Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras melihat senario akhir-akhir ini mengenai isu murtad menjadi satu isu hangat diperkatakan oleh masyarakat Islam di mana-mana sahaja, di dalam perbualan harian, didalam akhbar-akhbar, majalah-majalah dan disebut juga didalam ceramah-ceramah. Selain itu, mungkin ramai umat Islam di Malaysia tidak mengetahui apa sebenarnya murtad sehingga ada yang menganggap murtad hanya terjadi apabila seseorang itu keluar dari agama Islam dan menganut agama lain. Maka itu Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Cheras, melalui laman blog Puteri Cheras, ingin berkongsi maklumat dan pandangan mengenai isu murtad. DEFINISI MURTADPerkataan murtad berasal dari Bahasa Arab iaitu riddah atau irtidad. Dari sudut bahasa perkataan riddah kebiasaannya membawa maksud kembali atau rujuk iaitu kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Adapun perkataan irtidad membawa pengertian yang lebih luas iaitu mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk mempercayai agama lain. Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggalkan atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana akidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samaada dengan melalui perkataan, perbuatan atau apa-apa iktikad, kepercayaan dan keyakinan hati.
PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENYEBABKAN MURTAD Menurut Islam, murtad boleh terjadi dengan melakukan salah satu daripada tiga perkara berikut:-
Pertama : Melalui perkataan atau ucapan dan kata-kata. (Murtad Qawli). Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang Islam yang menunjukkan dia menolak hukum-hukum Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina mana-mana ajaran Islam, hukum-hukum Islam, menghina Allah SWT, menghina nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi lain dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib berpuasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain. Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang diharamkan oleh Allah dan rasulnya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama tentang halal atau haramnya seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat (hubungan sejenis), menghalalkan minum arak atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jualbeli dan seterusnya. Maka sikap demikian boleh menjadi murtad.
Kedua : Melalui perbuatan atau tingkahlaku. (Murtad Fi'li) Murtad juga boleh berlaku melalui apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkahlaku yang boleh membatalkan imannya, maka seseorang itu boleh menjadi murtad seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah SWT seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain. Begitu juga yang meninggalkan sembahyang fardu atau puasa Ramadhan dengan mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari salah satu perkara wajib yang telah diketahui oleh setiap orang Islam, tetapi kalau dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad. Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan Al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadis dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina.
Ketiga : Melalui akidah, kepercayaan atau niat. (Murtad I'tiqadi) Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang Islam mengingkari didalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jenayah Islam) tidak layak dilaksanakan sekarang di dalam masyarakat moden. Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lampau, tidak sesuai dengan zaman moden sekarang. Dia menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktikad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkitkan semula sesudah mati, beriktikad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam atau berbalik-balik hati antara mahu menjadi kafir pada masa akan datang dan lain lain lagi keyakinan dan iktikad yang salah.
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBAWA KEPADA MURTAD - Tidak mendapat didikan agama dan bimbingan daripada ibu dan bapa.
- Tidak mendapat kasih sayang atau diabaikan oleh ibubapa atau keluarga yang bercerai.
- Tuntutan cinta atau berkahwin dengan bangsa asing yang mendapat halangan keluarga.
- Saudara Baru yang memeluk Islam dengan tujuan mendapat kemudahan dan simpati dan apabila gagal mendapat bantuan berterusan ia akan kembali kepada agama asal mereka.
- Terpengaruh dengan ajaran sesat, black metal, dadah dan gejala yang bersifat negatif.
- Pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa kawalan daripada ibubapa.
- Adanya pakatan sulit peguam-peguam bangsa asing untuk mengeluarkan saudara baru dari agama Islam.
- Dengan penyebaran risalah atau Kitab Bible dalam bahasa Melayu secara meluas di kompleks membeli-belah dan hotel-hotel penginapan.
- Hiburan melampau yang dimainkan oleh media menjadikan remaja melayu lalai.
- Kurang perhatian orang Islam terhadap Saudara Baru yang bermasalah dan tiada tempat berlindung menyebabkan mereka putus asa.
IMPLIKASI MURTAD
1 - Disuruh bertaubat. Apabila seseorang telah sabit murtad, dia perlu diberi nasihat dan kaunseling, juga disuruh bertaubat beberapa kali. Jika tidak mahu bertaubat setelah disuruh berulang kali, dia mesti dibunuh. Tempoh masa untuk bertaubat tersebut mengikut Jumhur U'lama selama tiga hari tiga malam. Apabila seseorang murtad itu sedar dan mahu bertaubat serta mahu kembali kepada Islam semula, taubatnya diterima dengan melalui beberapa perkara seperti mengucap dua kalimah syahadah semula dan menginsafi segala kesalahan dan perlu membuat pengakuan atau ikrar diatas apa yang dia ingkar yang menyebabkan dia menjadi murtad.
2 - Dijatuhkan hukuman bunuh. Apabila orang yang murtad tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan atau dikaunseling dalam tempoh masa yang ditentukan, maka dia mesti dijatuhkan hukum bunuh dengan segera dengan dipancung lehernya. Hukuman bunuh seperti di atas telahpun dijalankan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SWT, antaranya Saidina Umar al-Khatab dan Saidina Ali bin Abu Talib di zaman pemerintahan masing-masing.
3 - Dirampas hartanya. Setelah sabit seseorang Islam itu murtad, maka segala harta miliknya akan dirampas dari miliknya (ditahan hak milik terhadap harta itu) dan diletak di bawah pengawasaan ketua negara atau wakilnya. Jika harta itu perlu di ambil untuk urusan perbelanjaan dirinya sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, pihak kerajaan boleh mengambil dari hartanya sekadar perlu sahaja. Sekiranya dia bertaubat memeluk Islam semula, harta tersebut perlu diserah balik kepadanya.
4 - Terputus hubungan suami isteri. Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan hukuman bunuh, apabila tidak mahu bertaubat. Sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad, maka pernikahan keduaduanya terbatal. Walaupun begitu, Sekiranya yang murtad kembali bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa edah isterinya belum habis (tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali seperti asal. Tidak perlu akad nikah baru. Tetapi jika dia tidak bertaubat dalam masa edah isterinya tamat, nikah tersebut dianggap terbatal.
5 - Penyembelihan tidak halal dan segala pahala ibadatnya terbatal. Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan, walaupun berapa banyak sekalipun menjadi sia-sia. Ini akan berlaku sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati di dalam kufur. Tetapi sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam semula, maka dia dituntut supaya menggantikan amalan-amalan ibadat seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. Adapun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu digantikan.
SYOR UNTUK MENCEGAH GEJALA MURTAD.
- Meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran terhadap agama Islam.
- Mengemaskinikan pendekatan dakwah Islam di semua peringkat dan lapisan masyarakat.
- Memperkukuhkan instituti kekeluargaan.
- Mengadakan program keluarga angkat saudara baru.
- Menghapuskan program hiburan melampau.
- Meng'imarah'kan masjid dan memperkasakan cara hidup Islam.
- Memperkukuhkan jatidiri remaja Islam (sahsiah).
- Menanamkan sikap amal makruf nahi mungkar.
KESIMPULAN Dari ulasan-ulasan diatas jelaslah bahawa murtad menurut perspektif Islam merupakan satu jenayah besar dalam Islam, ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lebih keji dari kufur biasa, kerana orang murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah s.w.t. dan Rasullullah s.a.w. Sebab itu, orang murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh apabila didapati bertaubat beberapa kali sedangkan dia tetap tidak mahu bertaubat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan