Ahli Parlimen Kota Belud |
Empangan yang mengepung pemikiran Lim Kit Siang (terjemahan blog awal saya) Posted: 03 Jun 2011 11:15 PM PDT Cadangan pembinaan empangan di Kota Belud telah mengundang pelbagai maklum balas. Terbaru yang bersuara ialah pemimpin pembangkang iaitu Ahli Parlimen DAP, YB Lim Kit Siang, yang melawat Kota Belud selama beberapa jam untuk meraikan sambutan Kaamatan beberapa hari lalu. Seperti biasa, tanpa membuang masa, Lim Kit Siang melancarkan serangan politiknya, mengkritik segala dasar kerajaan BN dan menghentam wakil rakyat tempatan termasuk saya (saya adalah Ahli Parlimen Kota Belud). Kit Siang bersungguh-sungguh mahu meyakinkan rakyat betapa kejam dan tidak berperikemanusiannya kerajaan BN. Beliau mendakwa kerajaan BN cuba menghapuskan Kampung Tambatuon dari peta Sabah tanpa sebarang sebab. Saya sedia menerima kritikan, tapi dalam soal ini saya meluat terhadap kedangkalan pengetahuan Lim Kit Siang terhadap isu yang diperkatakan. Untuk memahami rasional di sebalik cadangan kerajaan membina empangan di Kota Belud, kita mesti mengimbau sektor pertanian Malaysia sekitar tahun 60-an dan 70-an, serta krisis makanan yang dialami pada 2007/2008. Pada tahun 60-an dan 70-an, Malaysia berupaya menghasilkan sehingga 90% keperluan berasnya. Ketika itu, harga dan bekalan beras secara relatifnya adalah stabil. Melainkan sekali dua kes terpencil, tiada kita dengar berlaku krisis makanan yang membawa kepada pembelian besar-besaran dan penyusutan bekalan. Bagaimanapun, pada era 80-an ke atas, Malaysia (dan seluruh dunia) membangun dengan pantas. Ekonomi bertambah baik, kilang-kilang dibina di sana sini manakala penduduk dunia pula semakin sihat dan mewah. Dalam ertikata lain, proses industrilisasi negara bergerak dengan rancak. Memasuki alaf baru, permintaan terhadap makanan termasuk beras mula meningkat dengan mendadak, sejajar pertambahan populasi dan kekayaan masyarakat. Pada masa sama, lebih banyak kawasan yang sepatutnya boleh digunakan untuk penanaman padi, diasingkan untuk dibangun sebagai kawasan industri (yang menyediakan peluang pekerjaan) dan kawasan perumahan. Malah, lebih banyak kawasan yang dibuka bagi perladangan kelapa sawit dan getah berbanding padi. Pada 2007 dan 2008, Malaysia dan seluruh dunia berdepan fenomena kekurangan bekalan makanan dan ini ditambah dengan kenaikan harga beras. Ini disebabkan beberapa perkara. Negara pengeksport beras ke Malaysia seperti Thailand dan Vietnam secara tiba-tiba menghadkan pengeksportan beras bagi memastikan permintaan dalaman di negara tersebut dapat dipenuhi. Isu cuaca melampau yang mengakibatkan banjir dan kemarau turut menjejaskan jumlah penghasilan beras, di samping masalah serangan serangga tanaman di negara yang memiliki bilangan penduduk ramai seperti China dan Bangladesh. Keadaan ini memaksa mereka memperolehi bekalan daripada pasaran dunia, sekali gus mewujudkan tekanan lebih besar terhadap harga beras. Memerhatikan perkembangan itu dengan teliti (dan penuh kebimbangan), banyak negara tambah memburukkan keadaan kekurangan bekalan beras di seluruh dunia dengan meningkatkan jumlah stok penimbal (Malaysia meningkatkan stok penimbalnya dari 92,000 tan kepada 292,000 tan). Keadaan ini dengan sendirinya melonjakkan harga beras ke paras lebih membimbangkan. Harga beras melonjak hampir tiga kali ganda daripada AS$362 satu tan pada Disember 2007 kepada hampir AS$1,000 satu tan menjelang April 2008 berikutan stok jatuh ke paras terendah dalam 30 tahun susulan peningkatan permintaan global (maklumat Institut Kajian Beras Antarabangsa). Berlaku peningkatan harga sebanyak 30% di Bangkok dalam sehari manakala rusuhan turut berlaku di Ho Chi Minh City pada satu hujung minggu kerana berebut bekalan beras. Mesir, Filipina, Haiti, Cameroon dan beberapa negara pengeluar lain turut bergelut dalam menangani krisis kekurangan bekalan beras. Secara tiba-tiba, krisis makanan seolah-olah menjadi ancaman besar terhadap keselamatan negara! Walaupun harga beras kembali stabil menjelang 2009 (masih agak tinggi berbanding harga sebelum krisisi), trauma krisis makanan meninggalkan kesan mendalam di jiwa rakyat Malaysia. Apakah Malaysia bakal berdepan dengan satu lagi krisis makanan? Apakah akan berlaku pembelian panik dan penyorokan bekalan? Mungkinkah harga beras melambung tinggi? Apakah Malaysia akan kembali melutut mengharapkan bekalan dari negara pengeksport? Apakah rakyat Malaysia akan kehabisan bekalan jika krisis itu berulang pada masa akan datang? Kerajaan bertindak pantas dalam mengekang kebimbangan rakyat. Perancangan segera dibuat bagi meningkatkan keupayaan negara dalam mengeluarkan beras. Matlamat ini diterjemah sebagai komitmen padu kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang mana dokumennya menyebut: "Perhatian serius akan diambil secara strategik berhubung aspek keselamatan makanan". Lebih banyak dana disediakan bagi sektor pengeluaran beras, selain mengenal pasti lebih banyak kawasan yang boleh ditanam padi. Apabila kerajaan mencari kawasan untuk menanam padi, sudah tentu perhatian terarah ke Sabah dan Sarawak yang masih mempunyai banyak kawasan lapang. Segala pandangn bertumpu ke kawasan padi seluas 25,000 ekar di Kota Belud yang tidak produktif. Kota Belud dipilih antara satu daripada kawasan yang akan dibangunkan bagi membantu Sabah (dengan kebergantungan sendiri di tahap 30%) dan negara (kebergantungan sendiri 70%) sebagai langkah menangani krisis bekalan beras pada masa depan. Seterusnya, kerajaan mengarahkan pelaksanaan penyediaan infrastruktur secara besar-besaran bagi mengubah wajah Kota Belud sebagai jelapang padi baru negara. Kerajaan mahu kawasan 25,000 ekar (10,000 hektar) tanah subur di Kota Belud menghasilkan 4 tan padi seekar (ketika ini antara 1 hingga 1.8 tan seekar). Dalam usaha mencapai hasrat menggunung itu, kerajaan ingin menaik taraf sistem pengairan, pengurusan, teknologi dan jentera di Kota Belud dengan segera. Pada tahun pertama pelaksanaannya (2009/2010), kerajaan membelanjakan RM150 juta tetapi itu cuma permulaan dan tidak mencukupi. Untuk memastikan perancangan itu berjaya, perlu ada sumber bekalan air baru dan memadai bagi mengairi 25,000 ekar kawasan penanaman. Justeru, timbullah cadangan membina empangan berkenaan. Tanpa empangan tersebut, tiada jalan untuk lain mengairi kawasan padi seluas itu. Beberapa NGO mendakwa pengairan boleh dilakukan tanpa membina empangan. Sehingga hari ini, saya belum melihat sebarang bukti menyokong dakwaan itu. Apa yang pasti, isipadu aliran sungai pada musim kemarau tidak mencukupi untuk menampung keperluan kawasan seluas 25,000 ekar. Sebuah empangan diperlukan bagi menyimpan jumlah air yang tinggi untuk dilepaskan pada musim kemarau. Satu daripada objektif utama apabila jelapang padi dan empangan berkenaan menjadi kenyataan ialah ribuan petani miskin di Kota Belud mampu menghasilkan 4 tan padi seeker atau 200,000 tan bagi dua musim menuai setiap tahun. Jika harga padi kekal sekitar RM1,000 setiap tan, ini bermakna jelapang padi Kota Belud berupaya menyumbang pendapatan kasar berjumlah RM200 juta setiap tahun! Sebahagian daripada wang itu akan berada dalam genggaman peniaga tempatan, sekali gus menjana ekonomi setempat menerusi kesan berganda, membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan masa depan lebih cerah bagi generasi muda. Peningkatan dari segi pendapatan tahunan itu akhirnya akan mengikis label Kota Belud sebagai "antara daerah termiskin di Malaysia." Selain memastikan air mencukupi untuk dialir ke sawah, empangan berkenaan turut memiliki manfaat lain. Pertamanya, ia dapat mengawal banjir melanda Kota Belud dengan mengawal aliran sungai ketika musim hujan. Masalah banjir yang berulang banyak memusnahkan harta benda dan tanaman penduduk di Kota Belud setiap tahun. Kedua, sejak merdeka, Kota Belud mengalami kekurangan bekalan elektrik sejajar pembangunan dan pembukaan kawasan perumahan baru. Empangan ini boleh digunakan untuk menjana kuasa hidro pada masa depan. Ketiga, dengan jumlah air yang banyak di takungan empangan itu, sebahagiannya boleh digunakan untuk menyediakan bekalan air terawat bagi kegunaan penduduk. Keempat, empangan berkenaan boleh menjadi tarikan pelancong dan dengan sendirinya membantu sektor pelancongan Kota Belud. Tasik buatan itu akan menarik kunjungan pengunjung dan membolehkan aktiviti seperti memancing serta perkhemahan dijalankan. Apabila rancangan untuk menukar Kota Belud menjadi Jelapang Padi dikemukakan oleh kerajaan, Pegawai Daerah, agensi berkenaan dan wakil rakyat tempatan termasuk saya, mengadakan banyak mesyuarat bagi membincangkan rancangan itu secara terperinci. Kami mengundang perunding untuk member taklimat khusus mengenai cadangan kerajaan membina empangan tersebut. (Saya masih ingat Ketua Kampung Tambatuon dan Pengerusi JKKK turut menghadiri mesyuarat tersebut). Pihak perunding menunjukkan kepada kami peta udara berkaitan beberapa lokasi berpotensi dan sesuai bagi empangan itu.Sebenarnya ada beberapa kawasan dinyatakan. Setiap lokasi dibincang dengan mendalam bagi tujuan mengenal pasti satu lokasi yang mempunyai kesan negative paling minimum terhadap alam sekitar dan penduduk kampung terbabit. Perunding memaklumkan ada antara lokasi berkenaan akan menyebabkan banjir merebak ke kawasan lebih besar dan menjejaskan beberapa kampung. Sesetengah lokasi pula memerlukan pembinaan dinding empangan lebih tinggi yang menelan belanja besar dan tidak stabil dari segi strukturnya. Selepas berbincang panjang, pihak perunding menamakan Kampung Tambatuon sebagai lokasi dengan kesan kemusnahan paling minimum terhadap alam sekitar dan penduduk setempat. Walaupun pihak perunding membuat kesimpulan itu berdasarkan pemerhatian teknikal, wakil rakyat setempat melahirkan kebimbangan terhadap kesannya kepada penduduk dan alam sekitar. Kami meminta kajian mendalam dilakukan bagi menentukan sama ada Kampung Tambatuon benar-benar sesuai atau sebaliknya.Kajian ini memerlukan pihak perunding turun padang ke Kampung Tambatuon. Di sinilah punca segala-galanya tergendala buat masa ini. Walaupun sudah diberi jaminan kerajaan hanya akan meneruskan pembinaan jika kesan alam sekitar dan kajian kependudukan menunjukkan hasil positif, penduduk kampung tetap enggan membenarkan kumpulan perunding masuk ke kampung mereka menjalankan kajian! Kerajaan sudah berulang kali menegaskan projek itu masih di peringkat awal dan Kampung Tambatuon hanya akan dipilih jika Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan kajian kependudukan menghasilkan keputusan positif. Malangnya, penduduk terlalu cepat membuat kesimpulan. Lucu rasanya bila membaca kenyataan pemimpin pembangkang dan Suhakam mengenai isu ini. Semuanya mendesak kerajaan meneliti bagaimana empangan itu akan menjejaskan kehidupan penduduk dan meminta prosedur EIA dilakukan sebelum meneruskan hasrat membina empangan itu. Saya bersetuju sepenuhnya. Tapi bagaimana kita dapat