Isnin, 29 November 2010

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN

PEMUDA UMNO BAHAGIAN JASIN


Kerajaan negeri Pakatan ulangi komitmen adakan pilihan raya tempatan

Posted: 29 Nov 2010 10:26 AM PST

Link artikel: http://www.themalaysianinsider.com/mobile/bahasa/article/kerajaan-negeri-pakatan-ulangi-komitmen-adakan-pilihan-raya-tempatan/

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengulangi komitmen akan berusaha untuk menyediakan undi ketiga dengan diadakan pilihan raya kerajaan tempatan yang tidak menjadi kenyataan awal tahun ini.

"(Kami) mengiktiraf hak rakyat menggunakan kebebasan memilih, dengan mengusahakan pilihan raya kerajaan tempatan menjadi kenyataan," kata kenyataan dikeluarkan di akhir persidangan sehari itu yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

Ia merupakan salah satu daripada 10 perkara dasar awam dan agenda bertindak yang dikomited dalam resolusi diputuskan persidangan tersebut.

Kerajaan negeri PR Selangor dan Pulau Pinang telah menggerakkan usaha mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi tidak menjadi kenyataan ekoran kekangan dalam Akta Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memansuhkan pilihan raya seumpama itu empat dekad lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bersedia untuk mengendalikan pilihan raya sedemikian selagi tiada peruntukan undang-undang sedemikian.

PR dibentuk membabitkan PAS-DAP-PKR selepas pilihan raya umum 2008.

Persidangan hari ini dihadiri oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Lim Guan Eng.

Turut diputuskan ialah usaha mahu mengurangkan peningkatan kos hidup khususnya kepada golongan masyarakat berpendapatan rendah, mengiktiraf hak rakyat menerima maklumat, dengan cara menggubal Enakmen Kebebasan Maklumat selain turut mengiktiraf kepentingan untuk menangkis serangan media Barisan Nasional (BN) dengan menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara negeri PR.

Persidangan hari ini yang merupakan pertemuan kedua juga mengiktiraf hak rakyat untuk pemilikan tanah, dengan mempercepat proses pemberian hak milik tanah kepada yang layak dan juga mengiktiraf hak rakyat menikmati prasarana sempurna demi keselesaan hidup, dengan cara meningkatkan kecekapan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi di bawah kerajaan negeri.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan-kerajaan negeri PR juga bersepakat untuk memberi keutamaan kepada projek perumahan rakyat dengan peruntukan kewangan yang munasabah, menerusi penubuhan pasukan petugas khas perumahan di peringkat negeri dan daerah, dan menjamin jaminan makanan negeri, dengan cara amalan sistem pengagihan bantuan dan pengeluaran standard membantu nelayan, petani, dan penternak.

Turut diputuskan ialah usaha memastikan pelaburan berlaku dalam projek-projek ekonomi, dengan cara negeri Selangor menyediakan dana pemula sebanyak RM10 juta dalam "dana kelab" bagi membantu negeri-negeri PR yang lain.

Usaha ke-10 yang diputuskan bersama ialah mencipta persekitaran yang berterusan dan didiami melalui persekitaran selamat, bersih, dan hijau.

"Kami menyedari kebelakangan ini berlaku amalan kerajaan pusat yang semakin menghakis hak-hak negeri di sebalik pembuatan dasar-dasar yang tidak prorakyat;  berlaku keterbatasan kuasa negeri di sebalik amalan federalisme yang mendiskriminasikan negeri.

"Dan, kami mengakui ada beberapa kekangan kuasa dalam berhadapan dengan kuasa pusat. Namun demikian, kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman serta pewujudan jawatankuasa bersama demi pembangunan negeri dan kemajuan rakyat," katanya.

Selain itu, persidangan kali ini juga berjanji untuk membentuk sebuah pakatan ekonomi antara kerajaan negeri PR, menyediakan persekitaran mesra pelaburan, tidak terlalu birokrasi dan tiada karenah pentadbiran, melaksana apa-apa dasar pembangunan yang boleh disepakati bersama terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan politik dan meneruskan penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi menerusi penglibatan pemimpin, pembuat dasar dan pegawai-pegawai antara negeri PR
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Kenyataan rasis: Parlimen digesa bahas insiden terbaru libatkan pengawas SPM

Posted: 29 Nov 2010 01:08 AM PST

Link artikel: http://www.themalaysianinsider.com/mobile/bahasa/article/kenyataan-rasis-parlimen-digesa-bahas-insiden-terbaru-libatkan-pengawas-spm/

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Parlimen menerima satu usul tergempar berkaitan melibatkan seorang guru — didakwa mengeluarkan kenyataan rasis melibatkan pelajar-pelajar India dan Cina ketika mengawasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Lukut, Negeri Sembilan minggu lalu.

