Pengikut

Nuffnang

Jumaat, 17 Februari 2012

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

sumber :-

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


MIMPI SEORANG YANG BERHORMAT (YB).

Posted: 16 Feb 2012 07:43 PM PST




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menerus  turun padang menemui rakyat di negeri-negeri. Pada Sabtu ini, Najib akan ke Perak dan Muhyiddin akan ke Pulau Pinang, beberapa hari lalu Muhyiddin ke Kedah dan Najib pula akan ke negeri Jelapang Padi berkenaan pada 25 Februari dan 3 Mac ini.

Begitulah ketatnya jadual dua pemimpin utama negara dalam usaha mereka mengukuhkan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta menyampaikan mesej kepada rakyat kenapa perlu mereka menyokong parti memerintah tersebut. 

Persoalan yang bermain di fikiran kita ialah sejauh manakah kegigihan yang ditunjukkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden UMNO itu dicontohi oleh kepimpinan UMNO di peringkat bahagian-bahagian, cawangan begitu juga sayap parti? Adakah program mereka bermusim ? Hanya mereka sahaja yang tahu jawapannya....

Apakah mereka hanya dilihat aktif dan turun menemui rakyat apabila pemimpin utama melakukan lawatan sahaja?


Dalam keadaan UMNO sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dianggap cukup getir dan penting ini, tidak dapat dinafikan masih ada ketua-ketua bahagian yang masih belum insaf.

Mereka masih ingin meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti, bangsa dan negara. Bagi golongan ini, kedudukan politik mereka jauh lebih penting manakala soal kemenangan parti adalah soal kedua.

Sebab itulah wujudnya sikap sesetengah ketua bahagian yang memberi amaran awal bahawa mereka akan melakukan sesuatu jika tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.


Mereka tidak peduli sama ada pilihan raya umum kali ini amat penting kepada UMNO atau tidak, yang mereka tahu siang dan malam, mereka hanya memikirkan kedudukan mereka sahaja.

Ketika diminta mengulas sikap ketua-ketua bahagian seumpama itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak berkata, itulah akibatnya apabila golongan berkenaan meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti, bangsa, agama dan negara.

''Mereka sepatutnya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti membuat keputusan dan akur terhadap siapa sahaja yang dipilih sebagai calon. ''Kalau calon itu menang, ketua bahagian yang tidak terpilih itu juga akan untung tetapi kalau parti kalah, ketua bahagian itu akan turut merasa tempiasnya,'' katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada ketua-ketua bahagian yang bersikap demikian bahawa sekarang adalah masa untuk mereka 'membayar semula' segala jasa yang diberikan oleh UMNO kepada mereka.

''Inilah masanya mereka membalas budi parti ketika UMNO amat memerlukan belas ihsan mereka dalam meneruskan perjuangan demi bangsa, agama dan negara,'' katanya.

Sambil mengingatkan kepada ketua-ketua bahagian supaya percaya kepada Qada dan Qadar Allah, beliau juga menegaskan, jika mana-mana ketua-ketua bahagian atau pemimpin UMNO melakukan sabotaj kepada parti maka mereka boleh dianggap pengkhianat dan lebih teruk daripada pembangkang.

''Oleh itu, tunjukkan belas ihsan kepada parti, tiada gunanya ketua bahagian tersebut mahu mempertahankan kedudukan politiknya tetapi parti kalah dan akibatnya akan ditanggung oleh anak cucu, bangsa dan agama di masa depan,'' katanya.




Persoalannya, apakah perasaan belah ihsan ini mampu dizahirkan oleh sesetengah ketua bahagian yang tidak mampu menerima hakikat jika ada cadangan nama mereka digugurkan bagi memberi laluan kepada calon yang lebih berwibawa dan generasi muda?

Sukar untuk dipastikan tetapi apa yang nyata di kebanyakan bahagian masih wujud ketua-ketua bahagian yang seolah-olah mahu menongkat langit kekuasaan.

Peruntukan yang disalurkan oleh pusat untuk diagih-agihkan kepada parti terutama sayap-sayap diperam dalam simpanan sendiri, kesudahannya sayap-sayap seperti Wanita, Pemuda dan Puteri tidak boleh melakukan banyak program kerana kekangan peruntukan
.
''Sepatutnya parti kena pecahkan teruskan peruntukan kepada sayap-sayap supaya kami tidak perlu mengemis kepada ketua bahagian untuk mendapatkannya bagi melaksanakan program.

''Kalau peruntukan tidak ada macam mana hendak buat program bagi memantapkan sokongan rakyat,'' kata seorang ketua UMNO bahagian kepada penulis

Seterusnya, pemimpin muda UMNO itu mengingatkan, peremajaan parti itu tidak boleh dijumudkan dengan ketakutan memberi ruang kepada pemimpin muda memegang jawatan dalam bahagian
.
''Peremajaan UMNO memerlukan keterbukaan pemimpin lama untuk mendakap kesempatan kebangkitan idea dan keterujaan pemimpin muda untuk berkhidmat dan mendekati pengikut akar umbi yang dahagakan idea segar, pemimpin sebaya yang lebih santai dan mudah didekati serta lebih memahami bahasa dan gaya anak muda,'' katanya.



Soalnya, apakah ketua-ketua bahagian yang 'diserang' sindrom takut kepada bayang-bayang ini memahami situasi ini?

Kalaulah seseorang ketua bahagian itu yakin rakyat sentiasa bersamanya dan beliau merupakan pilihan terbaik kenapakah perlu takut untuk menyalurkan peruntukan kepada sayap-sayap dan memberi peluang kepada pemimpin muda untuk diketengahkan?

Apa pun sikap ketua bahagian seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menjejaskan peluang UMNO dan BN mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebab itulah, mereka yang tidak ikhlas untuk membantu kejayaan parti dalam pilihan raya perlu disingkirkan. Mereka ini boleh dianggap golongan tidak tahu membalas budi.




Mereka sengaja melupakan jasa-jasa UMNO terhadap mereka sehingga sanggup melakukan apa sahaja jika tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya.

Mungkin apa yang diperkatakan ini dianggap membuka pekung di dada tetapi inilah realiti yang berlaku di sesetengah bahagian- bahagian UMNO. Kesungguhan dan kegigihan Najib memimpin negara bersama Muhyiddin dengan melaksanakan pelbagai program untuk rakyat seolah-olah tidak mahu disambut dengan kerja keras di bahagian-bahagian supaya UMNO boleh mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu dalam tempoh yang dikatakan cukup singkat bagi membuat persiapan menghadapi pilihan raya adalah diharapkan ketua- ketua bahagian yang masih meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti, bangsa, agama dan negara akan segera insaf.

Mereka perlu jujur dan ikhlas dalam membantu parti dan bukannya bersandiwara politik di hadapan pemimpin-pemimpin utama seolah-olah mereka sedia berkorban segala-galanya untuk kepentingan parti.

Kelompok ketua bahagian seumpama ini hakikatnya jauh lebih berbahaya daripada pembangkang kerana mereka ini ibarat 'musuh dalam selimut, 'duri dalam daging' dan 'gunting dalam lipatan'.

Ingatlah, pilihan raya umum akan datang penentu hidup mati bukan sahaja perjalanan politik UMNO tetapi juga survival orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Janganlah akibat ketaksuban untuk mempertahankan kedudukan dan kekuasaan sehingga sanggup mengkhianati parti sendiri tanpa disedari!

DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA  - ZULKIFLI BAKAR.

0 ulasan:

Sayap Parti

Bahagian