Sabtu, 18 Februari 2012

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


MEMBACA STRATEGI PR MEMBURUKKAN UMNO/BN

Posted: 17 Feb 2012 05:54 PM PST



PADA malam tanggal 7 Mac 2008 salah seorang bekas Yang Berhormat (YB) yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 (2004) dengan majoriti sebanyak 17,500 bersalaman dengan calon pengganti beliau. Dengan penuh yakin beliau berkata dalam bahasa Inggeris;"Not to worry Datuk, you are safe because if you loose by 50% of my majority also you will still win." Itu adalah perkiraan matematik mudah menggambarkan keintelektualan beliau.

Rupa-rupanya langit tidak selalu cerah. Teh tarik di restoran mamak di utara tanah air pada tengah hari 8 Mac 2008 itu merupakan teh tarik yang terakhir seorang YB.

Tempahan secara diam-diam puluhan meja di salah sebuah hotel terkemuka yang kononnya untuk meraikan kemenangan pada 9 Mac 2008 secara besar-besaran terpaksa dibatalkan walaupun cengkeram sudah dibayar.


Mimpi negeri menjadi realiti. Calon yang kalah menjadi mamun (bahasa Kedah) atau mengigau seperti baru bangun dari lena panjang. Di mulutnya sentiasa melafazkan "I am ok, I can take It, no problem" tetapi realitinya ungkapan itu hanyalah untuk menyedapkan hati sendiri yang ternyata kecewa.

Episod duka ini merupakan sedutan daripada beribu lagi episod di sebalik tabir ketika dilanda ledakan tsunami politik 2008 di Kedah dan negeri-negeri yang Barisan Nasional (BN) kecundang. Apabila menoleh kembali, yang sebenarnya kemenangan besar pilihan raya 2004 disambut dengan kejadian tsunami yang amat dahsyat pada tahun itu juga sehingga mengorbankan ribuan nyawa.

Pilihan Raya Umum 2008 telah mengubah banyak landskap politik negara selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan seperti juga tsunami yang mengubah Aceh, Indonesia dan Kota Kuala Muda, Kedah.

Perubahan yang amat ketara ialah sikap, corak dan tingkah laku pengundi. Sikap pegundi Melayu, sikap pengundi Cina, sikap pengundi India dan sikap pengundi muda telah berubah sama sekali.



Menurut Buku Panduan Jentera Pilihan Raya yang diterbitkan oleh Biro Latihan dan Keahlian UMNO Malaysia tahun 2008, kajian sikap diletakkan di bawah salah satu portfolio penting jentera pilihan raya setiap kali pilihan raya umum iaitu K10 atau Ketua Rumah 10.

Kelazimannya tugas tersebut di bawah Pergerakkan Wanita UMNO bahagian di dalam kawasan daerah mengundi tersebut.

Buku panduan tersebut juga menggariskan di antara skop tugas utama K10 ialah mendapatkan maklumat berhubung sikap serta mirip pengundi. Gerak kerja membanci sikap pengundi ini dilakukan secara berterusan dan berkala sebelum penamaan calon, semasa berkempen dan pada hari mengundi.

Wanita diberikan peranan ini memandangkan sifat-sifat mesra kewanitaan, sifat keibuan, kelembutan, kematangan dan imej yang dihormati di mana pendekatan melalui sifat-sifat ini dikira dapat mempengaruhi pengundi untuk memangkah BN semasa hari pembuangan undi kelak.

Di antara faktor lain ialah wanita juga dilihat selalu berada di rumah dan mereka boleh masuk sehingga ke dapur di samping berkeupayaan membaca body language dan umumnya sifat semula jadi wanita yang pandai merayu dan memujuk.

Data-data dan analisis bancian sikap pengundi ini adalah sulit dan terhad. Ia dikawal dan ditutup rapi dengan kain kerana maklumat ini adalah "rahsia" besar ditakuti jatuh ke tangan parti lawan. Ia akan diselak dan diberi taklimat kepada calon yang bertanding semasa calon berkenaan membuat lawatan ke bilik-bilik gerakan.

