Hamidah Osman |
Posted: 15 Sep 2011 04:01 PM PDT Saya setuju dengan Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali, bahawa Mat Indera sebaris dengan Ishak Haji Muhammad( Pak Sako), Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob dan beberapa orang lagi nasionalis Melayu sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi perjuangan mereka telah kalah dan terbukti salah. Kesalahan itu telah terbukti tidak sahaja sebelum merdeka tetapi juga selepas merdeka apabila mereka bersubahat menyokong konfrantasi Indonesia untuk menghancurkan Malaysia dalam tahun 1960-an. Akibatnya mereka ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Salah seorang daripada mereka ialah seorang rakan baik saya yang berlindung di Utusan Melayu sebagai wartawan di samping menjadi ejen sulit Indonesia. Ketika itu saya masih bujang dan sering merayau malam bersamanya dan Pak Sako di Kuala Lumpur. Pada satu malam saya bermalam dengan rakan baik ini di sebuah hotel murah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tanpa pengetahuan saya, dia meletakan di bawah tilam saya beribu-ribu dolar wang Amerika Syarikat yang diterimanya dari Indonesia untuk diberikan kepada Pas dan Parti Rakyat. Setelah dibebaskan dia memberitahu saya, dia yang menyembunyikan wang itu. Ketika itu ramai penyokong Pas yang tidak percaya dengan tuduhan kerajaan mengenai pemimpin Pas menjadi alat Soekarno dan Parti Komunis Indonesia (PKI). Rakyat Malaysia telah memberikan sokongan besar kepada Parti Perikatan dalam pilihan raya 1964 untuk membuktikan mereka menentang konfrontasi yang didalangi oleh PKI dan disokong oleh Parti Komunis Malaya (PKI), Pas dan Parti Rakyat. Jika kerajaan tidak menangkap pemimpin-pemimpin Pas dan Parti Rakyat yang menjadi anasir subversif dalam masa konfrontasi dan tidak disokong oleh Pakatan Lima Negara terutamanya British, maka negara ini telah dijajah oleh Indonesia. Jika ini berlaku maka apa akan jadi kepada masyarakat Cina dan rakyat Malaysia lainnya? Bahawa komunisme yang disokong Pas berasaskan kepada sokongan Presiden Indonesia, Soekarno ketika itu, ternyata telah membawa mala petaka kepada umat manusia. Ini terbukti dengan kesedaran rakyat yang tertekan di negara-negara komunis bangun meruntuhkan komunisme yang kejam yang menyebabkan kemiskinan dan mala petaka kepada kehidupan mereka. Oleh itu adalah tidak wajar untuk kita memberikan pengiktirafan terhadap perjuangan mereka kecuali untuk hanya dijadikan catatan sejarah. Pas mahu menafikan mereka komunis tetapi tidak boleh menafikan menjadi alat kepada komunisme. Saki-bakinya adalah Mat Sabu yang tidak dapat melihat pengorbanan anggota polis dan tentera kita tetapi nampak Mat Indera sebagai hero. Kepada orang Melayu dan menurut perhitungan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri, jika perjuangan nasionalis kiri menang maka pastinya negara ini telah berada di tangan PKM yang dikuasai oleh orang Cina dan di belakangnya ialah Parti Komunis China. Dikesali seorang nasionalis yang berpengalaman seperti Mustafa Ali tidak boleh melihat dan mengakui hakikat tetapi bagaikan cuba berselindung di sebalik sehelai lalang. Sewajarnya kata Mustafa, kerajaan Malaysia yang diterajui oleh UMNO tidak berlaku kejam terhadap penderhaka, malah memberikan pula penghargaan kepada mereka dengan pelbagai cara kerana menilai perjuangan mereka. Boestaman diberikan Datuk dan Ishak diberikan Tokoh Wartawan Negara. Di negara lain manusia seperti ini digantung, di penjara seumur hidup atau lenyap begitu sahaja. Pas cuba untuk menegakkan benang yang basah dalam keadaan yang tertekan. Tetapi ia sekurang-kurangnya telah menyedarkan sebahagian besar ahli Pas akan kesilapan mereka memilih seorang kelakar menjadi Timbalan Presiden Pas. ZAINUDDIN MAIDIN |
