Jumaat, 1 Julai 2011

Hamidah Osman

Hamidah Osman


Antara bersih jiwa - Bersih 2

Posted: 30 Jun 2011 11:35 PM PDT








PERADABAN sentiasa menawarkan ruang dialog bagi mengelak sebarang konflik akibat perbezaan konsep dan persepsi daripada terus menjadi sengketa.

Dialog bertujuan menjadi jambatan merapatkan perbezaan kerana daripada perbezaan itulah manusia perlu belajar. Manusia belajar memahami dan menerima sesuatu yang dapat membawa kepada kehidupan yang sempurna.

Dalam melaksanakan peranan tersebut, manusia diberikan keupayaan berkomunikasi bagi menjelaskan sesuatu pendirian atau pendapat mengenai sesuatu yang menjadi bahan utama konflik.

Antara kedua-dua pihak boleh melakukan tawar-menawar sehinggalah mereka memperolehi satu titik persefahaman, yang akhirnya titik persefahaman itu menjadi keputusan bersama. Pada akhirnya, kedua-dua belah pihak bersetuju dan saling menghormatinya.

Berasaskan peristiwa Israk dan Mikraj yang ditempuhi oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada malam 27 Rejab, tahun 12 kenabian baginda atau 18 bulan sebelum berhijrah ke Madinah, penetapan waktu sembahyang telah difardukan kepada umat Islam.

Pada malam Nabi Muhammad SAW dibawa oleh Malaikat Jibrail menemui Allah SWT, baginda telah diperintahkan ibadat sembahyang sebanyak 50 waktu sehari semalam.

Perintah itu pada mulanya diterima tanpa bantahan oleh Nabi Muhammad SAW tetapi selepas bermunajat dan bertemu dengan Nabi Musa AS, memohon agar baginda kembali menemui Allah SWT, merayu agar mengurangkan jumlah waktu bersembahyang.

Proses itu berlangsung sebanyak sembilan kali, dan setiap kali merayu, Allah SWT mengurangkan waktu sembahyang sebanyak lima kali sehari semalam.

Sampai kepada rayuan terakhir, baginda merasakan jumlah yang diwajibkan itu adalah satu tanggungjawab boleh dilakukan oleh setiap Muslim, atau dengan kata lain, lebih praktikal berbanding pada asalnya sebanyak 50 waktu.

Peristiwa ini memberikan gambaran bahawa, walaupun sembahyang itu merupakan perintah Allah SWT, pentafsiran terhadap peraturan itu boleh dirunding dan dibincangkan sehingga mencapai tahap persetujuan kekal, yang wajib dipatuhi oleh setiap orang yang beragama Islam. Cuma yang tidak boleh dirundingkan ialah perintah supaya mengerjakan sembahyang.

Dalam hal ini, ruang komunikasi terhadap sesuatu perkara yang bersangkutan budaya hidup manusia sentiasa terbuka luas, kerana perbincangan dan ruang komunikasi itulah akan menjadikan manusia lebih memahami fungsi sebenar kenapa ia dicipta.

Perhimpunan Bersih 2 jelas membuktikan adanya segelintir manusia yang cuba mencari pengaruh dengan mengeksploitasikan perasaan orang lain bagi mencapai cita-cita peribadinya.

Ini amat bertentangan dengan semangat Israk dan Mikraj yang merupakan mukjizat terbesar yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW dan berbeza daripada mukjizat yang diterima oleh para nabi lain sebelum baginda.

Persoalannya, sebelum dibawa menemui Allah SWT, Nabi Muhammad SAW terlebih dahulu disucikan hatinya melalui suatu pembedahan bagi mengeluarkan seketul daging hitam.

Daging hitam itu dikenal pasti tempat bersarangnya penyakit was-was dan bisikan syaitan yang sentiasa berusaha menyanggah perintah Allah SWT untuk membuat kebaikan.

Perhimpunan Bersih 2 juga boleh disifatkan dipenuhi dengan bisikan hati yang berbaur syaitan kerana mereka yang menuntut itu sebenarnya lebih mengutamakan kepentingan diri berbanding kepentingan negara.

Dalam konteks itulah, sekelompok penganjur tidak boleh memahami bahawa peraturan yang sedia ada adalah untuk menjamin kestabilan dan ketenteraman awam.

Tuntutan mereka juga tidak jelas maksudnya. Mereka hanya memperjuangkan bahawa suatu sistem pilihan raya mestilah dilaksanakan secara adil dan bersih, tetapi dalam amalan kelompok tersebut mereka telah banyak menimbulkan keresahan dalam kalangan pengundi.

Setiap kali pilihan raya kecil dilaksanakan, pada hari penamaan calon mereka sudah mempamerkan aksi ganas: membaling botol, mengeluarkan kata-kata kesat, memaki hamun dan tidak kurang dengan tindakan provokasi yang boleh menyebabkan perbalahan.

Sebagai makhluk yang lemah dan terbatas kemampuan diri, kita seharusnya dapat menerima setiap peraturan itu dengan seikhlas mungkin bagi menjamin sesuatu sistem itu berjalan dengan sempurna. Jika selepasnya kita mendapati sistem tersebut perlu diperbaiki, maka kita seharusnya menggunakan saluran yang betul untuk mencadangkan perubahan.

Dalam sistem politik dan pentadbiran Malaysia, perubahan sesuatu peraturan yang termaktub sebagai undang-undang perlulah dilakukan melalui perdebatan di Dewan Rakyat.

Wakil Rakyat yang dipilih merupakan pihak yang menggubal dan memutuskan sesuatu undang-undang. Ia disahkan melalui keputusan bersama dan setelah diluluskan, tidak ada lagi pihak yang boleh mempersoalkannya. Ia mesti dihormati oleh semua orang.

Maka dalam perspektif itu, tuntutan kelompok yang menggunakan demonstrasi jalanan sebagai platform untuk mendapatkan keputusan meminda undang-undang adalah satu bentuk budaya barbarian, budaya masyarakat yang tidak bertamadun, budaya yang berasaskan kekuatan fizikal.

Budaya masa kini lebih mengutamakan kepada kepintaran intelektual dan kebolehan berunding. Budaya masa kini adalah budaya yang bukan bersifat memaksa, tetapi dipenuhi dengan nilai-nilai menghormati orang lain dengan melakukan proses komunikasi dan perundingan.

Jika pun kelompok yang melihat ada kelemahan peraturan dalam sesebuah sistem, mereka sepatutnya berusaha berdialog dan seterusnya mencari jalan penyelesaian secara berhemah. Di sinilah nanti akan mendapat keberkatan dan nikmatnya hidup sebagai manusia yang beradab dan bersusila.

Nabi Muhammad SAW terpaksa dibersihkan dulu hatinya sebelum dibawa oleh malaikat untuk menemui Allah SWT dan menerima perintah bersembahyang sebagai tiang agama.

Maka, hakikat ini perlu dijadikan asas yang kuat oleh mereka yang ingin mengambil peluang berhimpun dan melancarkan gerakan Bersih 2.

Sebelum menjadikan jalan raya sebagai platform, mereka sepatutnya cuba membersihkan prasangka yang ada dalam diri sehinggalah boleh menerima sesuatu keputusan secara berhemah.

Jika prasangka tidak dibersihkan, tahapan susila akan menjadi semakin buruk apatah lagi bila berhadapan dengan pelbagai tekanan (termasuk tekanan persekitaran yang panas oleh panahan sinar matahari dan perasaan yang terbakar kerana tercabar), dan amat jarang berlaku perhimpunan jalanan berakhir dengan ketenangan, terutama bila dalam kumpulan yang terlalu ramai dan sukar dikawal. Inilah natijah yang harus menjadi pertimbangan.

Sebagai orang Islam dan sentiasa mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, kita seharusnya merenung hakikat kehidupan kita sebagai manusia yang dipenuhi tanggungjawab, dilingkari dengan peraturan, diikat oleh budaya dan susila agar tidak mudah terjerumus dalam kancah emosi sempit dan mendidih.

Kita sebagai manusia yang sentiasa diingatkan agar melakukan sesuatu secara ikhlas, sederhana dan berhemah, maka sifat-sifat itulah yang memartabatkan kita sebagai makhluk terbaik dan paling sempurna.

Jika Rasulullah SAW sendiri menjalani pembersihan jiwa dalam peristiwa Israk Mikraj itu, apatah lagi kita umatnya yang kerdil ini? Jiwa yang bersih tidak akan tergamak menimbulkan kekotoran (kekacauan) ke atas orang lain (khalayak) kerana bagi si pemilik jiwa sebegini, agenda peribadi adalah 'seteru' yang perlu dijinakkan.


DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Ahli Pas persoal konsep negara berkebajikan

Posted: 30 Jun 2011 11:32 PM PDT

UMAR ZAIN
Pasir Puteh, Kelantan

ARTIKEL saudara Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia 23 Jun berhubung konsep negara berkebajikan menarik untuk diberi perhatian. Dengan membuat perbandingan sedemikian, kita percaya ia akan memudahkan kefahaman mengenai konsep dan definisi negara berkebajikan sebagaimana yang ingin dilakukan oleh Pas.

Baru-baru ini, sewaktu pulang ke Kelantan, saya sempat meninjau pandangan beberapa rakan lama yang walaupun berbeza haluan dan ideologi masing-masing tetapi masih akrab berhubung.

Selepas berbincang dengan mereka yang juga ahli Pas, ramai beranggapan isi kandungan negara berkebajikan itu sendiri bukanlah sesuatu yang begitu penting berbanding kesan yang diingini oleh kepimpinan parti tersebut setelah menilai perjalanan parti itu selepas bekerjasama dalam satu pakatan. Walaupun pandangan tersebut bukanlah mewakili pandangan majoriti dalam Pas, ia signifikan dan menarik untuk diteliti.

Perubahan strategi Pas itu bermakna mereka melakukan pengorbanan yang terlalu besar dengan meminggirkan perkara-perkara yang begitu sentimental kepada para pengikutnya.

Misalnya, sebahagian pengikut Pas di Pasir Puteh menyatakan kekesalan mereka dengan menggelarnya sebagai 'strategi mempermainkan keimanan'.

Apa tidaknya, kata mereka, setelah berhempas pulas berjuang selama 30 tahun memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiyah, tiba-tiba bertukar kepada negara berkebajikan.

Menurut mereka lagi, mendengar sebutannya sahaja pun sudah berbunyi sekular sepertimana negara kebajikan di Eropah.

Pengikut Pas ini mungkin tidak faham bagaimana perubahan itu dibuat berasaskan strategi yang dicanai hasil perbincangan ketiga-tiga parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

Kepada mereka, Pas ialah Pas asal yang sepenuhnya komited terhadap perjuangan penubuhan negara Islam dengan segala komponennya, termasuklah pelaksanaan hukum hudud sebagai simbol utama keislaman sesebuah negara menggantikan perlembagaan dan undang-undang tinggalan penjajah.

Lebih dikesalkan, apabila mereka membandingkan dengan dua lagi parti komponen pakatan, iaitu DAP dan PKR tidak perlu pun melakukan sebarang penyesuaian terhadap dasar mahupun strategi parti.

DAP tetap berkeras sejak dulu dengan perjuangan meritokrasi Malaysian Malaysianya manakala PKR berterusan dengan dasar sekular. Mengapakah cuma Pas sahaja yang perlu berkorban dan berkompromi sehingga menghampiri perubahan perlembagaan parti tersebut?

Rakan Pas ini juga berhujah bahawa Pas pernah dibuktikan sejarah sebagai king maker kerana kekuatan jenteranya, sehingga mampu memberi tumpang kepada PKR malah DAP dalam membawa kemenangan di sesetengah kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semasa itu, mereka tidak pun berkompromi mahupun merasa rendah diri terhadap dasar dan prinsip, mahupun strategi yang diatur oleh pemimpin parti mereka.

Mereka turut bimbang bahawa konsep negara berkebajikan ini suatu strategi yang gopoh, yang tidak dicerna dalam perbincangan dengan semasak-masaknya.

Pengikut tidak dimaklumkan sebarang perubahan, sehinggalah tiba-tiba diumumkan dalam ucapan dasar presiden dalam muktamar berkenaan.

Paling membimbangkan ialah apa yang dibuat akan kelihatan kepada rakyat Malaysia, Pas bukan lagi parti yang sepenuhnya memperjuangkan Islam.

Pas hanya memperjuangkan parti, bukan Islam itu sendiri. Perjuangan Islam telah terpisah sama sekali dari parti Pas.

Tiada ulasan:

Pengikut