Calon akan tersenyum lebar apabila melihat garisan graf putih lebih tinggi daripada garisan graf hitam. Jika terdapat garisan graf kelabu lebih tinggi, perayu-perayu undi K10 diasak supaya "menggoda" pengundi untuk menyokong agar garisan graf putih mencanak naik.

Calon yang rajin akan membuat lawatan susulan pada pusingan kedua, ketiga dan seterusnya, apa pun bergantung sejauh mana kerajinan calon tersebut.

Sejauh mana kejituan dan kejujuran data-data sikap pengundi ini diperolehi sentiasa boleh dicabar malah silap haribulan ia boleh mencetuskan perdebatan dan berakhir dengan suasana yang tidak harmoni.

Jika nasib tidak baik ia akan berkesudahan dengan suasana tegang dan emosional sehingga mengakibatkan jawatankuasanya merajuk kerana merasakan penat lelah mereka tidak dihargai.

Umumnya begitulah tugas-tugas kajian sikap pengundi yang dinyatakan di dalam buku panduan tersebut dan menjadi standard operating procedure setiap kali pilihan raya.

Kedinamikan perkembangan maklumat mengakibatkan pendekatan dahulu yang mungkin berkesan dengan sekelip mata telah menjadi lapuk pada hari ini.

Pendekatan kajian sikap seharusnya berjalan berterusan dan kajiannya harus mendalam. Parti pembangkang telah mengimport pendekatan-pendekatan liberalisasi, hak kemanusiaan dan menanam berbagai-bagai persepsi untuk mencorak sikap pengundi.



Mereka cuba mewujudkan branding atau penjenamaan terhadap BN dan UMNO. Pengundi diasak dengan persepsi UMNO adalah parti elitis, kerakusan kuasa dan penuh birokrasi.


Contohnya pengikut-pengikut Pas telah diwayangkan dengan momokan takut kepada UMNO melebihi takutnya kepada DAP.

Apabila menyedari kekuatan penjenamaan, Pas sedang berhempas pulas mengikis jenama ekstremisme dan talibanisme. Parahnya imej Pas ini sehingga mereka mengambil racun sebagai penawar.

Ini jelas terbukti dengan kenyataan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, Khalid Abdul Samad di dalam Utusan Malaysia 21/12/2011 bahawa "DAP telah membebaskan Pas daripada imej ekstremis, pelampau, nak potong tangan orang dan paksa orang masuk Islam dan Pas telah membebaskan DAP daripada imej chauvinis" .



Yang sebenarnya bukan setakat penjenamaan yang mereka terap tetapi amalan inilah yang mereka laksanakan sehingga membawa kejayaan menawan Terengganu satu ketika dahulu.

Dalam perkembangan yang sama DAP pula jelas memperalatkan Pas supaya dilihat dari kaca mata orang Melayu bahawa mereka tidak chauvanis. Malah DAP juga cuba "mencantas" kepala Pas dengan ura-ura ingin meletakkan calon-calon Melayu di kawasan pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengikut perkiraan matematik mudah tahun 2012 merupakan tahun berhadapan dengan pilihan raya dan dalam menghadapi PRU13 ini kajian sikap seharusnya dikaji dengan mendalam dan tidak bermusim.

Realitinya sikap pengundi banyak dibentuk oleh persepsi , Mark Philips bekas petugas CIA pernah menulis "bahawa peperangan itu bukannya kemenangan di medan perang tetapi kemenangan untuk menguasai minda manusia."



Rumusannya winnable candidate bukan setakat sikap calon terhadap pengundi tetapi yang penting juga sikap pengundi terhadap calon di samping winnable party, winnable policy danwinnable strategy.

GEN Y DAN POLITIK : SATU ANALISIS..