Selamat Menyambut Hari Malaysia Posted: 15 Sep 2011 03:50 PM PDT Hari Malaysia milik semuaPADA hari ini, seluruh pelosok rakyat negara ini tidak mengira kaum, peringkat umur, pekerjaan, kaya atau miskin dan juga fahaman politiknya, kesemuanya tidak terkecuali menyambut Hari Malaysia. Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun adalah hari yang menjadi milik semua. Tidak seorang pun di antara kita, perlu berasa diketepikan, sangsi atau terpinggir dalam menyambut hari yang amat bermakna dan bersejarah kepada negara ini. Dan ia juga bukan hanya untuk dikenang dan diraikan oleh generasi terdahulu. Generasi muda, tidak kira apa jua kecenderungan serta minatnya, perlu dibawa bersama dalam arus menghayati erti Hari Malaysia kerana kesannya yang bukan sedikit terhadap pembangunan negara dari dulu sehingga kini. Justeru, pengetahuan terhadap sejarah adalah kata kuncinya. Orang cerdik pandai sering berkata, sejarah merupakan guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan. Tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, pengetahuan dan pemahaman dalam sejarah negara adalah amat penting kerana ia adalah akar tunjang sesuatu bangsa. Kerana itu, katanya, pengetahuan tentang sejarah negara ini adalah kunci kepada perpaduan dan persefahaman antara kaum. Sebab itu, sejarah perlu dijadikan bahan rujukan dalam apa jua isu berbangkit mengenai ' negara bangsa' ini. Pun begitu, katanya, apa yang berlaku kini adalah cabaran dalam menegak dan memperkasa sejarah negara, bukan sahaja terhadap golongan muda tetapi golongan terdahulu. Jelas Kay Kim, terdapat generasi terdahulu yang buta sejarah, tetapi pada masa sama berkecenderungan untuk campur tangan dalam mempertikaikan sejarah sekali gus mengelirukan ramai pihak. "Mereka ini yang tidak memahami sejarah, cuma mendengar dan mengutip sejarah negara dari sana sini tanpa melihat kepada tafsiran dalam undang-undang dan Perlembagaan negara. "Dan mereka juga menyalah tafsir kenyataan-kenyataan mengenai sejarah negara yang kebanyakannya menggunakan bahasa yang teknikal,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Dalam pada itu, katanya, terdapatnya fakta-fakta yang salah mengenai sejarah negara di dalam Internet yang dirujuk oleh generasi muda atau pihak yang mempunyai kepentingan untuk memanipulasikan ia. Dan perkara ini memburukkan lagi keadaan. Justeru, dalam menangani isu kecetekan ilmu sejarah ini, jelas Kay Kim, pelajaran sejarah perlu diperkasakan dari peringkat sekolah rendah dengan melatih guru-guru sejarah yang benar-benar mahir mengajar mata pelajaran itu. Hari Malaysia disambut bagi memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh 16 September 1963 yang menandakan penyertaan bersama Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat berbilang kaum. Bagaimanapun, penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga 1966. Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei pada penghujung 1962. Bagaimanapun, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 kepada 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh itu pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Sebelum ini, Hari Malaysia merupakan cuti am di Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun mulai 2010, Hari Malaysia juga diisytiharkan cuti am di semua negeri di Malaysia. Dan yang menjadikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini lebih menarik dan bermakna adalah kerana acara sambutannya diadakan serentak dengan Hari Kemerdekaan Ke-54 negara. Dalam usia 48 tahun Malaysia dibentuk, proses pembinaan negara Malaysia secara keseluruhannya mengambil masa yang panjang dan sudah tentunya tempoh itu dilalui dengan pelbagai dugaan, cabaran dan kesulitan oleh pemimpin dan generasi terdahulu. Justeru, adalah merugikan jika segala kesukaran dan kepayahan itu disia-siakan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu dan bertelagah dalam segala isu yang akhirnya meruntuhkan penyatuan Malaysia ini. Dan perlu diakui, kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada pembangunan di negeri-negeri Semenanjung sahaja, tetapi juga di Sabah dan Sarawak yang menjana ekonomi Malaysia keseluruhannya. |
You are subscribed to email updates from Hamidah Osman To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan