Ahad, 9 Januari 2011

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


Antara Penulis Skrip dan Pelakon Handalan....

Posted: 09 Jan 2011 08:29 AM PST

Khalid 'pembaca skrip' Guan Eng

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim disifatkan hanya sekadar 'pembaca skrip' yang diolah oleh mentornya di Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee (gambar) berkata, berikutan itu 'kebencian' Abdul Khalid terhadap Mohammed Khusrin tidak akan berkesudahan.
Menurutnya, pada pandangan beliau, Abdul Khalid tidak begitu cerdik berpolitik, sebab itu Menteri Besar Selangor itu sanggup membiarkan dirinya menjadi 'keldai' serta 'dicucuk hidung' oleh Guan Eng.
Malah, katanya, Anwar turut memperbodohkan Abdul Khalid dengan menjadikannya 'kambing hitam' dalam isu pelantikan SUK dan sebab itu Anwar berdiam diri melihat pertelagahan antara Abdul Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Pemimpin DAP sebenarnya mengambil kesempatan atas kelemahan dan masalah peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berdepan dengan perbicaraan kes liwat.
"Nampaknya Guan Eng memperalatkan Anwar manakala Anwar pula memerangkap Khalid supaya menolak Mohammed Khusrin sebagai SUK. Ini bermakna Khalid seumpama bola kempis; melambung tidak, melantun pun tidak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri terbaru laman blognya, http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Menurut Syed Ali, secara realitinya, Guan Eng dan rakan-rakannya dalam DAP begitu seronok melihat pemimpin Melayu seperti Abdul Khalid, bergaduh dengan sultan mereka.
"Inilah sebenarnya perancangan halus DAP supaya orang Melayu bergaduh sesama sendiri dan akhirnya DAP yang mengaut laba politik," tambahnya.
Tegas beliau, apabila seseorang Menteri Besar dilihat tidak sehaluan dengan sultan atau raja, mereka akan meletakkan jawatan bagi mengelak berlakunya krisis pentadbiran.
"Ini seperti mana pernah berlaku di Pahang pada zaman Datuk Rahim Bakar dan ketika Tan Sri Mohamad Nasir di Kelantan," ujarnya.
Syed Ali memberitahu, sikap keras kepala Abdul Khalid amat ketara apabila beliau tetap berdegil menolak Mohammed Khusrin walaupun pelantikan itu diperkenan oleh Sultan Selangor.
"Pada hemat saya, sikap sedemikian jelas membuktikan Abdul Khalid sanggup menderhaka kepada sultan, walaupun pelantikan beliau selaku Menteri Besar juga atas perkenan Sultan," katanya.

Pemantauan harga bagaimana?

Posted: 09 Jan 2011 08:26 AM PST

Harga bawang masih tinggi di Melaka


SEORANG pembeli terpaksa mengehadkan pembelian bawang besar apabila harganya naik secara mendadak di pasar Besar Melaka, semalam.


