umno bahagian cheras |
Syed Ali : Berbohong adalah budaya pembangkang Posted: 21 Dec 2010 10:26 PM PST PROGRAM 100 Hari jika pembangkang menguasai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 hanya cerita bohong yang sengaja dilakukan untuk meraih undi rakyat. Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, pembohongan tersebut sekadar janji-janji manis yang tidak masuk akal untuk dilaksanakan. "Inilah cerita bohong paling terbaru dan tidak logik, jika kesemua janji itu tertunai, ekonomi negara boleh jadi bankrap dan rakyat akan terus tertindas," tegasnya. Syed Ali menjelaskan, pakatan pembangkang hanya bermain dengan mimpi dan tidak berpijak di bumi nyata. Beliau menyifatkan berbohong merupakan sebahagian daripada budaya politik pembangkang. Bagaimanapun beliau yakin rakyat tidak terlalu bodoh untuk terpengaruh dengan cerita bohong dan dongeng yang sedang dijaja oleh pembangkang. Pakatan pembangkang mengeluarkan resolusi 100 Hari pada konvensyen yang di adakan di Pulau Pinang Ahad lalu, yang antara lain akan mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya dengan tujuan menghapuskan tol. Pembangkang juga berjanji akan menaikkan imbuhan guru sebanyak RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskan oleh generasi kedua dan ketiga Felda. Menurut Syed Ali lagi, pada PRU ke-12 lalu banyak janji-janji manis dalam manifesto pembangkang terutama di Selangor masih belum ditunaikan. "Kalau di Selangor pun mereka masih gagal melunaskan janji untuk kesejahteraan rakyat, inikan pula untuk memerintah negara dengan pelbagai cerita pembohongan," tegasnya. Beliau berkata, rakyat negeri itu terus tertekan dengan sistem pentadbiran yang tidak cekap walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor. "Cerita bohong 100 Hari pembangkang itu samalah dengan kisah lawak apabila Anwar yang sedang berdepan dengan kes liwat dilantik sebagai penasihat ekonomi," tambahnya. Beliau kesal kerana pakatan pembangkang yang turut disertai PAS sanggup berbohong kepada rakyat dengan janji-janji yang mustahil untuk dilaksanakan. Sehubungan itu, Syed Ali bersetuju dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (BN) akan menjawab secara terperinci segala janji-janji manis tersebut. Katanya, adalah masa yang tepat untuk BN menyerang balas segala pembohongan pembangkang kerana tindak-tanduk mereka semakin menyusahkan kehidupan rakyat. "Rakyat semakin keliru dengan kisah bohong, provokasi dan permainan sentimen kaum yang sengaja dilakukan pembangkang," katanya. |
You are subscribed to email updates from umno bahagian cheras To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan