Isnin, 9 Mei 2011

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali syorkan pemimpin UMNO kejar jawatan diketepikan sebagai calon PRU

Posted: 09 May 2011 12:09 AM PDT

MANA-MANA pemimpin UMNO yang dilihat begitu mengejar jawatan dan bergelumang dengan masalah peribadi wajar diketepikan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Tak ada gunanya pilih calon yang gilakan jawatan kerana calon tersebut sudah pasti akan ditolak oleh rakyat termasuk ahli-ahli parti," tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Katanya, mana-mana wakil rakyat UMNO yang menunjukkan prestasi buruk dan menjadi kemarahan rakyat juga perlu disingkirkan sebagai calon pada PRU ke-13 akan datang.

Beliau mengingatkan, jangan sampai ahli-ahli UMNO bertindak menyokong parti pembangkang hanya disebabkan ketidak sesuaian calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

Serentak itu, beliau mehu Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengenalpasti calon yang benar-benar memenuhi citarasa pengundi.

"Kita mahu kemenangan, bukannya kerana mengambil hati kita pilih calon yang tidak berkelayakan atau yang tidak ada semangat untuk berjuang kepada agama, bangsa dan tanahir," tegasnya.

Bagaimanapun beliau yakin Najib yang juga Perdana Menteri akan membuat keputusan terbaik demi UMNO dan kepentingan negara.

Menurutnya, ahli-ahli UMNO sekarang ini sudah cerdik dan mereka tahu menilai yang mana intan dan kaca.

"Mereka sudah bosan dengan pemimpin UMNO yang berjuang kerana berebutkan jawatan atau ingin dipanggil YB, oleh sebab itu pada PRU ke-12 kita kalah teruk," tambahnya.

Beliau mengulas teguran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa pemimpin UMNO sekarang ini berjuang kerana habuan, semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras, pagi semalam.

Syed Ali berkata, teguran Dr. Mahathir adalah ikhlas dan lahir daripada rasa bimbang beliau terhadap masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

"Memang agak pahit kenyataan Dr. Mahathir, tetapi itulah hakikat yang harus kita terima jika kita benar-benar ikhlas ingin membina semula kekuatan UMNO," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Ali mengecam keras Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan mengeluarkan cercaan terhadap Najib sebagai 'pandukutti' (anak babi) dalam satu majlis ceramah politiknya di Klang, Sabtu lalu.

Beliau menegaskan, jika benar laporan tersebut, ianya perbuatan sungguh biadab dan Anwar perlu menarik balik kata-kata tersebut.

"Adalah sangat biadab seorang pemimpin politik Melayu tergamak mengeluarkan cercaan sedemikian rupa," tegasnya.

Tiada ulasan:

Pengikut