Usul dikemukakan oleh  Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di pejabat Speaker pagi ini.

Dalam notisnya, Er menegaskan isu itu perlu dibahaskan di Dewan Rakyat memandangkan ia melibatkan perkara khusus, perlu disegerakan dan membabitkan kepentingan awam.

"Tindakan drastik dan efektif perlu diambil untuk mengelakkan insiden-insiden seumpama itu daripada berulang," kata beliau.

Dalam insiden 24 November lalu, guru terbabit dari sebuah sekolah menengah di Port Dickson, didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar-pelajar Cina dan India apabila mereka tiba lewat di dewan peperiksaan bagi menduduki peperiksaan SPM.

Menurut laporan media Cina, guru berkenaan didakwa meminta pelajar-pelajar terbabit pulang ke China dan India jika mereka tidak boleh memahami arahan dalam Bahasa Malaysia.

"Sejak kebelakangan ini, kenyataan-kenyataan berbaur perkauman seperti ini yang menyinggung perasaan kita, sedangkan apa yang kita harapkan ialah perpaduan dan harmoni.

"Kenyataan-kenyataan seperti ini pernah dibuat oleh banyak pihak seperti pegawai khas kepada Perdana Menteri pada Februari lalu, seorang guru dari SMK Gajah Berang Julai lalu dan dua pengetua dari SMK Tunku Abdul Rahman Putra dan SMK Bukit Selambau pada Ogos lalu dan satu lagi insiden sekarang," kata Er dalam notisnya.

Kata beliau, insiden-insiden itu dengan jelas tidak boleh dianggap sebagai kes-kes terpinggir memandangkan kesemuanya ada kesamaan dan merujuk kepada masyarakat Cina dan India.

Ia merupakan usul kedua membabitkan kenyataan berbaur perkauman dibawa ke Parlimen bulan ini.

Pada 13 Disember ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan menjawab berhubung usul isu patriotisme yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat  M. Kulasegaran awal bulan ini.

Zahid sebelum ini didakwa mempersoalkan semangat patriotisme orang India dan Cina negara ini, dan dilaporkan sebagai antara punca bukan Melayu kurang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dewan Rakyat menetapkan minggu kedua untuk membahaskan usul berkenaan.

Usul itu dikemukakan oleh Kulasegaran ekoran jawapan beliau di Dewan Rakyat 9 November lalu.

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Penolong Pengarah Biro Tatanegara Wilayah Persekutuan Hamim Husin telah digantung tugas berkuat kuasa 6 Oktober lepas selain diberikan amaran kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu majlis anjuran Puteri Umno pada 27 September lalu.

Kata Nazri, dua lagi penjawat awam turut dikenakan tindakan iaitu pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor dan pengetua Sekolah Menengah Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah berkaitan tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

"Kedua-dua pegawai telah digantung daripada menjalankan tugas, dan masing-masing ditempatkan di Jabatan Pelajaran Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda Kedah berkuatkuasa 23 Ogos lepas," katanya.

Menyentuh kes pengetua di Johor, katanya prosiding tatatertib telah diambil berdasarkan peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 dengan surat pertuduhan telah dikemukakan kepada pengetua itu untuk membuat representasi membela diri dalam tempoh 21 hari.

"Setelah pegawai mengemukakan representasi bertulis, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan Satu akan bersidang dan memutuskan hukuman tatatertib terhadap pegawai jika didapati bersalah," katanya.

Nazri berkata kerajaan amat komited untuk membendung perbuatan itu dan memberi jaminan akan mengenakan siasatan dan mengambil tindakan kepada pegawai-pegawai terlibat berasaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Awal Februari lalu, Datuk Nasir Safar yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman pada satu seminar di Melaka dan beliau telah meletakkan jawatan sejurus selepas itu.

Sebanyak 58 laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung ucapan Nasir pada Seminar 1 Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.

Nasir dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa "orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis manakala orang Cina pula khususnya wanita untuk menjual badan mereka" ketika berucap pada Program Rapat 1 Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas di Melaka, 2 Februari lalu.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Tiada ulasan:

Pengikut