Jumaat, 5 November 2010

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


RAKYAT SUDAH SEDAR

Posted: 04 Nov 2010 12:52 PM PDT

Assalamualaikum,

Apa pun tafsirannya, kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah dan merampas semula kerusi DUN Galas di Gua Musang Kelantan telah memberikan makna yang tersendiri terhadap iklim politik di negara kita.

Sebagai seorang pemimpin rakyat dan parti BN, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN di Galas, Abdul Aziz Yusoff yang telah menewaskan calon Pas, Dr Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1,190 undi.

Ucapan tahniah juga kepada Datin Linda Tsen Thau Lin yang berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang agak besar iaitu 6,359 undi.

Walaupun mungkin selepas ini pembangkang boleh menyatakan pelbagai alas an bagi menyejukkan hati mereka dengan kekalahan tersebut, namun saya percaya, rakyat juga ada tafsirannya tersendiri. Bagi BN saya fikir, ia adalah satu permulaan kepada transformasi politik negara untuk melihat BN terus kukuh dan utuh di negara ini.

Mengapa saya katakan sedemikian?. Pembangkang telah diuji, diberikan peluang dan ruang melalui sistem demokrasi yang mereka sendiri sentiasa pertikaikan. Jika dahulu mereka melalak tanpa kuasa tetapi hari ini mereka telah menguasai beberapa negeri, malah berjaya mengurangkan majoriti dua pertiga kerajaan BN di Parlimen.

Maksud saya ialah, rakyat telah menilai pembangkang dengan baik dari segenap sudut – keupayaan mereka sebagai kerajaan dan kemampuan mereka membela nasib rakyat. Akhirnya selepas dua tahun, ternyata rakyat telah melihat dengan jelas KEGAGALAN pembangkang.

Lalu mereka menyampaikan mesej itu melalui dua PRK di Batu Sapi dan DUN Galas. Itu tidak syak lagi bagi saya. Oleh itu, saya merakamkan ucapan tahniah kepada majoriti rakyat di dua kawasan berkenaan yang telah memilih BN pada PRK itu semalam.

Orang boleh berkata apa sahaja tetapi bahawa hanya BN yang mampu memimpin rakyat di negara ini tidak boleh disangkal sama sekali. Rakyat sendiri telah melihat keadaan tersebut.

Bagi saya, rakyat di dua kawasan berkenaan telah membuat pilihan yang bijak dan tepat dengan memilih BN. Hanya mereka di kawasan berkenaan sahaja yang tahu dan faham apa yang saya maksudkan. Oleh itu, BN harus meningkatkan keupayaan dan kemampuan mereka untuk memikat hati rakyat di kawasan berkenaan.

BN adalah parti yang dipimpin oleh mereka yang bekerja untuk rakyat dan bukannya berpolitik 24 jam sehari. Oleh kerana itu anda boleh melihat pemimpin BN sentiasa memberikan perhatian terhadap kepentingan negara dan kebajikan rakyat. Ini bukan cakap-cakap kosong.

Berbeza dengan pembangkang yang melihat BN dari satu persepsi sahaja iaitu apa sahaja yang dibuat BN adalah salah. Pembangkang hanya bermain politik dalam semua perkara termasuk memperalatkan agama sendiri.

Hakikatnya, perbezaan BN dengan pembangkang amat jauh sekali. Umpama langit dengan bumi. BN adalah parti yang terasas sejak dahulu dan sehingga kini telah terbukti kejayaan dan keupayaannya membangun, membina negara tercinta ini dan menjaga kebajikan rakyatnya.

Kepada rakyat, terima kasih dan berharap seluruh rakyat Malaysia juga kembali sedar bahawa mereka selama ini telah terbuai dengan agenda politik kosong yang dipalu pembangkang. Ia tidak pernah mendatangkan keuntungan kepada mereka.

Oleh itu, rakyat perlu terus bersama BN. Percayalah, hanya BN yang mampu menjadi payung kepada anda semua.

Tahniah!



Tiada ulasan:

Pengikut