Pengikut

Nuffnang

Ahad, 8 Mei 2011

Hamidah Osman

sumber :-

Hamidah Osman


Sampai Bila Kita Akan Bermusuhan ?

Posted: 08 May 2011 08:56 AM PDT






Siapa musuh perpaduan umat Islam?







Buat seketika Awang terasa syahdu dalam penuh kesyukuran. Cukup terkesan di hati apabila menatap gambar muka depan Utusan Malaysia terbitan 5 Mei lalu yang memaparkan keriangan rakyat Palestin ekoran perdamaian kesemua puak termasuk Fatah dan Hamas. Sudah lama rakyat Palestin tidak seceria itu.

Perjanjian damai dimeterai di Kaherah bagi menamatkan perbalahan antara puak-puak berkenaan di Tebing Barat dan Genting Gaza. Ia merupakan berita paling melegakan umat Islam di seluruh dunia. Usaha mencari perdamaian di Palestin yang berdepan dengan banyak halangan sebelum ini, akhirnya menjadi kenyataan.

Selama ini banyak pihak skeptikal bahawa puak-puak yang berbalah terutama antara Fatah dan Hamas akan berdamai. Semua orang tahu, permusuhan mereka kerap menyaksikan pertumpahan darah sesama saudara Islam. Tetapi usaha yang berterusan biarpun dalam permasalahan yang dilihat kompleks, membuahkan hasil akhirnya.

Sudah tentu pihak yang paling tidak senang dan mengecam perjanjian damai itu ialah Israel. Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang mencari apa sahaja cara untuk melihat puak-puak itu kembali bermusuhan. Lalu fikiran Awang kembali kepada senario di tanah air. Apakah dua parti politik utama umat Islam iaitu UMNO dan Pas, yang sudah lama berseteru akan kembali bersatu atau setidak-tidaknya bermuafakat dalam isu-isu kepentingan agama dan bangsa?

Persoalan tersebut paling menarik perhatian kerana majoriti umat Islam semakin mengharapkan kedua-dua parti itu menemui titik damai baru. Setakat ini usaha ke arah itu menemui kegagalan kerana banyak faktor. Ini termasuk sikap beberapa kerat pemimpin Pas yang menolak seruan perpaduan ummah hanya kerana terikat percaturan politik pakatan pembangkang.

Pas kini bukan sahaja tidak dominan dalam pakatan pembangkang malah terus diperkudakan oleh DAP dan PKR. Pemimpin Pas seperti Nik Aziz Nik Mat asyik tunduk dan mengikut rentak DAP walaupun parti itu terang-terangan menolak penubuhan negara Islam.

Kerjasama Pas dan DAP sama sekali tidak menjadikan Pas lebih kuat sebaliknya semakin ditolak oleh ramai orang Islam berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Yang untung dan terus untung ialah DAP. Itulah yang membolehkan pemimpin utamanya, Lim Kit Siang terus menguntum senyum lebar termasuk dalam tidurnya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dalam prinsip perpaduan Islam, jalinan sesama saudara Islam perlu didahulukan tetapi Nik Aziz lebih jatuh cinta kepada Kit Siang. Belum pernah dalam sejarah Pas menjadi sebegitu dayus angkara Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pas yang pro Anwar Ibrahim. Kesetiaan mereka bukan kepada Presiden Pas, Hadi Awang tetapi kepada Anwar dan ramai ahli Pas tahu hakikat itu. Golongan ini tidak besar tetapi berpengaruh dalam Pas. .

Ketua Pembangkang itu pula telah terbukti tunduk kepada kehendak DAP demi mengejar impian untuk berkuasa. Belum pernah juga dalam sejarah, pembangkang dipimpin oleh tokoh paling dahsyat isu moralnya tetapi dihalal bukan sahaja oleh DAP, malah Nik Aziz. Awang hairan, sebagai ulama beliau tidak berpegang kepada prinsip moral.

Dalam isu perpaduan antara dua parti terbesar umat Islam, Nik Aziz menolak dan memperlekehkan usaha ke arah itu dengan pelbagai alasan dan hujah dangkal. Bahkan, beliau asyik menghina UMNO yang juga pendokong Islam- perbuatan yang bercanggah dengan ajaran agama. Sikap angkuh, riak dan kecelaruan Nik Aziz sudah menjadi liabiliti kepada Pas. Tok guru itu perlu dipertanggungjawabkan jika umat Islam terjajah oleh muslihat DAP dan PKR. Awang setuju dengan pandangan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya bahawa pihak yang menentang penyatuan UMNO dan Pas sebagai pengkhianat Islam.

Tetapi Nik Aziz tidak peduli semua itu. Beliau rela bersubahat dengan musuh Islam daripada berbaik dengan UMNO, parti paling banyak berjasa kepada pembangunan umat Islam. Sedangkan DAP mempunyai gagasan Malaysian Malaysia, yang agenda tersirat mahu menulis semula perlembagaan atas konsep kesamarataan bagi menjadikan Malaysia negara republik. Konsep tersebut akan diolah hanya untuk menjulang kepentingan satu kaum kerana DAP sememangnya parti paling rasis bertopengkan istilah demokratik. Awang tidak nampak jasa DAP kepada kaum India apatah lagi Melayu.

Dari segi peranan dalam parti pula, orang India, Melayu dan Sikh hanya menjadi boneka kerana mereka tidak punya kuasa dan pengaruh. Sejak empat dekad berkuasa dalam parti, Kit Siang tidak membuka laluan kepada kaum lain termasuk Karpal Singh untuk menjadi Setiausaha Agung.

Malah Kit Siang berjaya dalam perancangannya untuk menobatkan anak beliau, Lim Guan Eng sebagai pemimpin utama, menjadikan ia parti Dinasti Lim. Yang lebih membimbangkan, beliau tidak punya aspirasi nasional yang berteraskan sejarah tanah air. Sebab itu, tidak silap Awang, Kit Siang tidak pernah berikrar untuk menjunjung Perlembagaan negara termasuk institusi raja. Ini cukup berbeza dengan pemimpin pembangkang dari keturunan minoriti di negara-negara lain yang dari awal komited mempertahankan perlembagaan.

Dalam isu pertemuan paderi-paderi di Pulau Pinang baru-baru ini yang dikatakan berikrar untuk menjadikan Kristian agama rasmi, DAP perlu tampil dengan pendirian sebenar. Peranan parti itu harus dijelaskan kerana isu itu amat bahaya dan boleh mengancam keselamatan negara. Awang berharap Kit Siang dan Guan Eng komited memperakukan Islam sebagai agama rasmi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Untuk menutup sebarang keraguan, seeloknya Kit Siang menggerakkan kempen cintai perlembagaan jika beliau tidak rasis, yang Awang ragui beliau akan berbuat demikian. Apa pun, tiada kompromi dalam soal agama rasmi Malaysia. Janganlah mengundang padah yang boleh menghancurkan negara. Tetapi Awang tidak terkejut jika Nik Aziz akan mengambil jurus pandangan yang mengelirukan dalam isu kritikal seperti ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kalau Anwar memalukan umat Islam dengan isu moralnya, Nik Aziz pula tidak wajar mempertaruhkan agama untuk politik. Sewajarnya beliau berundur. Realitinya, Nik Aziz sudah tidak relevan. Ini juga pengamatan sebahagian pemimpin Pas sendiri. Cengkaman Nik Aziz dalam parti makin longgar dan dalam diam ramai ahli mengkritik beliau. Awang melihat, anaknya termasuk Nik Abduh, jauh lebih bijak dan boleh menjadi sandaran baru Pas.

Apa pun, di sebalik halangan faktor Nik Aziz dan puak Anwar dalam Pas yang menentang perpaduan Islam, kita sebagai orang Islam tidak boleh berputus asa. Lagi banyak rintangan, lagi kuat usaha perlu digerakkan.

Dalam pada itu, Awang difahamkan sudah terbit kesedaran baru di kalangan sebahagian pemimpin dan ahli Pas yang lebih mengutamakan kepentingan Islam daripada ego pemimpin.

Golongan ini ada keyakinan untuk memastikan Pas tidak dijadikan alat DAP dan PKR. Awang percaya Muktamar Agung Pas awal bulan depan akan menjadi medan untuk bermuhasabah. Pas perlu berani menentukan pendiriannya dalam soal permuafakatan Islam. Ambillah iktibar daripada perkembangan di Palestin.






Kalau Israel sangat benci dan takutkan perdamaian puak-puak Palestin, begitu juga ada pihak di sini yang tidak mahu UMNO dan Pas berbaik. Paling anti kepada usaha tersebut adalah DAP. Pemikiran Kit Siang dan Netanyahu dalam menolak soal perpaduan Islam sama sahaja.

Pada beliau, Cina mesti bersatu tetapi jangan biarkan Melayu yang dinaungi agama Islam bertaut. Padahal, dalam konteks Malaysia, perpaduan Islam dan Melayu adalah pusat graviti kepada keselamatan negara bangsa, yang bererti kestabilan untuk semua kaum. Ia adalah ramuan kesejahteraan Malaysia. Apatah lagi, Melayu adalah kaum yang bersikap begitu pemurah kepada kaum lain.

Jika Pas tunduk kepada pemikiran Kit Siang dan Netanyahu, ia akan menjadi parti Islam paling hina di muka bumi ini. Awang percaya parti itu akan menerima hukuman lebih berat daripada masyarakat Islam pada pilihan raya umum akan datang.

Tetapi yang lebih menuntut persoalan, apakah Pas mahu melanggar perintah dan peringatan Allah berkaitan soal penyatuan umat Islam.

Biarlah Awang imbas kisah yang pernah diceritakan oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada sekumpulan jemaah selepas baginda berdoa panjang di Masjid Bani'Muawiyah.

''Aku memohon kepada Allah agar janganlah membinasakan umatku musim susah yang panjang maka ia diperkenankan.

''Aku memohon agar umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir yang melanda umat Nabi Nuh atau Raja Firaun bersama tenteranya yang ditenggelamkan di lautan) maka permohonanku itu diperkenankanNya jua.

''(Tetapi apabila) aku memohon agar umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan (permusuhan, pergaduhan atau peperangan) sesama mereka), permohonan ini tidak diperkenankan (oleh Allah). (Hadis 2464 riwayat Muslim).

Seandainya tiba saat kebinasaan itu maka segala-galanya sudah terlambat. Renungkanlah.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

Untuk semua rakyat Malaysia

Posted: 08 May 2011 08:54 AM PDT

Zin Mahmud

Pada hari Rabu ini, genaplah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berusia 65 tahun. Ketika UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946, negeri-negeri Melayu sudah tidak ada. Ini kerana Malayan Union sudah ditubuhkan pada 1 April 1946. Keseluruhan negeri-negeri Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang menjadi Malayan Union yang terletak di bawah kedaulatan King George VI di bawah pentadbiran Gabenor Sir Edward Gent.

Melayu sudah tidak ada-apa pada masa itu Semua penduduk Malaya yang bermastautin di negara ini tidak kurang lima tahun boleh memohon menjadi warganegara. Dari segi bahasa, sesiapa yang boleh faham atau bercakap bahasa Melayu atau Inggeris adalah layak.

Menurut gagasan Malayan Union, raja-raja Melayu hanya ada kuasa mengenai hal ehwal agama. Kuasa sebenar di negeri-negeri terletak sepenuhnya pada Residen.

Kempen membantah Malayan Union inilah yang menjadikan Gerakan Melayu lebih tersusun dan membawa kepada kelahiran UMNO.

Apa yang dimaksudkan dengan Gerakan Melayu ialah usaha segolongan orang Melayu yang sedar mengenai kepentingan bangsa. Mereka aktif dalam pelbagai cara seperti menulis, menerbitkan akhbar, majalah dan buku serta menubuhkan persatuan-persatuan Melayu.

Gerakan Melayu ini muncul pada tahun 20-an dan 30-an lagi. Ada yang melalui aktiviti pendidikan agama, ataupun daripada sekolah-sekolah Melayu. Apabila mereka mula mampu membaca dan sedar mengenai politik dan perkembangan dunia, maka muncullah apa yang boleh disebut sebagai Gerakan Melayu.

Persatuan-persatuan Melayu negeri dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan adalah sebahagian daripada gerakan ini. Begitu juga dengan kegiatan penerbitan termasuklah akhbar Utusan Melayu. Semuanya ini adalah sebahagian daripada Gerakan Melayu. Orang perseorangan seperti guru-guru di kampung yang berusaha menyedarkan orang Melayu adalah juga sebahagian daripada gerakan ini.