MELAKA 8 Jan. – Belum pun reda isu kesukaran mendapatkan minyak masak, harga barangan keperluan terutamanya bawang di negeri ini pula didapati melambung sehingga sekali ganda sejak empat minggu lalu.
Walaupun mengeluh dengan kenaikan yang tidak munasabah itu, namun pengguna dan peniaga makanan tidak mempunyai pilihan melainkan membeli juga bekalan itu pada harga yang mahal kerana ia keperluan dalam masakan.
Bagi peniaga bawang dan peruncit pula, mereka juga dalam dilema kerana mendapat bekalan itu pada harga yang tinggi menyebabkan bawang besar dijual pada harga antara RM5 hingga RM6 sekilo berbanding RM3 sekilo bulan lalu manakala bawang kecil pula pada harga RM9 sekilo.
Salah seorang peniaga bawang di Pasar Besar Melaka Sentral di sini, Abdul Latif Othman, 48, berkata, dia tidak menerima bekalan bawang India sejak sebulan lalu dan ini menyebabkan bawang dari negara lain turut meningkat.
"Sebelum ini, bawang besar atau kecil baru RM2 atau RM3 sekilo tetapi ketiadaan bekalan bawang dari India sejak sebulan lalu menyebabkan kenaikan bawang lain dari Thailand atau China.
"Harga bawang besar dijual pembekal meningkat RM21 seguni yang mempunyai berat lima kilo berbanding dulu baru RM6, menyebabkan kami terpaksa menjualnya pada harga lebih tinggi," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Seorang lagi peniaga, Norehan Amir, 42, berkata, sebelum ini, dia mendapatkan bawang kecil dari pembekal pada harga RM7.80 atau RM8 bagi seguni yang seberat lima kilo.
Namun katanya, harga barangan keperluan harian itu telah meningkat kepada RM32 bagi seguni seberat 10 kilo sejak sebulan lalu.
"Harga bawang besar juga meningkat daripada RM9 kepada RM21 bagi satu guni seberat lima kilo," katanya.
Bagaimanapun, pada masa yang sama tinjauan Mingguan Malaysia di pasar berkenaan mendapati ada juga peniaga yang menjual bawang besar lebih murah pada harga RM3.50 sekilo.
Peniaga berkenaan, Tan Kah Tho, 50, menjual bawang besar pada harga RM3.50 sekilo namun untuk bawang kecil Thailand, harganya tidak banyak berbeza berbanding peniaga lain iaitu RM8 sekilo.
"Semalam, saya jual bawang besar dari China ini pada harga RM4 sekilo dan saya yakin esok harganya akan lebih murah
"Dua minggu lalu, bawang kecil Thailand dijual pada harga RM10 sekilo, tetapi hari ini, saya telah menjualnya pada harga RM8 sekilo," katanya.

Melahirkan Pemimpin Muda Belia....

Posted: 09 Jan 2011 08:24 AM PST

Belia muda tak sama dengan belia veteran

Oleh Budiman Mohd Zuhdi

'BELIA Harapan Negara' dan 'Belia Tiang Negara' antara slogan yang dilaungkan sejak dari dahulu. Gambaran yang diberikan adalah peri pentingnya masyarakat belia dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.

Sekadar slogan dan ungkapan manis, indah dan berbunga-bunga tentu tidak cukup untuk memajukan masyarakat belia.

Kalau benar-benar kita mahu menjadikan belia sebagai harapan dan tiang negara, perlu ada program yang jitu dan berterusan untuk mereka.

Jangan biarkan mereka terumbang- ambing tanpa hala tuju seperti anak ayam kehilangan ibu. Akibatnya, timbullah bermacam gejala seperti dadah, rempit dan ragut yang membabitkan belia.

Keadaan akan lebih parah jika tiada tindakan segera yang konkrit untuk menangani isu berkaitan belia dan seterusnya menyusun program untuk memastikan mereka sentiasa berada di landasan yang betul.

Apabila bercakap tentang belia, sudah tentu tempiasnya akan terkena pada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diwujudkan pada 15 Mei 1964.

Ini merupakan entiti kerajaan yang bertanggungjawab menggubal dasar berkaitan pembangunan belia. Menyedari akan peri pentingnya masyarakat belia dan mustahaknya mereka dalam menentukan hala tuju negara maka Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluahkan hasrat menjenamakan semula KBS.

Matlamatnya adalah memperkasakan golongan belia supaya sesuai dengan perubahan persekitaran. Dengar-dengarnya, Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) 1997 yang merupakan penambahbaikan daripada Dasar Pembangunan Belia (DPB) 1985 dijangka turut diubah.

Jika kita imbas kembali, DPBN diisytihar oleh Muhyiddin pada 8 Disember 1997 ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan untuk memantapkan belia secara peribadi, rohani, akal dan jasmani. Ia mahu melahirkan belia yang bertanggungjawab, berdikari bersemangat sukarela dan patriotik.

Jadi, hasrat untuk mengkaji semula DPBN dilihat sebagai sesuai dengan perkembangan semasa. Sesuai dengan zaman di mana belia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Zaman teknologi maklumat dan komunikasi dengan setiap saat belia terdedah kepada pelbagai elemen perubahan termasuk yang negatif.

