Jumaat, 12 November 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Syed Ali : PKR semakin ketandusan pemimpin

Posted: 11 Nov 2010 09:08 PM PST

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) semakin ketandusan pemimpin berwibawa untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Oleh sebab itu kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, PKR terpaksa mencari golongan muda sebagai alternatif bagi menyaingi kekuatan Barisan Nasional (BN).

"Langkah itu sebenarnya bukan strategi PKR berdepan dengan UMNO, tetapi mereka terdesak kerana kehilangan ramai pemimpin berwibawa," katanya.

Katanya, pemimpin berkelibar ramai keluar daripada PKR kerana kecewa dengan cara kepimpinan ala-diktator Penasihat Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun jelas beliau, golongan muda di negara ini sudah sedar sejauhmana permainan dan manipulasi politik Anwar dalam usaha beliau menagih simpati untuk berkuasa.

"Oleh sebab itu, Anwar terpaksa mengemis simpati kuasa luar bagi menjayakan matlamat politiknya untuk menjadi Perdana Menteri," tegasnya.

Beliau mengulas kenyataan Anwar di Singapura semalam, yang dilaporkan berkata PKR akan meletakkan golongan muda dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun sebagai calon PKR pada PRU akan datang.

Anwar dalam ceramah yang dianjurkan oleh Persatuan Koresponden Asing Singapura (FCA) berkata langkah itu bagi menarik sokongan pengundi muda disamping selaras dengan jolokan PKR sebagai parti 'reformasi'.

Anwar juga memberitahu Pakatan Rakyat (PR) yang menggabungkan PAS, DAP dan PKR akan bermesyuarat selepas Hari Raya Haji ini untuk mengkaji semula strategi bagi menghadapi BN khususnya UMNO.

Ceramah yang dihadiri sekitar 50 orang itu terdiri daripada wartawan asing yang berpengkalan di republik itu, diplomat dan pertubuhan bukan kerajaan (Ngo).

Syed Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras menambah, kenyataan Anwar itu sekadar gimik politik dan usaha terdesak beliau untuk meyakinkan pengundi.

"Anwar sudah nampak kebangkitan semula sokongan rakyat terhadap BN selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Galas. Ini amat meresahkan beliau," katanya.

Katanya, rakyat semakin bosan dengan permainan politik pembangkang dan mereka secara jelas telah memberikan isyarat yang diterjemahkan di Batu Sapi dan Galas.

Menurutnya lagi, keadaan semakin menyukarkan Anwar setelah beliau menyedari geraf kepimpinan Datuk Sri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri semakin meningkat.

Tiada ulasan:

Pengikut