Gerakan Melayu ini terus hidup pada zaman Jepun. Walaupun berada di bawah kekuasaan Jepun, mereka tetap memperjuangkan kepentingan Melayu.

Maka apabila Datuk Onn Jaafar bangun dan membantah gagasan Malayan Union, Gerakan Melayu ini berada di belakang beliau. Langkah awal mereka tentulah mengadakan Kongres Melayu Se-Malaya untuk menyusun dan menyelaras Gerakan Melayu ini.

Maka penubuhan UMNO adalah salah satu daripada tiga usul yang diluluskan oleh Kongres Melayu Se-Malaya pertama yang dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bahru, Kuala Lumpur pada 1 Mac hingga 4 Mac 1946 dengan penyertaan 41 persatuan-persatuan Melayu sebagai mewakili aspirasi orang Melayu.

Dua usul lain ialah membantah penubuhan Malayan Union dan mewujudkan tabung pendidikan kebangsaan Melayu. Tiga usul kongres ini mencerminkan aspirasi orang Melayu ketika itu, iaitu menyusun sebuah pertubuhan bagi mewakili Gerakan Melayu, menentukan sikap politik orang Melayu melalui penolakan terhadap Malayan Union, dan memberi penekanan terhadap kemajuan pendidikan orang Melayu.

Aspirasi

Justeru apabila UMNO ditubuhkan, ia membawa aspirasi Gerakan Melayu bukan saja dari segi politik iaitu membantah Malayan Union tetapi juga pendidikan, iaitu orang Melayu mesti dibuka peluang untuk mencapai kemajuan pendidikan sebesar dan setinggi mungkin. Ternyata UMNO berjaya dalam usahanya membantah Malayan Union apabila gagasan itu dimansuhkan pada Januari, 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Selepas 65 tahun berlalu tentu sukar untuk merasakan pentingnya Malayan Union ditentang. Kini orang Melayu sudah mencapai banyak kemajuan berbanding 65 tahun yang lalu, terutamanya dari segi pendidikan.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyambut ulang tahunnya ke - 41 pada 18 Mei ini adalah salah satu mercu tanda perjuangan pendidikan Gerakan Melayu. Begitu juga dengan lain-lain institusi Melayu seperti juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Banyak lagi institusi-institusi lain yang sebenarnya adalah sebahagian daripada Gerakan Melayu. Malah akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ini juga merupakan sebahagian daripadanya.

Namun begitu perlu diingat, bahawa Gerakan Melayu ini tidak bersifat eksklusif, jauh sekali mempunyai sebarang unsur rasis. Gerakan Melayu bersifat nasional. Persekutuan Tanah Melayu bukannya negara Melayu semata-mata tetapi untuk semua penduduknya juga. Di peringkat antarabangsa, ia dikenali sebagai Persekutuan Malaya. Tidak disebut Tanah Melayu.

Begitu juga dengan UMNO. Ia berfahaman inklusif juga dengan mengajak MCA dan MIC bersekutu dalam Perikatan. Sifat mengajak kaum lain ini membolehkan UMNO menjadi parti yang berkhidmat untuk semua rakyat negara ini.

Maka apabila Malaysia ditubuhkan dan seterusnya wujudnya Barisan Nasional, apa yang asalnya dilihat sebagai Gerakan Melayu adalah sebenarnya merupakan suatu fahaman nasional. Gerakan Melayu adalah sebenarnya gerakan kebangsaan untuk semua kaum. Ini berbeza dengan apa yang cuba dibawa oleh gagasan Malayan Union dahulu. Malayan Union ini adalah bukan saja suatu projek imperialis tetapi rasis. Antara lain fahaman imperialisme British adalah kepercayaan bahawa orang Inggeris adalah bangsa unggul yang berhak untuk menjajah dunia dan meletakkan kaum-kaum lain menjadi anak-anak jajahan mereka.

Mereka menyusup kuasa di negeri-negeri Melayu secara tapak demi tapak tetapi akhirnya adalah untuk menguasai sepenuhnya negara ini. Bagi mereka, anak-anak jajahan, tidak kira sama ada Melayu, Cina atau India adalah semata-mata alat untuk berkhidmat demi empayar mereka.

Kedudukan

Rakyat bukan Inggeris tidak akan mendapat kedudukan setaraf mereka. Inggeris mahu menguasai bukan saja negeri-negeri Melayu tetapi juga India dan China. Orang Cina dan India yang dibawa masuk ke negeri-negeri Melayu hanyalah untuk menggerakkan ekonomi empayar mereka.

Penjajahan adalah suatu amalan perkauman yang dahsyat dan Malayan Union adalah projek rasis untuk menjadikan semua penduduk negeri-negeri Melayu sebagai hamba mereka. Kalaulah UMNO dahulu gagal menghalang penubuhan Malayan Union maka cuba bayangkan apa yang terjadi. Untuk masa yang lama Malaya akan menjadi tanah jajahan British dengan pihak Inggeris menguasai sepenuhnya politik dan ekonomi negara ini. Semua tanah- tanah di negeri ini tentunya akan diberikan pada syarikat-syarikat Inggeris. Tidak akan ada tanah simpanan Melayu.

Pentadbiran awam akan dipegang sepenuhnya oleh orang Inggeris. Bukanlah bererti orang Melayu, Cina dan India tidak mendapat tempat dalam pentadbiran awam. Mereka mungkin diberi peluang tetapi setakat sesuatu peringkat saja.

Bahasa rasmi Malayan Union pastinya Inggeris. Begitu juga dengan sekolah-sekolah dan universiti. Bahasa Melayu, Cina dan India tidak akan ada tempat. Silap-silap pentadbir Inggeris akan membawa banyak lagi orang dari luar untuk menetap di Malaya. Tetapi elit politik, ekonomi dan budaya berada di tangan Inggeris. Malah mungkin orang Eropah juga dipelawa menetap di negara ini.

Andai kata Malayan Union itu akhirnya mencapai kemerdekaan daripada Britain tetapi penguasaan politik pasti sudah berada pada orang Inggeris. Orang Melayu sudah tidak ada tempat.

Justeru orang Melayu perlu menghargai perjuangan UMNO menggagalkan Malayan Union dan juga sumbangannya sejak 65 tahun kewujudan parti ini setelah melalui pelbagai pancaroba. Ini termasuklah ketika ia diisytiharkan haram kemudian didaftar semula sebagai UMNO Baru hingga akhirnya dipulihkan sebagai parti yang menyambung warisan 11 Mei 1946 itu.

Sememangnya kini gagasan Malayan Union sudah berada dalam lipatan sejarah. Tetapi konsep lain muncul dari masa ke semasa yang kalau diteliti adalah merupakan penjelmaan semula Malayan Union tetapi dalam bentuk lain. Umpamanya dalam tahun 1964, ketika Singapura berada dalam Malaysia, Parti Tindakan Rakyat (PAP) cuba membawa gagasan Malaysian Malaysia.

Usaha itu dipatahkan antara lain kerana Singapura dikeluarkan daripada Malaysia. Antara isu yang menarik dalam Pilihan Raya Singapura semalam ialah rasa tidak puas hati rakyat pulau itu terhadap kehadiran profesional asing, umpamanya dari China mahupun India. Dalam persaingan politik, UMNO dalam BN sedang berdepan dengan pihak pembangkang yang mahukan suatu bentuk Malaysia yang berbeza. UMNO dan BN juga mahukan Malaysia yang lebih baik, dan itulah usaha yang sedang dilakukan melalui kerajaan pimpinannya. Gagasan Satu Malaysia dan Program Transformasi Ekonomi adalah sebahagian daripada manifestasi komitmen kerajaan pimpinan UMNO dan BN untuk memenuhi aspirasi rakyat tanpa mengira kaum.

Dalam pada itu, UMNO adalah tetap sebahagian daripada Gerakan Melayu yang bersifat inklusif dengan turut memperjuangkan aspirasi semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Selamat Hari Ibu

Posted: 08 May 2011 08:45 AM PDT




Asalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera,


Kesempatan ini Kak Midah ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu buat semua wanita yang meraikannya, memiliki hati dan naluri sebagai ibu merupakan anugerah terindah dari yang Maha Esa buat semua wanita.


Selamat Hari Ibu buat semua ibu ibu dan wanita DUN Sg Rapat, moga senantiasa diberikan kesihatan yang baik dan senantiasa menjadi ibu terbaik buat keluarga tercinta.


Kak Midah

Ipoh, Perak


0 ulasan:

Sayap Parti

Bahagian