Dasar yang bakal diperkenalkan mesti cukup untuk menjadi pembimbing dan benteng kepada masyarakat belia di negara ini agar mereka tidak tersasar dari hala tuju yang ditetapkan. Selama ini pun KBS memang diakui dan diiktiraf telah banyak menyumbang kepada pembangunan belia di negara ini.

Bantuan, sokongan dan bimbingan KBS kepada kelab-kelab belia di peringkat akar umbi banyak membantu mereka melaksanakan aktiviti. Malah peranan KBS banyak menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penubuhan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM), Penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 adalah inisiatif yang wajar dipuji. Namun, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Perubahan persekitaran dan global menuntut penambahbaikan pada KBS.

Mahu atau tidak, KBS mesti bergerak selari dengan perubahan persekitarannya. Struktur geopolitik berdasarkan etnik, isu pembangunan ekonomi belia dan demografik belia di negara ini perlu dilihat dengan teliti.

Belia di bandar, pinggir bandar dan luar bandar menuntut pendekatan strategik yang berbeza. Jurang umur golongan yang dikategorikan sebagai belia iaitu antara 15 dan 40 tahun juga perlu dilihat dan diperhalusi. Dasar dan aktiviti untuk belia yang berumur 15 tahun tentu berbeza dengan yang berusia 40 tahun.

Aspirasi mereka berbeza dan gaya hidup mereka tidak sama. Jadi pendekatan yang digunakan mestilah signifikan dengan peringkat umur. Tentunya tidak sesuai kalau kita menggunakan pendekatan tangkap muat satu untuk semua.

Pengisian

Sekilas pandang pun sudah boleh tahu bahawa kelompok belia awal (15 hingga 24 tahun) dan kelompok belia veteran (35-40 tahun) memerlukan pengisian berbeza.

Sebab itu penjenamaan yang diharapkan bukan hanya bersifat bersifat luaran. Bukan sekadar bersifat simbol, struktur dan slogan (sudah banyak slogan untuk belia). Tetapi ia mesti memberi kepuasan dan memenuhi keperluan golongan sasar.

Keupayaan KBS dalam memartabatkan belia memang diakui. Tetapi apa salahnya sekali sekala menilai fakta-fakta yang baru.

Sudah pasti kita mahu memastikan 11,614,735 belia yang berusia 15 hingga 39 tahun (unjuran Jabatan Perangkaan 2010) benar-benar mendapat manfaat daripada penambahbaikan tersebut.

Mereka ini mewakili 43 peratus populasi rakyat negara ini. Jumlah mereka hampir separuh, sebab itu dasar yang digubal untuk mereka mesti benar-benar jitu dan berkesan untuk memastikan penglibatan mereka lebih menyeluruh.

Kalau dilihat kepada senario sekarang berdasarkan kepada statistik sehingga 1 April 2010, hanya dua juta sahaja belia yang melibatkan diri dengan 7,709 persatuan belia yang berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan Belia (ROY).

Apa jadi dengan 9.9 juta belia lagi di negara ini? Mereka ini tidak menganggotai mana- mana pertubuhan belia. Apakah hala tuju mereka?

Kalau tidak semua sekalipun, sudah tentu sebahagian mereka terjerumus dalam gejala sosial. Kajian membuktikan belia yang tidak berpersatuan lebih cenderung terpesong dengan pelbagai masalah sosial.

Lagi pula golongan belia amat berkait rapat dengan pengundi muda. Kegagalan menangani isu belia dan kegagalan menyediakan program yang selari dengan aspirasi mereka akan menyebabkan golongan itu jauh dari kerajaan.

Orang kata fakta tidak pernah menipu. Statistik jelas menunjukkan jumlah belia yang layak mengundi ialah 7.9 orang. Tetapi yang mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya 4.17 juta sahaja. Maknanya 47 peratus lagi tidak berbuat demikian.

