja-raja Melayu bergilir-gilir dipilih untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara persekutuan Malaysia ini. Mengapa sistem itu mahu dihapuskan bagi digantikan dengan sebuah republik? Adakah ada pihak yang berfikiran kotor sebegitu hanya kerana raja-raja itu merupakan custodian atau penjaga kepada Perkara 153?

Jangan tanya saya mengapa ada usaha ke arah itu. Sekali lagi saya tidak berniat menakut-takutkan sesiapa pun di negara ini, apa yang saya lakukan hanyalah sekadar mahu menyampaikan fikiran seumpama itu.

Secara peribadi, saya beranggapan (mungkin ada yang tidak bersetuju) orang yang berfikiran sedemikian amat bahaya kepada negara ini. Apa sebenarnya motif orang yang berfikiran seperti itu?

Orang semacam itu, jika ada, harus dihukum sekeras-kerasnya. Orang semacam itu harus dibuang negeri jauh-jauh kerana dia cuba mengkhianati sistem pemerintahan negara ini.

Jika dalam undang-undang tentera, orang yang mempunyai perancangan seumpama ini boleh dihukum mati.

Tapi persoalan kita lagi, wujudkah manusia semacam ini? Benarkah ada? Adakah orang seperti ini pernah menyatakan ideanya itu di tempat-tempat terbuka atau tertutup? Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi tidak bolehkah dia mengajukan pandangannya seperti itu?

Sebagai negara yang mengamalkan kebebasan bersuara, salahkah dia?

Tapi siapakah orang itu? Adakah dia orang biasa? Atau dia orang luar biasa. Adakah dia seorang terkenal, dikenali atau bertaraf pemimpin dan memimpin? Jika orang-orang biasa mungkin apa yang diperkatakan itu tidak membawa kesan. Jika orang yang berkata itu luar biasa, maka kesannya juga tentulah luar biasa.

Saya berharap janganlah ada mana-mana orang yang luar biasa itu tadi pernah membuat kenyataan yang semacam itu.

Seperti yang saya kata, bukan niat saya mahu menakut-takutkan mana-mana pihak. Ia hanyalah ingatan supaya jangan diganggu-gugat sistem yang telah kita bina selama 54 tahun ini. Selama ini sistem itu tidak pernah pun menganggu-gugat sesiapa pun.

Malaysia, yang selama ini tidak pernah pun menjadi republik, terus makmur, maju dan berjaya juga. Semua rakyat tidak kira bangsa dan agama hidup aman dan menikmati kekayaan seluas-luasnya di atas bumi bertuah ini. Malah banyak juga negara di Eropah pun terus mengekalkan sistem monarki dan menyanjung tinggi raja-raja mereka.

Oleh itu, mengapa perlu diganggu-gugat keharmonian itu? Mengapa perlu ada fikiran seumpama itu? Mengapa? Apa motifnya?

Posted: 20 Feb 2012 08:29 PM PST


Oleh MUHAMMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

Malam 4 November yang lalu begitu meresahkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Setelah lebih daripada seminggu berhempas-pulas berkempen di dua lokasi "panas", iaitu di Dewan Undangan Negeri Galas (Kelantan) dan Parlimen Batu Sapi (Sabah), akhirnya siapa yang berhak mengecap kejayaan bakal terjawab.
Tepat pukul 8.30 malam, semua perhatian tertumpu kepada keputusan rasmi yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Kecil di kedua-dua kawasan. Amat mengejutkan apabila calon BN diumumkan menang di kedua-dua kawasan. Yang paling mengejutkan, BN memperoleh majoriti undi dua kali ganda berbanding dengan keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu.

Di Galas, calon BN-UMNO, Abdul Aziz Yusoff, berjaya merampas kembali kerusi yang dimenangi PR semasa PRU ke-12. Beliau menewaskan calon PR-PAS, Dr. Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1190 undi.

Di Parlimen Batu Sapi pula, calon BN-PBS, Datin Linda Tsen Thau Lin mengekalkan kerusi yang dimenangi suaminya itu dengan mendapat undian sebanyak 9124 undi mengalahkan dua lagi orang calon, masing-masing daripada Parti Maju Sabah, Datuk Yong Teck Lee (1750 undi) dan calon PKR, Ansari Abdullah (2919 undi). Majoriti undi yang diperoleh BN ialah 6359 undi.

