Pengikut

Nuffnang

Selasa, 1 November 2011

Razlan's

sumber :-

Razlan's


MEMBELA NASIB PEKERJA KONTRAK YANG BERKHIDMAT DI DALAM PERKHIDMATAN KERAJAAN

Posted: 01 Nov 2011 01:54 AM PDT

 (Artikel ini telah disiarkan di Berita Harian pada Sabtu 29 Oktober 2011 dan Sinar Harian pada 28 Oktober 2011)

Saudara Pengarang,

Lewat ini, Kerajaan telah mengumumkan pelbagai insentif dan buah tangan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berkhidmat di dalam perkhidmatan awam di seluruh Negara tanpa mengira sektor.

Pengumuman YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib ketika beliau membentangkan Bajet 2012 merupakan satu berita gembira kepada semua penjawat awam.

Namun di dalam menyambut dan meraikan berita gembira, haruslah kita semua beringat di mana hari ini kos sara hidup semakin meningkat dan harga barang-barang keperluan turut sama mengalami inflasi sekaligus meletakkan satu tekanan tambahan kepada rakyat Malaysia amnya dan penjawat awam khususnya.

Selain daripada peningkatan harga barangan keperluan, kos perubatan turut sama melonjak naik dengan akhbar The Star melaporkan pada 14 march 2009 di dalam artikel bertajuk " Rising pressure of healthcare" bahawa kos perubatan dunia melalui inflasi sebanyak 10 peratus setiap tahun dan 15 peratus di Malaysia.

Inflasi kos perubatan yang berlaku sekaligus memberikan tekanan secara tidak langsung ke atas kewangan rakyat Negara ini. Kos perubatan yang saya perkatakan tidaklah hanya tertakluk kepada kos ubat-ubatan dan rawatan yang merupakan kos secara langsung tetapi turut melibatkan kos tidak langsung seperti produktiviti, sara diri , pendapatan yang hilang ketika sakit, pendapatan yang hilang akibat kecacatan yang diterima ketika bertugas dan sebagainya lagi.

Jelas jika kita mengambil kira kesemua item yang saya sebutkan sebentar tadi bahawa seandainya seseorang itu dimasukkan ke hospital tanpa mengira sebabnya, individu tersebut bakal menanggung kos dan mengalami kerugian yang besar.

Sepertimana yang kita semua ketahui, Kerajaan terus menerus dalam usaha mereka dalam memperbaiki mutu perkhidmatan dan prestasi pelbagai sektor termasuklah sektor kesihatan dan penjawat awam.

Dewasa ini kita melihat bahawa pihak Kerajaan lebih cenderung untuk menggaji pekerja-pekerja perkhidmatan awam atas dasar kontrak sebelum menyerap mereka ke dalam perkhidmatan awam secara tetap.  Saya yakin dan pasti bahawa langkah ini mempunyai kelebihan dan kekuranganya.

Melihat kepada perenggan saya yang terdahulu, peningkatan kos perubatan tidak boleh tidak menjurus kepada para pekerja di dalam perkhidmatan awam mengambil insurans perubatan sebagai tambahan kepada perlindungan insurans dan perubatan yang disediakan oleh pihak Kerajaan. Selaku seorang pekerja (penjawat awam), seseorang itu berhak mendapat perlindungan secara komprehensif daripada majikan nya  daripada sebarang kecacatan dan kecederaan ketika menjalankan tugas serta ketentuan bahawa sebarang kehilangan punca pendapatan bakal diganti dan dibayar pampasan oleh majikan agar seseorang penjawat awam itu dapat menjalankan tugas beliau tanpa rasa gusar.

Perlindungan komprehensif yang saya nyatakan ini jelas dinikmati oleh penjawat awam yang berjawatan tetap namun begitu saya merasakan bahawa kita tidak boleh melupakan penjawat awam yang berstatus kontrak. Cuepacs mengganggarkan bahawa terdapat 50,000 penjawat awam yang berstatus kontrak dan tidak berjawatan tetap.

Secara idealnya semua penjawat awam sepatutnya menerima perlindungan komprehensif yang sama namun setelah salah seorang ahli Pemuda yang merupakan penjawat awam berstatus kontrak di JPN di kawasan saya menerima kecederaan hingga menyebabkan kecacatan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, barulah saya mengetahui bahawa penjawat awam kontrak tidak mendapat perlindungan komprehensif terhadap kecederaan sedemikian  di samping tidak diletakkan di bawah skim PERKESO.

Senario ini amat menyedihkan dan merunsingkan di mana pemuda tersebut tidak dapat memohon apa-apa jenis pampasan bagi membantu beliau dengan bil perubatan dan kos sara hidup beliau.

Saya merasakan bahawa satu kaji selidik perlu dilakukan berkaitan dengan permasalahan ini kerana adalah amat menyedihkan sekiranya rakan-rakan penjawat awam kita yang berstatus kontrak tidak dapat menikmati perlindungan PERKESO ataupun mana-mana pelan perlindungan komprehensif sepertimana yang dinikmati oleh pekerja di sektor swasta dan penjawat awam berjawatan tetap.

Saya ingin mencadangkan bahawa satu mekanisme yang mempunyai objektif yang sama dengan PERKESO diwujudkan bagi memenuhi keperluan perlindungan penjawat awam yang berstatus kontrak ataupun mungkin pihak Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membuat caruman PERKESO bagi memberikan perlindungan kepada mereka.

Sebaliknya Kerajaan juga boleh turut mempertimbangkan untuk mewujudkan satu dana khas bagi membantu penjawat awam berstatus kontrak seandainya mereka ditimpa kemalangan ketika waktu bertugas yang mana insiden itu mengakibatkan kecederaan serius ataupun kecacatan di mana peruntukan untuk dana khas tersebut diperolehi daripada Bajet pengurusan satu-satu Kementerian ataupun melalui skim potongan gaji daripada penjawat awam berstatus kontrak.

Jelas sekali bahawa walaupun mereka ini berstatus kontrak, namun mereka merupakan sebahagian daripada tenaga kerja yang membantu melicinkan dan melancarkan urusan pentadbiran Negara ini dan saya berharap bahawa nasib mereka akan terbela dan mereka diberi perlindungan yang sewajarnya agar mereka dapat terus memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi.

Mohd Razlan Muhammad Rafii
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh
Http://razlans.blogspot.com

0 ulasan:

Sayap Parti

Bahagian