umno bahagian cheras |
Syed Ali kecam Kit Siang guna ‘orang mati’ untuk tarik undi di Batu Sapi Posted: 31 Oct 2010 10:29 PM PDT KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee mengecam perbuatan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang mempergunakan isu kematian Teoh Beng Hock, A. Kugan dan remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah untuk meraih undi pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah. Katanya, perbuatan tersebut jelas membuktikan parti pembangkang semakin terdesak dan sanggup 'menjual' kematian ketiga-tiga individu tersebut untuk kepentingan politik. "Saya kesal kerana Kit Siang sengaja memberikan gambaran seolah-olah undang-undang kerajaan Barisan Nasional (BN) zalim dengan mengaitkan kematian mereka," tegasnya. Sambil menyifatkan Kit Siang sebagai pelopor politik rasis, Syed ali menjelaskan sistem perundangan di negara ini adalah yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat. "Cuma undang-undang sedia ada dikatakan zalim kerana tidak memberi keuntungan kepada DAP, tetapi akan menjadi lebih baik apabila sistemnya mendatangkan manfaat kepada mereka," ujarnya. Katanya, Kit Siang sengaja mempolitikkan isu kematian individu berkenaan bertujuan membangkitkan sentimen perkauman di kalangan rakyat pelbagai etnik di Sabah. Bagaimanapun, beliau percaya rakyat terutama pengundi di Batu Sapi tidak akan mudah terpedaya dengan isu yang sengaja direka oleh parti pembangkang. Syed Ali yang turut berkempen membantu calon BN di Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin sepanjang minggu lalu bersama jentera pilihan raya daripada BN Pusat memberitahu, pembangkang tidak ada isu untuk diketengahkan bagi meyakinkan pengundi. "Pembangkang terpaksa menggunakan isu remeh-temeh, menyerang peribadi pemimpin BN dan gunakan isu kematian tiga individu tersebut untuk menarik sokongan pengundi," katanya. Mengenai ceramah politik Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Batu Sapi yang mendakwa Pakatan Rakyat (PR) akan kekal menguasai empat negeri pada Pilihan Raya umum (PRU) akan datang, Syed Ali berkata : "Itu cuma mimpi indah Anwar sedangkan rakyat terutama di empat negeri tersebut sudah mengetahui segala kepincangan dan keburukan mereka,". Beliau menjelaskan, PR sebenarnya hanya menguasai dua negeri, iaitu Selangor dan Pulau Pinang manakala Kelantan dan Kedah secara tradisinya dipengaruhi oleh kekuatan PAS. Katanya, PKR dan DAP mempunyai perjanjian sulit untuk kepentingan politik mereka dengan menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan bagi meyakinkan pengundi Melayu. "Tetapi perkembangan sekarang telah berubah kerana rakyat sudah dapat menilai sejauhmana kejujuran pemimpin PR manakala PAS pula mulai sedar selama ini mereka diperbodohkan oleh Anwar," tegasnya. Mengenai dakwaan Anwar bahawa PR akan menawan Johor pada PRU akan datang, Syed Ali menambah Anwar akan terus mengeluarkan kenyataan untuk menyedapkan ahlinya yang kini sudah berpecah-belah. "Cerita Anwar nak tawan Malaysia ini sudah lama kedengaran dan akhirnya terbongkar dalam pembohongan 16 September. Cerita Anwar ini sekadar dongeng penglipurlara," jelasnya. |
“Bukan lagi sekadar amaran, sebaliknya perlu ditahan di bawah ISA’ – Syed Ali Posted: 31 Oct 2010 08:25 PM PDT SUDAH sampai masanya mereka yang mencabar Perlembagaan Negara ditahan di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bukan lagi sekadar amaran dan peringatan, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee. Menurutnya, jika kerajaan tidak bertindak tegas, amaran dan peringatan Majlis Raja-Raja Melayu hanya dipersendakan dan diputarbelitkan sebagai isu politik oleh pihak tertentu. Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memberikan perhatian serius berhubung isu perkauman di negara ini. "Kita mengambil iktibar terhadap peringatan tersebut, tetapi mereka yang masih menggunakan isu perkauman sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang, bukan hanya diberikan amaran," tegasnya. Beliau berkata, akibat terlalu berlembut dan sekadar memberikan amaran ada pihak beranggapan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini tidak tegas serta bersikap retorik. Kata Syed Ali lagi, selagi isu perkauman hanya dibimbangi oleh satu kaum sahaja sedangkan pihak berkuasa pula tidak tegas menangani, maka isu tersebut akan terus diperalatkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan keadaan. Malah katanya, apa persespsi mendakwa kerajaan BN terutama UMNO tidak berani berbuat-apa-apa keatas mereka yang sengaja melanggar amanat Raja-Raja Melayu kerana bimbang kehilangan sokongan politik. "Apa yang kita dapat hanya menerusi amaran demi amaran ? sedangkan mereka terus mencabuli dan mempertikaikan kandungan perlembagaan tersebut termasuk berterusan mempertikai hak orang Melayu dan memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu," tegasnya. Beliau berkata, kerajaan khususnya KDN tidak perlu berasa serbasalah untuk menahan mana-mana individu atau kumpulan berkenaan walaupun membabitkan tokoh politik, peguam dan profesional lainnya. "Rakyat di bawah mula bertanya, kenapa kerajaan dilihat begitu takut untuk menahan mereka di bawah ISA, sedangkan kita ada undang-undang demi menjaga ketenteraman awam," katanya. Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah mengeluarkan kenyataan mengenai kebimbangan majlis tersebut terhadap trend politik semasa di negara ini yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan Negara. Menurut Syed Ali lagi, peringatan tersebut jelas menunjukkan institusi berkenaan memandang serius terhadap masa depan rakyat dan negara ini daripada dipecahbelahkan oleh mereka yang berkepentingan. "Kalau Majlis Raja-Raja Melayu sudah menzahirkan kebimbangannya, maka saya berharap pihak berkuasa bertindak mulai sekarang," tegasnya. |
You are subscribed to email updates from umno bahagian cheras To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan