umno bahagian cheras |
RTM beri ruang kepada pembangkang bukti kerajaan BN telus - Syed Ali Posted: 26 Oct 2010 07:49 PM PDT KESEDIAAN Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi ruang kepada aktiviti pembangkang terutama sewaktu musim pilihan raya membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap terbuka, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee. Menurutnya, langkah RTM itu juga sekaligus menolak tuduhan parti-parti pembangkang yang selama ini mendakwa kerajaan khususnya UMNO memperalatkan badan penyiaran itu untuk memenangi pilihan raya. Beliau berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sentiasa mengamal pendekatan mesra rakyat dan bersikap telus terhadap mana-mana pihak termasuk pembangkang. Langkah itu juga menepati harsat kepimpinan Perdana Menteri yang mahukan 'rakyat diutamakan'. "Saya menyambut baik RTM itu dan berharap pihak pembangkang menggunakan ruang tersebut sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat," katanya. Katanya, langkah itu juga secara tidak langsung akan menarik jumlah penonton kerana berpeluang melihat dan mendengar apa sebenarnya aktiviti dan pendirian pembangkang dalam sesuatu isu. Bagaimanapun tegas Syed Ali, kelonggaran tersebut bukan bermakna pihak pembangkang boleh mengeluarkan pelbagai kenyataan atau kritikan tidak berasas atau dakwaan fitnah terhadap kerajaan termasuk pemimpin UMNO dan BN. Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang memberitahu RTM akan akan memberi liputan terhadap aktiviti parti pembangkang bermula pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. Semalam Rais yang turut mengetuai perarakan calon UMNO bagi DUN Galas di Gua Musang, menjelaskan kementerian memutuskan memberi ruang kepada aktiviti parti pembangkang kerana menyedari mereka juga mempunyai pemikiran baik untuk faedah rakyat. Menurut Syed Ali lagi, langkah terbaru RTM itu diharapkan akan memberi kesedaran kepada parti-parti pembangkang supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang dilihat tidak mempunyai fakta jelas sebaliknya bersifat pembohongan. "Selama ini rakyat disogokkan dengan cerita-cerita karut dan fakta mengelirukan yang dimainkan oleh pembangkang menerusi media cetak milik mereka," ujarnya. Mengenai isu kes khalwat yang dikatakan membabitkan calon PAS bagi DUN Galas, Syed Ali menjelaskan ianya soal peribadi dan selagi tidak ada bukti sahih ianya tidak boleh diperkatakan kerana ia menghampiri fitnah. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap kempen pilihan raya kecil DUN Galas akan berjalan dalam suasana harmoni dan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. "Ketika semua pihak sedang berusaha untuk mencari kemenangan di DUN Galas, kita berharap tidak akan berlaku insiden yang boleh mencacatkan proses pilihan raya," katanya. |
You are subscribed to email updates from umno bahagian cheras To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan