Sabtu, 26 November 2011

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


SALAM MAAL HIJRAH

Posted: 26 Nov 2011 08:48 AM PST

Assalamualaikum...

Selamat menyambut tahun baharu 1433 Hijrah kepada seluruh umat Islam - kedatangan tahun yang baharu menjadi petanda putaran waktu kian pantas meninggalkan kita.

Selalunya kita sangat popular dan teruja untuk menyambut atau meraikan tahun baharu Masihi berbanding tahun baharu Hijrah. Bagaimanapun saya amat gembira sebenarnya apabila menerima banyak sms daripada teman-teman yang mengucapkan selamat menyambut tahun baharu hijrah - satu petanda ia sentiasa ada di ingatan kita sebagai umat Islam.

Tidak cukup di situ, mereka menyampaikan ucapan di laman sosial facebook dengan azam dan tekad yang baharu. Hakikat, kita semakin teruja dengan tahun baharu hijrah. Saya percaya, anda juga akan sependapat dengan saya akan hal tersebut.

Apa pun, persoalannya ialah, apakah azam tahun baharu kita dan apakah azam lama yang kita tekadkan setahun yang lalu telah menjadi kenyataan?. Atau adakah semuanya itu hanya tinggal azam semata-mata.

Insan yang berazam adalah mereka yang benar-benar menanam keinginan dalam dirinya. Mereka akan bersungguh untuk mencapai apa yang ada dalam dirinya ketika setiap kali datangnya tahun baharu. Bagaimanapun agak malang sedikit jika menanam azam hanya menjadi satu peristiwa rutin dan biasa bagi kita tanpa kita memandangnya sebagai sesuatu yang serius.

Saya sangat percaya bahawa kita semua bukan tergolongan di kalangan golongan sedemikian. Apabila kita bersungguh dengan keinginan yang ditanam di awal tahun, saya sangat yakin kita semua juga akan sentiasa bersungguh untuk mencapainya.l Itulah harapan saya.

Saya berharap, dengan kedatangan tahun baharu hijrah ini, ia akan mengajar kita mengenai banyak peristiwa dan pengalaman hidup yang telah kita tanam sejak setahun yang lalu. Kita mesti mempelajari sesuatu di sebaliknya sebelum kita meraikan kedatangan tahun yang baharu.

Tahun baharu hijrah sebenarnya membawa cabaran besar kepada kita sebagai umat Islam - dengan pelbagai isu-isu persekitaran yang kian mencengkam dan mencabar umat Islam, maka kita seharusnya beriltizam untuk terus menunaikan tanggungjawab demi masa depan Islam dan umat Islam dengan lebih bersungguh lagi.

Di hari yang baik ini, saya menyeru kepada kita semua agar kembali melihat punca kelemahan umat Islam itu sendiri. Saya sangat berminat sebenarnya untuk melihat penyatuan berlaku di kalangan umat Islam. Hakikatnya, kita berpecah disebabkan masalah-masalah yang sebenarnya boleh kita ketepikan.

Tidak perlulah saya mengupas mengenainya tetapi saya sangat optimis bahawa umat Islam akan kuat apabila mereka bersatu. Marilah sempena hari yang baik ini, kita tingkatkan hubungan ukhhuwwah di kalangan kita dengan harapan kita akan membina dan membentuk kekuatan darinya.

Percayalah, apabila kita inginkan sesuatu, maka kita perlu berani berkorban untuknya. Kepada anda semua, selamat menyambut kedatangan tahun baharu 1433 hijrah.

Hijrah itu perjuangan!

Tiada ulasan:

Pengikut