Lebih lebih buruk lagi mereka dibiarkan mempunyai tanggapan negatif terhadap politik terutama kerajaan. Hasilnya mereka tidak ada kecenderungan dalam membuat keputusan membentuk kerajaan ketika pilihan raya. Tidakkah kita sedar bahawa ini satu lagi manifestasi kegagalan mendekati kelompok belia atau simbol penyakit belia dengan tahap kepedulian politik yang rendah?

Penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) juga telah mengubah landskap kepimpinan belia di mana keseluruhan kepimpinan belia pada hari ini berumur di bawah 40 tahun. Dari satu sudut, memang elok belia diberi peluang memimpin persatuan mereka. Tetapi keadaan kelam kabut yang berlaku ketika proses peralihan kepimpinan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada organisasi belia. Proses pendaftaran semula dari ROS (Pendaftar Pertubuhan) kepada ROY (Pendaftar Pertubuhan Belia) sudah ada masalah. Ini termasuk ada persatuan belia kini boleh diibaratkan seperti muflis. Sindiran, kritikan dan teguran yang mengatakan aktiviti kelab belia suram kebelakangan ini mungkin berpunca daripada pemimpin muda yang belum bersedia itu. Senario ini dijangka berterusan sehingga satu sistem pengkaderan yang sempurna dan teratur dirancang untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Tetapi bolehkan proses pengkaderan ini berlaku dengan lancar? Secara idealnya, mereka yang baru sahaja meninggalkan bangku sekolah (di bawah 20 tahun) mesti bersedia memimpin kelab di peringkat cawangan. Di awal umur 30-an mereka sewajarnya mempunyai persediaan yang cukup untuk memimpin kelab belia di peringkat kawasan, negeri dan kebangsaan.

Tetapi realitinya pula, umur tamat pendidikan formal untuk universiti adalah dalam usia 24 tahun dan mereka memerlukan tempoh 10 tahun untuk stabil dalam kerjaya dan keluarga.

Jika faktor ini diambil kira bakat-bakat kepimpinan pasti gagal dicungkil.

Bukan petanda PRU hampir

Posted: 09 Jan 2011 08:19 AM PST

 


NAJIB Tun Razak dan Tengku Adnan Tengku Mansor mendengar masalah yang dikemukakan oleh Dr. Tiki Lafe, (tiga dari kanan) Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (dua dari kanan) dan Fadillah Yusuf (paling kanan) di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 8 Jan. – Pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan 105 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini bukan petanda Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya Najib menegaskan, pendekatan yang dilaksanakan itu bertujuan memastikan Barisan Nasional (BN) mendahulukan rakyat iaitu meletakkan kepentingan rakyat lebih daripada segala-galanya.
Selain itu kata beliau, ia juga adalah sebahagian daripada pendekatan jangka masa panjang pelaksanaan Pelan Transformasi Politik (PTP) yang dicetuskannya sebelum ini.

''Ini adalah sebahagian proses Pelan Transformasi Politik (PTP).
Pilihan raya umum adalah sebahagian daripada yang terpaksa kita lalui tetapi apa yang lebih besar adalah hasrat kita untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat.

''Oleh itu, perjumpaan hari ini bukannya bayangan bahawa pilihan raya umum semakin hampir tetapi sebagai bukti komitmen BN terhadap usaha memperjuangkan nasib rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan 105 Ahli Parlimen BN di Perdana Suite, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pertemuan yang diadakan hampir lapan jam itu bermula pukul 9.30 pagi melibatan timbalan menteri dan wakil rakyat BN manakala Ahli Parlimen yang berstatus menteri tidak terlibat.

Setiap mereka diberi masa tiga hingga lima minit untuk bercakap mengenai setiap permasalahan di kawasan masing-masing khususnya yang melibatkan soal kepentingan rakyat.

PM jumpa semua wakil rakyat BN

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Barisan Nasional (BN) hari ini mencatat sejarah baru apabila buat kali pertama semua ahli Parlimen parti itu mengadakan pertemuan empat mata secara bergilir-gilir dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh lapan jam bagi menyampaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

Pertemuan bersejarah di Perdana Suite, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini itu merupakan sebahagian rangka Pelan Transformasi Politik (PTP) sebagaimana dijanjikan Perdana Menteri demi memastikan BN dapat melaksanakan khidmat kepada rakyat dengan efektif.

Perjumpaan tertutup itu bagaimanapun tidak membabitkan ahli Parlimen berstatus menteri yang mempunyai sesi pertemuan lain di samping tujuh ahli Parlimen yang tidak hadir atas sebab munasabah dan kesemua wakil rakyat tersebut sudah memberi penjelasan bertulis kepada Najib.
Sesi berkenaan bermula pada pukul 9.30 pagi dan berakhir kira-kira 5.30 petang dengan tiga ahli Parlimen dari Sarawak iaitu, Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr. Tiki Lafe; Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong) serta Datuk Fadillah Yusuf (Petra Jaya) menjadi kumpulan wakil rakyat pertama berjumpa dengan Perdana Menteri.
Sebaik sahaja semua wakil rakyat dari Sarawak selesai mengadakan pertemuan, sesi seterusnya membabitkan ahli Parlimen dari Sabah sebelum disusuli ahli Parlimen dari Semenanjung dimulakan dengan Johor kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pertemuan itu, Najib yang ditemani Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi masa lima minit kepada setiap ahli Parlimen untuk menyampaikan segala masalah membabitkan rakyat di kawasan masing-masing bagi membolehkan kerajaan mencari penyelesaian.

Hadir sama sebagai membuktikan komitmen kepada pembaharuan politik yang cuba dilaksanakan Najib adalah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta beberapa bekas menteri kanan antaranya Tan Sri Syed Hamid Albar (Kota Tinggi) dan Tan Sri Rafidah Aziz (Kuala Kangsar).

Malah, Abdullah selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri turut memuji pendekatan kerajaan sebagai amat baik serta mempunyai fokus dan beliau berkeyakinan, jika komitmen sebegitu sampai ke peringkat akar umbi, BN akan kembali menjadi sebuah parti yang kuat.

Pada masa sama, beliau yakin, jika kesungguhan Perdana Menteri untuk melakukan transformasi politik itu berjaya diterjemahkan oleh seluruh kepimpinan UMNO dan BN, parti tersebut akan berupaya menawan kembali semua negeri yang terlepas ke tangan pembangkang pada 2008 lalu.

Presiden PAS Lancar Laman Web Rasmi PAS N05 DUN Tenang

Posted: 09 Jan 2011 07:29 AM PST

  PDF Cetak Emel
Ditulis oleh admin   
TUESDAY, 04 JANUARY 2011 13:22

LABIS : Presiden PAS, Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang telah melancarkan laman web bagi Pilihanraya kecil N05 DUN Tenang,  serentak dengan pelancaran gerak kerja pilihan raya bagi PRK N.05 Tenang, Johor dekat sini, pada 1hb. Januari, 2011.
Laman web rasmi PAS yang akan dilengkapi dengan facebook, twitter, video, berita terkini dan lain-lain ini boleh diakses melalui alamat, http://n05tenang.pas.org.my

Manakala, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa ketika berucap di majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya bagi PRK N. 05 Tenang berkata, Jentera PAS diingatkan agar tidak menjadi agen penyebar fitnah sewaktu menyampaikan maklumat kepada masyarakat khususnya pengundi di Dun Tenang.

"Jangan terikat dengan fitnah media Umno BN. Jangan kita menjadi agen penyebaran fitnah, pastikan apa yang kita cakap itu berdasarkan fakta yang betul. Periksa dahulu fakta, fahami dahulu suasana dan keadaan, kenali masyarakat di hadapan kita sebelum kita menyampaikan sesuatu perkara", kata beliau .

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahuddin Ayub, bendahari, Dr Hatta Ramli, Pesuruhjaya Johor Dr Mahfodz Muhammad, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman sebagai pengerusi majlis.

Tiada ulasan:

Pengikut