Khamis, 30 September 2010

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri

YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri


BELAJARLAH DARIPADA SEJARAH

Posted: 30 Sep 2010 06:12 AM PDT

Assalamualaikum.


Sejak kebelakangan ini, insiden atau kenyataan yang bersifat perkauman makin menjadi-jadi. Ia ternyata menjadi satu perkembangan tidak sihat di sebuah negara seperti Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum.

Saya tidak faham, apakah punca keadaan tersebut berlaku. Apakah kerana kita telah diberikan terlalu luas ruang kebebasan atau adakah itu sememangnya cara kita dalam menyuarakan sesuatu perkara. Soalnya, mengapa sekarang hal sedemikian berlaku dan tidak selama ini sedangkan apa yang kita lalui adalah sama.


Apa pun alasannya, apa sahaja ucapan, kenyataan atau tindakan yang bersifat perkauman di khalayak umum – sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis adalah sesuatu yang wajar dielakkan.


Kita tidak ada pilihan selain itu kerana jika dibiarkan, ia boleh mendedahkan kita semua kepada keadaan yang tidak sepatutnya. Bukankah kita telah melewati sejarah 13 Mei 1969 yang puncanya adalah perkauman?.


Apakah kita tidak mempelajari sesuatu daripada sejarah yang telah berlaku?. Saya bimbang, keberanian tidak bertempat oleh banyak pihak, terutama mempertikaikan hak-hak kaum tertentu walaupun ianya telah termaktub dalam perlembagaan akan hanya mendedahkan masyarakat kita kepada lebih banyak masalah.


Apa yang jelas, isu ini mesti ditangani dengan tegas dan muktamad sebelum ini merebak menjadi penyakit yang sukar diubati. Saya percaya bahawa ramai yang bersetuju dengan saya kerana tidak tidak mahu sejarah pahit yang berlaku tidak lagi berulang kembali.


Oleh itu, semua pihak perlu lebih berhati-hati, teliti dan peka dengan sensetiviti masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Lebih utama, kita semua mestilah berpegang kuat dan akur dengan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan agar kita tidak tergelincir dari landasan yang telah begitu kukuh kita bina bersama sejak sekian lama.


Kita semua mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Saya tidak percaya wawasan itu akan menjadi kenyataan jika isu perkauman ini tidak ditangani dengan bijak.


Adalah sangat janggal bagi sebuah negara seperti Malaysia yang rakyat berbilang kaum mahu mencapai apa jua hasraatnya tanpa seiring dengan perpaduan dan kesepakatan kaum. Adalah amat malang bagi kita, jika kita mengabaikan apa yang sepatutnya kita pelihara dan pertahankan.


Saya akui bahawa isu berkenaan banyak berpunca daripada hal-hal yang berkaitan dengan politik. Lebih buruk lagi apabila ada di kalangan kita sendiri yang mengamalkan politik secara tidak matang sehingga tergamak melakukan apa sahaja demi untuk mencapai cita-cita politik. Perkauman telah menjadi sebahagian daripada umpan yang sengaja dilemparkan untuk tujuan tersebut.


Oleh itu, dengan semangat 1Malaysia, saya ingin mengajak seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, etnik, anutan politik agar segera menghentikan apa jua hal yang berkaitan dengan perkauman.


Kita semua harus kembali kepada kehidupan yang harmoni sebagaimana sebelum ini. Kita harus sama-sama membina Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan kekal sebagai bumi yang sentiasa indah bagi semua kaum.


Saya berpandangan, kita tidak harus saling mempertikaikan kerana segala-galanya telah dimeterai melalui Perlembagaan Persekutuan. Jika kita berpegang kepada apa yang telah kita persetujui melalui Perlembagaan itu, percayalah bahawa kita akan terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan berjaya dalam segala segi.


Itulah harapan saya, dan sudah tentu saya percaya itu juga adalah harapan anda semua.

Tiada ulasan:

Pengikut