melakukannya? Bukankah itu memerlukan perunding melawat ke tapak dicadangkan dan menemui penduduk bagi melakukan ujian serta kajian? Dari satu sudut, mereka mahu kajian dilakukan tetapi pada masa yang sama mereka menghasut penduduk supaya menghalang pihak perunding daripada melawat ke kampung tersebut. Saya benar-benar tidak faham apa yang dimahukan oleh mereka. Lim Kit Siang mempersoalkan dengan bertalu-talu mengapa tiada perbincangan dilakukan dengan penduduk kampung. Semua wakil rakyat tempatan sudah menemui Jawatankuasa Bertindak yang dibentuk khusus oleh penduduk kampung itu sendiri bagi mewakili suara hati mereka. Malah, Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK sudah diberi taklimat oleh Pegawai Daerah. Tidak syak lagi, segala kebimbangan penduduk kampung sudah didengar dengan jelas. Saya yakin memorandum yang diberi oleh Jawatankuasa Bertindak kepada semua YB dan Ketua Menteri sudah mengambil kira segala asas dan kebenaran bantahan mereka. Mengambil kira isu ini sudah dipolitikkan (gara-gara retorik politik pembangkang), kami berpendapat adalah lebih baik untuk menunggu laporan EIA dan syarat pampasan yang dicadangkan kerajaan sebelum menemui penduduk kampung terbabit. Sekurang-kurangnya apabila laporan EIA dan syarat pampasan sudah diketahui, penduduk kampung boleh membuat pertimbangan dan semua pihak boleh menggunakannya sebagai asas dalam mengadakan perbincangan yang lebih produktif. Tanpa laporan EIA dan butiran pampasan, besar kemungkinan mesyuarat bersama penduduk kampung hanya akan mengulangi perkara yang sudah diluahkan pemimpin kampung dan Jawatankuasa Bertindak sebelum ini. Tiada YB yang bersifat bertanggungjawab, mahu melihat sebuah kampung di kawasannya dimusnahkan atau penduduknya dipindahkan. Bagaimanapun, dqlam sejarah Malaysia penempatan semula masyarakat pernah dilakukan. Daripada mengelak pengaruh komunis menular sebelum kemerdekaan Malaysia ( contohnya kampung baru) kepada perkembangan semasa (apabila pembinaan lebuhraya dan MRT dilaksanakan di bandar), penduduk yang terjejas dengan projek pembangunan kerajaan perlu berpindah. Ini bukan kali pertama ia dilakukan dan pastinya bukan yang terakhir. Saya cabar DAP untuk memasukkan dalam manifesto pilihan rayanya iaitu jika mereka membentuk kerajaan, tiada penduduk akan dipindahkan bagi memberi laluan kepada pembangunan dan pembinaan infrastruktur awam yang penting. Malah, tidak juga untuk yang membabitkan keselamatan negara! Sampai sekarang, saya tidak faham mengapa Lim Kit Siang enggan mengakui kepentingan memiliki jaminan keselamatan makanan untuk negara.Apakah beliau mahu rakyat Malaysia mengharungi panik krisis beras yang berlaku pada 2008 apabila bekalan beras Malaysia terjejas berikutan sekatan eksport? Apakah beliau mahu rakyat Malaysia melalui satu lagi krisis yang mana bekalan stok negara hanya mampu bertahan untuk dua minggu? Apakah beliau peduli sama ada rakyat Malaysia mempunyai beras atau tidak pada masa akan datang? Sanggupkan beliau bertanggungjawab sepenuhnya jika rakyat Malaysia berdepan kekurangan bekalan beras meruncing dan harga melambung? Ini adala persoalan yang perlu dijawab oleh "pemimpin" dan bukannya "ahli politik". Malangnya, dalam hal ini Lim Kit Siang bertindak lebih sebagai ahli politik dari seorang pemimpin. Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa TIADA kampung yang dikenal pasti sebagai lokasi muktamad empangan itu. Lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum sebarang lokasi dipilih, termasuk Kampung Tambatuon. Bagaimanapun, saya percaya rakyat keseluruhannya memahami bahawa kemajuan dan pembasmian kemiskinan tidak akan berlaku jika tiada pembangunan yang ada kalanya memerlukan perpindahan, penempatan semula dan penyusunan semula masyarakat. Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, sudah tentu kami akan memastikan kerajaan memberi pampasan berpatutan dan adil kepada penduduk kampung manakala kebajikan mereka tidak diabaikan. Kerajaan mesti menyedari bahawa penduduk terbabit bakal mengorbankan kampung mereka demi masa depan yang lebih baik buat negara. Mungkin penduduk kampung terbabit boleh memohon mendapatkan rumah yang lebih baik dan infrastruktur sistematik yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas. Mungkin mereka boleh meminta dibina sekolah baru, rumah kedai, balai polis dan klinik desa sebahagi sebahagian daripada penyelesaiannya. Apa yang ingin saya katakan ialah bawa berbincang dengan kerajaan. Tambahan pula, jika mereka menunggu pembangunan pada kadar biasa, mereka mungkin perlu menanti bertahun-tahun lamanya sebelum kerajaan dapat menyalurkan pembangunan dihajatkan. Apa sekalipun keadaannya, wakil rakyat tempatan akan memastikan penduduk kampung terbabit tidak akan mengorbankan tanah mereka dengan sia-sia. Secara ringkasnya, matlamat Jelapang Padi dan pembinaan empangan boleh disimpulkan begini. Dalam sekali harung, kerajaan berharap pembinaan empangan dan kejayaan Jelapang Padi akan membantu membasmi kemiskinan di Kota Belud, membawa pembangunan dan kemakmuran, menyelesaikan masalah bekalan air kepada masyarakat di Kota Belud, menyelesaikan masalah kekurangan bekalan elektrik, menyelesaikan ancaman jaminan keselamatan makanan negara dan memberi pekerjaan kepada penduduk setempat. Tiada apa yang mencurigakan mengenai motif kerajaan (seperti didakwa Lim Kit Siang). Malangnya, Lim Kit Siang tidak ragu-ragu untuk terus membiarkan penduduk luar bandar di Kota Belud tenggelam dalam kemiskinan.Beliau enggan melihat limpahan manfaat dari empangan dan Jelapang Padi. Beliau akan terus bermain politik walaupun ia bermakna mengetepikan rakyat miskin dan keselamatan makanan negara. Saya ingat bagaimana beliau kerap mendabik dada dan berbangga sebagai `Malaysian First' atau rakyat Malaysia mendahului segala-galanya. Tapi kini, semua orang boleh melihat beliau sebenarnya adalah `ahli politik dahulu, rakyat Malaysia jauh di tempat kedua' (Politician First, Malaysian A Distant Second). Lim Kit Siang bercakap benar apabila menyatakan wakil rakyat perlu memperjuangkan hak rakyat yang diwakili mengatasi segala-galanya. Namun demikian dalam kes seperti ini, mana-mana YB sekalipun akan mendapati dirinya terhimpit di antara kepentingan penduduk kampung (kira-kira 550 orang) dengan kepentingan lebih besar mewakili ribuan petani miskin di Kota Belud, di samping masa depan jutaan rakyat Malaysia. Bagaimana kita mencari keseimbangan dalam menangani persoalan moral serba sensitive ini? Wajarkah kita mengorbankan kebajikan segolongan kecil (tetapi memastikan pampasan adil dan berpadanan) demi kepentingan kelompok lebih besar dan masa depan negara? Atau apakah kita terus bermain politik dan memperjudikan masa depan negara? Saya tidak salahkan Lim Kit Siang jika beliau gagal menjawab soalan moral ini. Lagipun, selama menjadi YB, beliau mewakili kawasan bandar dan tidak pernah memegang jawatan dalam kerajaan yang ada kalanya memerlukan beliau membuat keputusan sukar seperti ini. -Tamat- Nota: terima kasih kepada sahabat wartawan yang membantu menterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia artikel awal yang ditulis dalam bahasa inggeris. |
You are subscribed to email updates from Ahli Parlimen Kota Belud To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan