Jumaat, 26 November 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali sangkal tuduhan PKR Dr. Mahathir punca Melayu mundur

Posted: 25 Nov 2010 08:35 PM PST

TUDUHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad sebenarnya menjadi punca kemunduran orang Melayu adalah tidak berasas dan berniat memesongkan fakta sejarah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, selama lebih 22 tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya membangunkan negara dan membina jati diri rakyat terutama orang Melayu.

"Hasil pemikiran, perancangan dan pengorbanan Dr. Mahathir, Malaysia berjaya membebaskan dirinya daripada kepompong sempit dan kini menjadi antara negara tersohor di serata dunia," tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak mengakui orang Melayu telah 'dibangkitkan' oleh Dr. Mahathir terutama dalam sektor ekonomi sehingga berjaya melahirkan golongan bumiputera sebagai penarajui dan pemain utama dalam sektor tersebut.

Oleh itu jelasnya, tuduhan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr. Muhamad Nur Manuty bahawa Dr. Mahathir penyebab mundurnya orang Melayu hanya dakwaan karut dan bermotifkan politik.

Dr. Muhamad dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh laman web The Malaysian Insider semalam turut menasihatkan Dr. Mahathir supaya melakukan taubat nasuha kerana menjadi punca perpecahan bahkan kemunduran orang Melayu dan jangan menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pada usia senja adalah lebih baik untuk mantan Perdana Menteri banyak melakukan ibadah khususnya kepada Allah S.W.T. sebagai persiapan menemui-Nya walaupun penentuan umur adalah di tangan Allah S.W.T," kata Dr. Muhamad.

Beliau juga mendakwa Dr. Mahathir bertanggungjawab memecat dan mengaibkan Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri dengan dakwaan fitnah liwat yang ternyata tidak benar.

Sambil menyelar tuduhan tersebut, Syed Ali berkata perpecahan antara kaum di negara ini sebenarnya telah disemarakkan oleh parti-parti pembangkang terutama PKR dalam usaha mereka menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Budaya songsang PKR bertentangan dengan adat orang Melayu

"Sebelum kehadiran PKR, rakyat pelbagai kaum di negara ini hidup dalam suasana aman damai walaupun pada ketika itu sudah ada parti pembangkang seperti DAP dan PAS," katanya.

Beliau mendakwa, kumpulan reformasi pro-Anwar yang kemudiaanya bergerak dalam PKR sebenarnya bertanggungjawab mempelopori budaya ganas dan berpolitik ala-samseng di negara ini.

"Sehingga ke hari ini, budaya ganas dan ala-samseng masih menjadi amalan biasa dalam PKR dan kebenarannya dapat dilihat semasa pemilihan parti itu baru-baru ini," ujarnya.

Beliau berkata, budaya songsang dipelopori PKR itu sebenarnya tidak sesuai kepada masyarakat Melayu di negara ini malah bertentangan dengan adat sopan dan nilai pekerti mulia.

Syed Ali menambah, jika Anwar tidak berniat mencetuskan suasana kacau bilau di dalam negara, beliau sudah tentu tidak tergamak untuk menghancurkan bangsanya sendiri dan memburukkan imej Malaysia di luar negara.

Katanya lagi, Anwar bukan setakat merosakkan perpaduan orang Melayu dan memecahbelahkan penyatuan umat Islam, malah sanggup bersubahat dengan DAP yang sudah terbukti memusuhi orang Melayu.

"Ketika DAP menghina dan mengaibkan institusi Raja-Raja Melayu, Anwar sekadar membisu, ketika Melayu di Pulau Pinang dijadikan seperti hamba abdi oleh DAP, Anwar tidak berani bersuara, inikah pemimpin yang dikatakan berjuang untuk bangsanya?

Mengenai kes liwat pertama yang dikatakan sengaja difitnah, Syed Ali menjelaskan mahkamah telah mensabitkan Anwar bersalah dalam kes itu dan ia dibuat berdasarkan kepada keluhuran undang-undang.

Bagaimanapun katanya, sudah menjadi kelaziman pemimpin PKR akan mengatakan mahkamah di negara ini adil dan bersih jika apa jua keputusan memihak dan memberi keutungan kepada mereka.

"Jika Anwar berasa tidak bersalah, sebagai orang Islam, beliau sewajarnya bersumpah menggunakan kitab suci al-quran bagi membersihkan dirirnya. Tetapi sehingga sekarang beliau tidak berani berbuat demikian," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut