YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri |
BN TELAH LAKUKAN APA SAJA UNTUK RAKYAT Posted: 05 Oct 2011 07:46 AM PDT Assalamualaikum... Alhamdulillah, dapat juga saya luangkan sedikit masa untuk menulis sebelum melelapkan mata sekejap. Sidang Parlimen baru sahaja selesai malam ini dan akan disambung esok. Syukur kerana dapat menunaikan amanah yang telah diberikan ini dengan sempurna. Alhamdulillah, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah pun menunaikan janjinya untuk memansuhkan beberapa akta. Hari ini, Akta Buang Negeri 1959 (Akta 79) telah dimansuhkan dan sekaligus menyaksikan ratusan tahanan akan dibebaskan serta-merta, manakala waran tangkap yang dikeluarkan juga dibatalkan. Malah kerajaan BN yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah juga mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sebelum ini sentiasa dijadikan senjata oleh pembangkang. Sebagai pemimpin kerajaan, saya boleh menyatakan bahawa kami telah melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara. Walaupun ada tindakan yang memerlukan sedikit masa untuk melalui proses perubahan atau pembaharuan, namun semua itu penting sebagai tempoh penilaian agar apa yang bakal diputuskan tidak merugikan rakyat dan negara. Bagi pihak rakyat pula, saya fikir rakyat perlu lebih terbuka dalam menerima transformasi yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri kita. Kita tidak boleh terabai dengan membuat andaian atau telahan awal terhadap sesuatu perkara tanpa mengetahui bahawa setiap perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara dan rakyat adalah menjadi sesuatu yang sentiasa dipertimbangkan oleh kerajaan dan pemimpinnya. Hakikatnya, segelintir rakyat kita mudah termakan atau terjebak dengan dakyah pembangkang yang sentiasa memberikan gambaran buruk terhadap kerajaan BN sedangkan pembangkang sendiri tidak berbuat apa-apa pun untuk rakyat dan negara. Kita harus jujur dan adil bahawa hampir segala-galanya telah disediakan kerajaan BN untuk rakyat. Dan, setiap kali Parlimen bersidang, isu-isu kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan walaupun banyak waktu persidangan kadangkala diganggu pembangkang yang membangkitkan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan rakyat. Oleh itu, saya berharap rakyat akan lebih bersyukur di atas nikmat yang ada di negara ini dan tidaklah mudah terpedaya dengan perkara-perkara yang merugikan mereka. Nasihat saya, rakyat mesti bijak dalam keadaan sekarang. Kita tidak boleh mudah menjadi alat atau diperalatkan. Itu yang penting. Apatah lagi dengan iklim politik yang semakin menjurus ke arah pilihan raya, maka macam-macam lagilah yang pembangkang sengaja timbulkan. Berhati-hatilah kita dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini. |
You are subscribed to email updates from YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan