Sabtu, 9 Oktober 2010

umno bahagian cheras

umno bahagian cheras


Ketua Bahagian Cheras tegur Murugiah

Posted: 08 Oct 2010 09:31 PM PDT

KETUA UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menyifatkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah sebagai 'double standard' apabila turut mengecam Biro Tata Negara (BTN).

Katanya, adalah tidak munasabah apabila seorang Timbalan Menteri yang turut dipertanggungjawab dalam hal ehwal BTN membuat kecaman kononnya biro berkenaan mengutamakan kepentingan orang Melayu.

"Seorang jemaah kabinet yang mengecam agensi kerajaan kerana agenda politik dilihat sebagai sama dengan perlakuan pihak pembangkang," tegasnya.

Sepatutnya jelas beliau, Murugiah harus bijak menangani isu membabitkan perkauman tanpa ada sikap prejudis dan tidak memperlihatkan dirinya memihak kepada sesuatu kaum tertentu kerana kepentingan politik.

"Seorang Menteri atau Timbalan Menteri perlu bercakap atas dasar kepentingan negara sejajar kedudukanya sebagai anggota kabinet dan bukannya terlalu sentimen kerana kepentingan kaum tertentu," ujarnya.

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan sikap Murugiah itu, beliau menegaskan penyeleasaian kepada isu rasis perlu menjuruskan kepentingan semua kaum demi keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

"Tetapi malangnya, Timbalan Menteri itu bersikap seperti ingin menjadi jaguh apabila mengecam BTN yang seolah-olah biro tersebut hanya memperjuangkan agenda Melayu," tegasnya.

Sehubungan itu Syed Ali mencabar Murugiah supaya memberi penjelasan berhubung bekas bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja, S. Kottapan yang dikatakan telah dipukul oleh sekumpulan samseng India yang dipercayai didalangi tokoh politik juga daripada parti itu.

"Mengapa beliau tidak tampil membela Kottapan yang menjadi mangsa, apakah beliau takut untuk berbuat demikian kerana membabitkan tokoh politik berketurunan India walaupun daripada pihak pembangkang," tegasnya.

Beliau juga turut menyelar sikap Timbalan Menteri itu turut berdiam diri berhubung satu isu di mana masyarakat India di Perak dan Selangor kesal dengan tindakan DAP yang dikatakan akan merobohkan kuil-kuil Hindu di negeri berkenaan.

"Begitu juga dalam kes Namewee yang kurang ajar menghina seorang pengetua Melayu di sebuh sekolah di Johor menerusi laman Youtube, tetapi Murugiah hanya diam membisu," katanya.

Menurut Syed Ali, orang ramai juga mempersoalkan bagaimana Murugiah dikatakan boleh duduk berbelahan seorang peguam yang kemudian disyaki terbabit dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik,Datuk Sosilawati dua hari sebelum kejadian.

"Sepatutnya pertanyaan itu diperjelaskan kepada orang ramai bagi mengelak timbulnya pelbagai sangkaan negatif terhadap beliau," katanya lagi.

Beliau berkata, bekas pemimpin PPP itu sepatutnya lebih memberi perhatian kepada isu membabitkan kepentingan pelbagai kaum yang menjadi teras keada kestabilan politik dan perpaduan di negara ini.


Tiada ulasan:

Pengikut