Adakah kemenangan BN di kedua-dua kawasan ini merupakan isyarat awal bahawa BN sudah kembali mendapat keyakinan rakyat ekoran ikrar Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang akan membuat transformasi besar-besaran sejak menerajui BN amnya dan UMNO khususnya?

Pendekatan kempen yang digerakkan oleh jentera BN pada pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan ini sememangnya berbeza daripada kempen BN dalam sebarang pilihan raya sebelum ini. Pembaharuan pendekatan kempen ini sejajar dengan Najib yang mahu "budaya politik baharu" diamalkan oleh BN. Pendekatan "sentuhan terus" kepada pengundi melalui kaedah "turun padang" dan tidak bercakap mengenai sensitiviti parti dan personaliti calon lawan, nyata memberikan hasil yang berbaloi kepada BN.

Selain itu, dalam menarik keyakinan pengundi kepada BN, pendekatan baharu kempen BN begitu "memikat" hati pengundi muda yang merupakan undi "penentu" kemenangan calon di kedua-dua buah kawasan. Hal ini terbukti berdasarkan pola pengundian di saluran empat yang kebanyakannya memihak kepada BN. Adakah "budaya politik baharu" merupakan formula yang dicari-cari oleh BN untuk menjamin bahawa pengundi khususnya pengundi muda tidak "berpaling tadah" pada PRU ke-13

AMANAT BAHASA MELAYU.

Posted: 20 Feb 2012 08:27 PM PST



Teks ucapan ini telah disampaikan oleh Allahyarham Tun Syed Nasir di hadapan para sarjana dan mahasiswa di Universiti Malaya, sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 1964, iaitu tiga tahun sebelum bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi tunggal Malaysia. Teks ucapan ini telah tersiar dalam Dewan Masyarakat, Hlm. 6 – 8, Jilid II Bil. 6 Jun 1964.
Pada ketika itu lagi, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah menyatakan hasrat untuk melihat bahasa kebangsaan diajarkan kepada pelajar bukan Melayu dan pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam. Amanat beliau mengandungi harapan yang amat tinggi agar bahasa kebangsaan dapat dijadikan sebagai bahasa pengantar untuk universiti di Malaysia. Kini, setelah 46 tahun berlalu, harapan pejuang bahasa terkemuka ini akhirnya dapat dilaksanakan secara rasmi.

