UMNO Cawangan Bukit Ampang |
Tolak politik kebencian, ekstremisme – PM Posted: 03 May 2011 11:47 AM PDT PHNOM PENH 2 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru parti-parti politik Asia untuk menyertai Malaysia dalam gerakan global untuk kesederhanaan dan menolak sama sekali politik kebencian serta sebarang jenis ekstremisme. Perdana Menteri menegaskan, ia penting kerana Asia yang sedang pesat berkembang ekonominya, tidak mampu menghadapi sebarang gangguan dan kemusnahan diakibatkan oleh ekstremisme dan keganasan yang menjadikan dunia sebagai tebusan. Sambil menegaskan tentang pentingnya parti-parti terbabit mengelak sepenuhnya daripada menggunakan pendekatan ekstrem, beliau berkata: "Sebagai anggota keluarga Asia, kita mempunyai kepentingan masing-masing untuk memastikan rantau ini bebas dan selamat daripada ideologi yang mendukung konflik, kemusnahan, perpecahan dan permusuhan. "Kesederhanaan mestilah menjadi suara yang dominan, manakala kerjasama dan rundingan hendaklah sentiasa menjadi pilihan serta menolak permusuhan dan konfrontasi. "Isu sebenarnya bukan antara Islam dan bukan Islam tetapi antara kesederhanaan dan ekstremisme dalam pelbagai kepercayaan sama ada Islam, Kristian, Judaisme, Hindu dan lainnya," katanya. Beliau menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) Keenam di sini hari ini. Perhimpunan itu dirasmikan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan dihadiri lebih 317 pemimpin parti politik dari 51 negara Asia dan Oceania. Malaysia diwakili 29 orang daripada UMNO, MCA dan Pas. UMNO diketuai oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga ahli Jawatankuasa Tetap ICAPP. Antara pemimpin politik yang hadir ialah bekas Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan bekas Presiden Filipina, Fidel Ramos. Najib menambah, ekstremis dan pengganas tidak boleh dibenarkan sama sekali mengambil alih perjuangan rakyat, sekali gus menentukan hala tuju negara. Malah, tambahnya, sangat malang jika parti-parti politik sendiri memilih pendekatan ekstremisme untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh mereka. Sedangkan, jelas beliau, untuk terus kekal popular, parti-parti politik tidak sepatutnya menjadi ekstrem sebaliknya berubah mengikut tuntutan masa dan kehendak rakyat. Dalam hubungan sama, Najib menekankan pentingnya hubungan dan rangkaian parti-parti politik di Asia dalam menyebarluaskan perjuangan gerakan kesederhanaan global itu. Perdana Menteri menggalakkan parti-parti politik Asia membina dan memperkukuh kerjasama; bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman; serta menyampaikan harapan sama kepada penyokong masing-masing. Sementara itu, ketika memulakan ucapannya, Najib menyampaikan takziah kepada kerajaan Kemboja berikutan tragedi meragut 351 nyawa rakyat negara ini di Jambatan Pulau Intan di sini pada malam 22 November. – utusan |
You are subscribed to email updates from UMNO Cawangan Bukit Ampang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan