Rabu, 8 Jun 2011

UMNO Cawangan Bukit Ampang

UMNO Cawangan Bukit Ampang


DAP pemenang utama di sebalik pemilihan Pas

Posted: 08 Jun 2011 12:03 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 Jun - Di sebalik pelbagai pihak menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berjaya mencengkam Pas hasil kemenangan golongan 'Anwarinas' pada pemilihan parti itu Sabtu lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula tampil dengan pandangan yang berbeza.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, individu sebenar yang memperoleh kejayaan besar di sebalik tumbangnya golongan ulama adalah Karpal Singh, apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri secara 'rasmi' menggugurkan hasrat menubuhkan negara Islam.

Katanya, Karpal tidak lagi perlu mati untuk Pas melangkah mayatnya terlebih dahulu jika parti tersebut berhasrat mahu menubuhkan sebuah negara Islam kerana, perjuangan Pengerusi DAP itu sudah pun tercapai tanpa perlu dia bersusah-payah.

"Tokoh yang memang besar di sebalik muktamar kali ini adalah Karpal. Perjuangannya supaya Pas gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam yang akan menguatkuasa hukum hudud sudah pun tercapai. Karpal tidak perlu mati untuk Pas melangkah mayatnya.

"Belum pun dia mati, Pas sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama. Sekarang Pas akan berjuang untuk negara kebajikan," kata Dr. Mahathir dalam blognya, http://chedet.co.cc, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kurangnya perbincangan dan perbahasan mengenai justifikasi mengapa asas perjuangan menubuhkan sebuah negara Islam yang selama ini menjadi pegangan, digugurkan sebegitu mudah juga membuktikan lemahnya Pas berbanding DAP.

Katanya, Pas sanggup mengorbankan prinsip perjuangan parti semata-mata kerana ingin menghalalkan kerjasama dengan DAP, tetapi pada masa yang sama masih membohongi rakyat kononnya dasar tersebut akan terlaksana selepas menawan Putrajaya.

"Lebih tepat lagi adalah kerana Pas tidak sanggup berhujah dengan Karpal. Syabas dan tahniah kepada Karpal. Akhirnya perjuanganmu menentang negara Islam Pas sudah berjaya," ujarnya sinis.

WIEF: Kesempatan kepada negara Islam tingkat kerjasama ekonomi

Posted: 08 Jun 2011 12:00 AM PDT

ASTANA, Kazakhstan 7 Jun – Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kali ketujuh yang bermula esok memberi kesempatan kepada negara-negara Islam untuk menerokai peluang bagi meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dalam kalangan mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara-negara Islam dapat melihat peluang bukan sahaja terdapat di negara-negara Barat, tetapi juga di negara-negara Islam lain.

"Ini bakal membuka satu dimensi pasaran baharu kepada negara lain. Kazakhstan misalnya, mempunyai banyak potensi untuk diterokai oleh negara-negara Islam lain," katanya.

Menteri itu mengulas apa kesan WIEF sejak diasaskan pada tahun 2005 kepada dunia Islam dalam konteks kemajuan dan pembangunan ekonomi global.

Mustapa menjelaskan demikian pada sdiang akhbar bersama wartawan Malaysia di King Hotel Astana, di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, WIEF merupakan inisiatif Malaysia ke arah meningkatkan lagi kerjasama ekonomi di kalangan negara-negara Islam.

"WIEF juga merupakan sumbangan Malaysia kepada dunia Islam. Kita berpendapat, selain politik, ekonomi dunia Islam juga perlu dimantapkan dan diberi fokus," katanya.

Sidang WIEF sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur. WIEF merupakan salah satu resolusi yang dicapai semasa Forum Perniagaan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 2004.

Mustapa menarik perhatian, bagi menjayakan matlamat WIEF, negara-negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat juga diundang untuk menyertai forum tahunan global itu.

Katanya, hasil daripada WIEF jugalah banyak pelabur dari negara Asia barat seperti Qatar dan Kuwait melabur di Malaysia. – UTUSAN

Tiada ulasan:

Pengikut