Posted: 17 Feb 2012 05:09 PM PST





UNJURAN Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010 bagi jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang atau 43 peratus daripada populasi rakyat di Malaysia. Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 yang berusia 21 tahun ke atas sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan. Ini menjadikan golongan belia menjadi kelompok yang penting untuk diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.



Seramai 3.7 juta rakyat kita masih belum tergerak hatinya untuk mendaftar sebagai pemilih. Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 60 peratus daripada kelompok tersebut ialah golongan muda iaitu berusia bawah 40 tahun.Selari dengan komposisi kaum di negara ini, terdapat hampir 2.1 juta orang Melayu dan bumiputera paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.

PANDANGAN PERTAMA MENGENAI ORANG MUDA DAN POLITIK.


Mengapa gejala tersebut berlaku? Ada yang menganggap sikap tidak ambil peduli dan memandang remeh kepentingan mendaftar adalah puncanya.


 Ada punca lebih besar lagi yang menyebabkan mereka tidak kisah untuk mendaftar seterusnya mengundi.
Faktor paling dominan adalah sejauh mana proses sosialisasi orang Melayu segenap lapisan dalam "mengenali" politik.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Orang Melayu yang dapat mencerap makna sebenar politik memiliki sikap ambil berat dan memandang serius akan kepentingan mengundi, berbeza dengan hampir 2.1 juta orang Melayu yang liat mendaftar itu.

Usah salahkan mereka seratus peratus kerana mereka ialah mangsa kepada proses sosialisasi dan budaya politik yang salah sedangkan bagaimana orang Melayu "diasuh" dalam melihat politik itulah yang mempengaruhi kesedaran mereka untuk bergelar pengundi.

Di pusat pengajian tinggi misalnya, ayat peringatan bahawa "masuk universiti belajar, bukan berpolitik" adalah satu bentuk sosialisasi yang tidak tepat apatah lagi jika dikaitkan peranan mereka sebagai agen perubahan masyarakat.
Politik dipakejkan seperti lembaga menakutkan yang akan menjejaskan tumpuan mereka belajar meskipun pelajar Melayu yang konon tidak mahu "berpolitik" itu tidak pula mampu menandingi pelajar bukan Melayu yang ramai mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) lebih cemerlang.

Tanggapan terhadap politik jadi begitu jumud. Akibatnya, mereka tidak minat untuk bergerak aktif dalam persatuan pelajar di dalam kampus, apa lagi di luar sedangkan pada masa sama majoriti pelajar bukan Melayu begitu aktif bergiat dalam pelbagai kelab dan persatuan di universiti dan luar berorientasikan kepentingan dan kebudayaan mereka.

Jika suara pelajar Melayu berbeza daripada kelaziman massa akan cepat dicap sebagai "hanya tahu membangkang" sekalipun atas hujah akademik yang rasional dengan pendekatan yang berbudi bahasa.

Pendek kata, apabila disebut "politik", imej yang terpampang adalah melawan cakap, demonstrasi dan lebih jauh lagi politik kepartian sehingga dalam beberapa keadaan coretan di laman sosial Facebook pun boleh dianggap sebagai ancaman.

Walhal, interaksi dan komunikasi kita dengan persekitaran sosial setiap hari dan setiap detik itu jelas lagi nyata berkaitan dengan politik!

Akibat daripada makna dan praktis politik yang beku tidak hairanlah diperhatikan pelajar Melayu kurang berbaris berbanding pelajar Cina di kaunter pendaftaran pemilih yang secara berkala dibuka oleh SPR di universiti sebelum ini.

Kegagalan memahami makna politik dalam kalangan golongan muda Melayu ini bukan setakat terhenti impaknya kepada kelompongan di peti undi tetapi lebih dahsyat daripada itu menghakis jati diri dan rasa bangga sebagai orang Melayu.