Terlebih dahulu saya ingin menyatakan perasaan gembira saya kerana dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini dalam majlis yang mempunyai makna dan kepentingan yang amat besar kepada kita hari ini, iaitu majlis menyambut gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini, lebih-lebih lagi saya merasa gembira kerana tuan-tuan dan puan-puan yang berkumpul pada pagi ini adalah terdiri dari kaum cerdik pandai negeri ini, mahaguru, sarjana, pensyarah dan mahasiswa. Dengan kesedaran dan sambutan baik yang tuan-tuan dan puan-puan tunjukkan kepada bahasa kebangsaan pagi ini saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa dalam masa yang tidak berapa lama lagi bahasa kebangsaan akan mendapat tempat yang istimewa di universiti ini sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita.
1967 … Tetap!
Dalam tahun 1967 bahasa kebangsaan akan tetap diisytiharkan sebagai bahasa rasmi yang tunggal di negeri ini. Ini adalah suatu kebenaran yang tidak dapat kita elak lagi. Mahu tidak mahu kita mestilah bersiap sedia untuk menerima bahasa itu sebagai bahasa rasmi kita yang tunggal pada tarikh tersebut. Tetapi bagi tuan-tuan dan puan-puan kebenaran ini mempunyai makna yang lebih besar, iaitu tuan-tuan mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti ini. Sesungguhnya inilah matlamat akhir yang dicita-citakan oleh kerajaan dan rakyat negeri ini.
Kerajaan, seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum telah dan sedang membuat beberapa perubahan yang besar dalam sistem pelajaran negeri ini sesuai dengan keperluan bahasa yang timbul selepas negeri ini mencapai kemerdekaannya. Kerajaan telah menubuhkan sekolah-sekolah menengah yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantarnya yang tunggal dan bahasa Inggeris dijadikan suatu mata pelajaran yang dimestikan. Dalam tahun 1965 murid-murid dari sekolah menengah Alam Shah akan memasuki universiti ini. Di samping itu, perundingan sedang dijalankan antara Kementerian saya dengan Lembaga Peperiksaan Tempatan Cambridge untuk mengadakan peperiksaan masuk ke universiti ini dalam bahasa kebangsaan, dan langkah pertama untuk membanyakkan darjah Tingkatan VI di sekolah menengah kebangsaan sedang dirancangkan dengan sungguh-sungguh sekarang ini.
Tidak Mahu Terasing
Inilah gelombang kemajuan yang sedang berlaku dalam sistem pelajaran kita khasnya dan dalam masyarakat negeri ini amnya di saat ini dan universiti ini sebagai puncak dari sistem pelajaran itu terpaksalah turut berubah. Kita tidak mahu universiti ini merupakan sebuah pusat pendidikan dan ilmu pengetahuan tinggi yang terasing dari seluruh sistem pelajaran yang baharu itu. Lebih-lebih lagi kita tidak mahu timbulnya nanti desakan yang kuat supaya sebuah universiti lain ditubuhkan untuk menampung penuntut dari sekolah menengah kebangsaan itu. Kerana adalah menjadi hasrat dan cita-cita kerajaan dan rakyat negeri supaya universiti yang sudah sedia ada ini berubah atau diubahkan sesuai dengan namanya sebagai sebuah universiti kebangsaan kita. Pada fikiran saya tentulah tidak wajar kalau universiti ini kekal sebagaimana biasanya sedangkan asasnya, iaitu sekolah rendah dan menengah, sudah mengalami perubahan yang begitu besar.
Kemungkinan untuk memulakan dua bahasa pengantar di universiti ini iaitu bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan – sudah memang ada. Sekurang-sekurangnya dalam tahun 1965 sudah ada penuntut yang boleh menerima kursus di universiti ini dalam dua bahasa. Masalah sekarang ialah adakah mahaguru atau pensyarah yang boleh menyampaikan kuliah akademik dalam bahasa kebangsaan atau bolehkah mahasiswa bangsa asing yang sedang menuntut di universiti menerima kuliah dalam bahasa kebangsaan. Masalah ini saya akui memang sedang dihadapi oleh universiti ini sekarang tetapi masalah ini tetap akan tinggal sebagai masalah sekiranya permulaan yang tegas dan bersungguh-sungguh tidak dilakukan hari ini juga untuk mengatasinya. Berhubung dengan perkara ini saya merasa gembira melihat beberapa usaha yang sedang dijalankan oleh universiti ini ke arah mengembangkan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan mahasiswa dan anggota perguruannya. Dengan adanya Kursus Sijil Bahasa Kebangsaan yang dikelolakan oleh Jabatan Pengajian Melayu, saya percaya dalam masa yang singkat semua mahasiswa dan anggota perguruan universiti ini akan dapat menguasai bahasa itu dengan baik. Apa yang perlu juga ditegaskan ialah hendaknya kursus Bahasa Kebangsaan itu mestilah disusun dengan tujuan untuk membolehkan mahasiswa, mahaguru dan pensyarah universiti ini mengikut atau mengajar perkara akademik dalam bahasa kebangsaan. Langkah mempelajari bahasa itu semata-mata untuk boleh menulis dan bertutur sahaja. Yang paling baiknya, sukatan pelajaran Kursus Bahasa Kebangsaan ini sudah diubah untuk disesuaikan dengan mahasiswa bukan Melayu.

1965 – Dua Bahasa

Berdasarkan perkembangan yang sedang berlaku di universiti ini sekarang dan perkembangan yang berlaku dalam sistem pelajaran menengah, saya yakin dalam tempoh yang tidak lama

