Isnin, 25 Oktober 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Wan Azizah perlu cermin diri sendiri – Syed Ali

Posted: 24 Oct 2010 10:59 PM PDT

DATUK Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dinasihatkan supaya cermin diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuduh UMNO sanggup lakukan apa saja untuk pertahankan kuasa sebagai parti pemerintah.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, tuduhan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menggambarkan beliau sebenarnya terlalu cetek politik dan tidak mengikuti perkembangan semasa.

Oleh sebab itu tegasnya, Dr. Wan Azizah boleh mengeluarkan kenyataan melucukan apabila mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menarik balik kenyataannya yang dibuat di Perhimpunan Agung baru-baru ini yang menunjukkan UMNO sanggup melakukan apa saja untuk mempertahankan kuasa.

"Wan Azizah tidak boleh samakan PKR dengan UMNO kerana UMNO beteraskan perjuangan Melayu manakala PKR pula bertuankan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemaruk kuasa," tegasnya.

Katanya, memang Najib menegaskan bahawa UMNO akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan masa depan orang Melayu, agama Islam dan negara ini daripada dicabuli oleh mereka yang berkepentingan.

Beliau berkata, sepatutnya Wan Azizah bersyukur kerana masih ada lagi pemimpin Melayu seperti Najib dan ahli-ahli UMNO yang lain kerana sanggup mempertahankan hak orang Melayu memandangkan PKR sendiri telah menggadaikanya kerana kepentingan politik.

"Penegasan Najib itu telah disambut oleh seluruh ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi dan akan menentang habis-habisan mereka yang mengkhianati masa depan orang Melayu," tegasnya.

Sebagai Presiden UMNO katanya, Najib memikul amanah dan tanggungjawab mempertahankan kepentingan umat Melayu dan sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau tetap memberikan keadilan kepada masyarakat majmuk dalam sistem pemerintahan.

"UMNO akan perangi habis-habisan mereka yang sanggup melacurkan maruah umat Melayu, agama Islam dan negara ini kerana agenda politik peribadi termasuk pengkhianat Melayu yang jadi talibarut kepada kuasa asing," tegasnya.

"Saya kasihan melihat seorang presiden parti yang terlalu daif mengenai perkermbangan politik mencampuri urusan UMNO kerana mahu dilihat sebagai juara kepada bukan Melayu.

Sambil menyifatkan Wan Azziah sebagai boneka politik, Syed Ali berkata beliau sepatutnya terlebih dahulu melihat apa sebenarnya berlaku dalam PKR dan apa yang telah dilakukan oleh penasihat Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencapai cita-cita politik

" Ini seperti 'meludah ke langit, terkena batang hidung sendiri', sepatutnya Wan Azizah nasihatkan Anwar supaya jangan menghalalkan cara untuk berkuasa sehingga sanggup mengemis simpati dan melutut kepada kuasa asing," tegasnya lagi.

Wan Azizah dalam kenyataannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian hari ini menyarankan Najib supaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana ucapannya baru-baru ini menunjukkan seolah-olah UMNO sanggup berbuat apa saja untuk kekal sebagai pemerintah.

Wan Azizah juga mahu Najib memberikan jaminan jika perubahan berlaku dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Barisan Nasional (BN) perlu menyerahkan kuasa secara terhormat.

Menurut Syed Ali lagi, tidak ada sebab mengapa Najib perlu meminta maaf kerana ucapannya itu adalah realiti sebenar betapa UMNO bertanggungjawab menjaga hak dan kepentingan Melayu.
"Melayu berpecah kerana perbuatan khianat Anwar dan PKR, maka UMNO terpaksa memikul tanggungjawab untuk memulihkannya supaya Melayu tidak terpinggir," katanya.

Tubuhkan Yayasan Pendidikan di setiap bahagian UMNO

Posted: 24 Oct 2010 09:52 PM PDT

BADAN Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mencadangkan setiap bahagian-bahagian UMNO di seluruh negeri menubuhkan Yayasan Pendidikan bagi memasyarakatkan warga pendidik dan ibu bapa dengan perjuangan parti.

Wakilnya, Syed Mehdhar Syed Abdullah berkata, walaupun sasaran utama penubuhannya sebagai sokongan kepada pencapaian kecemerlangan guru dan pelajar, tetapi turut berperanan menjalinkan hubungan rapat masyarajkat dengan UMNO.

Dengan cara itu kata beliau, UMNO mampu membabitkan diri secara langsung dengan pelbagai kegiatan sama ada dalam aspek kemudahan infrastruktur dan peningkatan pembelajaran di sekolah-sekolah.

Menurutnya, menerusi yayasan tersebut, pengorbanan guru-guru akan dihargai dengan mewujudkan penganugerahan Guru Bestari manakala pelajarnya pula dihargai menerusi anugerah Pelajar Cemerlang.

Beliau menyebut contoh kejayaan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) yang ditubuhkan oleh UMNO Bahagian Cheras sejak 10 tahun lalu dengan mendapat sokongan daripada warga pendidik dan masyarakat pelbagai kaum.

"Oleh itu, setiap bahagian di seluruh negeri perlu menubuhkan Yayasan Pendidikan dalam usaha kita merapatkan lagi hubungan warga pendidik dan ibu bapa dengan aspirasi kerajaan menerusi UMNO," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Cheras membuat cadangan itu ketika berucap membahaskan usul pendidikan dan agama pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.

Menurut Syed Mehdhar lagi, UMNO tidak mempunyai halangan atau masalah besar untuk menjayakan penubuhan Yayasan Pendidikan di peringkat bahagian.

"Kita (UMNO) mempunyai kuasa sebagai teras kerajaan, kita boleh minta 50 buah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada hari ini supaya menjadikan program tersebut sebagai anak angkat mereka," tegasnya.

Beliau juga mencadangkan Kementerian Pelajaran memperbanyakkan mata pelajaran berasaskan kemahiran dan teknikal dan dimulakan di sekolah-sekolah menengah kebangsaan bermula daripada Tingkatan Satu.

"Kita perlu sedar ada pelajar tidak berminat kepada akademik dan mereka lebih cenderung kepada aspek kemahiran, maka sekolah-sekolah menengah kebangsaan perlu menerapkkan mata pelajaran kemahiran sepenuh masa," katanya.

Syed Mehdhar selaku Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut mengingatkan seluruh ahli dan pemimpjn UMNO supaya mempunyai rasa penyatuan hati atau 'wahdatul qolbi' dalam perjuangan.

Katanya, seluruh warga UMNO perlu bersatu hati, ikhlas dalam perjuangan dan tidak mempunyai perasaan hasad dengki dan tikam-menikam sesama sendiri.

"Sifat riak juga harus dibuang dari dalam diri kerana sifat itu melahirkan insan yang pandai bermuka-muka," ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kepimpinan UMNO hendaklah bermuhasabah diri sebelum berdepan dengan cabaran lebih getir pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau mengingatkan, jika perjuangan UMNO sudah lari daripada prinsip asasnya yang bertunjangkan kepada agama, bangsa dan tanahair maka lambat laun parti akan lebur dan rebah menyembah bumi.

Tiada ulasan:

Pengikut