umno bahagian cheras |
Syed Ali jawab tuduhan PAS terhadap Rosmah Posted: 06 Oct 2010 02:23 AM PDT DATUK Wira Syed Ali Alhabshee hari ini mempertahankan usaha isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendapatkan input dalam menangani masalah pembuangan bayi ketika berada di Belgium baru-baru ini. Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, usaha tersebut sebagai alternatif dalam mencari kaedah terbaik mengatasi kes buang bayi yang selama ini dilihat kurang berkesan. Sehubungan itu jelas beliau, tuduhan Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad bahawa Rosmah seperti meminta sedekah ketika berada di Brussel adalah tidak tepat dan mempunyai niat buruk terhadap isteri Perdana Menteri. "Idris (PAS) masih jahil memahami protokol aturcara isteri seorang Perdana Menteri ketika berada di luar negeri yang diberi peluang melihat dan menimba pengalaman dalam sesuatu perkara yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan negara," katanya. Beliau berkata, lawatan Rosmah ke pusat remaja hamil di Brussel adalah untuk mencari input yang berkemungkinan boleh dijadikan panduan kepada kerajaan membanteras gejala pembuangan bayi yang semakin meningkat. "Kita sepatutnya bangga kerana Rosmah dalam acara yang padat itu masih berpeluang untuk melihat cara negara berkenaan mengatasi masalah remaja hamil dan pembuangan bayi," katanya. Tetapi jelas beliau, oleh kerana Idris terlalu sakit hati kepada UMNO dan membenci Perdana Menteri, apa sahaja kebaikan yang dilakukan akan diputarbelitkan untuk kepentingan politik PAS. Beliau menjawab tuduhan Ketua Penerangan PAS yang mendakwa Rosmah seperti meminta sedekah dan kerajaan hilang punca serta kontang idea yang terpaksa merujuk kepada Belgium bagi menanangi kes tersebut, seperti disiarkan portal berita pro-pembangkang-Malaysiakini. Idris juga turut mempersoalkan kenapa Rosmah merujuk kepada Belgium dan tidak kepada kaedah Islam dalam menangani kes tersebut. "Inilah masalah pemimpin PAS yang akan memutarbelitkan apa sahaja usaha murni yang dilakukan kerajaan," katanya. Dalam hubungan ini, Syed Ali kesal kerana PAS yang selama mendakwa berjuang untuk Islam tetapi tidak berperanan sepenuhnya membantu kerajaan menangani kes pembuangan bayi. Beliau menegaskan, mencari ilmu atau menimba pengalaman untuk kebaikan walaupun daripada bukan negara Islam bukan bermakna tidak menjadikan ajaran Islam sebagai pedoman. "Apakah jika Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat melawat negara berfahaman Yahudi atau di Amerika Syarikat dan mendapat kaedah berguna untuk kepentingan rakyat seperti dalam bidang pertanian maka Nik Aziz juga akan disifatkan sebagai tidak menepati kehendak Islam?, soal beliau lagi. Oleh itu katanya, apa yang dilakukan oleh Rosmah ketika berada di Belgium adalah usaha terbaik bagi membantu kerajaan menangani masalah pembuangan bayi di negara ini. Syed Ali mendedahkan, PAS sebenarnya menjadi pengemis dan peminta sedekah secara profesional yang sanggup mengutip derma daripada orang ramai kononnya untuk tabung jihad. Menurutnya, sedekah yang dihulurkan oleh orang ramai itulah yang digunakan sebagai modal untuk memfitnah, mencerca dan memecahbelahkan umat Islam menerusi ceramah-seramah politik yang diadakan. "Sedekah itu sepatutnya dibelanjakan kepada mereka yang memerlukannya, bukan diagihkan kepada pemimpin PAS sebagai habuan berceramah memaki-hamun kerajaan dan sesama pemimpin Islam," tegasnya. |
UMNO jangan terperangkap helah Raja Petra – Syed Ali Posted: 05 Oct 2010 08:16 PM PDT UMNO jangan mudah terperangkap dengan perang psikologi dilancarkan Raja Petra Kamaruddin kononnya akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana manifestonya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu tidak ditunaikan. Mengingatkan demikian, Ketua UMNO Bahagia Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berpendapat, bukan keputusan yang begitu mudah bagi Raja Petra 'meninggalkan' Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Selama ini mereka berdua telah melakukan pelbagai fitnah dan pengkhianatan kepada negara dan orang Melayu menerusi laman-laman web pro-pembangkang," katanya. Oleh sebab itu jelas beliau, tindakan mengejut Raja Petra untuk memutuskan hubungan secara tiba-tiba dengan Anwar mengundang pelbagai persoalan. "Dalam isu ini kita perlu berhati-hati kemungkinan satu helah pembangkang untuk memerangkap UMNO," katanya. Beliau berkata, jika Raja Petra benar-benar ikhlas beliau sepatutnya menyerah diri kepada polis kerana sebelum ini beberapa waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan. "Tetapi beliau langsung tidak menghormati undang-undang negara ini dan memilih jalan bersembunyi di luar negeri setelah menjadi buruan polis," katanya. Katanya, pengendali portal berita pro-pembangkang - Malaysia Today itu diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan Anwar dan melancarkan pelbagai gerakan memburukan reputasi dan nama baik Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. "Agak pelik secara tiba-tiba Raja Petra mengumumkan akan memutuskan hubungannya dengan Anwar (PKR) hanya disebabkan janji manifesto, ini mungkin ada muslihat tertentu," ujarnya. Sehubungan itu, Syed Ali yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menyifatkannya sebagai strategi dan sandiwara PKR menarik perhatian rakyat menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tidak lama lagi. "PKR berharapkan apabila Raja Petra tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Anwar dan parti itu, UMNO akan berasa selesa," katanya. Oleh sebab itu katanya, pemimpin UMNO termasuk kerajaan perlu berhati-hati dengan muslihat terbaru yang dimainkan oleh Anwar. Katanya lagi, strategi ini juga untuk mengalih tumpuan rakyat terhadap kes liwat Anwar yang akan disambung proses perbicaraannya tidak lama lagi. Katanya, keputusan kes liwat Anwar dan pilihan raya kecil DUN Galas akan memberi kesan besar kepada pakatan pembangkang sebelum PRU ke-13 akan datang. "Unutk memenangi DUN Galas, pakatan pembangkang terutama Anwar terpaksa merangka pelbagai muslihat termasuk isu Raja Petra bagi meraih sokongan rakyat. |
You are subscribed to email updates from umno bahagian cheras To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan