Selasa, 19 Oktober 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Cuba gagalkan projek Menara Warisan Merdeka :DAP khianati aspirasi rakyat

Posted: 19 Oct 2010 12:05 AM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menyifatkan usaha DAP cuba menggagalkan projek Menara Warisan Merdeka sebagai mengkhianati aspirasi rakyat negara ini.

Beliau berkata, tindakan lima orang Ahli Parlimen DAP yang dilaporkan membawa serombongan wartawan akhbar ke kawasan berkenaan pagi ini hanya mencari popularirti murahan.

Menurut beliau, DAP sepatutnya memberikan sokongan kepada kerajaan yang berusaha memajukan negara ini dengan mengambilkira kepentingan rakyat.

"Sebaliknya, mereka terlalu rakus berpolitik sehingga projek yang baik untuk kepentingan negara dan rakyat dilihat sebagai satu pembaziran," katanya.

Langkah DAP itu tegasnya, menyamai tindakan pihak pembangkang yang pernah menentang keras cadangan kerajaan membina Menara Berkembar Petronas yang kini menjadi kebanggaan semua pihak.

"Ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan pembinaan KLCC, pihak pembangkang menyifatkannya sebagai pembaziran dan menghabiskan duit rakyat," tegasnya.

Katanya lagi, langkah kerajaan menjadikan lokasi Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai Menara Warisan Merdeka yang diumumkan dalam bajet 2011 dengan kos RM5 billion itu dilihat mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan.

Beliau yakin pembinaan projek tersebut akan merancakkan lagi peluang perniagaan di lokasi strategik berhampiran pusat tiga segi emas di tengah bandaraya Kuala Lumpur.

"Saya percaya pembinaan Menara Warisan Merdeka akan menjadi mercu tanda komersil dan catatan sejarah negara sewaktu di awal kemerdekaan," ujarnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah mengambilkira daripada pelbagai aspek sebelum mengumumkan projek mega tersebut.

"Lagipun menjadikan lokasi tersebut sebagai Menara Warisan Merdeka akan mengembalikan semula nostalgia rakyat kepada detik-detik pengumuman rasmi Tanah Melayu merdeka daripada penjajah British," tegasnya.

Projek setinggi 100 tingkat itu akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan melebihi ketinggian menara Petronas.

Bermuhasabah kembalikan kekuatan - Syed Ali

Posted: 18 Oct 2010 10:28 PM PDT

PERHIMPUNAN Agung UMNO yang bermula hari ini perlu digunakan sebagai platform untuk bermuhasabah bagi mengembalikan semula kegemilangan parti berikutan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang tidak memberangsangkan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, statistik PRU 2008 ternyata jauh merosot berbanding pada tahun 2004 dan ia memerlukan kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, PRU ke-13 yang semakin hampir merupakan ujian besar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti yang menguasai kerajaan.

Oleh sebab itu katanya, Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan pentas terbaik untuk setiap pemimpin dan perwakilan mencari formula baru kearah penambahbaikan parti sebelum PRU akan datang.

Menurut beliau, ingatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Najib bakal berdepan laluan sukar untuk memperolehi semula majoriti 2/3 pada PRU akan datang harus dilihat sebagai teguran membina.

"Dr. Mahathir telah memberikan komen terbuka yang tidak meletakkan kesilapan itu kepada Najib, sebaliknya berpunca daripada kesilapan pemimpin sebelumnya. Bagaimanapun teguran itu perlu dijadikan iktibar," tegasnya.

Sehubungan itu jelas Syed Ali, seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat perlu berusaha keras untuk mengembalikan semula majoriti yang susut itu dengan berusaha mendampingi rakyat disamping memberi penerangan yang jelas mengenai dasar-dasar kerajaan.

Mengulas lanjut kenyataan Dr. Mahathir pada forum antarabangsa di Kuala Lumpur semalam
yang mendakwa Najib mewarisi kerajaan yang buruk, Syed Ali berpendapat ia adalah pandangan peribadi Dr. Mahathir.

Katanya, bekas Presiden UMNO itu bebas bercakap dan selama ini pun beliau telah banyak memberikan saranan dan kritikan membina untuk kebaikan parti dan kerajaan.

"Sekarang ini yang penting kepada seluruh warga UMNO adalah memberikan sokongan penuh kepada Najib untuk membawa pembaharuan di dalam parti dan kerajaan," tegasnya.

Beliau berkata, ingatan berterusan oleh Najib supaya pemimpin UMNO mesra rakyat dan sentiasa mendampingi mereka adalah langkah terbaik untuk mengekalkan kekuasaan BN.

Syed Ali menjelaskan, pentadbiran Najib mula menampakkan kejayaan yang disenangi rakyat menerusi beberapa pendekatan menjuruskan kepada kepentingan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Mengenai dakwaan Dr. Mahathitr bahawa memang tepat Datuk Seri Anwar Ibrahim di dakwa atas tuduhan meliwat, Syed Ali berkata keputusan pengadilan perlu dihormati oleh semua pihak.

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar dengan Mohd. Saiful Bukhari sentiasa ditangguhkan oleh mahkamah.

"Proses perbicaraan yang terlalu lama hanya disebabkan rayuan penangguhan dikhuatiri akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kredibiliti mahkamah," ujarnya.

Tiada ulasan:

Pengikut