lagi, sekurang-kurangnya dalam tahun 1965, universiti ini sudah boleh mengadakan kursusnya dalam dua bahasa iaitu bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris. Tentulah beberapa masalah lain akan timbul bila dasar ini dilaksanakan secepatnya dan boleh jadi juga ada golongan yang akan terkejut atau yang akan meragukan kejayaan dasar ini.
Hal ini memang sudah menjadikan suatu adat atau kebiasaan bila perubahan besar berlaku dalam sesebuah masyarakat. Dahulu orang meragukan kesanggupan dan kesediaan negeri ini mencapai kemerdekaannya atas dasar bahawa kita belum banyak kelengkapan dan sebagainya. Tetapi bila kemerdekaan akhirnya tercapai kelengkapan yang diperlukan itu diadakan, kerana keadaan dan keperluan bahasa memaksa kita mengadakan kelengkapan itu. Demikianlah juga dengan soal hendak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti ini. Masalah kekurangan buku dan bahan bacaan lain dan kajian akademik dalam bahasa kebangsaan yang diperlukan oleh mahasiswa dan pensyarah akan timbul.
Tetapi masalah ini mahu tidak mahu akan diatasi setelah dasar menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di universiti ini dilaksanakan dahulu. Sekiranya mahasiswa dan pensyarah di universiti ini dari sekarang sudah boleh mengikuti atau mengajar kursus dalam dua bahasa (iaitu bahasa Inggeris dan bahasa kebangsaan) saya rasa masalah bahan bacaan tidak timbul lagi. Bahan bacaan boleh diperoleh dari mana-mana sumber pun atau dalam apa-apa bahasa pun, tetapi alat pengantarnya boleh dijalankan dalam bahasa kebangsaan.
Perasaan Takut
Seperkara lagi berhubung dengan soal ini ialah perasaan takut dan ragu-ragu bahawa taraf pengajian akademik universiti ini nanti akan jatuh kalau bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantarnya. Tetapi menurut hemat saya kalau setiap orang di universiti ini bersungguh-sungguh memainkan peranannya untuk menjadikan bahasa kebangsaan itu benar-benar cukup di jadikan bahasa pengantar universiti ini, saya percaya lambat laun perkara yang diragukan itu akan dapat dielakkan.
Apa yang sangat-sangat diharapkan di saat ini ialah supaya pihak yang berkuasa di universiti ini memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada bahasa kebangsaan. Kalau dahulu tuan-tuan dan puan-puan mengutamakan bahasa Inggeris, baik sebagai alat pengantar mahu pun sebagai alat pentadbiran universiti ini maka sekarang sudahlah tiba masanya tuan-tuan dan puan-puan mengalihkan perhatian itu kepada bahasa kebangsaan kita.
Jabatan Pengajian Melayu boleh memainkan peranan yang penting ke arah ini. Mahasiswa dalam jabatan ini mempelajari dan mengkaji perkara yang sama taraf akademiknya dengan
perkara yang diajar dalam jabatan lain. Cuma yang berbeza ialah Jabatan Pengajian Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya pada hal mahasiswa yang ada dalam jabatan ini datang dari sekolah menengah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya.
Hakikat bahawa kebanyakan daripada mahasiswa itu terdiri daripada bangsa Melayu tidaklah bererti bahawa mereka sudah tentu boleh menguasai bahasa Melayu di peringkat yang tinggi umpamanya sebagai alat pengantar di universiti. Sekiranya Jabatan Pengajian Melayu dapat menjalankan kursusnya dalam bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan, saya percaya jabatan lain, khususnya jabatan dalam Fakulti Sastera, tentu boleh berbuat demikian juga, walaupun ada permulaannya mungkin agak kekok sedikit.
Di samping itu sekolah pendidikan (school of education) yang baharu ditubuhkan di universiti ini akan memulakan satu tugas baharu, iaitu menyelidik tentang cara pengajaran dalam bahasa kebangsaan. Ini merupakan satu lagi usaha yang akan membawa kita setapak lagi maju ke arah menjadikan bahasa kebangsaan suatu alat pengantar yang lengkap dan sempurna di sekolah-sekolah dan di universiti.

Tanggungjawab Yang Berat

Tugas dan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan terhadap bahasa kebangsaan di universiti ini memanglah berat, kerana tuan-tuan dan puan-puan terpaksa memikirkan soal bahasa itu dari dua sudut yang penting: pertama bangsa itu sebagai alat pengantar pengajian tinggi dan kedua bahasa itu sebagai alat untuk membentuk satu bangsa dan negara yang bersatu padu. Ilmu pengetahuan tidak akan terkorban kerana bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar di universiti ini, sekiranya kita dapat mengadakan satu rancangannya yang teratur dan tegas dari sekarang juga. Kita tidak mahu soal hendak menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama di universiti ini dilaksanakan secara mahu tak mahu atau dengan tergesa-gesa bila sampai masanya kelak.
Hajat kita ialah supaya bahasa kebangsaan digunakan sebagai alat pengantar di jabatan yang difikirkan sudah boleh memulakannya, sementara itu persediaan dan rancangan yang tegas diadakan untuk menjadikan bahasa kebangsaan itu bahasa pengantar di jabatan yang lain

SIAPA ITU MELAYU?

