Jumaat, 21 Januari 2011

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


PAS tolak Anwar di DUN Tenang ?

Posted: 20 Jan 2011 11:50 PM PST

Oleh SYED ALI ALHABSHEE

ESOK (Sabtu) adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang setakat ini menyaksikan pertembungan dua penjuru – PAS dan Barisan Nasional (BN).

Penamaan calon akan di adakan di pejabat Majlis Daerah Labis (MDL) dan tarikh pilihan raya kecil DUN Tenang dijadualkan pada 30 Januari ini.

BN awal-awal lagi telah mengumumkan pemimpin UMNO tempatan, Mohd. Azhar Ibrahim sebagai calonnya manakala PAS menamakan Ketua Muslimat Labis, Normala Sudirman.

Umur di antara Azhar dan Normala adalah sama, cuma latar belakang mereka yang berbeza.

Azhar merupakan anak kepada Allahyarham Ibrahim Daud, bekas ADUN Tenang pada pilihan raya 1999.

Beliau adalah Penolong Pegawai Daerah Kecil Rengit manaklala Normala seorang guru yang telah meletakkan jawatannya dalam tempoh 24 jam.

Pemilihan Azhar mendapat reaksi positif daripada UMNO Johor dan penduduk sekitar DUN Tenang menyifatkannya sebagai pilihan tepat.

Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin beliau boleh memenangi kerusi DUN berkenaan.

Saya mendapat khabar daripada rakan-rakan di Tenang bahawa PAS dikatakan tidak mahu Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada hari penamaan calon esok.

Penyokong PAS di Tenang tidak mahu memikul biawak hidup

Malah ada desas-desus mendakwa PAS Johor juga difahamkan malarang Anwar hadir berceramah sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.

Sebabnya PAS dikatakan melihat Anwar sebagai liabiliti besar kepada pembangkang di tambah pula dengan isu liwat serta 'rahsia peribadinya' masih tersimpan dalam kocek Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Saya diberitahu lagi, penyokong PAS di Labis terutama di Tenang dikatakan tidak mahu 'memikul biawak hidup' hanya disebabkan onar Anwar.

Malah difahamkan pengundi Melayu di Tenang yang sebahagian besarnya berketurunan Jawa dikatakan kurang senang dengan pemimpin yang bermasalah dan terbabit dalam kes moral khususnya liwat.

Mereka khabarnya tidak mahu bersekongkol dengan Anwar yang dikatakan menjadi punca Melayuu berpecah-belah.

Justeru itu, saya tertarik pengakuan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar bahawa parti itu tidak memerlukan jumlah undi yang besar bagi Normala.

Bagi beliau, cukup jika PAS mampu mempertahankan jumlah undi yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Pada PRU lalu, PAS tewas menerusi calonnya, Mohd. Saim Siran yang memperolehi 3,875 undi kepada Allahyarham Datuk Sulaiman Taha (UMNO) yang mendapat 6,367 undi. Majoritinya ialah 2,492 undi.

PAS tidak menaruh harapan untuk menang

Ini bermakna, PAS tidak menaruh harapan besar untuk memenangi kerusi DUN Tenang.

Saya juga sukar untuk mempercayai bahawa ada dakwaan menyebut Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak berapa 'berkenan' terhadap Normala sebagai calon.

Sama ada betul atau tidak, UMNO tetap melihat perkembangan itu sebagai perangsaraf pembangkang untuk mengemis simpati pengundi.

Kerana itu, BN khususnya UMNO akan menggempur setiap penjuru DUN Tenang bagi memastikan Azhar memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Saya juga tertarik dengan penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bahawa calon BN yang pernah kalah boleh dicalonkan semula pada PRU akan datang.

Najib dilaporkan berkata di Sungai Petani, Kedah semalam bahawa yang pernah tewas tetapi sekarang ini diyakini boleh memenangi hati rakyat di sesuatu kawasan akan dipilih semula.

Pada hemat saya, itulah yang paling bagus kerana tidak ada guna memilih calon baru tetapi harapan untuk menang adalah terlalu tipis.

Ini bermakna Presiden UMNO mahukan hanya calon yang boleh memberi kemangan kepada BN tetapi memenuhi kriteria yang menyenangkan pengundi.

Bagi saya, Najib tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak bekerja keras untuk menang pada PRU akan datang walaupun popular dan memegang jawatan penting dalam parti.

Saya menyambut baik ketegasan Najib dengan harapan pemimpin parti akan lebih bertanggungjawab dan bekerja keras untuk kepentingan rakyat, bukannya kerana peribadi.

Pada kesempatan ini juga, saya dan seluruh warga UMNO Bahagian Cheras mengucapkan takziah di atas kematian ADUN Merlimau, Melaka, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hassan, semalam.

Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T. dan akan ditempatkan di dalam kalangan mereka yang beriman. Alfatihah.

Tiada ulasan:

Pengikut