Khamis, 2 Jun 2011

Hamidah Osman

Hamidah Osman


Perwakilan Pas perlu ikhlas

Posted: 02 Jun 2011 02:14 AM PDT

"SAYA perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat.

''Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan. Tidak ada gunanya kita cerdik, pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu.

''Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita. Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain daripada apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita. Kejayaan orang yang dahulu pada diri kita, semuanya pada keikhlasan. Amat perlu keikhlasan ini, kita tanam, kita pupuk pada diri kita".

Keikhlasan - Itulah wasiat yang ditinggalkan oleh Allahyarham Prof. Zulkifli Mohammad kepada wakil rakyat Pas pada tahun 1964 sebelum beliau meninggal dunia.

Sememangnya Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-57 yang akan diadakan selama tiga hari bermula esok amat berkait rapat dengan keikhlasan.

Seramai 1,100 perwakilan ke muktamar itu bagi mewakili hampir sejuta ahli dan penyokong Pas mempunyai dua tanggungjawab yang perlu dilunaskan dengan penuh keikhlasan.

Tanggungjawab pertama ialah memilih kepimpinan Pas berdasarkan kepada keputusan yang dibuat mengikut hujah syarak dan bukannya mengikut emosi atau agenda mana-mana pihak.

Tanggungjawab kedua pula ialah keberanian untuk membuat teguran dan memberi pandangan secara ikhlas terhadap perjalanan parti supaya tidak lagi dilihat menjadi kuda tunggangan atau mangsa diperkotak-katikkan oleh sekutu mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Dalam soal melunaskan tanggungjawab pertama, perwakilan perlu ikhlas menentukan sama ada hendak mengekalkan kepimpinan sedia ada atau membuka laluan kepada satu gelombang perubahan yang dicanangkan kononnya demi mewujudkan Pas yang lebih progresif.

Ujian terbesar bagi perwakilan ialah menentukan siapakah yang mereka mahu untuk digandingkan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan Timbalan Presiden.

Ketika ini jawatan berkenaan disandang oleh Nasharudin Mat Isa yang akan mempertahankannya dan beliau dicabar oleh dua calon lain iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man (ulama) dan Mohamad Sabu (aktivis).

Sebelum perwakilan menentukan pilihan mereka adalah wajar jika mereka menilai apakah benar wujudnya keperluan untuk melakukan perubahan di kerusi nombor dua parti itu.

Tidak dapat dinafikan bahawa Pas perlu perubahan tetapi biarlah perubahan yang membawa kebaikan dan bukannya keburukan.

Salah satu yang boleh menjadi dasar penilaian mereka ialah kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan bahawa seseorang pemimpin itu hanya boleh ditukar atau digantikan apabila dia melanggar syariat dan melakukan dosa besar.

Ketika itu, Nik Abdul Aziz mengulas desakan pelbagai pihak yang mahukan Abdul Hadi meletakkan jawatan berikutan kegagalan berturut-turut Pas dalam pilihan raya kecil termasuk di Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Persoalannya, adakah kriteria ini akan diambil kira oleh para perwakilan dalam menentukan siapa yang akan menduduki jawatan Timbalan Presiden?

Apakah kerana Nasharudin dilihat 'tidak sebulu' atau bukan pilihan Nik Abdul Aziz, maka ia juga akan dijadikan kriteria bagi menurunkan beliau daripada jawatan tersebut?

Bagaimana pula dengan gerakan terancang oleh kumpulan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas untuk menguasai kepimpinan parti tersebut termasuklah memastikan orang yang mereka sokong menjadi Timbalan Presiden?

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, jawatan Timbalan Presiden bukan suatu jawatan yang mudah dan tidak penting.

''Calon ini ialah tokoh yang akan ambil alih Pas jika Presiden perlu diganti dalam keadaan tertentu. Calon ini perlu seorang yang telah teruji dalam politik dan pentadbiran, ramai yang bercita-cita tinggi untuk merebut jawatan tersebut dalam parti berkenaan tetapi tidak semua yang layak,'' katanya.

Tegas beliau lagi, Pas memerlukan pemimpin yang dapat membantu Presiden dan kepimpinan parti secara bebas serta bijaksana tanpa perlu mengikut telunjuk atau proksi mana-mana pihak.

Kriteria ini seharusnya menjadi pegangan perwakilan sebelum mereka membuat keputusan. Ini kerana seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis, mereka tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan kepada cakap-cakap dan laporan media sahaja.

''Sebaliknya berlandaskan kepada hujah syarak yang kukuh kenapa seseorang pemimpin perlu ditukarkan.

''Sebab itulah mereka tidak harus terpengaruh dengan kempen-kempen yang mahukan orang baru menduduki jawatan Timbalan Presiden.

''Bagi saya, biarpun ada sedikit sebanyak kelemahan namun itu bukanlah bermakna gandingan kepimpinan sedia ada perlu diganti,'' katanya.

Atas sebab itulah kematangan perwakilan dalam membuat keputusan amat diperlukan, mereka perlu ikhlas untuk menentukan siapakah yang paling layak berganding dengan Abdul Hadi.

Mereka tidak boleh terperangkap dengan mainan politik merebut kekuasaan yang cuba dicanang oleh pihak tertentu dengan berselindung di sebalik istilah perubahan.

Janganlah nanti hanya kerana terpengaruh dengan laungan perubahan, kepimpinan Pas yang dipilih oleh perwakilan hanya menyebabkan mereka ibarat menang sorak kampung tergadai, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Menyentuh soal perubahan juga, perwakilan perlu ikhlas untuk mengkaji sejauh manakah hubungan Pas dengan PKR dan DAP menguntungkan parti berkenaan.

Mereka perlu mempunyai keikhlasan untuk menegur secara terbuka tetapi berhemah terhadap kecenderungan sesetengah kepimpinan Pas yang dilihat terlalu 'berkiblatkan' kepada Anwar, PKR dan DAP.

Malahan apa yang paling penting sejauh manakah perwakilan akan ikhlas mendesak kepimpinan Pas menyatakan pendirian berhubung isu moral melibatkan Anwar kerana ia sudah banyak menjejaskan imej Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Jika perwakilan Pas tidak ikhlas menyatakan kebenaran dan cuba menyembunyikannya demi kepentingan politik parti itu bagi merebut kekuasaan, percayalah mereka akan dihukum oleh rakyat seperti mana berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Justeru keikhlasan seperti mana kata Allahyarham Zulkifli perlu dijadikan pegangan kepada perwakilan Pas dalam muktamar kali ini.

Ikhlaslah untuk membuat keputusan dan menyatakan kebenaran jika betul perjuangan Islam masih belum terhakis dalam dasar parti itu.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Tiada ulasan:

Pengikut