Posted: 20 Feb 2012 08:24 PM PST


Oleh Nazri Muslim
Keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan sering kali menjadi polemik pelbagai pihak di negara ini.

Polemik ini semacam tiada penghujungnya, ditambah lagi dengan kemunculan generasi baharu selepas merdeka yang tidak memahami konteks isu ini secara keseluruhannya, tetapi turut terlibat dalam polemik tersebut.

Siapakah Melayu menurut tafsiran Perlembagaan? Takrifan Melayu sebenarnya sangat luas dan jika diambil daripada konteks sejarah dan sosiobudaya, Melayu itu meliputi mereka yang mendiami kepulauan Melayu. Walaupun terdapat pelbagai suku bangsa, bahasa, dan loghat, kebanyakan ahli bahasa dan budayawan menganggap mereka sebagai satu kumpulan yang sama, iaitu keturunan Melayu.

Jika merujuk Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seseorang yang beragama Islam. Lazimnya, mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Seseorang itu dikatakan Melayu apabila lahir sebelum kemerdekaan di Persekutuan atau di Singapura; atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura; atau pada hari merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura.

Di samping Perkara 160(2), Melayu turut ditakrifkan di bawah Perkara 89(6) yang menyatakan bahawa seseorang itu disifatkan sebagai seorang Melayu bagi maksud merizabkan tanah di bawah undang-undang bagi negeri mereka bermastautin. Perkara ini menjelaskan bahawa takrifan Melayu itu boleh dipecahkan kepada dua, iaitu berdasarkan sosiobudaya dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat beberapa perkara yang boleh dibincangkan dalam kedua-dua takrifan di atas. Pertama, untuk menjadi seorang Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan tidaklah semestinya seseorang itu berketurunan Melayu. Seorang India boleh dianggap sebagai Melayu sekiranya beragama Islam, menjadi kelazimannya bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan adat Melayu. Sebaliknya, walaupun dia seorang yang berketurunan Melayu sekalipun, bagi maksud Perlembagaan, dia bukan Melayu jika tidak beragama Islam.
___
Nazri Muslim merupakan pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia

MERAKYATKAN BAHASA.

Posted: 20 Feb 2012 08:23 PM PST


Oleh ZAITON DAROIS
"Bahasa merupakan nilai dan budaya bangsa." Ungkapan itu diluahkan oleh seorang tokoh politik bukan Melayu, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Devamany S. Krishnasamy sewaktu dijemput oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Julai lalu bagi memberikan syarahan mengenai usaha memartabatkan bahasa Melayu dari kaca mata ahli politik.
Menurut beliau, bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda mempunyai hubungan emosional dengan penuturnya dan berkait rapat dengan kalbu dan sanubari rakyat.
Jelas beliau lagi, bahasa Melayu memainkan peranan sebagai alat perhubungan berbilang bangsa sejak dahulu lagi, sepertimana yang dipaparkan dalam karya agung Tun Sri Lanang menerusi Sejarah Melayu yang menggambarkan kegemilangan dan kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka.
Sejak beberapa dekad lalu, Malaysia telah melalui beberapa fasa pembangunan. Bermula daripada Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan terkini Model Ekonomi Baru. Namun malangnya, pengembangan dan penyebaran bahasa Melayu seakan-akan tercicir daripada pakej pembangunan tersebut.
Walaupun pembangunan negara berjaya membawa perubahan dari sudut sosiopolitik, sosioekonomi dan tututan masyarakat, namun bahasa Melayu masih tidak berubah walaupun suatu ketika dahulu pernah menjadi bahasa sarwajagat terhebat di Nusantara.
Tuntutan ekonomi kapitalisme telah menghanyutkan perjuangan nasionalisme sehingga Universiti Kebangsaan Malaysia yang suatu ketika dahulu dilihat memertabatkan bahasa Melayu kini dilihat sama seperti universiti lain di Malaysia
Sedar atau tidak, bahasa Melayu telah menerima tamparan hebat sejak 20-30 tahun dahulu. Era digital dan globalisasi tanpa sempadan menyaksikan bahasa Melayu terpaksa bersaing hebat dengan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Aplikasi dasar liberalisasi sekitar 1980-an menyaksikan penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas dan bahasa Melayu pula seolah-olah perlu bersedia untuk diturunkan ke liang lahad.
Berbeza dengan zaman sebelum merdeka dan pascamerdeka, bahasa Melayu dilihat memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat nasionalisme. Melalui karya sastera, seorang novelis terkenal iaitu Pak Sako (Ishak HajI Muhammad) yang menghasilkan Anak Mat Lela Gila mengkritik penjajah dan pada sama memartabatkan bangsa dan bahasa.
Menurut Devamany, semangat nasionalisme dahulu adalah hak milik semua kaum. Kesedaran ini tidak terbatas kepada bangsa Melayu semata-mata, malahan Cina dan India turut bersama-sama bangkit dan berjuang. Melalui media cetak seperti surat khabar Saranggabani melahirkan tulisan yang mencetuskan semangat nasionalisme untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah.
Melihat senario yang berlaku pada hari ini, Devamany menyatakan bahawa kecanggihan teknologi menyaksikan kita sekali lagi merelakan diri dijajah, namun dengan cara yang lebih halus.
Usaha perlu dilakukan untuk mengembalikan semula semangat nasionalisme dan jati diri negara bangsa. Langkah pertama adalah dengan meletakkan keagungan bahasa dan sastera Melayu pada tempat selayaknya iaitu DBP yang dilihat sebagai pemangkin yang perlu menggalas harapan dan tanggungjawab tersebut.
DBP yang mempunyai kematangan, sumber, kepakaran dan kemampuan mampu melaksanakan hasrat ini tanpa membataskan sasaran terhad kepada sekolah kerajaan semata-mata tetapi perlu menyeluruh kepada sekolah Cina dan Tamil. 27 juta rakyat Malaysia perlu bersama-sama menggalas tanggungjawab ini memandangkan perjuangan bahasa Melayu merupakan wadah perjuangan rakyat Malaysia.
Dalam usaha negara mencapai status negara maju, adunan bahasa kebangsaan dan membina jati diri bangsa perlu diacukan serentak. Hal ini penting kerana di sinilah peranan karya sastera yang berunsur patriotik mampu menyemarakkan semangat cintakan negara terutama kepada golongan muda.
Peranan sastera tidak hanya terhad kepada penyeri bicara tetapi mampu menjadi alat pembakar semangat perjuangan seperti yang menyentuh isu ketidakadilan sosial dan kemiskinan yang disampaikan dalam nukilan karya seperti cerpen, novel dan puisi mutakhir.
Kini, usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu melalui satu anjakan paradigma. DBP sebagai badan induk yang bertanggungjawab perlu melipatgandakan promosi di segenap lapisan masyarakat. Penglibatan semua kaum dalam usaha membudayakan bahasa Melayu perlu giat dijalankan bagi menyemai semangat dan rasa cinta terhadap bahasa Melayu kepada semua rakyat.
Penubuhan Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum yang dilakukan oleh DBP merupakan satu langkah awal yang sungguh baik. Menurut Devamany, dengan adanya bahagian ini, usaha mengembangkan bahasa Melayu, khususnya kepada masyarakat bukan Melayu dapat diperhebatkan.
Antara isu pertama yang perlu diselesaikan ialah menangani masalah 20 peratus daripada kalangan kanak-kanak yang ketinggalan dari segi literasi. Ukuran bagi kejayaan ini dapat dinilai dengan melihat keyakinan ibu bapa sebagai penanda aras untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan dan bukan ke sekolah swasta.
"Satu Bahasa, Satu Malaysia" yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd. Najib Tun Razak dilihat sabagai satu langkah yang meyakinkan untuk mengembalikan peranan Asia sebagai gergasi dunia. Jepun, sebagai contoh yang paling berjaya membentuk negaranya melalui acuan sendiri melalui budaya dan bahasa.
Tidak mustahil Malaysia juga mampu mengikut langkah Jepun sekiranya rakyat berbilang bangsa di negara ini bersatu untuk memulihara budaya bangsa. Devamany menekankan bahawa menjadi kerugian besar jika segala usaha untuk memartabatkan bahasa, budaya dan agama tidak digemblengkan.
Perlu ditegaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita yang bukan milik mutlak DBP, bukan juga masyarakat Melayu semata-mata tetapi milik bersama rakyat Malaysia kerana bahasa adalah jiwa bangsa

Tiada ulasan:

Pengikut