Golongan muda Melayu yang tidak lagi secara praktis memiliki pengalaman berdepan dengan belenggu penjajahan atau hidup dalam zaman yang penuh kesukaran akan terus rapuh pegangan dan jati dirinya.

Mereka bukan lagi rendah diri tetapi jadi kerdil diri dan tidak lagi punya deria yang peka terhadap kepentingan bangsanya kerana tidak mahu dilabel rasis.

Rantaian kepada psikologi Melayu yang kacau itu kemudiannya diterjemah dalam bentuk tindakan. Mereka hanya cenderung bercerita isu remeh berkepentingan jangka pendek kerana mahu berada dalam zon selamat.

Orang Melayu yang telah dilunturkan pemahaman mereka terhadap makna politik tidak tahu lagi memberi keutamaan kepada hal yang mendatangkan manfaat kepada bangsanya.

Buktinya jelas. Jika mendaftar sebagai pemilih dan seterusnya nanti keluar untuk mengundi pun tidak peduli, apakah yang boleh kita harapkan kepada kelompok 2.1 juta itu untuk memperjuangkan diri dan bangsanya sendiri jika suatu masa nanti ditindas?


PANDANGAN KEDUA MENGENAI ORANG MUDA DAN POLITIK.
Pertama, tahap pendidikan dan yang kedua pengaruh media sosial. Boleh dikatakan majoriti pengundi muda mendapat pendidikan minimum pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna mereka berada dalam ruang lingkup pengaruh pendidikan formal sehingga 11 tahun dalam kehidupan sebelum mereka mengundi. Ia semakin melebar sekiranya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Pendidikan mengasah ketajaman daya fikir. Kebanjiran maklumat menerusi internet dan televisyen satelit menyebabkan sesuatu isu yang menyentuh kepentingan dan peranan anak muda akan dibuat perbandingan senario dalam negara dan antarabangsa. Keterbukaan dan pendedahan maklumat ini sudah tentu menuntut pendekatan yang berbeza dalam mengurus isu yang berkaitan dengan anak muda.
Apakah keperluan kehidupan anak muda? Isu anak muda berkaitan dengan 4P – Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan dan Perumahan. Bagaimana mereka mendapat peluang dan inisiatif untuk mereka melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum, dengan pendidikan yang sempurna bolehkah mereka mendapat peluang pekerjaan dan dengan pekerjaan mereka akan mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan status sosial. Model Baru Ekonomi (MBE) bertujuan meningkatkan pendapatan tahunan perkapita sebanyak AS$7,000 kepada AS$15,000. Tentunya hasrat murni ini perlu mengambil kira peluang anak-anak muda untuk turut sama meningkatkan pendapatan.
Pandangan anak muda mengenai politik lebih terbuka dan ia diadun antara politik keperluan dan politik idealisme. Mereka mahukan isu 4P yang berkaitan dengan kelangsungan hidup diambil berat oleh kerajaan dan mereka juga mahu negara ini diurus tadbir dengan sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Oleh sebab itu kelangsungan hidup anak muda bukan saja memerlukan inisiatif daripada kerajaan kerana yang lebih penting ialah persediaan sikap dan minda anak muda dalam berhadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar. Kerajaan demi kelangsungan kuasa tentunya akan menguruskan isu berkaitan anak muda, namun yang lebih penting ialah anak muda juga mesti berusaha membantu diri mereka sendiri.
PANDANGAN KETIGA MENGENAI ORANG MUDA DAN POLITIK.

Pengundi Muda


Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SPR sehingga Mac yang lalu saudara, terdapat sekurang-kurangnya 1.9 juta orang melayu yang layak mengundi tetapi belum berdaftar. Jumlah ini merupakan 43% daripada 4.3 juta pengundi yang masih belum berdaftar. Bagi kaum lain, seramai 1.7 juta masih belum berbuat demikian iaitu 30.6% daripadanya adalah orang cina dan 9.3% adalah orang india.
Isu pendaftaran pengundi baru ini menjadi begitu penting dan panas tatkala semua parti-parti politik berlumba-lumba dalam membuat persiapan menghadapi PRU-13 yang katanya akan dilakukan secara mengejut. Terkejut atau buat-buat terkejut adalah fenomena biasa dalam amalan demokrasi di Malaysia.

Maka saudara, kita akan melihat setiap parti politik sudah mula dengan semangatnya menggerakkan jentera masing-masing untuk menarik orang muda untuk daftar mengundi. Bukankah senang kalau kesemua 4.3 juta yang liat ini didaftarkan secara automatik? dan bagi aku, tak perlulah rasanya wang rakyat dibazirkan untuk upah RM1 ke, RM10 ke untuk setiap pengundi yang mendaftar. (entahlah, macam manalah mereka berfikir).
Saudara, sedar atau tidak, rupa-rupanya golongan muda atau belia hari ini merupakan penentu kepada pembentukan kerajaan dalam PRU-13 yang akan datang seperti mana yang diakui ramai pihak. Sama ada BN akan tumbang atau PR akan ambil alih, penentunya pada pengundi muda dan baru. Berkenaan dengan pengundi baru, menurut Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, beliau mengatakan;
"Mendaftar sebagai pengundi dan aktif dalam politik adalah dua perkara yang berbeza. Justeru parti-parti politik kini perlu mendekati golongan ini supaya aktif dalam politik kerana dari situlah, komitmen mereka untuk keluar mengundi akan timbul." (mStar online).
Sebab itu, semua nampaknya beria-ia mahu tunjuk baik, tunjuk perihatin, tunjuk mesra khususnya kepada golongan muda. Walaubagaimanapun, apakah golongan ini akan mudah terpengaruh dengan politik ampu, politik ugut, politik munafik dan politik murahan sebilangan pemimpin yang dilihat hari ini?
Oleh itu saudara, berdasarkan pandangan Prof Madya Dr.Ahmad Nizammuddin Sulaiman, pensyarah Sains Sosial di UKM, beliau mengakui bahawa perkembangan politik semasa banyak mempengaruhi keputusan politik golongan muda;
"Orang muda hari ini berfikiran lebih kritis dalam isu-isu seperti hak asasi, keterbukaan dalam pemerintahan, kerajaan yang bebas daripada rasuah dan isu ISA yang menjadi faktor kepada perubahan tersebut."
Beliau menambah lagi;
"Mereka lebih bersemangat dan lantang bersuara memperjuangkan hak mereka. Mereka banyak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil dan Gerakan Mansuh ISA , jadi ini dilihat sebagai satu perubahan daripada aspek pemikiran mereka." (mStar online)
Ternyatalah saudara, landskap politik baru yang mula tercetus dan berkembang hari ini tidak sama dengan suasana politik lapuk zaman kuno dahulu. Kalau dulu, orang mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan propaganda media arus perdana, tetapi keadaan itu hari ini sudah jauh berubah. Orang semakin cerdik untuk menilai setiap isu yang cuba untuk disensasikan denagn publisiti murahan. Ini kerana, berdasarkan kajian Merdeka Centre seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider, 57% orang melayu serta 58% orang Cina didapati sudah tidak percaya dengan media arus perdana yang ada hari ini.
Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, beliau berpandangan bahawa;
"Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi pada bila-bila masa. Mereka tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai isu." (BHarian online)
Oleh hal demikian saudara, bagi mereka yang memperjuangkan politik baru yang lebih matang, lebih terbuka dan tidak jumud sudah pasti boleh menghela nafas panjang sedikit tatkala mendengar perkembangan ini. Walaubagaimanapun saudara, masih banyak perkara yang perlu diusahakan dalam memupuk politik demokrasi yang berintegriti dan berhikmah, bukannya sempit dan terkebelakang.
Di sini saudara, aku terfikir juga, jika orang muda amat sangat diperlukan dalam kerangka politik semasa dan kesannya terhadap pembentukan politik baru, soalnya kenapa masih ada sesetengah pihak yang seakan fobia jika mahasiswa terlibat dengan politik? Bukankah para mahasiswa juga adalah bakal pengundi muda yang akan memilih kerajaan yang akan datang?
Pada aku, keputusan untuk seseorang mahasiswa itu terlibat dalam politik atau tidak adalah menjadi keputusan peribadi mahasiswa tersebut. Ya saudara, memang ada pro dan kontranya, tetapi peluang ini akan menjadi satu platform buat mereka menerima pendedahan terhadap kematangan berpolitik dengan ilmu dan idealisma sebagai prinsip perjuangannya. Akhir bicara, janganlah berimaginasi terlalu negatif terhadap keupayaan mahasiswa kerana keberadaan mereka sebagai penggerak masyarakat dan pelapis kepimpinan masa depan negara harus disantuni oleh semua pihak


Oleh MOHD. SHUKRI MOHD. ARIFF

Politik mempunyai pelbagai aliran. Salah satunya mendakwa bahawa semakin maju sesebuah negara, semakin kurang rakyatnya keluar mengundi pada pilihan raya.


Aliran tersebut wujud di mana-mana negara di pelosok dunia. Amerika Syarikat dan Eropah merupakan antara negara yang paling kritikal menghadapi masalah ini. Misalnya, sejak beberapa tahun 
kebelakangan ini Amerika Syarikat mencatatkan kurang 50 peratus rakyatnya keluar mengundi setiap kali berlangsungnya Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Sehingga baru-baru ini timbul dakwaan bahawa Presiden Amerika Syarikat sebenarnya dipilih oleh golongan minoriti yang keluar mengundi.

Samuel P. Huntington dalam bukunya, Who Were Are? The Challenges to America's National Identity (2004), menyelar sikap rakyat Amerika Syarikat yang tidak mengambil endah tanggungjawab mereka untuk mengundi. "Sikap buruk ini sebenarnya mengancam kelangsungan dan masa depan Amerika kerana kita (bangsa kulit putih Amerika) sekarang sedang terhakis penguasaan politik, budaya, dan jati diri ekoran kemasukan beramai-ramai pendatang Hispanik dan Asia," jelas Huntington.

Adakah negara yang mengguna pakai sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia bakal berhadapan situasi yang sama seperti Amerika Syarikat?

Ramai ahli muda UMNO tak daftar


Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Pemuda dan Puteri UMNO telah diarah memberi perhatian terhadap usaha tersebut.

"Kami berharap dalam tempoh dua minggu ini, usaha mengesan dan mendaftar kumpulan ini sebagai pengundi berhasil, itupun jika tarikh pilihan raya umum ditetapkan selepas tiga bulan," katanya selepas merasmikan Majlis Penerangan Perdana anjuran Puteri UMNO yang turut dihadiri oleh Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di PWTC di sini hari ini.

Menurut Ahmad, usaha itu perlu dilakukan secara berterusan walaupun tarikh pilihan raya umum ditetapkan lebih awal dari tempoh tersebut.

"Jika kumpulan ini hanya sempat didaftarkan tetapi tidak tersenarai sebagai pengundi, mereka boleh membantu jentera pilihan raya nanti," katanya.

Sementara itu, Rosnah berkata, seramai 40,000 daripada kira-kira 380,000 ahli Puteri UMNO dikesan masih belum mendaftar sebagai pengundi.

"Kami memandang serius perkara ini dan akan pastikan mereka berdaftar termasuk cuba mengesan mereka kerana ada ahli berpindah termasuk menyambung pengajian ke luar negara," katanya.

Menurutnya, Puteri UMNO akan meningkatkan kerjasama dengan Pemuda UMNO untuk mengesan mereka masih belum mendaftar.

"Kami sentiasa mengingatkan ahli supaya berdaftar sebagai pengundi dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan," katanya.

Rosnah berkata, sepanjang tempoh 2009-2011 seramai 100,000 ahli Puteri UMNO mendaftar sebagai pengundi.

BILA LAGI NAK KELUAR?

Posted: 17 Feb 2012 04:09 PM PST


Ahli desak Pas keluar pakatan pembangkang





Kumpulan tersebut yang diketuai oleh bekas Ketua Pemuda Pas negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin turut menyeru semua pengundi di kawasan Permatang Pauh menolak Ketua Pembangkang itu sebagai calon pada pilihan raya umum nanti.

Lihat pada gambar macam tak percaya pulak...Nanti akan ada suara yang tibul kata ini semua UMNO dan BN punya kerja.......jadi lihat sendiri.....bila ahli parti PAS dan penyokong mula meragui dan mempertikaikan kepimpinan parti mereka. Kita nak lihat adakah kepimpinan parti PAS mendengar suara ahli sendiri atau akan ada jawapan " itu dia punya pasal, lah"

Ketidakpuasan hati mereka ada kaitan dengan rakan sendiri yang tidak sensitif dengan pendirian politik rakan-rakan mereka. Namun penulis ada rasa adakah ini satu lagi strategi politik dan tektikal pembangkang untuk mendapatkan sokongan dan perhatian dari ahli mereka sendiri. Ini disebabkan menjelangnya pilihan raya ke 13, pembangkang ketandusan isu besar untuk dibawa......hati-hati dan waspada kerana mereka sangat licik...

Ketua Pembangkang perlekeh Pas

Jelas sekali pendirian Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin Ketua Pembangkang itu berbeza dalam isu kewujudan Israel. Bahkan, Pas akan lari daripada prinsip perjuangannya jika menerima pendirian tersebut.
"Sama ada hendak keluar atau tidak dari pakatan pembangkang, itu terserah kepada Pas. Tetapi kalau Pas terima penjelasan Anwar, maka ia sudah lari daripada perjuangan asal parti itu," 

KAN BAGUS JIKA KETUA BAHAGIAN IKUT CARA INI...

Posted: 17 Feb 2012 03:52 PM PST




Ada yang panggil sebagai  'TURPA' singkatan kepada turun padang. Rasanya kan bagus jika dapat bersama minum pagi atau petang dengan rakyat sambil berbual-bual. Lagi pun inilah yang dinantikan oleh pengundi tak kira apa bangsa sekali pun. Banyak perkara dapat diselesaikan jika pendekatan cara ini dilakukan. Malah jika program JUARA RAKYAT itu dibuat dengan cara begini kan lagi berkesan. Bukan sahaja dapat jumpa dengan ahli sendiri malah semua orang. Maklumlah dekat kedai ini semua idealogi politik ada. Teruskan YAB.....

AYUH ORANG MUDA JOM DAFTAR PEMILIH.....

Posted: 17 Feb 2012 03:44 PM PST





Sikap tunggu dan lihat punca 40,000 pemuda UMNO tak daftar.



100,000 dah daftar tahun lepas. Tahniah kepada Exco Pergerakaan Pemuda. Namun kena kerja keras lagi bila ada baki 40,000 yang belum mendaftar. Jumlah ini besar dan boleh pengaruhi keputusan PRU 13. Lebih-lebih lagi PRU 13 yang bakal menjelang ini adalah ibu segala pilihan raya. Tren politik sekarang dikatakan mana-mana parti politik yang dapat mendafatrkan pemilih, dijangka mereka akan dapat sokongan daripada pengundi tersebut. Jika ini benar, maka sudah tentulah mana-mana parti yang dapat mendaftarkan ramai pemilih mempunyai 'advantage' ketika PRU. Kepada ketua keluarga diharapkan dapat menasihatkan dan menggesa keluarga mereka dengan membawa mereka sendiri ketempat pendaftaran pemilih.

Tiada ulasan:

Pengikut